Orang ramai
bersesak-sesak ke pameran perumahan yang diadakan di Dewan Tun Razak di Putra
World Trade Center pada hari itu. Ada lebih kurang 30
syarikat perumahan yang terlibat dan lebih dari 20 syarikat guaman yang turut
serta dan beberapa syarikat kewangan yang juga tidak ketinggalan memeriahkan
lagi suasana pameran itu. Awal pagi lagi
aku sudah keluar dari rumah untuk ke PWTC untuk turut sama membantu staf yang
bertugas di booth pameran. Setakat jam 12 tengahari, sudah ada dua
pembeli yang mengesahkan pembelian dengan membuat pembayaran tunai sebanyak dua
ribu ringgit sebagai wang pendahuluan.
Beberapa pelanggan yang membuat pertanyaan telah mengisi borang
pendaftaran dan ada beberapa pembeli yang berminat berjanji akan kembali semula
selepas melawat ke tapak perumahan.
Pagi
ini giliran Zul dan Sally bertugas di
booth pameran. Sebelum mereka berdua
keluar makan, shift sebelah petang pula masuk menggantikan tempat mereka. Aku turut bersama mereka berdua ke pusat
membeli belah The Mall yang berada di seberang jalan untuk makan
tengahari. Sambil menikmati makan
tengahari itu banyak nasihat yang aku berikan sebagai perangsang kepada Zul dan
Sally supaya mereka lebih tekun bekerja untuk mendapatkan ganjaran yang lebih
baik di hujung tahun nanti. Setelah
selesai makan mereka berdua terus ke tapak pameran untuk menyambung tugas
mereka semula sehingga jam 4 petang. Sementara
aku singgah dibeberapa kedai di The Mall untuk mencari sepasang baju untuk ku
pakai pada malam minggu nanti kerana papa dan mama akan mengadakan jamuan makan
malam sempena menyambut kepulangan kak Rina dari UK .
Aku berjalan dari satu kedai ke satu kedai yang lain tetapi tiada yang
menarik dari pandangan mata ku. Aku
sempat membelikan sehelai kemeja berwarna merah untuk Azry. Tentu Azry kelihatan kacak dengan warna yang
garang begitu. Dengan kulitnya yang
putih melepak memang warna merah membuat ketrampilannya lebih menyerlah. Aku
suka dengan warna merah. Memang dalam
perancangan, aku mahu membeli sepasang dress
berwarna merah juga untuk diriku. Jam di
tangan telah menunjukkan kepukul 3.45 petang dan untuk mengelak kesesakan jalan
raya adalah lebih baik jika aku beredar dari situ untuk pulang ke pejabat di
Taman Tun Dr Ismail sekarang. Aku terus
ke tempat letak kereta dan memandu terus
ke pejabat.
Sebaik
sahaja sampai ke pejabat, aku diberitahu tentang panggilan-panggilan yang
diterima amat memberangsangkan, sehingga tidak menang tangan untuk melayan
pertanyaan melalui talian telefon. Ada juga beberapa
pertanyaan yang datang terus ke pejabat.
Kebanyakan mereka ingin melawat ke tapak dahulu sebelum membuat
keputusan untuk membeli dan akan kembali jika mereka berminat. Maklum balas dari pembaca-pembaca surat khabar lantaran
promosi melalui iklan amat menggalakkan.
Aku meminta Mira mengeluarkan resit untuk bayaran tunai yang aku bawa
pulang dari pameran di PWTC untuk aku serahkan kepada finance department. Aku
terus ke pejabat Dino sejurus menerima resit dari Mira. Daun pintu ku ketuk dari luar.
“Masuk” kedengaran suara Dino dari dalam. Daun pintu ku tolak dan ku biarkan ianya
terbuka begitu.
“Yes puan Sara, how’s your exhibition?” soal
Dino sebaik melihat wajahku sambil memerhatikan aku yang berjalan
menghampirinya dengan resit dan wang tunai di tangan.
“Nah,
ini untuk collection pagi ni. Tadi I call Badri dia kata dia dapat closed satu lagi sale dan berjaya collected
cash two thousand ringgit for the down payment. Kalau setiap hari macam ni,
dalam masa empat hari, I rasa staf I boleh achieve
the target yang Dato’ nak kan tu” ujarku girang serta bangga dengan kemampuan
staf-staf ku.
“Oh
ya, congratulations. I doakan team
you akan berjaya. Hairan ye, walaupun
ekonomi tak berapa baik, orang masih berebut-rebut nak beli property”.
“You
ni, beli rumah bukan macam beli kereta tau. Jual balik kereta second hand harga jatuh, kalau beli
rumah, lain…, lepas beli and then
jual balik harga dia boleh naik sampai 20% to
40% depence on lacation. Kalau banyak duit masa inilah elok beli property tambahan pulak ada diskaun” bibirku mengulas senyum.
“You
belilah satu Dino, rumah berkembar dua tingkat projek kita tu, cantik dan ada
diskaun untuk staf lagi, berbaloi apa.
Tak duduk pun tak apa, for
investment” nasihat ku pada Dino.
“InsyaAllah,
satu hari memang kena beli jugak, you doakanlah supaya I cepat-cepat dapat
orang rumah” seloroh Dino.
“Esok
you masuk ofis tak?” Dino menukar topik perbualan sambil menyimpan wang tunai
yang kuberikan ke dalam safe box yang
terletak di belakang tempat duduknya.
“Tomorrow may be I’ll come to office first
than later to PWTC, kenapa?”.
“No, I was thinking kalau you pergi sana I pun nak pergi sama”.
“Oh,
boleh, no problem. Lepas lunch
kita pergi ok” cadangku.
“You
nak tumpang I ke atau pergi sendiri sendiri?”.
“I
tumpang youlah, boleh?” aku memerhatikan
Dino menulis sesuatu di atas kertas.
“Good idea. So,
bolehlah kita pergi lunch sama esokkan?” Dino kelihatan gembira apabila aku
menerima pelawaannya untuk menumpang keretanya ke PWTC esok.
Dino
sering mencari peluang untuk selalu berada bersama ku, biarpun dia tahu harapannya
untuk mendampingi aku sudah tiada. Biasanya
dia akan menawarkan diri untuk belanja makan.
Kadangkala dia menggunakan staf-staf yang ada untuk membuatkan aku
bersetuju untuk keluar bersama-sama.
Entahlah, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk menjalinkan hubungan
mesra dengannya. Aku yang berstatus
isteri orang, rasanya kurang manis jika dilihat beriringan dengan seorang
lelaki yang masih bujang seperti Dino.
Aku juga berpendapat tidak ada sebab mengapa aku perlu menerima pelawaan
Dino. Cukuplah sekadar bertemu di pejabat dan sesekali minum-minum bersama di restoran
berdekatan pejabat, itu pun secara kebetulan atau berkumpulan.
“Boleh
ke puan Sara oi, termenung pulak dia, kita tanya tak jawab lagi” suara Dino yang agak keras mengejutkan aku
dari menungan.
“Tengoklah
esok macammana, eh I nak baliklah, dah pukul berapa dah ni?” aku melihat jam di
tangan. Lalu bingkas bangun dari tempat
duduk.
“Ok Dino, see you tomorrow” aku pun
berlalu tanpa memberi jawapan dari soalan yang ditanya tadi. Dino hanya
memerhati gerak langkah ku sehingga aku hilang dari pandangan.
Malam itu di rumah, aku dan Azry
menikmati makan malam bersama papa dan mama. Begitulah setiap malam jika tidak
keluar kemana-mana, seperti sudah menjadi rutin harian kami untuk berkumpul dan
menikmati makan malam bersama. Dan sambil
makan kami akan berbual-bual dan bertanya itu dan ini lantaran kesibukan
diwaktu siang hari.
“Hari
sabtu nanti kak Rina sampai KLIA pukul berapa mama?” tanya Azry memecah
kesunyian kerana masing-masing begitu asyik menikmati keenakan spaghetti
masakan mama.
Mama
adakalanya rajin juga memasak dan mencuba resepi baru yang dipelajari dari
kawan-kawannya. Spaghetti kabonara yang
dimasak mama ini amat istimewa sekali rasanya setanding masakan yang dijual di
Secret Recipe. Kembang kuncup hidung mama apabila masakannya dipuji anak
menantu dan suami kesayangannya. Ini
menambahkan keinginan mama untuk memasak lagi dan lagi kerana kepujian yang
diberikan.
“Katanya
pukul 3.30 petang dia sampai. Mama dah
pesan dengan Pak Mail minta pergi jemput Sharina nanti” jawab mama lembut.
“Dia
balik seorang ke mama?” tanya Azry lagi sambil menjeling kepadaku.
“Tentulah
seorang, nak bawa siapa pulak?” jawab mama lagi.
“Manalah
tau bawa pakwe mat salleh ke, dah duduk lama di sana kan ” gurau Azry.
“Ishh..
tengoklah Sara Azry ni ada-ada saja. Tak
adalah” tukas mama.
“Kalau
ada pun takkan dia nak cerita kat mama pulak, kan pa?” papa hanya tersenyum melihat kedua
ibu dan anak yang sedang galak berbalas pantun.
“Jamuan
makan malam tu nanti jangan lupa pulak, mama jemput kawan-kawan mama,
kawan-kawan papa. Kalau Azry dengan Sara
nak panggil kawan datang sekali pun, boleh juga. Mama dah telefon ibu Sara siang tadi bagitau
dia tentang jamuan tu. Oh ya, papa pun
ada berhajat buat kenduri sikit lepas zohor siang tu nanti” mama memandang papa yang sedang mengunyah buah
epal. Papa mengangguk.
“Papa
dah jemput orang masjid, lebih kurang dua puluh orang jugalah yang akan datang
esok ni” jelas papa.
“Tak
apalah, mama dah uruskan pasal katering.
Tengahari tu nanti kita buat makan nasi dan lauk pauk kampung,
buah-buahan sikit, kuih-muih sikit. Semuanya dah beres, mama dah uruskan untuk
kenduri dan untuk jamuan malam tu sekali”.
Mama
kelihatan sungguh gembira dengan keputusan kak Rina untuk terus menetap di sini,
dia berharap sangat kak Rina tidak akan pergi jauh lagi dari keluarga. Kali terakhir kak Rina pulang ke Malaysia
ialah semasa hari perkahwinan aku dengan Azry 10 bulan yang lalu, itu pun hanya
untuk beberapa hari sahaja kerana cuti yang terhad. Kak Rina sudah menetap di United Kingdom selama tujuh
tahun. Pada mulanya dia ke sana kerana
melanjutkan pelajaran di dalam bidang kedoktoran sebelum menamatkan diploma dan
degreenya di UM. Setelah tinggal agak
lama, kak Rina merasa agak selesa dan mengambil keputusan untuk terus bekerja
di sana. Menurut kata mama pula
sebenarnya kak Rina ke sana membawa hatinya yang luka. Dia telah dikecewakan oleh kekasihnya yang
sama-sama belajar dalam satu aliran dengannya di UM. Apakah yang membuatkan kak Rina ingin kembali
ke Malaysia ? Adakah kerana hatinya yang luka dulu telah
sembuh dan ingin membuka lembaran baru pula? Atau apakah ada seseorang yang
sedang menunggunya di sini?
Selepas selesai makan malam aku dan
Azry terperap di bilik kamar tidur kami.
Azry sibuk di meja kerjanya yang terletak bersebelahan dengan
tingkap. Dia begitu leka menghadap laptopnya. Sementara aku duduk di atas katil bersandarkan
bantal empuk sambil membaca novel cinta “Tenggelamnya
kapal Van Der Wijck” karya Pak Hamka. Kisah cinta menyayat hati seorang
pemuda yang bernama Zainuddin terhadap kekasihnya Hayati. Kisah cinta yang
terputus di tengah jalan lantaran berlainan suku dan adat. Aku begitu menghayati kisah novel cinta itu
sehingga dapat merasai betapa hancurnya hati seorang lelaki yang bernama
Zainuddin itu apabila kekasih hatinya dikahwinkan dengan orang lain, perasaan
kecewa dan sedih pilu Zainuddin bagaikan mencalar-calar tangkai hatiku. Aku begitu kagum dengan jalan ceritanya,
walaupun lenggang lengguk bahasa Indonesia yang digunakan agak sukar difahami.
“Asyiknya membaca novel tu sampai tak perasan
orang ada di sebelah” bisik Azry yang menghampiri tanpa aku sedari.
Aku
meneruskan pembacaan tanpa menghiraukan kehadirannya. Dengan tidak semena-mena buku yang ku baca dirampas
dari tangan ku. Aku hampir menjerit
kerana geram dengan sikap Azry begitu. Buku
novel itu diletakkan di atas meja sisi.
Aku cuba
untuk mendapatkan buku itu kembali tetapi dihalang.
“Sara
marahke? Tengok muncung tu, boleh diikat.” Gurauan Azry tidak sedikit pun mencuit hati
malah menambahkan perasaan marah ku terhadapnya.
“Cuba tengok jam
tu, dah pukul berapa? Esok kan
nak bangun awal pagi, kerja. Tidur awal
taklah rasa mengantuk nak bangun pagi”
bebel Azry.
Nak
nasihatkan orang konon, dia tu apa kurangnya?
Kalau tak kejutkan tak bangun, nama saja pasang alarm tapi bila alarm tu
berbunyi bagai nak rak pun tak terjaga, gumam ku di dalam hati. Aku hanya duduk diam membatu, pandangan ku
kosong lantaran emosiku yang terganggu dek perasaan sedih disebabkan terlalu
menjiwai watak di dalam novel yang ku baca tadi. Lampu tidur yang tadinya terang kini telah
dipadamkan. Namun begitu aku masih dapat
melihat bayangan Azry yang terbaring di sebelahku dengan bantuan cahaya lampu
dari luar yang menerobos masuk menerusi tingkap kaca. Aku dapat merasakan kehangatan tubuh Azry. Dan aku terus terlena sehingga ke pagi.
No comments:
Post a Comment