Pagi itu
Amirul mengambil sarapan pagi bersama papa dan mamanya. Begitulah rutinnya
setiap pagi sebelum ke tempat kerja. Mengambil sarapan di awal pagi setiap hari
adalah satu kemestian baginya. Hidangan dua keping roti bakar bersama dua biji
telur separuh masak dan secawan nescafe panas sudah memadai.
|
“Macam
mana kerja, seronok?” tanya Mazni memulakan bicara.
“Seronok
ma. Setakat ni, saya belum nampak apa-apa masalah lagi. Saya rasa selesa duduk
kat ofis tu. Datuk
Kadir pun baik orangnya.” Roti bakar dicicah dengan telur separuh masak lalu dimakan
sedikit demi sedikit sebelum mencicip minuman yang masih panas.
“Papa
harap Mirul mampu pikul tanggungjawab yang Datuk Kadir bagi. Sebagai seorang pekerja yang belum
banyak pengalaman, Mirul jangan malu-malu bertanya. Carilah pengalaman sebanyak
yang boleh. Kilang tu besar, pekerja dia pun ramai. Pandai-pandai Mirullah
macam mana nak menyesuaikan diri di situ. Yang penting kepercayaan yang
diberikan jangan dipersiakan.” Tanpa jemu Mustafa memberikan kata-kata
perangsang sebagai penguat semangat kepada anak tunggalnya itu agar terus
berjaya di dalam kerjayanya.
“Insya-ALLAH,
pa. Kebetulan di pejabat tu ada seorang pegawai yang banyak beri saya tunjuk
ajar. Semakin hari saya rasa semakin bersemangat,” jelas Amirul.
Sejak
semalam wajah Farhana sahaja yang melayari mindanya. Adakah kerana gadis itu
yang membuatkan semangat dia kian membara untuk ke pejabat? Apakah kerana gadis
itu juga yang menyebabkan fikirannya hanya melekat di kilang sana? Ahh…
lagi-lagi pasal gadis itu. Amirul tersengih-sengih setiap kali bayangan wajah
gadis itu yang tergayang-gayang di depan matanya.
“Tapi
ingat Mirul. Bekerja di kilang tu hanya untuk sementara saja. Kerja untuk cari
pengalaman saja. Lepas tu Mirul kena sambung belajar semula. Mama tak mau Mirul
bekerja tetap di kilang yang tak glamour tu.” Mazni membuat mimik muka.
Memang
sejak mula Mazni tidak bersetuju apabila mendapat tahu mengenai cadangan
Mustafa untuk membenarkan Amirul bekerja di kilang itu. Baginya, pekerjaan itu
tidak menjanjikan masa hadapan yang cerah. Katanya bekerja di kilang tidak ada
jaminan. Dia semakin yakin dengan pendapatnya apabila mendapat tahu ada sebuah
kilang terpaksa ditutup kerana mengalami kerugian yang teruk.
Pekerja-pekerjanya pula diberhentikan tanpa memberi apa-apa ganjaran sebagai ganti
rugi.
“Pekerjaan
apa yang glamour, ma? Saya bukan artis nak kejar glamour. Niat saya bekerja
untuk cari pengalaman dan mencari rezeki yang halal, itu saja. Yang penting
saya dapat cari duit poket saya sendiri tanpa mengharapkan duit papa dan mama.
Betul tak ma?” luah Amirul dengan nada tenang.
Dia
tidak mahu kata-katanya akan menjadi punca pertelingkahan antara dia dengan
Mazni. Dia sudah masak benar dengan sikap Mazni. Setiap perbuatan dan
kehendaknya pasti ada sahaja bantahan dari Mazni. Adakala dia terfikir, kenapa
mamanya tidak pernah bersetuju dengan pendapatnya. Ada saja salah dan silap dia
di mata mamanya itu. Buntu akal fikirannya memikirkan.
“Ya,
mama faham. Mirul bekerja untuk cari duit poket sendiri tapi janganlah
keseronokan bekerja di kilang tu sampai Mirul lupa apa niat utamanya. Kalau
boleh mama tak mau Mirul kerja lama sangat di kilang tu. Kalau setakat nak cari
pengalaman cukuplah untuk dua tiga bulan je. Mama bimbang bila dah sedap pegang
duit, lupa pulak nak sambung belajar nanti.” Mazni menambah air dari dalam
teko. Bercakap dengan Amirul buat tekaknya haus.
“You ni,
cubalah sesekali bagi Amirul tu buat keputusan dia sendiri. Kan dia dah kata
dia nak sambung belajar. Bekerja ni hanya untuk sementara saja.” Mustafa
menatap wajah Mazni penuh makna. Dia sangat berharap agar Mazni dapat memberi
sedikit ruang untuk anak bujang mereka itu bebas melakukan aktiviti yang
disukainya asalkan tidak melampui batas.
“I ni
mama dia, pa. Kalau bukan I yang mengingatkan dia siapa lagi? Nak harapkan you
yang sentiasa sibuk dengan urusan pejabat you tu, memang tak boleh haraplah.”
Mazni mendengus.
Mustafa
menggeleng beberapa kali. Sudah masuk 24 tahun usia Amirul, masih lagi Mazni
yang putuskan setiap aktiviti yang anak mereka mahu lakukan. Sudah beberapa kali
Mustafa mengingatkan Mazni bahawa anak mereka itu sudah dewasa dan dia sudah
tidak perlukan arahan dari mereka lagi. Sebagai orang tua, mereka sekadar boleh
memberi nasihat dan kata semangat. Itu pun kalau anak itu memerlukan
perkhidmatan itu dari mereka.
“Dah nak
dekat pukul 8, cepatlah pergi kerja Mirul. Nanti terlambat pulak.” Mustafa
mengingatkan Amirul untuk mengelak dirinya dibebel oleh Mazni.
Amirul
bingkas bangkit dan memohon diri sebelum berlalu pergi. Memang kata-kata itu
yang ditunggu-tunggu. Baginya Mustafa adalah penyelamatnya disetiap kali Mazni
membebel panjang. Dia tidak suka membangkang kata-kata mamanya. Dia sedar
adalah satu dosa besar jika dia melakukan demikian terhadap mamanya. Namun
adakalanya benteng sabarnya goyah juga lantaran sikap mamanya yang tidak pernah
berpuas hati terhadapnya.
“Amirul
tu dah besar, ma. Bagilah dia peluang untuk bebas sikit. Lagipun dia bukannya
buat benda yang salah. Orang lelaki ni tak suka dikongkong. Nanti satu hari dia
memberontak baru padan muka you,” kata Mustafa tegas.
“Itulah
you ni. Suka manjakan anak. Anak kita tu cuma sorang je. Jadi tolonglah fahami
perasaan I. I nak yang terbaik untuk dia,” jelas Mazni. Hatinya terusik dengan
sikap Mustafa yang seolah-olah menggalakkan anak mereka untuk tidak mendengar
nasihatnya.
Mustafa
mengeluh keras. Sudah acapkali dia bertegas dengan Mazni berkenaan isu Amirul,
anak tunggal mereka itu. Dia sudah malas untuk mengulang cakap. Isterinya itu
tetap dengan pendiriannya yang mahukan Amirul mengikut apa sahaja kemahuannya.
Jika terlebih bersuara nanti isterinya berjauh hati pula.
“Okeylah,
I nak pergi dah ni.” Mustafa mahu segera beredar sebelum dirinya pula menjadi
mangsa bebelan Mazni.
“Hai!
Kita belum habis bercakap lagi dah nak pergi?” keluh Mazni. Menyirap darahnya
melihat Mustafa melangkah pergi meninggalkannya seorang diri di meja makan.
Bapa dengan anak sama saja, pantang bebel sikit dah panas punggung.
Jalan
raya ketika itu agak sesak. Amirul tenang sahaja memandu untuk ke tempat kerja.
Begitulah senarionya setiap pagi. Jalan raya tidak pernah sunyi dari kenderaan.
Sambil memandu dia melayan lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio yang
terpasang. Sesekali dia menyanyi kecil mengikut lagu yang didengarinya.
Terbayang wajah Farhana, hatinya berbunga riang. Dia asyik teringatkan wajah
cemas Farhana ketika insiden air minuman yang dibawanya tertumpah dan memercik
ke bajunya. Gadis itu kelihatan sangat naïf dan comel. Amirul tersenyum-senyum.
“Kenapalah
aku asyik teringatkan dia saja?” soalnya kepada diri sendiri. Sejak pertama
kali bertentang mata dengan gadis itu entah kenapa perasaannya menjadi tidak
keruan. Gadis itu mempunyai senyuman yang menarik. Raut wajahnya yang lembut
dan sikapnya yang tenang membuat hatinya tertambat. “Angau agaknya aku ni.” Amirul
tersenyum panjang.
Tiba-tiba
Amirul tersentak apabila terdengar jeritan hon dari belakang keretanya.
Bayangan wajah manis Farhana hilang serta-merta. Dengan tergesa-gesa dia
menekan pedal kereta apabila menyedari lampu yang tadi merah kini sudah bertukar
hijau. Kereta dipecut, meluncur laju. Seketika kemudian dia sudah sampai di
tapak parkir kilang tempat dia bekerja.
Kereta
Honda City warna hitam miliknya menjadi perhatian gadis-gadis di kilang. Setiap
kali mereka ternampak kelibat kereta itu melintasi mereka, pasti mereka sudah
tersengih-sengih memandang. Gadis-gadis itu berharap agar pemilik kereta itu
akan mengerling pandang ke arah mereka.
Amirul
melangkah segak menuju ke bangunan pejabatnya. Dia memakai baju kemeja
berlengan panjang warna biru laut dipadankan dengan seluar slack hitam.
Rambutnya yang dibelah tepi disisir rapi. Dari jauh kasut hitam yang dipakainya
nampak berkilauan. Baru sahaja dia mahu menjejakkan kaki di kaki lima, dia
terdengar ada suara yang memanggilnya. Dia kenal benar dengan suara itu.
Langkah kakinya terhenti. Dia menoleh pandang.
“Awal
lagi. Jom kita pergi sarapan dulu,” pelawa Gunawan sambil menghadiahkan senyum.
Amirul
melihat jam di tangan. “Aku dah sarapan. Tapi tak apalah aku temankan kau
saja.” Amirul menepuk perlahan di belakang Gunawan yang berjalan mendahuluinya
menuju ke kafeteria.
Beberapa
pekerja kilang yang mengenali mereka memberi ucap salam. Ada juga yang
tersenyum-senyum sambil tersipu-sipu malu. Kehadiran pengurus baru yang kacak
itu menjadi bualan kebanyakan gadis-gadis di situ. Ada yang berlumba-lumba
memasang badan semata-mata untuk memikat hati Amirul. Tetapi semua usaha itu
sia-sia belaka kerana tidak ada siapa yang tahu bahawa ruang hatinya sudah
ditawan.
“Untunglah
kau duduk dengan keluarga. Makan minum ada yang menjaga. Nasib aku tinggal
bujang, semua kena buat sendiri,” rungut Gunawan yang masih membujang walaupun
usianya sudah melebihi tiga puluh tahun.
“Kahwinlah,
kan senang.” Amirul mencadangkan.
Kata-kata
Amirul itu bagai menggaru-garu hati Gunawan sehingga dia mengakah-ngakah ketawa
sambil kaki melangkah. Mereka mengambil tempat hampir dengan kaunter. Amirul
sudah melabuhkan punggungnya disalah sebuah bangku manakala Gunawan ke kaunter
untuk membuat pesanan makanan. Seketika kemudian dia kembali dengan menatang
sebuah dulang. Secawan kopi panas dan sepinggan mi goreng penambat seleranya
untuk bersarapan.
“Eh!
Betul ke kau tak nak makan?” tanya Gunawan sebaik dia meletakkan sarapannya ke
atas meja.
“Betul.
Aku dah sarapan di rumah.” Amirul memberi jawapan yang serupa.
“Tak
bestlah aku makan sorang. Minum pun tak nak?”
“Tak
apa. Kau makanlah.”
Setelah
berpuas hati dengan jawapan Amirul, barulah Gunawan memulakan sarapannya
sebelum membaca doa makan. Keadaan kafeteria itu agak lengang sedikit kerana pekerja-pekerja
kilang di syif pagi sudah masuk bertugas sejak awal pagi.
“Aku
tengok ramai betul minah-minah kilang yang asyik perhatikan kau saja. Dapatlah
aku tumpang glamour.” Gunawan ketawa. “Manalah tau berkat ketampanan kau ada
pulak yang sangkut kat aku.” Gunawan ketawa lagi di akhir kata-katanya.
“Kau ni
memilih sangat kut. Itulah sebabnya susah nak dapat pasangan.” Amirul tersenyum
nipis.
“Aku tak
hensem macam kau. Siapalah yang hendakkan aku. Rupa tak ada, budi bahasa apa
tah lagi.” Gunawan cuba merendah diri.
Selama
lima tahun dia bekerja di kilang itu sudah beberapa kali dia dikecewakan. Namun
dia tidak pernah berputus asa untuk mencari cinta yang tulus. Malangnya, setiap
gadis yang pernah didekati hanya mampu bertahan untuk beberapa bulan sahaja.
Dia sering menjadi mangsa gadis yang hanya mengambil kesempatan untuk mengikis
wang ringgit semata. Setelah habis wangnya dikikis mereka berhenti dan
menghilangkan diri entah ke mana. Anehnya, sehingga kini Gunawan tetap berharap
masih ada lagi cinta buatnya. Dia tidak pernah serik dan tidak akan pernah
mengalah untuk memburu cinta.
“Rupa
paras tak penting. Yang penting poket. Kalau muka hensem tapi poket kosong nak
buat apa?” Amirul cuba menyangkal kata-kata Gunawan. Dia tidak bersetuju dengan
pendapat Gunawan itu.
“Ya, aku
setuju. Tapi kalau poket penuh tapi tak ada orang nak dekat pun tak guna jugak.
Tapi aku masih mengharap satu hari nanti akan ada seorang gadis yang datang
pada aku dan meluahkan kata cinta pada aku.” Gunawan ketawa terbahak-bahak dengan
kata-katanya sendiri. “Tak pun kalau kau ada lebih kawan perempuan kenalkanlah
dengan aku.” Lelaki itu ketawa lagi. Sepinggan mi goreng sudah habis licin.
“Aku
mana ada ramai kenalan perempuan. Semasa di Universiti dulu, aku hanya bergaul
dengan kawan-kawan lelaki saja. Kawan-kawan perempuan segan nak datang dekat
sebab mereka kata aku sombong. Sebenarnya mereka tak tau, aku ni pendiam. Aku
bukan suka cakap merapu yang tak berfaedah.” Amirul meluah kata.
Hakikatnya
Amirul merupakan salah seorang pelajar yang tidak banyak bercakap. Dia hanya
bercakap tentang perkara yang penting-penting sahaja. Dia memegang prinsip,
lebih baik diam dari berkata-kata sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang
lain.
“Oh ya,
aku nak tanya, kau kenal ramai tak budak perempuan kat sini?” tanya Amirul
bersemangat. Manalah tahu kalau kalau si Gunawan ni kenal dengan gadis itu,
senanglah kerjanya nanti.
“Tak
adalah ramai sangat. Lagipun aku kerja di pejabat. Waktu bekerja pun tak sama.
Tak sempat nak mengacau. Aku hanya mampu tengok je,” jelas Gunawan berterus
terang.
Dia
mengangkat cawan lalu didekatkan ke mulutnya. Dia menghirup kopi yang sudah
suam sehingga habis. Cawan yang sudah kosong itu diletakkan semula di atas
piring yang diletakkan sebagai alas.
“Kenapa
kau tanya?” soal Gunawan pelik. Mukanya dihiasi senyum nipis sejak tadi.
“Tak ada
apa-apa. Saja aje tanya.” Amirul sudah bangun dari bangku.
“Aku rasa mesti ada apa-apa yang kau sorokkan dari aku. Cakap saja. Jangan pendam perasaan. Takut-takut melepas kau nanti.” Gunawan turut bangun. “Kau baik-baik sikit. Sebelum kau jatuh hati dengan gadis-gadis kat sini, lebih baik kau siasat dulu latar belakang mereka. Jangan salah mengurat, entah-entah makwe orang. Lagi haru kalau dia bini orang, niaya je. Kalau jadi macam tu, aku tak nak masuk campur,” gurau Gunawan. Dia menyengih saja.
“Kalau
makwe orang atau bini orang yang nak mengurat aku pulak macam mana?” balas
Amirul sambil ketawa.
Gunawan
menjongketkan bahunya. “Yalah. Kaukan hensem.”
Kata-kata
Gunawan itu disambut dengan gelak ketawa. “Kau kenal Farah?” tanya Amirul dalam
sisa ketawa.
“Si
Merah Jambu?” Gunawan meneka.
“Si
Merah Jambu?” Wajah Amirul berkerut.
“Yalah.
Farhana kan nama penuh dia? Kenapa, kau terpikat dengan dia? Aku dah agak dah.”
“Kenapa
kau panggil dia Si Merah Jambu?” tanya Amirul pelik.
“Sebab
dia jambu,” gurau Gunawan sambil menyengih.
Amirul
merenung wajah Gunawan dengan penuh tanda tanya.
“Ramai
yang minat kat dia tu. Tapi yang herannya, bukan senang nak pikat hati dia.”
“Dia dah
ada boy friend?”
“Kau tanya
aku, manalah aku tau? Kau dah berkenalan dengan dia kan? Pandai-pandailah kau
macam mana nak korek rahsia. Mudah-mudahan kau berjaya menawan hati dia tu.”
Gunawan tersengih-sengih seperti ada rahsia yang disembunyikan.
.
No comments:
Post a Comment