Hari yang dijanjikan tiba untuk aku
berlepas ke Bali bersama Azry . Penerbangan MAS dari Lapangan Terbang KLIA
yang dijadualkan bertolak jam 10 pagi tertunda.
Namun begitu, alhamdulillah jam 2.30 petang kami sudah selamat sampai ke
destinasi yang dituju. Sesampainya kami
di sana, sudah ada seseorang yang menantikan kami, menurut kata Azry lelaki itu
adalah pakcik kepada teman pejabatnya.
Lelaki itu membawa kami terus ke hotel Grand Hyatt Bali. Setelah beg dipunggah turun dari kereta kami
terus menuju ke kaunter untuk mendaftar masuk ke hotel yang telah ditempah
awal. Keadaan biliknya sungguh selesa
dan cantik sekali. Aku merebahkan diri
di atas katil empuk bercadar putih.
Kedua kelopak mata ku tertutup rapat, lega sungguh rasanya. Perasaan ku begitu girang kerana sampai ke
destinasi impian. Beg pakaian yang
dibawa diletakkan di dalam almari pakaian yang telah sedia ada. Kehangatan tubuh Azry yang berbaring di sebelah
begitu terasa. Kerana kepenatan kami terlelap, alat penghawa dingin yang
terpasang membuatkan suasana bilik itu begitu menyegarkan dan mata bagaikan
begitu berat untuk dibuka.
Tiba-tiba Azry bingkas bangun dan terus ke sinki membasuh
muka.
“Ya
Allah tertidur rupanya. Jom, pakcik tadi
tu ada tunggu kat bawah. Abang dah janji
minta bawa kita pergi bersiar-siar”.
“Kenapa
abang tak cakap tadi, kesian lama dia tunggu kita”, aku terpisat-pisat bangun,
kedua kelopak mata ku tenyeh-tenyehkan dengan tangan.
Kami
pun segera keluar dari kamar sebaik daun pintu dikunci dari luar. Pak
Herman membawa kami menyaksikan tarian tradisi barong. Tarian itu sungguh menghiburkan dan kami
diingatkan supaya tidak mengambil gambar bersama penari-penari tersebut kerana
biasanya mereka akan meminta wang upahan.
Selepas itu kami dibawa ke Ubud pula dimana di sini terdapat banyak
hasil-hasil kerja tangan seperti lukisan-lukisan, ukiran-ukiran kayu dan
barang-barang yang diperbuat daripada perak.
Barang-barang yang dipamerkan dijual dengan harga yang agak mahal. Kemudian kami dibawa pula melawat ke Elephant Cave
Temple. Gua itu merupakan tempat
orang-orang ugama mereka bertapa, di situ juga terdapat air terjun dimana
airnya dikatakan boleh membuat wajah kita awet muda sekiranya diminum. Beruntunglah jika benar ada air yang boleh membuatkan
manusia kekal muda dan sudah tentunya manusia seluruh dunia akan tertumpu ke sini
untuk mendapatkan air ajaib itu.
Setelah
penat sehari suntuk dibawa bersiar-siar, badan terasa letih apabila sampai ke
bilik hotel. Walaupun penat tapi
menghiburkan. Perut pun mulai berkeroncong.
Di sini agak sukar untuk mendapatkan makanan yang halal. Menurut kata Pak Herman, kita perlu
berhati-hati agar tidak keliru. Pada
waktu malam, selepas berehat seketika, kami ke sebuah restoran seafood Jimbaran Bay untuk makan malam. Sambil menjamu selera kami menikmati panorama
di tepian pantai yang sungguh indah walau pun airnya kelihatan sedikit kotor.
Hari kedua di pulau Bali , Pak Herman telah sedia menunggu kami di ruang
menunggu. Jam 10 pagi selepas menikmati
sarapan pagi di kafeteria hotel itu kami bertolak keluar dengan menaiki kereta
yang dipandu oleh Pak Herman. Pak Herman
orangnya tidak banyak bercakap, sepatah ditanya sepatah dijawab. Aku lebih senang berurusan dengan orang yang
tidak banyak mulut begitu. Pagi ini kami
dibawa ke Tanah Lot
Temple pula. Menurut kata Pak Herman
setiap pengunjung yang datang ke Bali patut
singgah ketempat ini. Ramai pengunjung
yang datang ke sini bertujuan untuk membeli belah disamping itu di sini juga
ada seekor ular bersaiz kecil yang dikatakan suci dan sekiranya ular ini
dipegang sebaiknya berniat di dalam hati dan dipercayai niat itu akan
termakbul. Itu adalah kepercayaan mereka dimana sebahagian besar penduduk di Bali merupakan penganut ugama hindu dan bagi kita umat
Islam wajib percaya segala-galanya datang dari Allah yang Maha Berkuasa.
Kemudian kami dibawa ke
Seminyak untuk membeli belah. Aku
mengambil kesempatan membeli beberapa cenderamata untuk dibawa pulang. Kata orang kalau sampai ke Bali tidak sah
kalau tidak menyaksikan tarian kecak di Uluwatu Temple .
Pada mulanya aku takut untuk menonton tarian ini, anggota penarinya agak
ramai, kaum lelakinya tanpa memakai baju dan kaum wanitanya pula hanya
berkemban dengan aksesori di atas kepala dan kesemua mereka meletakkan tanda
didahi seperti kaum india
memakai pottu. Kelihatan ramai
pengunjung-pengunjung dan pelancung-pelancung yang sama-sama menyaksikan tarian
ini. Dan tidak melepaskan peluang untuk
merakamkan aksi-aksi penari-penari itu di lensa kamera mereka.
Pemandangan
di tepi laut diwaktu senja di sini sangat mengkagumkan. Betapa agungnya
kebesaran Allah pencipta alam semesta.
Pulau Bali adalah pulau yang paling indah yang pernah aku lawati. Pantai-pantainya sungguh cantik dengan deruan
suara ombak yang mendamaikan jiwa. Suasana sekeliling sungguh romantik, memang
sesuai untuk dikunjungi oleh mereka mereka yang sedang dalam berkasih
sayang. Banyak waktu yang kami luangkan
bersama-sama sepanjang percutian ini membuatkan kasih sayang ku terhadap Azry
semakin dalam dan jitu.
Masa
begitu cepat berlalu rasanya. Hari ini
sudah 4 hari kami meluangkan waktu bercuti di Pulau Bali. Sudah sampai masanya untuk kami berangkat
pulang ke tanah air. Rindu pula rasanya
mengenangkan orang-orang yang ditinggalkan di sana.
Semasa hari terakhir
sebelum bertolak pulang ke Kuala
Lumpur kami bersantai di katil empuk di bilik hotel
sementara menunggu waktu untuk mendaftar keluar. Aku berbaring berbantalkan lengan Azry.
“Terima
kasih bang”.
“Terima
kasih untuk apa?”.
“Sebab
bawak Sara bercuti sampai ke sini”.
“Emm..kan abang dah pernah
janji dulu, lagi pun percutian ni hadiah istimewa sempena harijadi Sara” ujar Azry sambil tangannya bermain-maian
dengan rerambut ku yang mengurai.
“Sayang
abang” ku dakap Azry dengan erat dan
satu ciuman hinggap ke pipinya.
“Hai!
sayang sebab abang bawa bercuti ke Bali ? Kalau
tak bawa tak sayang ke?”.
“Bukanlah
macam tu, sebelum ni pun sayang jugak, tapi bawa datang bercuti ke sini la…gi
sayang” lalu pipi ku dicubit manja dan
kami sama-sama ketawa.
“Minggu
depan abang akan mula pergi out-station. Kalau ikut jadual abang akan pergi Penang dulu empat hari.
Lepas tu ke JB pulak untuk few
days. Sebab itulah sebelum abang
sibuk, abang nak spend time puas-puas
dengan Sara” beritahu Azry mengenai jadual kerjanya.
“Lamanya
abang kena pergi out station tu,
sunyilah Sara kalau abang tak ada”.
“Alah
kak Rinakan
ada. Selalu-selalulah berbual dengan
dia”.
“Sara
malaslah nak ganggu orang. Waktu tu mesti kak Rina nak berehat atau pun keluar
dating dengan Hakim ke” aku mencebek
manja.
“Tak
apalah nanti abang belikan Sara novel banyak-banyak, Sarakan suka baca novel?”
pujuk Azry dengan senyuman terukir dibibirnya.
Aku
bermenung panjang memikirkan bagaimana akan aku hadapi hari-hari tanpa Azry di sisi,
tentu membosankan.
“Bang,
bila kita nak duduk rumah sendiri?” lama Azry terdiam apabila aku meluahkan
pertanyaan itu.
“Memang
abang dah fikirkan pasal rumah tu, cuma menunggu masa yang sesuai saja. Tapi
abang risau kalau selalu kena tinggal nanti Sara bosan pulak duduk rumah
sorang-sorang”.
“Kalau
duduk rumah sendiri, tak adalah Sara asyik nak duduk dalam bilik aje. Banyak benda yang Sara boleh buat , atau boleh jemput kak Min
dan kak Lia datang ke rumah, buat makan-makan ke” cadangku lagi.
“Lagi
pun tak lama lagi kak Rina dah nak bertunang, lepas tu nak kahwin pulak kan ? Kalau kak Rina dah kahwin tentulah mereka
duduk rumah papa tu, tak kan
dia nak terus pindah?” aku terus memujuk.
“Betul
jugak cakap Sara tu. Nantilah, kita
tenguk dulu macamana, ok” matanya
merenung ku sekilas sebelum bangkit untuk bersama-sama bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur .
No comments:
Post a Comment