.
Kedengaran suara juruhebah berselang-seli dengan alunan
lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio yang sengaja dipasang kuat.
Sesekali ada suara sumbang yang turut menyanyi mengiringi lagu yang diputarkan.
Hamimi memang tidak ada bakat menyanyi langsung. Dia bernyanyi ikut suka
hatinya saja sampai terbatuk-batuk dia dibuatnya.
|
“Sudahlah tu. Hujan ribut pulak nanti. Cukuplah radio tu
saja yang menyanyi.” Farhana mengomel.
Hamimi tidak peduli dengan sindiran teman sebiliknya itu.
Dia tidak terus diam sebaliknya semakin kuat dia bernyanyi. “Menyanyi boleh
redakan perasaan tau, Cik Farah oi!” Dia mencuit pinggang Farhana yang sedang
duduk membaca surat khabar harian di ruang tamu.
“Redakan perasaan sendiri tapi sakitkan telinga orang lain
yang mendengar,” balas Farhana. “Kalau sedap suara tu, tak apalah jugak,”
sindirnya. Pandangannya masih tertumpu ke dada akhbar yang ditatapnya.
“Aku tak kisah orang nak kata apa, janji aku bahagia.”
Hamimi ketawa di hujung kata-katanya sambil menghenyakkan punggungnya yang
lebar ke sofa. Sindiran itu seperti satu gurauan baginya.
“Bahagia? Wah! Ini yang seronok nak dengar ni. Kejap...
kejap... biar aku teka.” Farhana meletakkan naskhah surat khabar ke atas meja
kopi. “Aku tau. Ini mesti baru berkenalan dengan orang baru dalam Facebook,
kan?” Dia serkap jarang.
“Pandai kau teka, ya? Kau ni tau aje semua pasal aku. Kau
tak ada FB, tapi macam mana kau tau?” tanya Hamimi.
“Alah, aku kenal kau bukan sehari dua. Seimbas lalu aku
tengok muka kau tu aku dah tau apa yang ada dalam hati kau.” Farhana senyum
mengejek.
“Ada-ada aje kau ni. Aku pun sebenarnya saja buat cerita.
Kalau setakat kawan baru dalam FB tu, dah tak hairan. Dia orang tu semua bukan
boleh pakai. Setakat buat kawan untuk melepaskan bosan saja bolehlah.”
“Lain macam aje bunyinya. Aku ingat lagi, dulu kau pernah
cakap kemungkinan jodoh kau salah seorang dari kawan-kawan FB kau.” Farhana
menatap wajah Hamimi. ‘Sesekali pandang cantik juga Mimi ni,’ desisnya.
“Aku pernah cakap macam tu ke?” Hamimi mencebikkan
bibirnya.
“Yalah. Kalau bukan kau yang cakap, siapa lagi? Aku mana
ada kawan lain yang gila FB macam kau ni,” perli Farhana. Dia senyum sinis.
“Tak baiklah kau ni. Sampai hati kau kata aku macam tu.”
Hamimi berpura-pura merajuk.
Farhana menatap surat khabar semula tanpa mahu membalas
kata-kata Hamimi. Kali ini rajuknya tidak laku. Bosan menunggu orang untuk
memujuk. Akhirnya rajuk itu ditolak ke tepi.
“Shakira dengan Yasmin ni tak reti duduk rumah. Asal cuti
ada saja rancangan dia orang,” soal Hamimi setelah lama berdiam. Soalan yang
jauh menyimpang dari pokok cerita mereka tadi.
“Biarlah dia orang. Duduk rumah pun nak buat apa?” bidas
Farhana.
“Yalah. Asyik terperap aje kat rumah, bosan jugak, kan? Jom
Farah kita keluar jalan-jalan, nak?” ajak Hamimi. Sudah agak lama juga mereka
tidak keluar bersiar-siar.
“Boleh jugak. Kita pergi One Utama, nak? Boleh kita singgah
kedai buku, aku nak cari novel terbaru. Novel yang ada pun, semuanya dah habis
baca.” Farhana memang hantu novel. Dia tidak kedekut untuk melaburkan wang
gajinya untuk membeli novel-novel baru yang terdapat di pasaran.
“Aku okey aje. Apa lagi? Jomlah bersiap.” Hamimi bingkas
bangun lalu meluru ke bilik air untuk mandi.
Ruang
legar di One Utama penuh sesak dengan manusia. Begitulah keadaannya saban hari,
apatah lagi pada hujung minggu. Apalah yang dicari mereka? Tetapi apa yang nak
dihairankan, kalau ada duit tiap-tiap minggu pun boleh membeli-belah. Tidak
perlu menunggu cukup bulan.
Mereka berdua bergandingan melangkah sambil memerhati
kedai-kedai yang berderetan. Mereka begitu teruja apabila melihat ada beberapa
buah kedai yang sedang mengadakan jualan murah. Bergantungan papan tanda yang
menunjukkan peratus potongan harga yang ditawarkan untuk menarik perhatian
pelanggan. Mereka berdua juga tidak terkecuali, pantang saja nampak tawaran
jualan murah pasti mereka menyerbu ke kedai itu.
Farhana sangat cerewet memilih barang yang mahu dibeli.
Dibelek-beleknya sesuatu barang itu sehingga berjam-jam tapi akhirnya barang
itu diletakkan semula. Ada saja yang tidak berkenan di hatinya. Hamimi hanya
menumpang tengok. Di dalam hati kecilnya terselit juga keinginan untuk membeli
sesuatu untuk diri sendiri tapi apabila terkenangkan ibu dan adik-adiknya,
keinginannya jadi terbantut.
“Mimi, yang ini cantik tak?” Farhana menunjukkan sehelai
blaus berwarna merah jambu.
“Kulit kau putih. Pakai apa pun cantik.”
“Tapi renda-renda ni tak nampak over ke?”
Farhana mengacu-acukan blaus itu ke
tubuhnya.
“Okey aje aku tengok. Tapi cuba kau pilih warna lain. Warna
ungu tu pun cantik jugak,” kata Hamimi sambil membelek baju-baju di rak yang
lain.
Entah kenapa, walaupun ada pelbagai warna pilihan namun
warna merah jambu juga yang menjadi pilihan dan menambat hatinya. Farhana
memuncung. Blaus warna ungu dibelek-beleknya. Kemudian dia meletakkannya
semula. Semakin lama dibelek semakin dia tidak berkenan. Setelah letih mencari,
akhirnya Farhana menarik tangan Hamimi untuk beredar dari kedai itu.
“Mana baju tadi?” tanya Hamimi apabila melihat Farhana
hanya berlenggang.
“Tak jadi belilah.”
“Kenapa? Cantik apa baju tu.”
“Aku tak berkenan dengan renda-renda tu.”
“Kau ni cerewetlah. Renda-renda tu buat kau nampak comel.
Aku rasa baju tu sesuai untuk kau.”
“Tak apalah. Kalau aku beli, aku nak beli warna merah jambu
jugak tapi kau suruh aku pilih warna ungu, langsung tak jadi.”
“Laa... pasal warna ungu tu ke? Aku cadangkan aje. Kau kan
dah banyak baju warna merah jambu? Asyik-asyik merah jambu. Sesekali pilihlah
warna lain. Mungkin kalau kau pakai warna ungu kau nampak lebih cun.”
“Tak ada maknanya.”
“Okeylah. Pergilah ambil warna merah jambu tu.”
“Tak apalah. Kita pergi cari kat kedai lainlah.”
Hamimi mengikut sahaja gerak langkah Farhana. Dia hanya
menemani gadis itu. Dia tidak ada cadangan untuk membeli apa-apa. Tidak berapa
jauh berjalan, mereka sudah sampai di muka pintu kedai buku Popular.
Farhana melajukan langkahnya. Dia meluru masuk ke dalam
kedai tersebut. Dia seperti tidak sabar-sabar untuk mendapatkan beberapa buah
novel yang sudah dirancang untuk dibeli. Hamimi hanya mengekor dari belakang
sambil memerhati sekeliling.
Ramai juga orang di kedai buku itu. Kelihatan beberapa
orang yang duduk di celah-celah rak sambil membaca buku-buku pilihan mereka.
Anak-anak kecil juga tidak mahu kalah. Riuh suara mereka mencari dan membelek
buku kesukaan sambil ditemani ayah dan ibu mereka yang turut sama memilih bahan
bacaan untuk sikecil.
Beruntung budak-budak sekarang, kecil-kecil lagi sudah
boleh buat pilihan mahu beli buku apa yang mereka suka. Di dalam hati kecil Hamimi berdetik. Kalau
dibandingkan dirinya dengan mereka memang jauh bezanya. Dia dahulu tidak pernah
merasa masuk ke kedai buku, apatah lagi membeli buku kesukaannya.
Hamimi membiarkan Farhana melayan dunia bukunya. Dia hanya
memerhati gadis itu dari jauh. Setelah pasti teman sebiliknya itu berada di
ruang rak novel maka dia meneruskan langkahnya ke rak yang lain pula. Dia hanya
membelek dan membaca sekali lalu sahaja buku-buku yang dilihat menarik dari
tajuk luarannya. Dia tidak berhajat untuk membeli apa-apa. Lagi pula, buku-buku
itu mahal harganya.
Farhana meluru ke rak di mana terletak buku-buku novel
Melayu. Dia beralih dari satu rak ke satu rak sambil melihat tajuk-tajuk yang
tercatit di kulit buku. Apabila terjumpa tajuk yang menarik dan hasil karya
daripada penulis yang dia minati, dia akan membaca blurb di belakang kulit buku
novel tersebut.
Sebenarnya dia tidak kisah siapa penulis novel itu asalkan
jalan ceritanya menarik dibaca, dia akan membelinya. Begitu asyik dia membelek
novel sehingga terlupa tentang Hamimi.
Sebaik sahaja dia teringat tentang sahabatnya itu, dia menoleh
ke belakang. Memanjang-manjangkan leher mencari kelibat sahabatnya itu. Dua
buah novel sudah berada di tangannya lalu kaki melangkah ke kaunter untuk
membuat bayaran.
Farhana mengeluarkan sekeping wang kertas bernilai RM50
dari dalam dompet lalu dihulurkan kepada juruwang yang bertugas. Sejurus
mengambil wang kecil serta sebuah beg plastik yang berisi novel yang dibeli
tadi, mereka pun beredar.
“Kau tak sayang duit ke beli novel sampai berpuluh-puluh
ringgit? Almari buku kat rumah tu sampai dah tak muat. Dah boleh buat
perpustakaan. Lebih baik kau jual aje novel-novel yang dah lama.” Hamimi
mengomel.
“Eh! Jangan pandai-pandai nak suruh aku jual novel-novel
tu,” sanggah Farhana.
“Novel-novel tu kau dah habis baca, kan? Buat apa nak
simpan lagi? Buat semak aje,” tambah Hamimi. Bukan dia tidak tahu minat
sahabatnya itu. “Jual novel lama, beli novel baru.” Dia mengusul cadangan pula.
“Tak naklah. Aku sayanglah novel-novel aku tu. Aku nak buat
koleksi.”
“Peliklah hobi manusia ni. Simpan duit ada juga faedahnya
dari menyimpan novel. Dahlah membazir duit beli sampai berpuluh-puluh ringgit.
Lepas tu disimpan saja buat tempat habuk bersarang,” bebel Hamimi.
“Hobi kita berbeza. Aku minat beli dan baca novel dan kau
pula minat menghadap FB. Kau ingat FB tu menguntungkan ke? Buat habis duit
bayar elektrik aje. Bil internet pun kena bayar jugak. Tolak campur sama juga
jawapannya. Jadi, biarlah aku dengan hobi aku dan kau dengan hobi kau asalkan
kita tak ganggu dan menyusahkan hidup orang lain. Betul tak?” ujar Farhana panjang
lebar.
“Bijaklah kau ni. Aku memang tak boleh lawan kau kalau
berdebat cakap. Kalau cakap mesti kau yang menang. Okey, aku ngaku kalah. Aku
tabik hormat dengan pendirian kau. Kau memang ratu debat.” Hamimi
tersengih-sengih.
“Okeylah disebabkan kau memuji-muji aku dan perut aku ni
pun dah berkeroncong dah ni, apa kata aku belanja kau makan.” Farhana memberi
cadangan.
“Aku setuju. Aku tau kau memang faham benar dengan pujian
aku tu.” Hamimi ketawa.
“Pujian kau memang ada makna, kan? Aku dah masak dengan
perangai kau tu. Dahlah jom. Nak makan apa?” Farhana sudah tahu benar sikap
Hamimi. Setiap kali memuji pasti ada makna yang tersirat disebaliknya. Namun
begitu, dia tidak kisah. Dia ikhlas mahu belanja Hamimi makan.
“Aku ikut kau. Apa yang kau belanja, aku makan. Aku tak
banyak songeh.”
Mereka mengorak langkah ke restoran Kenny Rogers, pilihan Farhana. Ketika
mereka sampai di pintu masuk restoran tersebut, ruang agak penuh. Tatkala
melihat sebuah meja baru sahaja dikosongkan oleh sepasang pengunjung, mereka
terus menuju ke arah meja tersebut.
Sebaik sahaja mereka duduk, pelayan restoran itu terus
mengambil pesanan. Setelah pesanan dibuat, pelayan itu pun berlalu pergi.
Farhana memandang Hamimi dengan wajah pelik. Hamimi membuat isyarat muka.
Farhana tidak faham apa yang cuba Hamimi sampaikan. Dia turut menanya dengan
isyarat muka juga tanpa dialog. Hamimi memuncungkan mulut menunjuk ke arah
orang yang duduk di sebelahnya.
Farhana berat hati untuk menoleh ke sebelah. Tetapi dia
sempat memandang gadis yang duduk di sebelah Hamimi. Dia melirikkan senyum
sebagai sapaan. Malangnya gadis itu tidak membalas senyumannya itu.
Tiba-tiba insiden di McDonald’s menerpa
mindanya. Ya, wajah gadis itu sama seperti gadis yang memarahinya ketika
insiden itu berlaku. Segera Farhana menoleh ke sisi untuk memastikan orang yang
duduk di sebelahnya itu lelaki atau perempuan.
Tatkala dia menoleh, wajah Amirul sedang tenang
merenungnya. Mata mereka bertentangan. Degupan jantung berdetak deras bagaikan
paluan kompang. Oleh kerana jarak duduk mereka yang hampir, desahan nafas
masing-masing sangat ketara kedengaran.
Hamimi hanya memerhati reaksi dua insan itu seperti
menonton drama Korea di kaca TV.
Qistina pula merah mukanya menahan marah. Dia tidak suka
dengan adegan yang disaksikan itu. Perasaan cemburu bagaikan mencucuk-cucuk
tangkai jantungnya.
“Eh! Kebetulan pulak kita berjumpa di sini.” Amirul
bersuara setelah agak lama berdiam.
“Ya... ya...” Farhana menjawab gugup. Dia
mengangguk-angguk. Sesekali dia mengerling ke arah Qistina yang kelihatan tidak
senang duduk. Kalau boleh dia mahu bangun dan keluar sahaja dari restoran itu.
“Nak ajak keluar makan, susah sangat. Akhirnya dapat juga
kita makan bersama di sini.” Amirul menyengih. Kehadiran Qistina tidak penting
baginya. Qistina hanya kawan biasa. Gadis itu tidak perlu emosi apabila melihat
Farhana duduk di sebelahnya.
“Kenalkan ini kawan saya Qistina.” Amirul memperkenalkan
Qistina kepada Farhana dan Hamimi.
Berdesing telinga Qistina apabila mendengar perkataan
kawan. Dia kenalkan aku hanya sebagai kawan?
Farhana terlebih dahulu menghulurkan tangan. Sengaja dengan
lambat-lambat Qistina menyambut huluran tangan gadis itu. Kemudian Hamimi pula
turut menghulurkan tangan tanda perkenalan.
Farhana hanya mampu tersenyum. Namun senyuman itu tampak
tidak ikhlas. Tidak ada kata-kata yang terkeluar dari ulas bibirnya yang
mungil. Dia terkedu. Apatah lagi melihat wajah Qistina yang berkerut seribu.
Dia tidak rela dituduh meragut kebahagiaan orang lain. Lebih-lebih lagi orang
itu adalah orang yang dia kenali. Sesekali Farhana mengerling Hamimi yang
bersikap selamba, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
Pelayan tadi datang membawa makanan yang dipesan tadi.
Hamimi kelihatan teruja, tidak sabar untuk menjamah makanan yang sudah berada
di hadapan mata. Aromanya sudah cukup membuka selera. Sebelum memulakan makan
Farhana mempelawa Qistina dan Amirul untuk makan sama walaupun dia tahu mereka
baru sahaja selesai makan.
“Jom, Mirul. Kita dah habis makan.” Qistina mengajak Amirul
beredar. Dia sudah tidak tahan melihat gelagat Amirul. Bukan main lagi dia
kalau dengan perempuan lain. Menyengih saja macam kerang yang tak laku.
Menyampah!
“Tunggulah dulu. I nak temankan mereka makan. Lagipun kita
tak ada rancangan apa-apa selepas ni, kan?” tegas Amirul.
Panas mendidih perasaan Qistina. Sakit hatinya melihat
sikap baik Amirul yang secara tiba-tiba itu. Boleh tahan juga miangnya dia ni,
bisiknya di dalam hati.
“Okey,” jawab Qistina. Dia cuba untuk kelihatan normal. Dia
cuba tersenyum untuk memaniskan wajah.
“Tak apalah, Encik Amirul. Sebenarnya kami ada hal peribadi
yang nak dibincangkan. Rasanya kami perlukan privasi.” Farhana cuba berbohong.
Ketika itu bukan masa yang sesuai untuk mereka duduk berbual. Lebih-lebih lagi
dengan adanya teman wanita Amirul di situ. Melihat kerutan di wajah gadis itu,
Farhana dapat meneka yang dia tidak senang dengan situasi itu.
Hamimi mengangguk seperti burung belatuk. Dia bersetuju
dengan cadangan Farhana walaupun dia tahu itu hanya alasan semata-mata. Dia
turut berasa kurang selesa dengan kehadiran Qistina. Walaupun dia tidak
mengenalinya namun sikap sinisnya menjengkelkan.
“Oh, ya ke? Kalau macam tu, saya minta diri dulu. Saya
harap sangat satu hari nanti kita dapat duduk makan sambil berbual- bual ya,
Farah.” Amirul bangkit.
Sebenarnya berat hatinya untuk beredar. Jika diberi
kebenaran, dia mahu turut sama duduk menemani sambil berbual-bual dengan
gadis-gadis itu. Sebagai menghormati hak peribadi, dia terpaksa akur untuk
beredar dengan harapan satu hari nanti dia akan dapat meluangkan masa bersama
mereka dilain waktu.
Qistina berasa mual dengan sikap Amirul. Kalau dengan
dirinya tidak pula Amirul mahu bersikap lemah lembut dan bersopan santun
begitu. Dasar lelaki hipokrit, marahnya dalam hati. Sebelum beredar dia
bersalam dengan Farhana dan Hamimi. Bersalam pun hanya sekadar dihujung jari
sahaja. Qistina mendahului Amirul meninggalkan tempat itu. Sejurus Amirul
beredar dan hilang dari pandangan mata, barulah Farhana menarik nafas lega
sambil tersengih-sengih.
.
No comments:
Post a Comment