Suasana di dalam rumah bujang yang terletak di tingkat tiga
Pangsapuri Damai sudah sunyi. Sebentar tadi keadaannya riuh-rendah dengan gurau
senda dan gelak tawa penghuninya yang empat orang itu. Ketika ini, mereka sudah
pun masuk ke bilik tidur masing-masing walaupun jam baru pukul 9.00 malam.
Namun begitu, dua buah bilik itu masih kelihatan terang-benderang menandakan
penghuninya masih belum tidur lagi.
|
“Wahai,
Cik Merah Jambu... jangan banyak berangan. Nanti tumbuh jerawat kat dahi tu.”
Hamimi mengusik.
Farhana yang sedang terlentang di atas katil bujangnya
tetap merenung siling tanpa pedulikan usikan Hamimi tadi. Sesekali dia
mengerutkan dahinya dan sesekali pula dia menyengih seorang diri. Hidup manusia
ini unik dan penuh warna warni. Semalam kita ketawa, tidak mustahil hari ini
kita akan menangis pula. Dan esok belum tentu lagi, mungkin akan ketawa atau
sebaliknya. Tidak siapa dapat meneka dengan tepat. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tetapi apa yang pasti, hidup ini
penuh dengan keindahan. Sebagai seorang mukmin wajib bersyukur dengan apa yang
dianugerahkan ILAHI, bisik
Farhana sendiri.
“Farah!” teriak Hamimi lebih kuat lagi setelah panggilannya
beberapa kali tidak diendahkan. “Hoi, Farah!” panggilnya lagi dari katil
sebelah.
“Apa?”
Dengan nada malas akhirnya Farhana menjawab panggilan itu. Dia mengalihkan
posisi. Dia mengiring menghadap Hamimi yang sedang menatap komputer riba. “Kau
ni tak senang tengok orang senang ya?” Farhana mendengus.
“Jauh
sangat mengelamunnya. Sampai aku panggil banyak kali pun kau tak menyahut. Apa
yang kau fikirkan?” tanya Hamimi cuba mencungkil rahsia teman sebiliknya itu.
“Tak ada
apa-apalah,” jawab Farhana perlahan.
Farhana
menutup rapat kelopak matanya. Bukan semua perkara perlu dikongsikan dengan
orang lain. Ada-ada perkara perlu juga disimpan sebagai rahsia. Belum sampai
masa untuk dia berkongsi cerita dan rasa dengan sesiapa. Mungkin satu hari
nanti jika dia memerlukan seseorang, dia pasti akan mencari Hamimi untuk
mencurah segala cerita yang dijadikan rahsia. Dan dia juga pasti, ketika itu
nanti Hamimilah orang yang tepat selain Syukur. Itu pun kalau lelaki itu sudi mendengarnya.
Entah kenapa lelaki itu berubah sikap secara tiba-tiba. Perangainya menjadi
pelik semacam sejak peristiwa emaknya meninggal dunia kelmarin. Adakah kerana
kehilangan itu yang menyebabkan dia berubah laku? Farhana berteka-teki cuba
mencari jawapan yang dia sendiri tidak pasti.
“Mana
boleh tak ada apa-apa? Aku tak percaya. Aku tau, kalau kau dah termenung
panjang macam tu mesti ada sesuatu yang kau fikirkan. Kau tak nak berkongsi
dengan aku?” Hamimi berjeda. “Kalau tak nak kongsi, tak apalah. Kau simpan
sajalah masalah kau tu sorang-sorang.” Hamimi kembali menatap komputer ribanya
tanpa berkalih pandang.
“Merajuklah
tu. Jangan suka merajuk nanti muka cepat berkedut,” usik Farhana.
“Yalah
tu. Kalau tak nak cakap, tak apa. Aku tak kecil hati pun. Aku sentiasa bersedia
mendengar kalau kau nak berkongsi cerita, bila-bila masa tanpa kos. Aku kan
sahabat mithali?” Hamimi ketawa di hujung kata-katanya.
“Ya, aku tau. Kau memang sahabat aku dunia akhirat. Aku tau
kau sentiasa ada waktu susah dan senang aku. Agaknya kalau tanpa kau, aku tak
ada di sini kut. Sebenarnya kaulah kekuatan aku. Terima kasih Mimi sebab jadi
kawan aku.” Kelopak mata Farhana sudah berkaca. Sayu menyelinap ke segenap
jiwanya.
Tumpuan Hamimi ke skrin komputer riba terganggu. Dia
menoleh lalu melangkah mendapatkan Farhana di katil sebelah. Dia duduk melutut
di lantai. Dia menatap dalam ke wajah Farhana yang masih berbaring sambil
memeluk anak patung beruang kesayangannya.
“Aku tak buat apa-apa pun untuk kau. Sepatutnya aku yang
perlu berterima kasih pada kau. Kerana kaulah aku berubah jadi macam ni. Kau
tau kan macam mana kasarnya perangai dan tutur kata aku dulu? Bila dah berkawan
dengan kau, aku rasa seperti dilahirkan semula. Aku mahu jadi seperti kau.
Lemah lembut dan bersopan santun. Pakai tudung dan suka pakai baju kurung ke
mana-mana. Perubahan yang paling ketara sejak aku kenal kau ialah solat. Dulu
aku jarang bersolat. Telekung pun pinjam orang. Aku tak ada telekung sendiri.
Terima kasih sebab hadiahkan aku kain telekung tu.” Hamimi mula teresak-esak.
Farhana segera bangkit lalu duduk menghadap Hamimi. Dia
mendakap sahabatnya itu penuh kasih. Dia berasa hiba dan sebak melihat keadaan
Hamimi begitu. Seketika dua sahabat itu saling berpelukan dan beresak tangis.
Perasaan kasih dan sayang semakin tebal menular ke dalam dua jiwa itu
menjadikan persahabatan mereka kian akrab.
Sinar matahari
sudah melimpahkan cahayanya ke seluruh alam. Walaupun masih awal pagi namun
suasana di luar rumah sudah kelihatan terang-benderang. Semua penghuni di dalam
rumah bujang itu sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerja.
Farhana dan Hamimi bergegas ke pintu lif. Mereka tidak mahu
terlambat. Sebaik sahaja mereka sampai, pintu lif terbuka dengan sendirinya
tanpa sempat mereka menekan butang. Seorang lelaki muda melangkah keluar
sebelum dua orang gadis itu menyusup masuk ke dalam lif. Di dalamnya terdapat
beberapa orang yang memakai pakaian seragam yang sama seperti mereka berdua.
Mereka hanya menyapa dengan berbalas senyum.
Setiap hari Lebuhraya Damansara-Puchong sesak dengan
kenderaan, apatah lagi di waktu awal pagi. Namun kesesakan lalu lintas itu
tidak mengganggu perjalanan mereka ke kilang. Mereka berjalan kaki dan menaiki
jejantas untuk menyeberangi lebuh raya yang sibuk dengan kenderaan itu.
Sesekali mereka menekup hidung dan mulut untuk menghindari pencemaran asap
kereta yang boleh menjejaskan kesihatan.
Acap kali juga mereka diusik dengan siulan dari anak muda
yang melintasi mereka. Begitulah senario yang mereka hadapi setiap kali ke
tempat kerja. Namun, itu semua bukanlah halangan malahan mereka menganggapnya
sebagai rutin yang perlu diharungi demi sebuah kehidupan.
Sebaik sahaja
mereka sampai ke kilang, mereka meluru ke tempat kerja masing-masing tanpa
singgah di kafeteria seperti kelaziman. Kebetulan mereka ada membawa bekalan
roti dan minuman sebagai sarapan. Sebelum memulakan kerja mereka mencuri
sedikit masa menjamah roti sebagai pengalas perut sementara menunggu waktu
makan tengah hari tiba nanti.
Dalam kesibukan bekerja, masa terasa begitu pantas berlalu.
Tanpa disedari, sudah tiba waktu untuk makan tengah hari. Berdedai-dedai semua
pekerja-pekerja lelaki dan perempuan melangkah keluar dari kilang. Ada yang
mengatur langkah ke kafeteria, tidak kurang juga yang keluar dari kawasan
kilang untuk makan di luar. Dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk
melelapkan mata di surau atau di tempat-tempat yang dirasakan sesuai untuk
merebahkan badan.
Bagi Farhana dan Hamimi, waktu rehat adalah masa untuk
mereka makan. Sementelahan pula sarapan tadi mereka hanya mengambil roti
sahaja. Hamimi tidak betah tanpa nasi. Nasi adalah makanan wajibnya setiap
hari. Kalau tidak dapat dua kali sehari, sekali sehari pun jadilah. Kalau tanpa
nasi, dia rasa mahu pitam. Matanya akan berpinar-pinar, kepalanya terasa berpusing-pusing
dan lututnya akan menggigil kelaparan.
Sejurus membuat bayaran di kaunter, Hamimi mencari tempat
duduk sambil menatang pinggan yang penuh dengan lauk pauk. Farhana sudah
memilih tempat yang paling hujung sekali. Di tempat itulah mereka berdua sering
duduk makan. Di tempat itu jugalah Syukur akan mencari mereka jika mahu
bertemu.
“Amboi, penuhnya sampai tak nampak bunga pinggan. Meriah
pinggan kau hari ini ya, Mimi.” Farhana memerhati lauk-pauk yang berlonggok di
dalam pinggan Hamimi yang diletakkan di atas meja.
“Terliur tengok lauk-lauk yang ada. Rasa macam nak ambil
semua. Nasib baik aku kuat iman. Aku ambil dua jenis lauk saja. Aku bukan boleh
tengok nangka muda masak lemak ni, tambah-tambah makan dengan ikan masin dan
sambal belacan. Fuhhh… memang terangkatlah.” Hamimi menelan liurnya. Dia
kelihatan seperti tidak sabar mahu menjamah makanan sehingga terlupa untuk
membeli minuman untuk dirinya.
“Mana air kau?” tanya Farhana apabila perasan hanya ada
satu gelas yang kelihatan di atas meja.
“Aku lupa nak beli.” Hamimi tersengih. “Tak apa. Lepas
makan karang aku pergilah beli.” Dia segera menyuapkan nasi berlaukkan nangka
muda masak lemak ke mulut sejurus membaca Bismillah.
Sedang mereka sedap menjamu selera, tiba-tiba mereka
dikejutkan dengan suara orang memberi salam. Kedua-dua gadis itu menoleh
pandang ke arah datangnya suara itu. Mereka terlopong seperti tidak percaya
melihat kelibat lelaki itu tercegat hampir dengan tempat mereka duduk. Padahal
masih ada lagi tempat lain yang masih kosong.
“Assalamualaikum.” Sekali lagi lelaki itu mengucap salam.
Bibirnya mengukir senyuman ikhlas.
“Waalaikumussalam,” jawab dua orang sahabat itu serentak.
Farhana dan Hamimi saling berbalas pandang.
“Maaf. Boleh saya duduk sama?” tanya lelaki itu.
Belum sempat Farhana dan Hamimi menjawab, lelaki itu sudah
meletakkan pinggan dan gelas minumannya ke atas meja. Dia mengambil tempat
bersebelahan dengan Farhana. Pandangan anak matanya beralih dari wajah Hamimi
kemudian ke wajah Farhana pula. Dia jadi serba salah. Malu pun ada juga. Dia
bimbang kehadirannya tidak disenangi.
“Err... duduklah. Maksud saya, err... boleh.”
Tergagap-gagap Farhana menjawab. Tiba-tiba dia berasa segan untuk menyuap
makanan. Seleranya terbantut. Nasi di dalam pinggannya dikuis-kuiskan dengan
sudu dan garfu. Sesekali dia mengangkat muka memandang Hamimi yang kelihatan
selamba menghabiskan makanannya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Kenapa tak makan? Awak malu ya?” soal Amirul. Mi goreng di
dalam pinggannya sudah tinggal separuh.
“Taklah.” Farhana menggeleng.
“Kalau macam tu, kenapa tak habiskan makan? Sayang nasi
tu.” Amirul senyum sahaja sejak tadi.
“Sekejap ya. Aku nak pergi beli air.” Tiba-tiba Hamimi
bersuara. Dia bangkit lalu mengorak langkah menuju ke kaunter. Sengaja dia
mencari alasan untuk memberi peluang kepada mereka berdua. Selepas beberapa
tapak melangkah, dia menoleh mencuri pandang ke arah pasangan itu. Di dalam
hatinya dia memuji-muji ketampanan yang dimiliki oleh lelaki itu.
Farhana tergamam apabila ditinggalkan bersendirian dengan
Amirul. Tetapi bagi Amirul pula, ini adalah satu peluang keemasan.
“Awak tak kisah ke saya duduk makan kat sebelah awak?”
Amirul sudah selesai makan. Dia mengelap mulutnya dengan tisu kertas.
“Tak kisah. Kenapa awak tanya?” Farhana menjongketkan keningnya.
Nasi di dalam pinggannya masih bersisa tetapi dia sudah tidak berselera untuk
menghabiskannya.
“Yalah. Manalah tau, awak bimbang ada orang nampak saya
duduk sebelah awak.”
“Apa yang nak dibimbangkan? Kita duduk makan di tempat
awam, semua orang nampak, kan?” Bibir mongel Farhana mengukir senyum.
“Maksud saya, boyfriend awak. Dia
tak marah ke nampak saya duduk makan di sebelah awak macam ni?”
Farhana ketawa sopan. Mulutnya ditutup dengan tisu.
“Kenapa awak ketawa?” Amirul suka melihat wajah Farhana
ketika dia ketawa.
“Siapalah nak orang macam saya.” Farhana merendah diri.
“Kenapa dengan awak?” soal Amirul lagi.
“Saya sekadar minah kilang.”
“Apa salahnya? Hina ke jadi minah kilang?”
“Bukan macam itu maksud saya. Ah... lupakan sajalah.”
Farhana berjeda. “Apa mimpi awak, mahu duduk makan bersama kami?”
“Awak tak suka saya duduk makan di sini?” Berkerut-kerut
dahi Amirul.
Farhana menggeleng. “Bukan macam tu.”
“Habis tu? Tapi tak apalah, kalau awak tak suka, lain kali
saya tak ganggu awak makan lagi.” Amirul berpura-pura merajuk.
“Awak ni
macam budak-budak kecik aje. Nak merajuk konon.” Farhana menyengih. Dia mahu
ketawa melihat wajah Amirul yang berubah secara tiba-tiba. Sikap Amirul itu
mencuit hatinya. “Kita kan tak pernah duduk makan bersama? Tapi tiba-tiba hari
ini awak muncul dan mahu sama-sama duduk makan dengan saya dan Mimi.
Terkejutlah saya.”
“Biasanya saya dengan kawan saya makan di luar. Hari ini
saya makan sorang. Secara kebetulan masa saya mencari-cari tempat duduk saya
ternampak awak. Saya pun apa lagi, terus aje singgah. Tak salah, kan?”
“Tak salah. Malah dialu-alukan,” jawab Farhana untuk
menyedapkan hati Amirul.
“Itulah
jawapan yang saya harapkan.” Amirul tergelak.
Farhana
juga turut tergelak sama. Tiba-tiba dia teringatkan Hamimi. Berapa lama
dia ni pergi beli air? Dari tadi tak sampai-sampai lagi? Sengaja aje Mimi ni
tinggalkan aku.
“Kenapa?”
tanya Amirul setelah melihat Farhana berubah resah. Anak matanya memandang ke
sekeliling.
“Hamimi.
Tak nampak-nampak batang hidung dia. Mana agaknya dia pergi?” Farhana
memanjangkan leher, menjengah ke kaunter. Kelihatan gadis-gadis yang melewati
tempat mereka berdua duduk mengerling pandang ke arah mereka. Ada yang
tersenyum-senyum sambil berbisik-bisik sesama mereka. Farhana kurang senang
dengan situasi itu.
“Sekejap
lagi dia datanglah tu. Kalau dia tak datang balik pun, bukan ke mana perginya.
Entah-entah dia dah masuk ke kilang,” teka Amirul untuk menyedapkan hati gadis
itu. “Tak ada orang marah ke tengok kita duduk berdua-dua ni?” Dia sekadar menduga.
“Oh.. tak ada. Siapa pulak yang nak marah.”
“Manalah tau, kalau-kalau ada jejaka idaman yang marah.”
Farhana
hanya menyengih sahaja dengan kenyataan Amirul itu. “Tak habis-habis awak ni,
dari tadi itu saja soalan awak. Tapi... mungkin kalau abah dan emak saya
nampak, mereka akan marahlah kut,” tambah Farhana sekadar bergurau.
“Eh!
Takutnya saya. Duduk jauh-jauh sikitlah.” Amirul menjarakkan duduknya daripada
gadis itu.
“Macam-macam aje awak ni. Okeylah, saya dah nak balik ke
kilang. Nanti lambat masuk pula.” Farhana memohon diri untuk beredar. Suasana
kafeteria sudah semakin lengang.
“Lain kali boleh kita duduk makan sama lagi?” Amirul sudah
bangkit dari bangku.
“Insya-ALLAH.
Boleh, apa salahnya.”
“Okey,
jumpa lagi.” Amirul melambaikan tangannya.
Farhana hanya membalasnya dengan senyuman sebelum mengatur
langkah meninggalkan Amirul yang masih tercegat memerhatikannya berlalu pergi.
.
No comments:
Post a Comment