Indahnya
pemandangan waktu senja di Pantai Chenang Pulau Langkawi. Aku merasa begitu bahagia disamping suami
yang tersayang. Benarlah kata orang,
bercinta selepas diijabkabulkan lebih manis dan mengasyikkan daripada bercinta
sebelum berkahwin. Tiba-tiba aku terasa
ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua orang kakak-kakak ku yang banyak
memberikan aku nasihat dulu. Tidak sabar
rasanya aku mahu berjumpa dengan mereka dan memberikan khabar kepada mereka
bahawa adik mereka kini sedang bahagia di alam percintaan bersama lelaki yang dulunya dibenci.
Laungan
azan maghrib kedengaran sayup-sayup dari kejauhan walaupun masjid tidak
kelihatan dari jendela bilik. Aku tersedar dari lamunan panjang. Air pancuran masih kedengaran di bilik air
menandakan Azry masih belum selesai mandi.
Begitulah dia, kalau berada di dalam bilik air lamanya mengalahkan anak
dara. Entah apa yang dibuatnya di dalam sana .
Pintu bilik air sengaja ku ketuk
walaupun aku tahu pintunya tidak berkunci.
“Cepatlah
bang, dah masuk waktu maghrib dah ni” laung ku sambil mengetuk pintu.
Panggilan
ku tiada jawapan. Tiba-tiba kedengaran
daun pintu bilik air dibuka dan Azry keluar dengan hanya memakai tuala berwarna
putih. Aku berpura-pura mahu menarik
tuala yang dipakai sebaik aku melintasinya.
Tetapi gerak geri ku bagai dapat diteka, awal-awal lagi Azry
mengingatkan aku yang dia di dalam wuduk.
“Ha!
jangan nak mengada-ngada, abang dah ambik wuduk dah ni, cepat kita solat, lepas
tu kita keluar pergi makan” kedua-dua
belah tangan diangkat sambil menggeleng. Tahu pun takut, fikirku.
Kami
segera menunaikan solat maghrib bersama sebaik sahaja kami lengkap dalam
pakaian solat dan berdiri tegak mengadap kiblat di atas sejadah yang memang
kami bawa dari rumah. Sejurus habis
salam akhir diberi kami menadah tangan, Azry membaca doa dan aku mengaminkan
segala doa-doa nya.
“Ya Allah ya tuhan kami, ampunilah dosa-dosa
kami, ampunilah dosa-dosa kedua ibu bapa kami, berikanlah kami taufik dan
hidayahmu. Ya Allah! Berikanlah kami
kekuatan dalam mengharungi hidup di dunia ini. Kurniakanlah kami kesihatan yang
baik, limpahkanlah kami rezeki yang luas dan halal. Ya Allah ya rabbi, anugerahkanlah kami zuriat
yang soleh dan solehah. Jauhilah kami dari kesesatan dan kemungkaran. Amin ya rabbal alamin…”. Kedua tangan ku raupkan keseluruh wajah
lantas aku tunduk ke hadapan untuk mendapatkan tangan Azry untuk bersalaman.
Tangannya ku kucup, begitu syahdu sekali.
Usai solat, kami bersiap
untuk menikmati makan malam. Kami
memilih sebuah restoran ikan bakar yang berhampiran dengan pantai Chenang. Jarak restoran agak dekat. Kami berjalan kaki
sahaja sambil menghirup udara malam disepanjang pantai. Kami bagaikan pasangan yang sedang kemaruk di
alam percintaan. Tangan Azry merangkul
pinggang ku, begitu juga aku. Kami
beriringan ke restoran itu sambil berbual-bual kosong. Sesekali Azry membuat lawak sehingga aku
tidak dapat menahan ketawa. Kami akan
sama-sama mengekek. Ada-ada sahaja
ceritanya yang membuatkan
aku gelihati dan tidak kering gusi. Kami
tidak memperdulikan orang-orang yang lalu lalang dan mungkin mereka juga tidak
memperdulikan kami, kerana masing-masing ada ajenda sendiri. Malam itu kami
menghabiskan waktu indah bersama dengan gurau senda yang tidak berkesudahan.
Bunyi deringan mesej dari telefon bimbit mengejutkan aku dari lena. Aku terpisat-pisat.
“Eh
pukul berapa ni?” telefon bimbit ku capai. Begitu berat mata untuk ku buka. Telefon bimbit ku hampirkan ke mata,
kelabu. Ku jauh kan sedikit jaraknya, ya Allah! dah pukul
8.45 pagi rupanya. Azry begitu lena
tidur dengan selimut tebal menyelubungi sehingga hampir menutup ke seluruh tubuhnya akibat
kesejukan alat penghawa dingin yang memenuhi ruang kamar. Terlepas solat subuh
pagi ni, rungut ku. Aku terlupa hendak
mengunci alarm di telefon bimbit ku
tadi malam. Cuainya.
Butang
mesej yang baru masuk tadi ku tekan, tertera nama kak Min di skrin, “Pergi Langkawi tak bagitau pun. Alih-alih tau dah sampai sana dah. Akak kat rumah mak ni, mak yang
bagitau Sara pergi Langkawi dengan Azry. Wah seronok ye, dah lama
tak pergi sana .
OKlah tak mahu kacau, enjoy yourself…”. Aku memang sengaja tidak menghebuhkan
tentang percutian kami kepada orang lain kecuali kepada ayah dan ibu ku sahaja.
Nanti balik akan aku belikan cenderamata untuk mereka.
Hari
ini kami merancang untuk berjalan-jalan kebeberapa tempat lawatan di sini. Azry
berjanji awal pagi selepas sarapan kami akan bertolak. Selimut yang menyelubungi tubuh Azry ku
singkap. Dengan malas dia mengeliat lalu
selimut tadi ditarik ke atas semula.
“Bang
bangunlah, dah nak dekat pukul sembilan dah ni, semalam kata nak bangun awal
pagi, nak keluar” bahu Azry ku goncang-goncangkan perlahan sambil menguap
kecil. Azry tidak bersuara. Dia mengalihkan posisi tidurnya. Kali ini dia menghadap aku. Hidungnya yang
mancung ku picit bertalu-talu, pantas dia menggosok-gosok hidungnya dengan
tangan. Mata masih lagi tertutup rapat.
Aku
cuba mencari idea bagaimana untuk membuat dia bangkit dari katil. Aku cuba lagi menarik kain selimut tetapi
tangan Azry memegang kain itu lebih kuat dari aku sehingga kain selimut itu
tidak beranjak walau sedikit pun.
“Cepatlah
bangun, semalam beriya kata nak bangun awal, keluar cepat balik cepat” aku
mengomel macam mak nenek.
“Alah…
kejap lagilah, tidurlah dulu” pujuk Azry sambil menarik selimut dengan mata
terpejam.
“Nak
tidur apa, dah pukul sembilan dah ni.
Sara nak pergi mandi dululah”. Belum
pun sempat aku bangkit dari katil, tangan kasar Azry menarik aku ke dalam
selimut semula. Emmm….
Destinasi pertama kami ialah ke
‘Telaga Tujuh’, kemudian ke ‘Makam Mahsuri’ dan ‘Beras Terbakar’, tempat-tempat
ini masih lagi seperti tiga tahun dulu semasa kunjungan aku ke sini bersama
keluargaku satu ketika dulu. Selepas itu
kami ke Pekan Kuah. Disini banyak
terdapat barang-barang cernderamata yang boleh dibeli untuk keluarga tersayang
yang berada nun jauh di Kuala Lumpur .
“Abang
nak beli apa untuk papa dan mama?” suaraku lembut bertanya sambil
membelek-belek sekuntum bunga buatan Kristal.
Soalan
ku tidak berjawab. Azry begitu leka memerhatikan seorang kanak-kanak
lelaki yang sedang menangis kerana dimarahi kakaknya. Aku mencuit pinggang Azry dari belakang. Azry terkejut lantas menoleh.
“Tengok
budak tu Sara, kesian abang tengok” ujar Azry sambil menunjukkan ke arah budak
lelaki yang sedang menangis itu. Ternyata
Azry mempunyai hati yang belas.
“Biarlah, kan ibu ayah dia ada kat situ. Jomlah tengok apa benda nak beli untuk papa
abang?” aku menarik tangan Azry dan tumpuannya beralih ke deretan baju-baju
batik yang bergantungan.
Mata
tidak berkelip memandang baju-baju batik yang berbagai corak dan warna yang
berada di sekeliling . Terlalu banyak
pilihan dan membuatkan aku rambang mata.
Tidap pasti yang mana satu hendak dipilih. Akhirnya aku memilih sepasang baju batik berwarna
biru lembut, warna kegemaran ayah. Pasti
ayah suka, bisik hati kecilku. Azry
tidak kelihatan. Aku terus membelek lagi
dan tanpa berlengah aku mencapai tiga pasang baju. Satu untuk mama, satu untuk
ibu dan satu untuk aku pastinya. Untuk mak
Mah pula telah ku pilihkan dua helai kain batik sarung. Nak beli apa pula untuk kak Min dan kak Lia?
Soalku pada diri. Mata ku melilau mencari Azry. Mana dia ni? Tiba-tiba Azry datang dari belakang dan hampir
membuat aku melatah. Di tangan Azry
kelihatan beberapa helai baju batik yang telah dipilih.
“Cantik
tak?” sambil menunjukkan baju-baju itu satu persatu.
“Banyaknya.
Sampai empat helai, nak bagi sapa tu?”.
“Abang
beli untuk papa, ayah dan dua lagi ni untuk abanglah. Ok tak?” Azry kelihatan tersenyum puas dengan baju-baju
pilihannya.
“Sara
pun dah pilih baju untuk mama, ada kat kaunter sana , jomlah pergi bayar” aku menarik tangan
Azry menuju ke kaunter bayaran.
Sejurus
selesai membeli pakaian untuk dibuat hadiah, kami ke kedai barangan dapur
seperti periuk belanga dan set pinggan mangkuk.
Memang banyak pilihan, kelabu biji mata dibuatnya. Aku telah memilih dua set pinggan mangkuk
untuk kak Min dan kak Lia, tentu mereka suka dengan pilihan ku kali ini. Tidak lupa juga untuk anak-anak buah telah ku
belikan coklat yang berbagai bentuk dan perisa.
Seperti selalu sekiranya aku keluar daerah, pasti ada saja buah tangan
yang aku belikan untuk mereka. Mereka
pasti akan tertunggu-tunggu kepulangan kami.
Setelah
penat membeli belah kami tinggalkan deretan kedai itu dan menuju ke restoran
makan untuk mengisi perut yang sedang berkeroncong sejak tadi.
“Sara
penat tak?” soal Azry sejurus melepaskan
straw dari mulutnya.
“Nak
penat apa, bukannya buat kerja. Kita kan sedang bercuti dan
sedang menghabiskan duit poket abang” gurauan ku disambut dengan derai
ketawa.
“Jom
kita pergi naik cable car lepas ni,
nak?” cadang Azry.
“Sara
tak kisah, Sara ikut saja ke mana abang pergi, abangkan dah janji nak sehidup
semati dengan Sara?” Azry ketawa lagi.
“Ok,
habiskan nasi tu dulu” ujar Azry yang
kekenyangan setelah habis nasi goreng sepinggan serta segelas jus tembikai.
“Errkkk…”
Azri bersendawa lalu menutup mulut. “Alhamdulillah” ucapnya perlahan.
“Ok
, jom” tangan ku dipimpin menuju ke kereta
yang terletak di tapak parkir yang berhampiran. Azry memandu mengikut panduan
peta yang sempat dibeli tadi.
Cable
car terletak di Gunung Mat Cincang dan kami diberitahu jikalau hujan lebat, cuaca berkabus atau angin kuat, cable car tidak akan beroperasi.
Memandangkan petang itu cuaca sangat cantik kami pun meneruskan
rancangan kami ke sana. Pemandangan ke bumi
dari atas sana
sungguh mengkagumkan. Pada mulanya
memang ada perasaan gayat, tetapi adanya orang yang tersayang di sisi, hilang
rasa takut kerana sepanjang berada di atas sana aku tidak sekali pun melepaskan pelukan
ku dari Azry. Diperjalanan pulang pula
kami sempat singgah di Underwater World.
Azry banyak merakamkan gambar-gambar aku
sepanjang percutian. Dia tidak berlekang
dari kameranya yang sentiasa bergantung di leher dan setiap kali ternampak
objek yang menarik pasti ianya akan menjadi model di lensa kesayangannya itu.
Sesampainya kami ke bilik hotel di Pelangi Beach Resort, baru
terasa penatnya. Langsir tebal berwarna kelabu dan langsir putih yang jarang ku
selak ke tepi. Oleh kerana bilik kami
berada di tingkat 6, maka jelas kelihatan kepulan-kepulan awan putih di langit
biru disimbah cahaya sang mentari petang melalui tingkap kaca. Melihat ke bawah sedikit, pemandangan ombak
bergulung yang memukul gigi pantai kelihatan tenang. Sungguh mendamaikan
jiwa. Percutian pertama-tama kali
bersama suami amat menggembirakan aku, begitu juga Azry. Kami merasa tersangat bahagia bersama, hilang
segala masalah dan kekusutan yang melanda diri sebelum ini. Benarlah kata pujangga, tak kenal maka tak
cinta. Petang itu kami menyusuri pantai
Chenang yang indah. Alunan lagu ombak
yang berdesir di tepian pantai bagaikan membuai perasaan. Ombak datang dan pergi tanpa jemu menyapa
pantai dan begitulah kehidupan kita manusia, bahagia derita silih berganti
tanpa dipinta. Sesekali kami berlari
anak pabila ombak datang menghampiri. Tiba-tiba
datang ombak yang agak besar menyimbah ke seluruh badan. Alang-alang sudah kebasahan
Azry menarik tangan ku untuk terus mandi bersamanya di pantai. Memang seronok sekali bila dapat berendam sehingga
tersadai kepenatan di gigi pantai.
Senja sudah hampir menjelang tiba dan kelihatan matahari
sudah mulai terbenam. Cantik sungguh pemandangan senja di kaki langit dari
tepian pantai Chenang ini. Indahnya ciptaan tuhan, maka bersyukurlah kita sebagai
makhluk yang dicipta olehNya dapat menikmati keindahan itu.
Cuaca mendung
dan hujan turun sejak malam tadi sudah beransur reda. Matahari mula menampakkan
cahayanya, walaupun persekitaran masih lagi diliputi awan gelap. Diharapkan
cuaca akan terang menjelang siang agar kita dapat menikmati pemandangan pagi
yang indah. Selepas menikmati sarapan
pagi di cafeteria hotel Pelangi Beach Resort kami meneruskan perjalanan ke rumah
pakcik Farok. Jarak dari pantai Chenang
ke kediaman pakcik Farok mengambil masa hanya 25 minit sahaja. Sesampainya kami
di sana, pakcik Farok dan isterinya telah sedia menunggu kami. Rupa-rupanya
hidangan sarapan pagi sudah siap terhidang.
Untuk tidak mengecilkan hati mereka, kami menjamah juga makanan yang dihidangkan
walaupun kami masih kekenyangan. Sebelum
bertolak balik aku berikan buah tangan kepada makcik Eton
isteri pakcik Farok yang ku belikan semalam di Pekan Kuah.
“Terima kasihlah banyak-banyak. Buat susah-susah aje beli-belikan hadiah
pulak ni” jelas terpancar kegembiraan di wajah makcik Eton.
“Apa yang susahnya makcik, simpanlah sebagai kenangan. Ada
umur kita jumpa lagi” aku berbasa basi.
“A’ah kalau datang Langkawi ni, singgah-singgahlah ke rumah
kami ni ye” berkali-kali makcik Eton
mengulangi ayat-ayat itu.
“Balik dulu ye makcik” kami pun bersalaman.
“Kirim salam kat mama dan papa ye”.
“InsyaAllah…” kereta yang dipandu pakcik Farok perlahan-lahan
meninggalkan halaman rumahnya dan aku melambaikan tangan kepada makcik Eton . Makcik Eton
juga melambai, semakin jauh dia kami tinggalkan. Sesampainya kami di lapangan terbang, pakcik
Farok menolong Azry mengeluarkan beg-beg kami dari bonet kereta. Aku mengucapkan terima kasih kepada pakcik
Farok kerana sudi meminjamkan keretanya untuk kami gunakan selama percutian ini
lalu tangan saling berjabat. Azry juga
begitu, sambil bersalaman dia menghulurkan sedikit wang kepada pakcik
Farok. Beria-ia pakcik Farok enggan
menerima pemberian itu. Dan beria-ia pula Azry meminta supaya pakcik Farok
menerimanya. Dan akhirnya atas desakan Azry, pakcik Farok pun menerima
pemberian ikhlas kami itu.
“Jangan lupa kirim salam pada papa dan keluarga disana ya”.
“InsyaAllah, assalamualaikum…” tangan melambai dan kami terus
berlalu dan hilang di tengah kesesakan orang ramai di lapangan terbang.
Selepas check in,
kami terus masuk ke balai berlepas dan tidak lama menunggu kami terus menuju ke
pesawat yang telah sedia menunggu untuk terbang ke Kuala Lumpur .
Selamat tinggal Pulau Lagenda, akan aku simpan segala memori indah
bersama mu.
No comments:
Post a Comment