Malam kian dimamah waktu. Dada langit yang hitam pekat, cantik dihiasi cahaya
bulan dengan kerlipan bintang-bintang yang bertaburan.
|
Suasana di sekitar kawasan banglo mewah itu
terang-benderang dimandikan cahaya dari lampu-lampu yang terpasang. Manakala
alunan muzik instrumental yang dimainkan menyerikan lagi suasana lokasi itu.
Lebih kurang sepuluh biji meja bulat disusun rapi mengelilingi kolam renang
yang terletak di tepi rumah agam tersebut. Kain satin berwarna putih dan biru
gelap menghiasi meja-meja itu. Dan terdapat sebuah meja panjang di mana
beraneka jenis makanan yang dihidang secara bufet.
Majlis itu tampak meriah dengan kehadiran para tetamu yang
dijemput. Sekali-sekala kedengaran suara gelak tawa dari beberapa kelompok
tetamu yang hadir.
Pasangan Mustafa dan Mazni juga tidak ketinggalan
memeriahkan majlis itu. Amirul juga turut ada sama sebagai jemputan istimewa
walaupun berat hatinya untuk menghadirkan diri. Dia mengambil tempat yang agak
terpencil, jauh sedikit dari keriuhan. Wajahnya sugul. Jasadnya saja yang
berada di situ sedangkan jiwanya entah ke mana-mana. Dia memang tidak gemar
berada di majlis seumpama itu. Biarlah orang mengatanya kera sumbang, dia rela
daripada dia menjadi manusia hipokrit.
Mazni hampir terlupa dengan kewujudan Amirul di majlis itu
kerana terlalu leka berbual dengan teman-temannya. Lantas dia meminta diri
daripada teman-temannya untuk menjejaki di mana anak bujangnya itu berada. Dia
memanjangkan leher mencari-cari kelibat Amirul. Agak sukar mencarinya di
tengah-tengah tetamu yang hadir. Terkedek-kedek dia berjalan sambil menyingsing
gaun labuhnya. Anak matanya liar memandang sekeliling. Akhirnya dia ternampak
Amirul yang sedang bersendirian di suatu sudut terpencil sambil memegang gelas
kaca.
“Mirul, kenapa duduk sorang-sorang kat sini? Jom, pergi
sana.” Mazni mengajak Amirul ke tengah ruang.
“Tak apalah, ma. Mama pergilah. Saya sakit kepalalah.”
Amirul beralasan.
“Sakit kepala pulak? Macam-macamlah Mirul ni.”
“Itulah, mama yang paksa saya datang. Saya bukan suka
tempat-tempat macam ni,” rungut Amirul perlahan.
Mazni mendengus. Kemudian dia mengetap bibir menahan geram.
Mujur saja mereka di majlis orang. “Sampai bila Mirul nak duduk sini? Sekejap
lagi Qistina keluar nak potong kek. Tolong jangan bagi malu mama dengan papa.”
Mazni menjegilkan matanya.
“Mama pergilah dulu. Sekejap lagi saya datang,” ujar
Amirul. Geram pula dibuatnya apabila dia dipaksa untuk membuat sesuatu yang dia
tidak suka.
“Cepat tau. Jangan lambat,” tegas Mazni sebelum beredar
meninggalkan anak bujangnya sendirian.
“Ya, ma,” jawab Amirul bosan.
Beberapa ketika kemudian, kedengaran tepukan dan sorakan
kecil dari tetamu-tetamu yang berkumpul di tepi kolam itu. Amirul pasti,
tepukan dan sorakan itu untuk Qistina. Sudah tentu gadis gedik itu sudah berada
di tengah ruang. Amirul bangkit
dan melangkah malas untuk sama-sama meraikan majlis sambutan hari jadi Qistina
yang ke 22 tahun.
Qistina dilihat sedang berdiri berhampiran dengan kek dua
tingkat berwarna putih. Dia kelihatan anggun dengan memakai gaun labuh yang
mengikut bentuk badannya yang langsing. Rambutnya yang panjang melepasi bahu
dilepaskan saja. Sempena majlis itu dan untuk kelihatan berbeza dari hari
biasa, rambutnya dikeritingkan sedikit. Dia tampak lebih dewasa dengan gaya
rambut begitu. Wajahnya pula disolek rapi dan dia kelihatan sungguh ceria.
Tatkala ternampak wajah Amirul di tengah tetamu yang hadir,
Qistina menghadiahkan senyumannya yang manis. Lantas dia menggamit ke arah
Amirul. Dia mahu pemuda itu berdiri di sampingnya di situ. Amirul hanya
menggeleng enggan. Sejurus kemudian Dato’ Azhar memberi sedikit ucapan sebelum
meminta tetamu-tetamu yang hadir untuk menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuk
anak gadisnya. Berseri-seri wajah Dato’ Azhar. Almaklumlah anak gadisnya yang
seorang itu sudah semakin dewasa dan cantik pula.
Sebaik sahaja nyanyian tamat, Qistina meniup api lilin yang
diletakkan di atas kek sehingga padam. Lalu tetamu yang hadir pun bertepuk
tangan diiringi sorakan riang. Kemudian Datin Bibah menjemput tetamu-tetamunya
untuk menjamu selera. Datin Bibah juga tidak mahu kalah, malam itu
ketampilannya menjadi perhatian. Warna biru muda amat sesuai dengan kulitnya
yang putih melepak. Dia memakai sepasang baju kurung moden yang sarat dengan
labuci di bahagian dada. Rambutnya pula disanggul rapi dan dihias ringkas.
Wajahnya yang disolek nipis kelihatan manis dengan senyuman yang tidak lekang
dari bibir merahnya.
“Mirul,” panggil Qistina apabila melihat Amirul seperti
mahu menjauhkan diri darinya.
Amirul berhenti melangkah ketika mendengar namanya
dipanggil.
“You tak nak ucap apa-apa?” pinta Qistina manja.
“Oh ya, Selamat Hari Jadi semoga berubah menjadi gadis yang
lebih matang. Buangkan sikap mengada-ngada dan gedik you tu supaya you lebih
dihormati,” ucap Amirul sinis.
“Mirul, kenapa you ni? Kalau tak sakitkan hati I tak boleh
ke? Ini majlis hari jadi I tau. Tolonglah.” Qistina naik angin.
Lain yang dia harapkan, lain pula yang menjadi. Siang tadi
dia berangan, Amirul datang dengan sejambak bunga sebagai hadiah. Jambangan
bunga itu diberikan kepadanya disaksikan tetamu-tetamu yang hadir. Kemudian
Amirul menyeluk kocek untuk mengeluarkan sesuatu. Alangkah terkejutnya dia
apabila melihat sebuah kotak kecil berwarna merah berada di tapak tangan lelaki
itu. Amirul kemudiannya mengeluarkan sebentuk cincin bertakhtakan berlian dari
kotak comel itu. Dia meraih tangan Qistina lalu menyarungkan cincin tersebut ke
jari manis Qistina. Ah... itu semua hanya angan-angan saja. Realitinya tidak
seindah imaginasi sebaliknya dia disindir sinis pula. Sungguh menjengkelkan dan
menyakitkan hati!
“Maaf, kalau you tak suka dengan apa yang I cakapkan. Tapi
itu kenyataan.” Selamba sahaja Amirul berkata. Bukan niatnya mahu mengenakan
Qistina tetapi dia mahu gadis itu berubah menjadi lebih matang seiring dengan
usianya yang sudah semakin meningkat dewasa.
“You memang sengaja nak menyakitkan hati I, kan? You jangan
nak cakap orang aje, you tu pun apa kurangnya? Sombong! Bongkak!” jerit Qistina
dengan sedu-sedan yang ditahan-tahan. Dia merengek seperti anak-anak kecil
sambil memukul-mukul Amirul. Dia tidak peduli dengan tetamu-tetamu yang ada.
Yang pasti hatinya telah disakiti oleh lelaki yang dia kasihi. Dia tidak boleh
terima kenyataan itu. Apatah lagi kata-kata itu diluahkan pada hari sambutan
hari jadinya.
Serta-merta air muka Amirul berubah pucat. Dia tidak
menyangka Qistina akan bertindak begitu. Amirul menginjakkan tubuhnya ke
belakang sedikit untuk mengelak dari terus dipukul oleh Qistina. Dia tidak
mampu untuk berbuat apa-apa. Matanya liar memandang ke arah tetamu-tetamu yang
terpinga dan tertanya-tanya dengan aksi kasar Qistina itu. Mereka berdua
menjadi tumpuan semua yang hadir.
“Kenapa ni, Qis?” Datin Bibah menerpa ke arah Qistina yang
sedang teresak-esak. Tubuh anak gadisnya itu didakap supaya dia berhenti dari
menumbuk Amirul. “Mirul, kenapa?”
Amirul tidak memberikan jawapan. Dia membatu.
“Apa yang berlaku ni, Mirul?” Mazni tergesa-gesa
menghampiri Amirul yang masih berdiam. Mustafa dan Dato’ Azhar juga melangkah
pantas menuju ke arah mereka. Wajah kedua-dua lelaki itu kelihatan cemas.
“Kenapa ni, sayang?” tanya Dato’ Azhar lembut. Tangannya
mengusap-usap belakang Qistina.
Qistina tidak menjawab sebaliknya dia menangis lebih kuat
lagi. Semua yang memerhati menjadi panik.
“Tak tau kenapa. Puas I pujuk, tapi Qis tak nak cakap
apa-apa. Dia asyik menangis aje,” jelas Datin Bibah yang kelihatan runsing.
“Apa yang dah berlaku, Mirul?” desak Mazni. Tidak sabar dia
dengan perangai Amirul yang selalu saja buat darahnya naik melonjak ke kepala.
Amirul menjongketkan bahu. “Tanyalah dia,” jawab Amirul
selamba.
“Mesti Mirul ada buat apa-apa pada Qistina. Kalau tidak
kenapa dia menangis beria-ia macam tu,” kata Mazni geram. Rasa seperti mahu
dicubit paha Amirul ketika itu.
Mustafa hanya mampu memandang dengan reaksi yang kurang
senang di atas apa yang berlaku.
“Bib, bawa Qis masuk ke dalam rumah,” arah Dato’ Azhar
kepada Datin Bibah.
Datin Bibah akur. Dia memimpin Qistina masuk ke dalam
rumah. Tetamu-tetamu yang datang tertanya-tanya sesama sendiri. Mereka ingin
tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada Qistina yang sepatutnya gembira berubah
menjadi sebaliknya pula. Majlis itu sempena menyambut hari kelahirannya.
“Tak ada apa-apa yang berlaku. Cuma perkara kecil saja.
Jemputlah makan. Sekejap lagi bila anak saya dah okey, dia keluarlah tu.” Dato’
Azhar memberitahu tetamu yang datang
bertanya sambil tersenyum-senyum.
Jauh di sudut hatinya dia juga sebenarnya mahu tahu apa
yang berlaku kepada anak gadisnya Qistina. Orang yang tepat untuk diaju soalan
itu ialah Amirul. Hanya dia sahaja yang tahu.
“Kenapa dengan Qistina, Amirul? Uncle tak marah. Uncle cuma
nak tahu, apa punca Qis menangis, itu saja.” Dia mendapatkan Amirul lalu mengajukan soalan itu
padanya.
“Tak ada apa-apa, uncle. Saya cuma ucapkan selamat hari
jadi pada dia. Saya kata semoga dia bertambah matang dan dewasa seiring usia,
itu saja. Saya rasa mungkin dia tidak dapat terima bila saya suruh dia jadi
matang dan dewasa agaknya. Dia kan anak manja?” Amirul berterus terang walaupun
perkataan gedik itu tidak disebut. Dia tahu, sebenarnya Qistina marah sangat
apabila dia dikatakan gedik.
Mendengar jawapan Amirul itu, Dato’ Azhar tergelak besar.
“Oh, ya ke? Cakap macam tu pun dia nak merajuk? Qis... Qis...” Dia
menggeleng-geleng. “Memang tak berubah perangainya walaupun dah masuk umur dua
puluh dua tahun. Biarlah, sekejap lagi
dia okeylah tu. Jemput makan Mirul.” Ketawa Dato’ Azhar masih bersisa.
Malam sudah semakin larut. Tetamu-tetamu yang datang juga
sudah semakin ramai yang pulang. Hanya dua kelompok tetamu saja yang kelihatan
masih berbual-bual. Sesekali kedengaran deraian gelak tawa daripada kelompok
itu.
“Terima kasih, Maz kerana sudi datang ke majlis Qis. Nanti
bila-bila senang datanglah lagi,” ucap Datin Bibah di pintu pagar.
“Insya-ALLAH. Harap-harap Qis okey.” Mazni membalas.
“Dia okey aje tu. Hal orang-orang muda, kita tak perlulah
masuk campur. Nanti pesan kat Amirul, sudi-sudilah datang ke rumah kami nanti.
Pasal Qis tu tak usah risau, dia dah nampak okey dah tu,” pesan Datin Bibah
mesra.
“Yalah, Datin. Mereka sama-sama masih belum matang
sebenarnya. Masing-masing ego.” Mazni ketawa.
Datin Bibah turut ketawa sama.
Dato’ Azhar dan Mustafa kelihatan masih berbual-bual tidak
jauh dari tempat Datin Bibah dan Mazni berdiri. Mereka arif dengan kedua-dua
lelaki itu, kalau berjumpa pasti panjang perbualan mereka. Tambahan pula mereka
mempunyai minat yang sama, iaitu bermain golf. Datin Bibah dan Mazni sudah pun
bersalam dan berlaga-laga pipi sementara menunggu suami mereka habis bebual.
“Selamat malam,” ucap Mustafa kepada pasangan tuan rumah
yang masih berdiri di pintu pagar.
Dato’ Azhar dan Datin Bibah membalas ucapan itu serentak
sambil melambaikan tangan. Mustafa dan Mazni kemudiannya mengorak langkah
menuju ke kereta yang diparkir di luar pagar. Amirul sudah lama menunggu mereka
di dalam kereta yang sudah dihidupkan enjinnya. Dia mahu segera pulang.
Amirul sudah bersiap sedia untuk menadah telinga. Sebentar
lagi apabila Mazni masuk ke dalam kereta saja, dia pasti mamanya akan membebel
sepanjang perjalanan sampai ke rumah. Sebaik sahaja kedua-dua orang tuanya
sudah berada di dalam kereta, Amirul memulakan perjalanan. Berhati-hati dia
memandu. Jalan raya sudah agak lengang kerana malam sudah begitu lewat. Mustafa
duduk membatu di sebelah Amirul manakala Mazni sudah terlelap di tempat duduk
belakang.
‘Mama dah penatlah tu. Hai, nasib baik.’ Amirul memandang
mamanya melalui cermin pandang belakang. Lega rasanya. Amirul tersenyum-senyum.
.
No comments:
Post a Comment