Hasratnya untuk ke kafeteria terbantut apabila dengan secara
tidak sengaja dia ternampak Farhana sedang rancak berbual dengan seseorang. Dia
tidak pasti siapa gerangan lelaki itu kerana ada sesuatu yang menghalang
pandangannya. Dia hanya perasankan Farhana sahaja kerana di situlah tempat
mereka selalu duduk makan. Tatkala melihat Farhana duduk bersebelahan dengan
lelaki itu, ada semacam satu perasaan yang menghimpit nalurinya. Rasa cemburu
dan sakit hati berbaur. Syukur benci dengan perasaan yang dialaminya ketika
itu.
|
Petang itu, Syukur sudah hilang tumpuan untuk bekerja.
Wajah ayu Farhana yang sedang tersenyum sinis terbayang-bayang di matanya.
Perasaan marah terhadap gadis itu membuak-buak di dada. Kalaulah ketika itu
Farhana ada di depan matanya, mahu saja dia memaki hamun. Dia sudah pandai
duduk berdua-duaan dengan lelaki. Siapalah gerangan lelaki yang berani itu?
Kurang ajar betul. Dia tidak tahukah siapa Farhana itu? Langkah mayat aku dulu
kalau nak mengurat dia. Farhana tu pun satu. Dulu bukan main lagi malunya, tapi
sekarang kenapa berubah laku?
Semakin dia memikirkan gadis itu semakin jiwanya menjadi
tidak tenteram. Hatinya dipagut resah. Kerja yang sepatutnya dibereskan sebelum
pulang, terbengkalai begitu sahaja. Kalau dia tidak dapat menyudahkan kerja
hari itu dia terpaksa pulang lewat. Kalau dalam keadaan kacau-bilau begitu,
mana mungkin Syukur dapat melakukan kerja dengan sempurna. Kalau diberi masa
sampai esok pun, kerja itu tidak mungkin dapat dibereskan. Ini soal hati.
Sakitnya amat menyeksakan. Tanpa sedar, dia menumbuk meja. Kemudian Syukur
mengadoi sendiri.
Malam itu,
Syukur berkira-kira mahu menghubungi Farhana. Dia mencari nama si merah jambu
dalam senarai nombor yang terdapat di dalam telefon bimbitnya. Nama itu
direnung lama. Dia mengurut-urut dahi lalu termenung mencari akal. Apa alasan
yang mahu dia katakan pada Farhana nanti? Kelmarin semasa Farhana
menghubunginya dia berlagak seperti berjauh hati. Tiba-tiba hari ini dia pula
yang mahu menelefonnya? Apa alasannya?
“Assalamualaikum.” Syukur mengucap salam sebaik sahaja
mendengar suara manja Farhana menjawab panggilannya di hujung talian.
“Waalaikumsalam,” jawab Farhana teruja. Sebenarnya sejak
semalam dia menunggu panggilan daripada lelaki itu. “Apa mimpi kau telefon aku?”
“Aku mengganggu ke?” tanya Syukur
gagap.
“Tak. Aku sedang baca novel sekarang ni.”
Farhana yang sedang berbaring di atas katil segera duduk sambil melunjurkan
kaki. Novel tebal yang dibacanya ditutup lalu diletakkan ke tepi.
“Oh... Sebenarnya aku nak minta
maaf pasal kelmarin.” Lembut suara Syukur memohon kemaafan walaupun dengan berat
hati.
“Tak apa. Aku faham keadaan kau. Macam
mana kau sekarang, okey?” Itulah soalan yang mahu diaju sejak
kelmarin. Tetapi sikap acuh tidak acuh lelaki itu membantutkan segalanya.
“Alhamdulillah. Aku okey.” Perlahan nada suara Syukur
menjawab.
Sepi.
“Kau dah makan?” Soalan Farhana itu
memecah kesunyian.
Masing-masing bagaikan hilang kata-kata. Setelah beberapa
hari tidak ketemu terasa janggal pula untuk bermesra seperti biasa. Seperti ada
benteng yang memisahkan antara kedua-duanya.
“Orang bujang macam aku ni tak
kisah. Kalau rasa lapar, pergi aje ke kedai makan. Kalau tidak, makan megi saja
sambil duduk lepak tengok TV di rumah.” Ayat-ayat itu keluar sebutir-sebutir
dari mulut Syukur. Lidahnya terasa kelu.
“Jadi, kau dah makan ke belum sekarang ni?
Kalau belum, baik kau pergi makan. Jangan dibiarkan
perut tu kosong. Tak ada penyakit jangan dicari penyakit. Nanti kau sendiri
yang susah.” Sikap prihatin Farhana itulah yang membuatkan dirinya begitu
istimewa di hati Syukur.
“Ya. Sekejap lagi aku makanlah,”
jawab Syukur persis anak-anak kecil.
“Oh ya, tadi aku tak
nampak kau. Kau masih
cuti ke?” tanya Farhana sambil menyelak helaian muka surat novel yang berada di
sisinya.
“Taklah. Aku kerja tadi.”
“Aku tak nampak kau pun masa
makan kat kafe tengah hari tadi.”
“Oh... aku keluar lambat. Banyak kerja
tadi.” Syukur berbohong. Panas hatinya mengingatkan kejadian siang tadi.
“Patutlah. Aku tunggu jugak kau datang
tapi sampai habis waktu makan pun tak nampak-nampak bayang kau. Aku ingat kau
masih belum masuk kerja lagi,” jelas Farhana lembut.
“Dah tiga hari aku cuti.
Takkanlah aku nak ambil cuti lagi? Lagi lama aku bercuti
lagi menimbun-nimbun kerja aku.” Syukur menarik nafas dan melepaskan
dengan perlahan. “Kau makan dengan siapa tadi?” Sengaja
Syukur bertanya. Dia sekadar mahu menduga. Dia mahu menguji sejauh mana sifat
jujur yang ada pada diri gadis itu walaupun dirinya bukan sesiapa.
“Dengan Mimi.” Ringkas sahaja jawapannya.
‘Aku tak nampak Mimi pun tadi? Pandai nak berselindung ya.
Kau ingat aku tak nampak ke dengan siapa kau makan tengah hari tadi?’ bisiknya
geram. Berat pula hatinya mahu bertanya siapakah gerangan lelaki yang duduk di
sebelahnya siang tadi. Bimbang nanti dia dituduh cemburu tak bertempat pula.
“Ako, kau buat apa tu? Kenapa senyap?”
sergah Farhana.
“Tak ada... tak ada apa-apa. Err... Mimi mana?” tanya
Syukur. Dia mengubah tajuk cerita. Sementelahan pula sudah beberapa hari dia
tidak nampak kelibat Hamimi, teman gaduhnya itu.
“Dia tengah tengok TV kat depan. Kau nak cakap
dengan dia ke?”
“Tak apa. Nanti kirim salam kat dia ya. Okeylah, Farah. Aku ada hal
sikit. Nanti esok pagi kita jumpa di kafe ya?” cadang Syukur.
“Esok kita orang kerja petang,” kata Farhana.
“Oh, ya ke? Kalau macam tu tak apalah. Nanti bila-bila kita
jumpa ya?”
“Okey. Kau jaga diri kau baik-baik
ya. Jangan lupa makan.” Farhana mengingatkan lelaki itu lagi.
Kata-kata itu hinggap ke telinga Syukur dan meresap hingga
ke seluruh urat nadi. Tidak ada orang lain yang mengambil berat tentang dirinya
selain dari gadis itu. Bagaimanalah hati lelakinya tidak tertawan? “Ya. Kejap
lagi aku pergi makan. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Talian dimatikan.
Berat sungguh hati lelaki itu untuk menekan butang merah.
Telefon bimbitnya direnung lama seolah-olah ternampak wajah manis si Merah
Jambu di skrin comel telefon itu. Kalau ikutkan hati banyak lagi perkara yang
mahu dibicarakan. Entah kenapa berat mulutnya untuk meluahkan apa yang
terpendam di lubuk jiwa.
Biarlah... biarlah segala perasaan yang terpendam ku simpan
sebagai rahsia selagi badan ini terdaya. Aku tahu kau hanya menganggap aku
sebagai teman biasa sedangkan aku mengharapkan kau lebih dari itu. Aku umpama
gagak di rimba sedangkan kau persis merak di kayangan, mana mungkin kita dapat
terbang seiring. Aku sedar aku tidak punya apa-apa selain dari sekeping hati
yang sarat dengan rindu terhadapmu. Aku tahu kita tidak sepadan. Siapalah aku
di sisimu yang hanya seorang pekerja kilang dengan pendapatan yang tidak
seberapa.
Bukan aku tidak pernah cuba untuk melupakan dirimu,
malangnya kian aku cuba melupakan kian kuat ingatan ku terhadapmu. Bagi ku kau
ibarat sebutir bintang yang berkelipan indah berbanding aku yang hanya sebutir
pasir di pantai. Kau adalah anugerah
Ilahi yang amat berharga bagiku.
Andai suatu hari nanti jika kau mendapat tahu betapa aku
pernah mencintaimu sepenuh hatiku sedangkan saat itu aku sudah berada jauh atau
tidak wujud lagi di muka bumi ini, kau kunjungilah pusaraku. Kau kirimkanlah
doa serta surah. Ketika itu usahlah kau tangisi kerana pemergianku bukan kerana
benci.
Jika kau rindu aku, kau renunglah bulan di langit malam dan
sudah pasti aku juga akan merenung bulan yang sama. Aku mahu kau tahu
sesungguhnya kaulah insan yang amat istimewa di hatiku. Andai kata, tiada jodoh
kita di dunia, aku berharap semoga suatu ketika nanti kita akan pasti bersatu
di alam sana. Sayangnya, aku hanya bisa memuja kau di dalam diam kerana aku
tahu siapa aku di hatimu.
Arrgghh.. Syukur gagal mempertahankan air matanya daripada
gugur hanya kerana seorang perempuan. Dia tewas dengan perasaannya sendiri.
.
No comments:
Post a Comment