Cahaya matahari masih bersinar galak dan habanya membahang walaupun ketika itu
sudah jam 5.00 petang. Perit terasa
kulit muka kesan simbahan cahaya matahari yang menyengat itu. Peluh yang
membenih di dahi diseka. Syukur singgah di sebuah gerai menjual air tebu di
tepi jalan untuk melepaskan lelah. Dia baru sahaja sampai ke Petaling Jaya dari
Ipoh setelah mengambil cuti mengejut selama tiga hari berturut-turut.
|
Sebaik sahaja dia selesai minum, telefon bimbitnya
berdering. Lantas tangannya menyeluk poket seluar di sebelah kiri sambil tangan
kanannya pula menghulur sekeping duit kertas satu ringgit kepada peniaga air
tebu itu. Panggilan daripada telefon bimbit miliknya segera dijawab tanpa
mengetahui siapa gerangan sipemanggil.
“Assalamualaikum.” Syukur memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Suara seorang gadis kedengaran menjawab
di talian sebelah sana. Suara itu menghadirkan debaran di dadanya. Sudah tiga
hari dia tidak bersua muka apa lagi mendengar suara manja gadis itu.
“Farah, ada apa hal telefon aku ni?” Sengaja dia menanya
soalan. Bukan dia tidak tahu apa hajat gadis itu. Sudah pasti gadis itu mahu
tahu ke mana dia menghilangkan diri selama tiga hari tanpa berita. Dia tahu
benar dengan perangai si Merah Jambu yang sangat mengambil berat tentang
kawan-kawannya terutama terhadap Hamimi dan dirinya.
“Ako, kau kat mana ni?” tanya Farhana ingin tahu lokasi
lelaki itu.
“Aku ada kat Bangsar ni.”
“Kau dah balik dari kampung?”
“Ya, baru aje sampai.”
“Kenapa kau tak beritahu aku dengan Mimi pasal mak kau?
Sampai hati kau tak beritahu kita orang. Balik kampung pun tak cakap.”
“Maaflah, Farah. Aku nak cepat.”
“Alah, kalau kut ya pun nak cepat, takkanlah sampai tak
sempat nak telefon? Patutlah aku dengan Mimi tunggu kau hari tu kat kafeteria,
kau tak muncul-muncul.”
“Mana kau dengar pasal berita tu?”
“Rashid yang bagitahu. Lain kali janganlah buat macam tu,
Ako. Kalau ada apa-apa bagitaulah. Apa guna ada kawan kalau tak boleh berkongsi
masalah. Kau tahu kan macam mana aku dan Mimi ambil berat pasal kau.” Suara
Farhana kedengaran sayup.
Perasaan Syukur sedikit tergores apabila dia mendengar
gadis yang dipuja dalam diam itu menyebut perkataan ‘kawan’. Mengapakah dia
dianggap hanya sebagai kawan sahaja, tidak bolehkah lebih dari itu? Bagaimana
boleh aku luahkan rasa yang mengasak di hati bila mana perkataan kawan yang
sering kau sebut-sebut? Syukur benci dengan perasaan yang dialaminya ketika
itu. Hampir saja dia mahu menekan butang merah. Tidak sanggup telinganya mahu
terus mendengar suara itu.
“Ako!” panggil Farhana beberapa kali apabila tidak ada respon
daripada lelaki itu.
“Err… err… Farah, aku ada hal sikit. Okey. Bye!” Talian
dimatikan dengan tergesa-gesa tanpa menunggu jawapan daripada Farhana. Semakin
lama dia mendengar suara itu semakin terasa pedih dan ngilu tangkai hatinya.
Kesedihan atas pemergian ibunya ke alam baqak tiga hari
lalu masih hebat terasa. Tiba-tiba dia menerima panggilan telefon daripada
gadis itu pula yang menambah hiba perasaan lelakinya. Apalah malang nasib yang
menimpanya. Dia hidup sebatang kara kini. Ibunya baru sahaja pergi dan tidak
akan kembali lagi. Ayahnya pula sibuk dengan keluarga baru. Lebih malang lagi
apabila dia terpaksa mengambil alih tugas untuk menjaga dua orang adik
lelakinya yang enggan tinggal bersama ayah mereka.
Mujur sahaja mereka berdua tinggal di asrama. Dia sudah
berjanji dengan adik-adiknya yang dia akan pulang mengambil mereka untuk
tinggal bersamanya bila cuti sekolah tiba nanti. Kini dia sudah ada satu
tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul. Dia tidak boleh mementingkan dirinya
sendiri sahaja kerana di saat ibunya menghembuskan nafas terakhir, wujud dua
orang lagi manusia yang memerlukan perhatian daripadanya. Dua orang manusia itu
bukan orang lain melainkan darah dagingnya juga.
Sebagai anak yang paling tua, dia perlu bersiap sedia untuk
menempuh dan mengharungi segala-galanya. Dia sedar qadak dan qadar yang
didatangkan pasti ada hikmah di sebalik segala kejadian. Dia wajib redha sahaja
tanpa merungut dan bersungut. Dia anak lelaki. Dia perlu kuatkan semangat dan
tabahkan hatinya.
Dia bingkas berjalan menghampiri motosikal Honda EX5nya.
Topi keledar yang diletakkan di dalam bakul kenderaan itu dicapai lalu
disarungkan ke kepalanya. Syukur menghidupkan enjin lantas meninggalkan tempat
itu dengan segera.
Beberapa minit menunggang, akhirnya dia sampai juga ke Blok
B di Apartment Jalan Pantai Dalam yang telah disewa selama hampir sepuluh tahun
itu. Motosikal kesayangannya diparkirkan di tepi bangunan Blok B. Beg pakaian
yang diikat dengan getah di tempat duduk belakang dileraikan ikatannya lalu dia
membimbit beg itu menuju ke pintu lif. Sejurus dia sampai pintu lif pun
terbuka. Ada beberapa orang yang keluar dari perut lif itu sebelum dia pula
masuk untuk ke tingkat sembilan.
Ketika Syukur sampai ke rumah sewanya, tidak ada sesiapa di
rumah itu. Kesemua teman serumahnya masih belum pulang dari bekerja. Sebaik
melangkah masuk ke dalam rumah, dia terus menuju ke bilik tidurnya. Beg pakaian
yang dibimbit dicampak ke tepi katil lalu dia menghenyakkan tubuhnya di atas
katil bujang miliknya itu. Dia mendengus kasar.
Dia terkenangkan Haris dan Saiful yang ditinggalkan di
asrama sekolah mereka di Ipoh tengah hari tadi. Mereka menghantar kepulangannya
ke Kuala Lumpur dengan wajah sugul. Berat hatinya mahu meninggalkan mereka
tetapi dia mempunyai tanggungjawab yang lebih utama. Dia terpaksa kembali
bekerja demi dirinya dan adik-adiknya yang kini sudah hilang tempat mengadu dan
bermanja.
Kini dirinyalah tempat Haris dan Saiful bergantung harap.
Ayah mereka turut menghulur duit perbelanjaan kepada Haris dan Saiful tetapi
pemberiannya tidak tetap. Maklum saja, ayah mereka juga mempunyai tanggungjawab
yang lain. Syukur sangat memahami justeru dia tidak mengharap bantuan yang
sepenuhnya daripada ayah mereka.
“Rajin-rajin kerja, Ako. Cari rezeki yang halal. Jangan
suka curi tulang nanti duit gaji yang awak dapat tak berkat.”
Syukur teringat pesanan ibunya enam bulan lalu di mana kali
terakhir dia pulang ke kampung dan bertemu arwah ibunya. Wajah muram arwah
ibunya terbayang-bayang.
Kekesalan menghantui dirinya apabila mengingatkan betapa
dia seorang anak yang mengabaikan tanggungjawab. Dia sering leka dengan
kehidupannya sendiri. Semasa hayat ibunya ada dia jarang dapat pulang
bertemunya. Alasannya dia sibuk dengan kerja. Malah duit bulanan pun jarang
dapat dia kirimkan. Kini setelah ketiadaan ibunya barulah dia berasa
kehilangan. Dia dihantui rasa kesal.
Pilu hatinya kerana tidak sempat menabur jasa kepada arwah
ibunya. Walaupun dia dibela oleh ayahnya setelah kedua ibu dan ayahnya bercerai
namun kenangan bersama wanita itu tidak pernah luput dari ingatannya. Dia tetap
ibu yang melahirkannya walaupun arwah ibunya sempat menjaganya sehingga dia
berusia sepuluh tahun sahaja. Dia tidak pernah menyalahkan arwah ibunya. Mata
Syukur berkaca.
Sehingga kini dia tidak tahu apa punca penceraian antara
arwah ibu dan ayahnya. Dia ingat-ingat lupa. Sesekali kenangan semasa dia kecil
dulu mengimbau datang. Apa yang pasti, ayahnya seorang yang baik dan
bertanggungjawab kepada keluarga.
Arwah ibunya pula seorang yang lembut dan rajin menguruskan rumah
tangga. Entah di mana silapnya dan apa puncanya satu pertelingkahan besar telah
meletus antara kedua-dua orang tuanya
yang mendorong berlakunya penceraian.
Ketika itu, Haris baru berusia setahun manakala Saiful pula
berusia tiga tahun. Dia masih ingat bagaimana arwah ibunya tergesa-gesa keluar
dari rumah sambil mengheret Haris dan Saiful pergi selepas kejadian itu
berlaku. Ketika itu dia menangis teresak-esak kerana mahu mengikut ibu dan
adik-adiknya pergi tetapi dihalang oleh ayahnya. Sejak itu dia tidak lagi
berjumpa dengan mereka dan sejak itu dunianya sepi.
Setelah dia tamat persekolahan dia bertekad mencari arwah
ibu dan adik-adiknya. Ayahnya tidak sedikit pun menghalang. Malah, ayahlah yang
banyak memberi infomasi tentang lokasi di mana arwah ibu dan adik-adiknya
berada. Syukur membiarkan air matanya mengalir dan membasahi bantal. Keluhan
yang amat berat dilepaskan.
Tiba-tiba telefon bimbitnya yang lama membisu kini
menjerit-jerit minta diangkat. Syukur menggagau mencari telefon dari dalam
poket seluarnya. Seketika dia mengerling ke arah skrin comel telefon itu.
Tertera nama Si Merah Jambu di situ. Sengaja dibiarkan telefon itu berdering.
Saat fikirannya bercelaru memikirkan masalah diri, gadis itu pula sibuk
mengganggu. Telefon itu masih berbunyi dan sengaja dibiarkan deringan itu
berhenti dengan sendiri.
Kini masalah yang ditanggungnya kian terasa sarat. Antara
perasaan hiba ditinggalkan pergi oleh insan tersayang dan perasaan kecewa
akibat memendam rasa. Ah... perasaan terhadap gadis itu tidak bisa diluputkan
begitu sahaja. Rasa serba salah menghantuinya. Adakala dia mahu mengambil
keputusan untuk menjauhkan diri daripada Farhana. Biarlah dia dianggap sombong
kerana memutuskan silaturahim daripada hatinya sakit kerana kelukaan dan kekecewaan
yang berpanjangan.
Tanpa jemu telefon itu berbunyi lagi. Akhirnya lelaki itu
mengalah. Dia menekan butang hijau lalu telefon itu ditekap ke telinga kirinya.
Dia hanya diam tanpa sepatah kata. Hanya hembusan nafasnya yang kedengaran.
Berat dan sesak.
“Assalamualaikum.” Farhana mengucap salam. Dia dapat
merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu.
Lelaki itu berdiam agak lama sebelum menjawab salam
Farhana. Nada suaranya lesu dan tidak bermaya. Seperti hendak dan tidak sahaja
dia menjawab.
“Kau tak sihat ke, Ako?”
Sepi.
“Ako, kenapa kau diam?
Setiap yang hidup pasti akan mati. Sebagai seorang anak kau kena
rajin sedekahkan al-Fatihah kepada arwah. Itu saja cara yang terbaik untuk kau menebus
segala rasa bersalah kau terhadap arwah emak kau. Kau jangan
sedih. Kalau kau sedih aku dan Mimi
jugak akan rasa sedih,” kata Farhana cuba memujuk.
Sepi.
“Farah, aku rasa penat sangat. Aku nak
berehat. Terima kasih kerana prihatin dan bagi kata semangat pada aku.” Lelaki
itu bagaikan hilang semangat untuk berbual apa lagi bergurau seperti selalu.
“Kau berehatlah. Jangan banyak
berfikir. Nanti esok kita jumpa ya. Assalamualaikum.” Farhana memahami situasi
sahabatnya itu. Dia baru sahaja kehilangan orang yang tersayang. Mungkin dia
masih dalam keadaan bersedih.
“Waalaikumussalam,” jawab Syukur lesu. Telefon itu direnung
kosong walaupun talian telah dimatikan.
Ah... gadis itu tidak pernah tahu betapa sakitnya hati ku
menanggung rindu yang tidak berbalas. Aku ibarat pungguk yang menagih kasih
sang bulan. Kalaulah bisa bulan itu aku capai, pasti akan aku rangkul dan aku
bisikkan kata-kata indah. Biar bulan itu rebah di ribaanku dan lemas dengan
lautan kasih sayang ku yang tidak bertepi.
Fikiran Syukur kacau-bilau. Bayangan wajah manja Farhana
bermain-main di matanya walaupun puas dia cuba untuk menghakisnya pergi.
Hatinya kian terasa pedih. Gadis yang dipuja dalam diam itu tidak pernah tahu
perasaan yang dipendam terhadapnya. Kalaulah gadis itu tahu apa yang tersirat
di lubuk hatinya, adakah gadis itu akan mendepangkan tangan dan menyambut
cintanya yang tulus suci itu? Atau adakah dia akan menolak mentah-mentah dan
menjauhkan diri pula? Kalaulah itu yang akan berlaku, sanggup dia memendam
perasaan dan menjeruk rasa sampai bila-bila?
Oh tuhan,
bukakanlah pintu hatinya untuk menerima cintaku…
No comments:
Post a Comment