Amirul sedang berbaring di dalam bilik tidur ketika Mak Jah mengetuk daun pintu biliknya yang
berkunci dari dalam. Mak Jah melaungkan namanya berkali-kali. Sengaja dia
mendiamkan diri tanpa mahu menyahut panggilan Mak Jah. Dia tidak mahu diganggu.
Dia berasa letih. Dia mahu berehat dan melelapkan mata sebentar. Namun ketukan
pintu yang bertalu-talu dari luar membingitkan telinga. Lantas dia bangkit dari
katil sambil mendengus kasar. Tombol pintu segera dipulas. Mak Jah masih
tercegat di muka pintu dengan mata terkebil-kebil memandang Amirul.
|
“Ada apa, Mak Jah?” tanya Amirul pelik. Tentu ada perkara
penting yang mahu disampaikan oleh Mak Jah. Jarang wanita yang sudah dianggap
ibu sendiri itu mengganggunya begitu.
“Mirul tutup telefon ke?” Pertanyaan Amirul dijawab dengan
soalan daripada Mak Jah.
“Ha’ah. Kenapa, Mak Jah?” tanya Amirul pula.
“Tadi Qistina telefon. Dia kata banyak kali dia cuba
telefon Mirul tapi tak dapat.” Mak Jah tahu benar mengapa Amirul mematikan
telefon bimbitnya. Pasti kerana anak muda itu tidak mahu dirinya diganggu oleh
Qistina.
“Hmm… ingatkan ada hal apa tadi. Pasal perempuan tu
rupanya,” kata Amirul perlahan. Antara dengar dengan tidak. “Kalau dia telefon
lagi, Mak Jah beritau dia saya tidur. Kata kat dia saya penat dan tak mahu
diganggu,” tegas Amirul.
“Baiklah. Kalau dia telefon lagi, taulah Mak Jah nak jawab
apa nanti. Oh ya, betul ke Mirul tak nak makan? Mak Jah dah siap hidang nasi.”
Hakikatnya Mak Jah pun tidak berapa berkenan dengan anak
Dato’ itu. Dia tidak pandai langsung mengambil hati orang tua. Sudah acap kali
Qistina datang ke rumah itu dengan pakaian yang menjolok mata. Dia seorang yang
berpelajaran tinggi tetapi gaya dan aksinya tidak menampakkan dia seorang yang
berilmu.
“Tak apalah, Mak Jah. Kalau saya lapar nanti saya turun
makan. Terima kasih, Mak Jah,” ucap Amirul lembut. Dia menghadiahkan sekuntum
senyuman.
Mak Jah memang sering menjadi penyelamat di kala dia
memerlukan khidmat itu. Kalau semasa dia kecil-kecil dahulu, sering tubuh Mak
Jah dipeluknya sebagai tanda terima kasihnya pada Mak Jah. Tetapi sejak tamat
sekolah, sudah ada sifat malu yang menjadi benteng untuk dia berbuat demikian
terhadap Mak Jah.
Sebaik sahaja Mak Jah beredar, daun pintu ditutup dan
dikunci dari dalam. Dia kembali berbaring di atas katil empuknya. Ketika itu
baru pukul 8.00 malam. Suasana rumah itu sunyi. Dia pasti papa dan mamanya
masih belum pulang lagi. Begitulah arus kehidupan yang dilalui oleh Amirul
saban hari. Papanya sibuk dengan perniagaan manakala mamanya pula sibuk
dengan persatuan dan pertemuan dengan kawan-kawan Datinnya yang tidak pernah
selesai. Namun Amirul betah menghabiskan masa berkurung di rumah. Dia bukan
jenis anak muda yang suka berpeleseran, membazirkan masa dan wang ringgit ke
jalan yang sia-sia.
“Amirul
malam ni you free tak? Kalau free, jom
temankan I pergi disko. I belanja, nak?” pujuk Qistina. Baru petang tadi mereka
bertemu di restoran McDonald’s yang hampir dengan kilang tempat
Amirul bekerja.
“Sorry, I tak biasa pergi ke tempat-tempat yang bising
macam tu. Lagipun I tak suka. Daripada I buang masa kat situ lebih baik I lepak
tengok TV kat rumah. Telinga tak bingit, kepala tak pening tengok orang
melompat-lompat tak tentu arah,” bidas Amirul.
Walaupun Amirul dilahirkan dalam keluarga yang mewah
serba-serbi tetapi dia tidak mudah terpengaruh dengan gelagat teman-teman
sebayanya. Dia pandai mengawal diri dari terjebak ke kancah yang tidak sihat.
Padahal papa dan mamanya sering tidak ada di rumah. Hidupnya pagi ke petang
ditemani oleh Mak Jah sahaja. Kalau dia mahu berbuat jahat tidak ada siapa yang
akan peduli namun Amirul bukan dari jenis manusia yang begitu. Dia bijak
memilih teman. Kebanyakan teman-temannya terdiri dari golongan orang-orang yang
berpelajaran dan berhemah tinggi.
“You ni macam orang kampunglah. Harapkan muka saja yang
kacak tapi tak sofistikated langsung,” sindir Qistina
“Suka hati youlah nak cakap apa. You carilah orang lain
yang boleh temankan you ke tempat macam itu. Sorry, I tak
mau.” Amirul tetap dengan pendiriannya.
“Belum pernah ada orang tolak pelawaan I,” kata Qistina
angkuh. Sikap Amirul sungguh membosankan gadis itu. Pura-pura mahu berlagak
alim pula dia ni, bisiknya.
“Kalau macam tu, eloklah you ajak saja kawan you tu. Jangan
buang masa pujuk I. I tak akan jejakkan kaki I ke tempat macam tu.” Amirul
tidak akan berganjak dari keputusan yang telah dibuatnya. Dia tidak mungkin
tunduk dengan kemahuan gadis itu.
“You ni berlagaklah. I tak pernah jumpa orang yang berlagak
sombong macam you ni.” Qistina mulai berang apabila usahanya memujuk Amirul
gagal. Mukanya berubah merah.
“Suka hati youlah. Cakaplah apa yang you nak cakap.
Okeylah, kalau dah tak ada apa-apa lagi, I nak balik.” Amirul sudah berdiri.
Pantas tangan Qistina menarik lengan Amirul sehingga lelaki
itu terduduk dibuatnya. “You ni, tunggulah kejap. Nak balik cepat-cepat nak
buat apa. Nampak tu jalan jam,” kata Qistina sambil menuding jari menunjuk ke arah
jalan raya yang sesak dengan kenderaan.
Aku sanggup tempuh jalan raya yang sesak dari berdepan
dengan kau yang suka mendesak, bisik Amirul. Dahinya berkerut-kerut. Dia
mengalih pandang. Sengaja dia tidak mahu bertentang mata dengan gadis itu.
“Lain kali kalau you nak datang jumpa I, minta tolong
telefon I dulu. Jangan nak sesuka hati aje terjah I kat pejabat macam tadi,”
tegur Amirul.
“Apa salahnya? I datang nak jumpa you. Lagipun kalau I
telefon, you bukannya nak jawab,” rungut Qistina manja. Dia muncungkan
bibirnya. Sebelum dia ke pejabat Amirul tadi, dia mencuba beberapa kali untuk
menghubungi lelaki itu tetapi tidak berjawab. Dia tidak pasti sama ada talian
telefon lelaki itu tidak aktif atau pun dia sengaja mahu mengelakkan diri
daripadanya.
“Pejabat tempat untuk I bekerja. I tak suka orang luar
ganggu semasa I sedang bekerja, you faham tak?” marah Amirul selamba.
“You ni tak romantik langsung. Sikit-sikit nak marah.
Menyampah tau.” Qistina beraksi manja. Dia melentok-lentokkan badannya. Anak
rambut jatuh mengurai ke dahi sehingga menutup sebahagian mukanya lalu dia
menyibaknya ke belakang.
“I memang tak romantik. Tambah-tambah lagi kalau dengan
orang yang mengada-ngada macam you ni. Lainlah kalau you tu buah hati I.”
Sengaja Amirul menyindir dengan harapan Qistina akan sedar diri dan melupakan
hasratnya untuk menjalinkan hubungan dengannya seperti yang diharapkan oleh
kedua-dua orang tua mereka.
“I pun tak fahamlah kenapa papa dengan mama I
bersungguh-sunguh suruh I jalinkan hubungan dengan you. Sombong tak
bertempatlah you ni,” balas Qistina melepaskan geram.
Qistina mengerling tajam ke arah Amirul yang selamba saja
mukanya. Amirul mendiamkan diri, sudah tidak ada apa lagi yang mahu dibicarakan
lagi. Terasa sakit pula hati Qistina apabila melihat lelaki itu berdiam tanpa
respon.
Amirul memandang jam tangannya. “Ada apa-apa lagi? Kalau
dah tak ada apa-apa, I nak balik.”
Perasaan marah terhadap Amirul memuncak. Tiba-tiba dia
hilang sabar. “Sibuk sangat nak balik. Pergilah balik!” jerkah Qistina.
Tanpa
menunggu lebih lama, Amirul bingkas bangun dan beredar pergi tanpa pamitan. Memang
itu yang ditunggu-tunggunya. Qistina memang bukan gadis yang menepati cita
rasanya. Kalau mamanya beria-ia mahukan Qistina sebagai calon menantu, sanggup
dia membujang sampai ke tua.
Bunyi ketukan pintu yang
bertalu-talu mengejutkan Amirul. “Apa lagi ni?” Dia mendengus. “Nak lelapkan
mata pun tak senang.” Dia bangkit dan duduk di birai katil. Dia menggaru
kepalanya yang tidak gatal. Ketukan di pintu masih kedengaran lagi. Dia
memasang telinga, mendengar dengan teliti suara siapa yang melaungkan namanya
dari luar bilik.
“Ya, mama.” Amirul menyahut apabila pasti suara itu adalah
suara Mazni. Dia bangkit malas dari katil menuju ke pintu. Tombol pintu segera
dipulas. Belum sempat Amirul membukanya, pantas saja daun pintu itu ditolak
dari luar. Mazni kelihatan tercegat di muka pintu dengan bercekak pinggang. Ada
riak marah di wajahnya.
“Apa yang Mirul dah buat dengan Qistina?!” Nada suara Mazni
meninggi.
Amirul sudah boleh mengagak tujuan Mazni tatkala melihat
wajah mamanya sebentar tadi. Amirul menggaru kepala. Dia masih memegang tombol
pintu.
“Tak ada apa-apa.” Dia menjawab selamba seperti orang tidak
bersalah.
“Mana boleh tak ada apa-apa? Tadi petang Qistina call mama,
menangis-nangis. Dia kata Mirul marah dia sebab pergi pejabat Mirul. Betul,
kan?” Ayat-ayat yang keluar daripada
mulut Mazni seperti peluru yang menghambur keluar daripada mulut senapang patah.
Amirul
membatu. Soalan mamanya sukar untuk dia menjawab. Dia serba salah. Kalau
dijawab sudah pasti leteran mamanya akan berpanjangan. Silap-silap boleh
mencetuskan perbalahan. Amirul tidak sanggup mendengar bebelan mamanya dan dia
juga tidak suka bertengkar dengan mamanya. Sebagai seorang islam dia tahu dosa
pahala walaupun papa dan mamanya kurang memberi didikan agama kepadanya.
Ustazah
di sekolahnya dulu selalu berpesan supaya menjadi anak yang soleh dan berbuat
baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jangan sekali-kali menyakiti hati mereka.
Jangan suka melawan cakap mereka nanti digelar anak derhaka. Anak derhaka tidak
masuk Syurga. Neraka jahanamlah nanti tempatnya.
“Jawab, Mirul. Kenapa Mirul marah Qistina?” soal Mazni
garang.
“Saya tak suka dia datang ke pejabat saya, ma.” Amirul
membuka luas daun pintu. Dia beranjak lalu duduk di birai katil.
Lantas Mazni melangkah masuk ke dalam bilik itu dengan deruan
nafas yang sudah hilang iramanya. Dadanya turun naik. “Apa salahnya dia
datang?”
“Saya tak mau diganggu. Lagipun saya malu dengan
kawan-kawan sepejabat. Nanti apa kata dia orang. Sayakan masih baru lagi di
pejabat tu?” jelas Amirul.
“Apa yang dia buat sampai memalukan Mirul pulak?” Mazni
berdiri hampir dengan tingkap kaca. Kain langsir yang menutup tingkap itu
disebak. Dia membuang pandang keluar. Langit kelihatan gelap, tanpa cahaya
bulan dan kerlipan bintang yang menghiasi. Mujur ada simbahan cahaya dari lampu
jalanan yang terpasang, sekurang-kurangnya cahaya yang terbatas itu menerangi
sebahagian tempat.
Amirul menarik nafas panjang. Nafas yang deras dihambur
keluar dalam bentuk keluhan. Mamanya tidak faham atau sengaja tidak mahu faham.
“Mama,
kalau dia nak berjumpa saya, kenapa tak telefon terlebih dulu? Saya tak kisah
kalau berjumpa di mana-mana tetapi bukan di tempat saya bekerja. Saya tak
suka.” Amirul meluahkan rasa tidak senangnya dengan sikap Qistina kepada Mazni.
Dia mahu mamanya itu tahu bahawa anak terunanya itu sebenarnya tidak berkenan
dengan gadis pilihannya.
“Kenapa Mirul benci sangat dengan Qistina tu?” Mazni ingin
tahu. Dari kaca matanya sendiri, gadis itu serba sempurna. Dia ada
segala-galanya. Dia cantik malah kaya-raya. Apa lagi yang tak kena dengan gadis
itu? Mazni menatap lama wajah Amirul yang kelihatan resah.
‘Sebab
dia gedik, ma.’ Kata-kata itu hanya sekadar dibisikkan kepada dirinya sendiri.
“Mama
tengok dia baik. Mengada-ngada tu biasalah. Sebenarnya dia manja. Dia kan anak tunggal?
Mirul kena faham tu.” Nada suara Mazni mulai mengendur. Dia sudah lelah mahu
berkeras dengan anak tunggalnya itu.
“Tapi,
mama... perasaan sayang tak boleh dipaksa-paksa. Saya tak berkenan dengan
Qistina tu, ma. Dia tak sesuai untuk saya. Lagipun cita rasa kami berbeza. Dia
dan saya macam bumi dengan langit.” Amirul menundukkan muka ke lantai.
“Mirul,
perasaan itu boleh dipupuk. Kalau belum mencuba Mirul dah menyerah kalah, macam
mana nak menang? Cubalah buat baik dengan Qistina tu ya Mirul. Mama mahu lihat
anak mama bahagia.”
Mazni mendekati Amirul. Dia duduk di sisi dan lengannya
memeluk mesra bahu Amirul. Sudah agak lama mereka tidak berkeadaan begitu.
Tiba-tiba Mazni rindukan Amirul yang dahulu. Yang tidak pernah membantah malah
sering mendengar kata.
“Mama sayangkan Mirul. Mama nak tengok Mirul bahagia. Dan
mama nampak kalau Mirul kahwin dengan Qistina, Mirul akan bahagia seumur hidup
Mirul,” katanya sayu.
Amirul membatu. Mengeyakan tidak menentang pun tidak.
Timbul perasaan kasihan terhadap Mazni. Jauh di sudut hatinya, dia past
kebahagiaannya bukan terletak pada gadis itu. Malah gadis itulah yang
sebenarnya akan menghuru harakan hidupnya. Buat seketika, adalah lebih baik dia
mendiamkan diri sahaja agar Mazni akan berasa tenang dan tidak marah-marah.
Jika dibiarkan mamanya sering marah, dia bimbang kemarahan itu akan menjadi
punca penyakit kepada mamanya pula.
.
No comments:
Post a Comment