.
Hamimi sekadar memandang Amirul dan Qistina beredar dengan
ekor mata. Dia pelik melihat pasangan itu. Mereka tidak kelihatan mesra seperti
pasangan yang bercinta. Si gadis tampak manja dan seakan-akan cemburu manakala
si lelaki pula berlagak selamba seperti tidak ada apa-apa hubungan yang
terjalin antara mereka.
|
“Kau agak-agak Encik Amirul tu ada apa-apa ke dengan
Qistina tu?” tanyanya setelah pasangan itu hilang daripada pandangan.
“Mana aku tau.” Farhana menjongketkan bahu. Dia seperti
tidak ambil kisah tetapi jauh di dalam hatinya dia juga tertanya-tanya soalan
yang sama.
“Aku rasa Qistina tu saja yang syok kat Encik Amirul tapi
Encik Amirul anggap dia macam kawan biasa aje, kan?” Hamimi berteka-teki.
“Entah, tak tau.” Farhana berlagak seperti tidak berminat
mahu ambil pusing. Dia asyik mengunyah ayam panggang.
“Yalah, kau dengar tadi Encik Amirul tu kenalkan Qistina tu
sebagai kawan dia. Kalau makwe dia, mestilah dia sebut kekasih hati dia ke atau
kawan istimewa dia ke, kan?”
“Yalah agaknya.” Farhana menjawab pendek.
“Kau agak-agak kan Encik Amirul tu ada hati kat kau tak?”
Hamimi menyeringai.
Mendengar soalan Hamimi itu, Farhana tersedak. Gelas di
hadapannya dicapai lalu dia meneguk air di dalamnya. Dia menepuk dadanya
sendiri sambil terbatuk-batuk kecil.
“Hai, sampai tersedak-sedak?” Hamimi ketawa.
“Yalah. Soalan yang tak masuk dek akal langsung.” Farhana
menjeling tajam sahabatnya.
“Aku saja bertanya. Manalah tau kalau kalau kau perasan
yang dia tu ada menaruh hati pada kau.”
“Ke situ pulak perginya. Mengarutlah kau ni.”
“Apa pulak? Kalau betul-betul Encik Amirul tu suka kat kau,
apa salahnya, kan?”
“Dahlah. Cepatlah makan. Aku dah habis makan dah.”
“Katalah... dia suka kat kau, macam mana?”
“Macam mana apa?”
“Yalah. Kau suka ke tak?”
“Kalau dia suka kat aku?” Farhana mengulang soalan Hamimi
tadi.
Hamimi mengangguk suka.
“Siapa yang tak suka dengan orang yang macam Encik Amirul
tu, Mimi. Menolak tuah namanya kalau menolak cinta dia.” Farhana tersenyum
malu.
“Habis tu, kalau dia suka kat kau dan mahu kau jadi teman
istimewa dia, kau naklah, ya?” soal Hamimi penuh minat.
“Aku terima kut.” Farhana tersengih-sengih.
“Eleh, malu-malu konon. Malu tapi mahu. Gatal jugak kau ni
ya.” Hamimi tergelak diakhir ayatnya.
“Dah kau yang tanya, aku jawablah. Kalau aku tak jawab kang,
sepuluh kali soalan yang sama kau ulang-ulang tanya. Hisy, jawab salah, tak
jawab pun salah.” Farhana tersentap. Dia menjuihkan bibirnya.
Hamimi ketawa sakan melihat gelagat Farhana. Dia nampak
comel dengan mimik muka begitu.
Tetapi dengan secara tiba-tiba ketawa Hamimi terhenti.
“Tapi...” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Farhana mencelah.
“Tapi kenapa, Mimi?”
“Kalau kau berkawan dengan Encik Amirul, macam mana dengan
Ako?” Riak wajah Hamimi berubah apabila menyebut nama lelaki itu.
“Kenapa dengan dia?” Farhana mengerutkan kening.
“Kau ni macam tak tau. Dia kan suka kat kau?”
“Pandai-pandai aje kau ni. Berapa kali aku cakap, dia dan
aku tak ada apa-apa perasaan, okey? Dia sayang aku hanya sebagai kawan. Aku pun
macam tu jugak,” tegas Farhana bersungguh-sungguh.
“Aku yakin kalau kau berkawan baik dengan Encik Amirul tu,
Ako mesti akan jauhkan diri.”
“Kenapa pulak?”
“Yalah, mestilah dia rasa tersisih. Dan mestilah dia rasa
tidak diperlukan lagi.”
“Tak adalah. Aku dengan dia akan okey sampai bila-bila.”
“Itu kata kau. Apa kata dia pulak?”
“Kau ni lebih-lebih aje, kan? Aku dengan Encik Amirul tak
ada apa-apa. Yang kau memandai-mandai buat telahan sendiri tu, kenapa?”
“Aku kata kalau, kau faham tak? Kalau...”
“Hidup ni jangan suka berkalau-kalau. Kau ingat tak lagu
Anita Sarawak?” Farhana tergelak sambil dia cuba mengingatkan lirik lagu
nyanyian Anita Sarawak itu.
“Kau jangan tanya aku lagu-lagu Anita Sarawak. Aku tak
minat dia.” Hamimi mencebik.
Seketika Farhana terdiam. Seperti ada sesuatu yang
mengganggu fikirannya tatkala itu. “Bercakap pasal Ako, tiba-tiba rasa rindu
pulak. Lama kita tak duduk makan sama-sama dengan dia, kan?” Keluhan
dilepaskan.
“Hai, mengeluh nampak? Tadi bila aku sebut pasal dia tu,
kau kata tak ada apa-apa. Yang rindu-rindu tu pulak apa kes?” Pinggan yang
tinggal sisa tulang ditolak ke tepi. Kemudian Hamimi meneguk Cappuccino yang
sudah sejuk. Sisa-sisa buih yang melekat di bibirnya dilap dengan tisu kertas.
“Sejak mak dia meninggal, aku tengok dia dah lain macam
aje. Kau tak perasan ke, dia dah jarang makan dengan kita? Tak macam selalu,
dia yang kecoh ajak kita makan sama. Gurau senda dan gelak ketawa jauh sekali.”
Farhana menyandarkan badan ke belakang. “Itu yang aku rindukan sangat tu.”
“Dia kecik hati dengan kita kut, Farah.”
“Apasal pulak nak kecik hati? Bukan salah kita sebab tak
tau pasal emak dia tu. Salah dia. Kenapa dia balik kampung senyap-senyap, tak
bagitau kita.”
“Tapi aku rasa bukan pasal itulah.”
“Habis tu... pasal apa pulak?”
“Entahlah.” Sejenak Hamimi terdiam. Wajah ayu Farhana
ditatap dalam. “Apa kata kau telefon dia?”
“Apa kata kau yang telefon dia?” cadang Farhana pula.
“Aku ni seteru dia. Dia bukannya sukakan aku pun, nanti tak
pasal-pasal bertekak kat dalam telefon pulak. Dahlah, kaulah yang telefon dia.”
“Nanti aku telefon dia kat rumahlah.” Jam di pergelangan
tangan dikerling. “Makanan dah habis, minuman pun dah kering. Apa lagi? Takkan
nak tidur kat sini kut? Jomlah kita berangkat pulang.” Farhana bangkit dari
tempat duduk. Beg plastik yang berisi novel yang dibeli tadi dicapai dari atas
meja lalu melangkah ke kaunter.
“Terima kasih daun keladi ya, kawan. Semoga Allah murahkan rezeki kau dan boleh
belanja aku lagi.” Hamimi ketawa riang.
“Sama-sama kasih. Mudah-mudahan doa kau termakbul, amin.
Dan bolehlah aku selalu belanja kau, kan?” Farhana ketawa menampakkan barisan
giginya yang tersusun cantik.
Hamimi mengangguk mengeyakan kata-kata Farhana.
“Tapi ada syarat. Mana ada orang selalu belanja orang makan
tanpa sebab? Betul tak?” Farhana meletakkan tangannya di bahu Hamimi. Kaki
terus juga melangkah seiring.
“Betul. Aku setuju. Jadi, apa syaratnya? Untuk belanja kau,
aku tak kisah. Bila-bila pun boleh.”
“Syaratnya, kau jadi kakak ipar aku.” Serta-merta Farhana
ketawa.
“Kau memandai-mandai aje nak menjodohkan orang.” Hamimi
tidak senang dikaitkan dengan Adam. Mahu menegur Adam pun
segan, inikan pula mahu menjadi pasangan istimewanya. Oh! Memang tidak mungkin.
“Kau bukan tak tau macam mana abang aku tu. Mulut dia ada
emas, mulut berat nak menyapa orang. Kalau dengan kau yang mulut becok ni, aku
rasa memang sangat sesuai. Dan hidup kau pun mesti bahagia sebab abang long
bukan macam Ako yang suka layan kau bertekak.” Farhana ketawa lagi, menutup
mulut dengan tapak tangannya.
“Ketawalah. Ketawa banyak-banyak. Kau tau tak, mak aku
pernah kata kalau kita banyak sangat ketawa maknanya kita nak menangis, tau.”
Hamimi tidak kisah dengan apa yang dikatakan oleh Farhana. Dia hanya
menganggapnya sebagai gurauan belaka. Tidak sedikit pun dia berkecil hati.
“Oh, ya ke?” Serta-merta Farhana berhenti ketawa.
Melihat reaksi Farhana itu, Hamimi berasa geli hati. Lucu
sungguh. Lantas dia pun ketawa sehingga merah padam mukanya. Tidak semena-mena
satu cubitan singgah di lengannya. Sakit! Lantas dia mengusap lengannya dengan
ketawa yang masih bersisa.
.
No comments:
Post a Comment