Kehadiran kami
disambut oleh anak-anak kak Min, Aizat dan Aidil. Sudah agak lama tidak bertemu, mereka
kelihatan begitu jauh berbeza.
Budak-budak cepat benar besarnya. Masing-masing mendapatkan kami untuk
bersalaman.
“Mama
mana?” tanya ku kepada Aizat anak sulung kak Min yang kini berusia sepuluh
tahun.
“Mama
kat dapur tolong nenek masak” jawabnya
girang.
Apabila
masuk saja ke ruang tamu ucapan salam pun diberi dan abang Fuad suami kak Min
yang sedang leka membaca surat khabar menjawab salam kami lalu segera bangkit
dari tempat duduk dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Azry. Azry duduk di ruang tamu bersama abang Fuad
dan aku terus menuju ke dapur dengan membimbit sebiji buah tembikai di tangan. Di dapur ibu dan kak Min sedang sibuk memasak
untuk hidangan makan tengahari kami nanti.
“Assalamualaikum”
salam ku beri dan kedua mereka menoleh kepadaku.
Aku
mendapatkan ibu dan mencium tangan ibu sebelum ku peluk dan mencium kedua belah
pipi ibu dengan penuh mesra dan manja.
“Eee!
rindunya” ujarku dengan perasaan geram bercampur gembira.
“Dah lama datang ke kak?” tanya ku ramah tanpa
melepaskan tangannya yang kemas di dalam genggamanku.
“Kita malam tadi lagi dah sampai tau”.
“Ia
ke ibu? Kak Min tidur sini ke malam tadi?” pertanyaan ku disambut dengan
senyuman yang bukan sedikit dari bibir ibu.
“Ialah,
nasib baik kak Min ada, dah siap masak dah pun.
Kejap lagi kita dah boleh makan” kata ibu sambil kedua tangannya menyambut
salam menantu kesayangannya Azry yang masuk ke dapur.
“Papa
dengan mama sihat?” tanya ibu kepada Azry.
“Sihat.
Ibu?” Azry menoleh ku sekilas.
“Macam
inilah, orang tua, kadang-kadang sihat, kadang-kadang sakit kakilah, sakit
badanlah” jawab ibu dengan senyum yang lebar.
“Kita
tunggu ayah balik dari masjid lepas tu kita dah boleh makan nasi dah” beritahu ibu sambil mengajak Azry ke ruang tamu. Azry membuntuti ibu sedangkan aku masih di dapur
menolong kak Min berhidang.
“Kak Lia tak balik ke kak?”.
“Entahlah..
semalam ada akak telefon dia, lupa pulak nak tanya balik ke tidak. Sara tak telefon dia ke?” soal kak Min sambil
menyenduk kuah ke dalam mangkuk.
“Minggu
lepas ada Sara telefon, masa tu kak Lia kat ofis, dia kata banyak kerja so tak
dapat nak cakap lama” terangku dengan
mencebikkan muka.
“Ibu
kata dah lama Lia tak balik. Ibu ada
jugak cuba
telefon tapi memanjang je tak dapat line” beritahu kak Min lagi.
Perbualan
kami terhenti apabila ibu datang dan memberitahu ayah sudah pulang dan kami pun
ke ruang makan dengan membawa lauk pauk untuk dihidangkan di meja makan. Sambil
menjamu selera, banyak yang kami bualkan.
Ayah kelihatan begitu gembira sekali dengan kehadiran kami. Dia yang banyak bercerita tentang ibu dan
dirinya, tentang pokok-pokok tanamannya, tentang masjid sehinggalah ke hal
ehwal persatuan di kawasan perumahan itu.
Selepas selesai makan kami menyambung pula perbualan kami di ruang tamu
sambil menikmati buah cempedak yang telah masak hasil tanaman ayah di belakang
rumah.
Ruang
tamu rumah ini masih seperti dulu. Rak
perhiasan yang dihiaskan dengan gambar-gambar kami adik beradik setiap satu
dengan bingkai kayu masih di situ.
Bekas-bekas bunga telor koleksi ibu yang diperbuat dari kaca tersusun
rapi di atas rak yang di bawah sekali. Manakala di rak tengah ibu hiaskan dengan pasu
seramik yang berwarna hitam tetapi bunga rosnya sudah digantikan ke warna ungu dan putih. Pasu bunga yang besar di sudut ruang tamu
penuh dengan tangkai-tangkai kayu berwarna coklat masih kekal di situ. Sofa
empuk yang tekstilnya berwarna merah hati juga masih digunakan walaupun telah
berusia hampir sepuluh tahun. Banyak
nostalgianya rumah ini bagi kami empat beradik.
Kami membesar di sini dan seingat aku kami berpindah ke sini semasa
usiaku dua belas tahun, semasa aku bersekolah dalam darjah enam. Oleh kerana berpindah ke sini dari Serembanlah
aku dan Azry berpisah dan membawa hal dan haluan masing-masing, sehinggalah
kami dipertemukan semula dengan ikatan pertunangan. Seterusnya pernikahan yang
sememangnya telah dirancang oleh kedua orang tua tanpa pengetahuan kami. Alhamdulillah aku bersyukur dijodohkan dengan
dia. Sesungguhnya restu kedua orang tua
amat bererti di dalam sesebuah perkahwinan.
Dari
jauh aku tersenyum kelegaan melihat Azry yang ramah berbual mesra dengan ayah
dan abang Fuad di ruang tamu kedua.
Sesekali mata kami bertemu dan rasa kasih yang amat mendalam meresap ke tangkai
jantungku.
“Tidur
sini ke malam ni Sara?” pertanyaan kak Min mengejutkan aku dari lamunan.
“Taklah
kot. Nantilah bila ada cuti panjang sikit
Sara tidur sinilah, ya ibu” aku
mengalihkan pandangan ke wajah ibu yang sentiasa tersenyum.
“Alah
bukannya jauh sangat, tak tidur pun tak apa asalkan selalu balik” jawab ibu mesra.
“Minggu
ni Ako tak balik ke bu?” tanya ku
lagi.
“Tak,
minggu lepas dia dah balik, katanya exam dah nak dekat, sibuk sikit” jawab ibu tenang.
Anak
bongsu ibu satu-satunya adik lelaki kami yang masih belajar di UITM Shah Alam
di dalam jurusan Art & Design
yang kini berada ditahun dua. Rindu juga
aku pada Ako apabila tiba-tiba namanya disebut.
Kali terakhir kami berjumpa dua bulan yang lalu semasa kami sekeluarga
keluar makan malam di Kajang.
Sedang
kami rancak berbual-bual Aidil berlari-lari mendapatkan mamanya.
“Mama
tengoklah abang tu, dia kata Aidil bodoh” Aidil memeluk mamanya dari belakang
sambil merengek.
“Hish!
tak baik tau cakap orang bodoh”.
“Abang tu yang kata Aidil bodoh, bukan Aidil
yang cakap”.
“Iyalah
kenapa dia cakap macam tu kat Aidil, mana abang?”.
“Tu
ha! kat luar” Aidil menarik-narik tangan
mamanya pula.
“Aizat..
Aizat..” laung kak Min memanggil anak sulungnya. Dengan segera Aizat datang mendapatkan
mamanya.
“Ya
ma” sahut Aizat.
“Kenapa
buat adik, Aizat ni suka betul kacau dia tau, lemas lah mama”.
“Alah
cakap macam tu pun nak merajuk” adu Aizat.
“Kenapa
cakap macam tu kat adik, tak baik tau” sampuk ibu lembut.
“Habis
tu dia baling kasut Aizat kenapa?”.
“Mana
ada. Aidil main-main aje” jawab pula Aidil dan secepat kilat tangan Aizat
sampai ke belakang Aidil. Bedebup
bunyinya. Aidil pun apa lagi, meraung sehingga
menampakkan anak tekak.
“Aizat
kenapa ni?” kak Min naik berang dengan gelagat anak-anaknya. Abang Fuad pun datang menghampiri apabila
mendengar tangisan Aidil.
“Kenapa
ni Aizat?” tanya abang Fuad dengan suara tegas.
“Apa
lagi anak-anak you ni, kalau tak bergaduh tak sah, macam anjing dengan kucing” celah
kak Min geram.
“Dah
pergi kemas baju-baju, kita baliklah.
Kalau bergaduh-gaduh macam ni jangan ajak datang rumah atok nenek lagi. Pening kepala atok dengan nenek tengok
perangai Aizat dengan Aidil tau” bebel kak Min.
Dengan
wajah yang sugul Aizat berlalu ke bilik untuk mengemas beg pakaiannya. Abang Fuad masih memujuk anak kesayangannya
Aidil yang masih merengek manja.
Seketika kemudian Aizat datang membawa satu beg sederhana besar yang
berisi pakaian dan diletakkan di sebelah mamanya.
“Dah
nak balik ke?” ayah menegur.
“Besok
kan cuti
lagi, tidurlah sini lagi semalam” sambung ayah lagi sambil mengusap rambut
cucunya. Aizat membatu, hanya memandang
wajah atoknya dengan mata terkebil-kebil.
“Biarkan,
kalau dia nakal lagi, lain kali tak payah datang tidur sini lagi” bidas kak Min.
“Minggu
depan datang lagi ya Aizat” pesan ibu
kepada cucunya.
“Dah,
salam atok, salam nenek” arah abang Fuad dan dengan segera Aizat dan Aidil
mendapatkan atok dan nenek mereka dengan muncung yang panjang. Mereka dipeluk dan dicium.
“Tu
salam mak lang, pak lang” mereka mendapatkan aku dan Azry seorang demi seorang
silih berganti.
“Kitorang
pun nak balik jugak ni” kataku.
“Eh,
dah nak balik jugak ke? Tak tunggu karang-karang, lepas makan malam ke?” pujuk
ibu sambil mengerling Azry di sebelah ku.
“Tak
apalah, bu. Nanti bila senang-senang
kitorang balik lagi ya” aku segera
menjawab dan mendapatkan tangan ibu lalu ku peluk erat-erat tubuh ibu. Begitu juga buat ayah.
“Balik
dulu yah” ayah cuma mengangguk dengan senyuman yang tidak lekang dari
wajahnya.
“Bye
Aizat, bye Aidil” aku melambaikan tangan
kepada kedua-dua anak-anak buah ku yang nakal itu. Mereka sudah berada di dalam perut kereta
Proton Myvi merah, menunggu mama dan papa mereka yang masih lagi berbual..
“Bila
nak datang rumah akak, Azry?” tanya kak Min kepada Azry.
“Nantilah
kak, kalau kitorang datang kita call
dulu. Akak kena masak special lah” gurau
Azry.
“Eh,
no problem, setakat masak untuk Azry dengan Sara, emm small matterlah”, kami pun mengekek
ketawa.
Petang itu, sekembali kami dari rumah ibu, kami tidak terus
pulang ke
rumah sebaliknya
kami ke Sunway Pyramid untuk menonton filem Fast
& Furious 4 . Sesampainya kami di panggung, kelihatan orang ramai
sedang beratur untuk mendapatkan tiket di kaunter. Tidak ada pilihan lain, kami pun terpaksa
menunggu dan beratur dibarisan yang agak panjang. Kami masih ada lebih kurang satu jam lagi
untuk menonton maka sementara itu kami pun ke restoran Mc Donald untuk
minum-minum dan meluangkan masa yang ada selepas menyaksikan orang yang bermain
ice skating di tingkat paling bawah.
Kami duduk hampir sangat dengan permainan kanak-kanak. Maka dari situ kami boleh melihat dengan jelas
kanak-kanak yang bermain dan berlari-lari berkejaran.
“Sara
nak berapa orang anak?” tiba-tiba kesitu pula soalan yang diajukan oleh
Azry.
“Kenapa
ni?” tanya ku pendek.
“Abang
nak empat orang anak tau Sara, dua lelaki dan dua orang perempuan, boleh tak?”
tanya Azry lagi sambil menggenggam erat tanganku.
“Hish!
ada-ada je abang ni, jomlah bang, dah pukul berapa dah ni” aku menukar topik.
Tanpa
bertanya lagi Azry pun memimpin tangan ku dan kami pun berlalu dari situ.
Ketika kami sedang berjalan menuju ke tingkat atas, aku berselisih dengan Dino
di eskalator. Kami tidak sempat bertegur sapa. Sekadar
berbalas pandang dan melambai tangan.
Dino kelihatan bersama dua orang kawan lelaki, mungkin teman
serumahnya. Azry menoleh pandang beberapa
kali kepada Dino dengan pandangan kehairanan.
“Siapa
tu Sara?”.
“Dino”.
“Dino?
Siapa?” tanyanya lagi tidak berpuas hati dengan jawapanku.
“Dia
tu Finance Manager kat ofis Sara”
jawabku sambil menarik tangannya masuk ke panggung. Kami mencari tempat duduk berpandukan tiket
yang ada di tangan Azry. Sebaik sahaja
mendapat tempat duduk, Azry bertanya lagi tentang Dino. Eh mamat ni tak puas hati lagi ke? desis hati
ku. Aku berpura-pura seperti tidak
mendengar lantaran suara dari alat pembesar suara yang sedia ada di situ
sungguh membingitkan telinga. Suaranya
tenggelam dek kebingitan suara dari alat itu.
Oleh kerana sikap ku yang acuh dan tidak acuh itu, Azry pun terdiam,
tidak lagi bertanya apa-apa.
No comments:
Post a Comment