“Berbanyaklah bersabar kak Lia,
semuanya sudah ditakdirkan. Kita
merancang tapi semua sudah ditentukan” aku duduk bersebelahan kak Lia sambil
tanganku mengurut-urut belakangnya.
Aku
cuba
untuk tidak menangis dengan nasib yang menimpa kak Lia. Aku harus tabah dan berharap dengan ketabahan
ku itu akan membuatkan kak Lia lebih kuat untuk menghadapi masalah
rumahtangganya yang semakin meruncing.
Kak Lia terus menangis teresak-esak dan rasa simpati ku menggunung. Aku sedaya upaya memujuk kak Lia supaya
bersabar dan jangan menangis tetapi berat mata memandang berat lagi bahu yang
memikul.
“Akak
tak kisah kalau abang Idham nak kahwin lagi tapi sekurang-kurangnya dia bagitau
akak. Akak rasa tersinggung dengan sikap
abang Idham yang membelakangkan akak.
Banyak yang akak korbankan untuk dia, tengok sekarang apa yang dia balas
pada akak?” kak Lia meluahkan rasa hati yang terbuku dalam sedu sedan yang tidak
dapat ditahan-tahan.
Aku
merenung wajah kak Lia yang sembap akibat menangis yang terlalu banyak. Farah tiada di rumah kerana dia telah
dihantar oleh kak Lia ke nursery sejak pagi lagi. Abang Idham sudah beberapa hari tidak pulang,
kata kak Lia. Semalam kak Lia ada menerima
panggilan telefon dari Suraya teman abang Idham. Wanita itu memberitahu kak Lia yang dia dan
abang Idham telah bernikah. Dia memohon
kemaafan kerana tidak memberitahu kak Lia atas desakan abang Idham. Abang Idham tidak mahu kak Lia apatah lagi
keluarga yang lain tahu tentang dirinya yang telah menikah satu lagi. Abang Idham tidak tahu tentang pertemuan diantara
Suraya dan kak Lia sebelum ini.
Sangkanya pernikahannya kali kedua itu berjaya disembunyikan dari
pengetahuan kak Lia dan keluarga yang lain.
Kak Lia terus menghubungiku
sebaik sahaja menerima panggilan dari Suraya semalam. Atas dasar simpati aku mengambil cuti hari
ini kerana mahu menemani kak Lia di rumah.
Kak Lia perlukan tempat untuk mengadu dan meluahkan isi hatinya yang
sedang gundah gulana itu. Sebagai adik
aku semestinya berada disisinya disaat-saat dia memerlukan aku.
“Assalamualaikum!”
satu suara kedengaran memberi salam dari
luar.
Aku
segera bangkit dari tempat duduk dan menjengah keluar melalui tingkap yang
terbuka.
“Waalaikumussalam. Oh kak Min, masuklah” aku melangkah ke muka
pintu untuk menyambut kak Min yang datang bersama abang Fuad.
Kami
berjabat salam dan kak Min terus mendapatkan kak Lia yang duduk kaku di sofa
kulit di ruang tamu rumahnya. Tangisan
kak Lia semakin kuat sebaik kak Min mendakap tubuhnya. Abang Fuad duduk di sofa yang berhampiran tanpa
dijemput. Aku dan abang Fuad
berpandangan tanpa kata-kata yang terluah.
Dengan perlahan aku melangkah dan duduk di sebelah kiri kak Lia. Kak Min memandang ke wajah ku sekilas dan
merenung wajah kak Lia dengan penuh kasih dan simpati. Kak Lia menceritakan segala-galanya kepada
kak Min. Abang Fuad hanya terdiam
mendengar dan sesekali terbatuk kecil.
“Sabarlah
Lia, benda dah jadi, nak buat macammana.
Kalau mengamuk pun bukan boleh buat dia berubah hati. Berdoalah banyak-banyak supaya Lia tenang
menghadapi dugaan. Ada hikmahnya disebalik semua ni”, kak Min
terus memujuk. Tangisan kak Lia semakin
reda.
“Farah
mana?” tanya kak Lia.
“Di
nursery” jawabku.
“Lia
dah makan? Sara?” abang Fuad bersuara.
Kak Lia menggelengkan kepala.
“Abang, you pergi jelah beli nasi bungkus di kedai depan tu” ujar kak Min.
“Eh
tak apa, beli lauk je, biar Sara masakkan nasi” cadang ku pula.
Abang
Fuad menganggukkan kepala dan berlalu keluar.
“Kak
Lia jangan beritahu ibu dan ayah pasal ni ya”, pesan kak Lia kepada kak
Min.
“Nanti
kalau ibu dengan ayah tahu, susah hati pulak mereka tu”.
“Jangan
fikirkan pasal tu semua Lia, yang penting Lia kena fikirkan apa perancangan Lia
seterusnya lepas ni”, nasihat kak Min lagi.
“Lia
boleh terima pernikahan Idham yang kedua ni?” tanya kak Min dan kak Lia mengangguk lesu.
“Lia
tak kisah dimadukan dan jadi isteri pertama?”
soal kak Min lagi.
“Lia
tak kisah kak, Lia memang dah bersedia tapi yang buat Lia rasa sedih sangat
sebab abang Idham tidak beritahu Lia sendiri”.
“Tak
apalah Lia, Lia sabar ya!” kak Min
menarik nafas dan melepaskan keluhan.
Aku
bangkit dari tempat duduk dan berlalu ke dapur untuk memasak nasi. Cerek yang kosong ku isikan air lalu ku
tenggekkan diatas dapur sebaik dapur gas mengeluarkan apinya. Seketika kemudian kak Min muncul dengan
membawa bag plastik di tangan. Lauk pauk
yang dibeli dihidangkan di atas meja makan.
Bunyi cerek di atas dapur menjerit-jerit menandakan air telah mendidih
dan api dari dapur gas terpadam sebaik ianya kututup. Air teh O kosong telah siap ku bancuh dan
nasi yang telah masak telah siap disenduk ke dalam mangkuk besar. Kami menikmati makan tengahari dengan suasana
yang sunyi tanpa ada suara yang kedengaran, tidak seperti pertemuan-pertemuan
kami sebelumnya. Kak Lia menyuapkan nasi
ke mulut dengan lesu, dia kelihatan seperti tidak berselera untuk makan. Atas pujukan kak Min dan abang Fuad kak Lia memaksa
diri untuk menjamah sesuap nasi.
“Lepas
ni kita pergi ambik Farah balik ya!” aku
memecah kesunyian itu dengan harapan agar hati kak Lia terhibur sedikit apabila
mendengar nama anak kesayangannya disebut.
Aku ke rumah Dato’
Saiful dan Datin Fariza bersendirian untuk memenuhi jemputan mereka kelmarin. Azry tiada bersama ku kerana berada di Pulau Pinang , telah dua hari dia di sana atas urusan
kerja. Aku ke rumah Datin Fariza
berpandukan kad undangan perkahwinan yang diberi dulu. Mereka tinggal di kawasan perumahan banglo
yang besar dan cantik di Subang Jaya.
Lampu-lampu yang terpasang di sekeliling rumah sudah cukup memberikan
cahaya yang terang benderang di sepanjang jalan laluan. Kereta berderetan sepanjang jalan masuk ke rumah
mereka memaksa aku memakirkan kereta di tepi jalan yang agak jauh sedikit. Dari kejauhan kedengaran riuh rendah suara
orang bercakap-cakap sesekali ketawa berdekah-dekah diiringi muzik dari
pembesar suara yang dipasang di sudut ruang.
Ramainya tetamu, tak nampak pulak Dato’ atau Datin di situ, macamana ni?
keluh ku.
“Sila,
silakan masuk” seorang wanita menyapa
dengan mesra dan menjemput aku masuk.
Aku
melangkah perlahan sambil mata melilau mencari-cari wajah Dato’ Saiful dan
Datin Fariza. Mungkin terpandangkan aku
yang terlangak-langak mencari seseorang, seorang lelaki yang berwajah kacukan
datang menghampiriku.
“You
ni kawan Arissa ke?” tanyanya.
“Err
tak, saya kawan Dato’ Saiful dan Datin Fariza, mereka ada?” jawabku sopan.
“Oh,
uncle dan auntie ada di dalam, jomlah masuk ke dalam dulu” kata lelaki kacak
itu ramah.
“Err..
tak apa, saya tunggu di sini”.
“Anyway, I Syafik, you?” tangan dihulur untuk
bersalam dan aku menyambut salamnya.
“Maisara,
panggil saja Sara” aku memperkenalkan
diri.
“Oh! Sara nice to meet you”.
“Nice to meet you too” balasku dan genggaman tangan dilepaskan.
“I
ke dalam tolong panggilkan uncle dan auntie. You have a seat first and help your self
ya” Syafik menawarkan diri.
“Ok, thank you” aku mengangguk, kami berbalas
senyuman.
Syafik
menghilangkan diri ke dalam rumah menerusi pintu masuk utama yang terbuka luas. Aku mencari tempat duduk. Belum pun sempat aku duduk di kerusi plastik
yang dihiasi dengan kain reben berwarna biru itu, terdengar seseorang memanggil
namaku dari belakang. Aku serta merta
menoleh.
“Hai
Datin” tangan dihulur dan disambut
dengan salam dan pelukan mesra dari Datin Fariza.
“Sampai
juga you ya. Eh sorang je ke? Husband you mana?” tanya Datin dengan senyuman manis.
“I
sorang je datang ni, husband I tak dapat datang, outstation”.
“Oh
iya ke?”.
“Dato’
Saiful mana?” tanya ku sambil
menghulurkan satu kotak hadiah yang berbalut dengan kertas pembalut warna hijau
muda.
“Oh!
Dato’ ada di dalam melayan sepupu-sepupunya, maklumlah bukan selalu dapat
jumpakan? Eh, buat susah-susah je you ni”.
“Apa
pulak susahnya, birthday mestilah ada hadiahkan”.
“Dah
tua-tua tak payah hadiah-hadiah, you datang ni pun dah kira hadiah, jomlah
masuk jumpa
dengan Dato’ dan bagi sendiri hadiah ni pada dia” cadang Datin.
Aku
agak keberatan pada mulanya, tetapi atas desakan Datin, aku akur. Bila sampai di muka pintu, aku ternampak
Dato’ Saiful sedang sibuk berbual-bual dengan beberapa orang lelaki. Datin memimpin tanganku sambil melangkah ke dalam
dan terus mendapatkan Dato’ Saiful.
Dato’ Saiful kelihatan gembira apabila menerima ucapan dan hadiah yang
tidak seberapa itu dari ku. Dia
memperkenalkan aku kepada sepupu-sepupunya yang berada di situ. Sedang kami
berbual-bual tiba-tiba Syafik datang menghampiri kami.
“Sara,
ni kenalkan my nephew Syafik” Datin
Fariza memperkenalkan Syafik kepada ku.
Oh, anak saudara Datin rupanya, tapi kenapa Syafik berwajah
kacukan? Mungkin ayah atau ibu Syafik
orang putih kot, bisik hati kecilku.
“Kami
dah berkenalan tadi” jawabku sambil
memandang ke arah Syafik yang berdiri tidak jauh dari ku.
“Oh
iya ke? Jaga-jaga Syafik, Sara ni isteri orang” Dato’ Saiful menyampuk
membuatkan Syafik terkedu.
“Dah
kahwin? Oh tak ada chance lah ni” wajah Syafik berubah.
“Sorry Syafik, she’s not available” usik Datin Fariza pula dan ketawa mereka pun
berderai.
“Jom
uncle, auntie, your friends are waiting
outside. Kita dah boleh potong kek
kot” pelawa Syafik dengan senyuman yang
kelat. Sesekali matanya menjeling ke arahku.
Kek berbentuk empat segi
berwarna putih dan ungu lembut telah sedia ada di atas meja bulat kecil yang
diletakkan di tengah-tengah ruang. Di atasnya
tertulis kata-kata ucapan dan nama dato’ Saiful dan tercacak lima batang lilin
yang telah dinyalakan api. Kesemua
tetamu-tetamu yang hadir mengelilingi Dato’ dan Datin yang berada
ditengah-tengah berhampiran meja kek itu sambil menyanyikan lagu selamat
ulangtahun dan disambut dengan tepukan sebaik sahaja api lilin-lilin itu
terpadam ditiup oleh Dato’ Saiful. Aku dapat tahu hari ini adalah harijadi
Datuk Saiful yang ke 52 tahun. Dia lebih
kelihatan muda dari usianya. Orang beradalah katakan, duit banyak dan hati pun
senang, sebab itulah wajahnya tidak makan dek usia.
Selepas upacara memotong
kek, para tetamu dijemput untuk menjamu selera.
Memandangkan kesibukan Datuk dan Datin melayan tetamu yang hadir, aku
terpaksa melayan diri sendiri. Sedang
aku leka mengunyah sandwich tuna
tiba-tiba Datin menghampiriku. Di sisinya
kelihatan seorang wanita muda yang cantik dan berkulit putih melepak. Wajahnya
seperti pernah ku lihat, tapi dimana ya! Atau mungkin wajahnya ada iras wajah
Rita Rudani dramatis yang popular itu.
“Sara,
ni kenalkan Arissa anak I yang baru kahwin hari tu” tangan kami berjabat
mesra.
“Oh
ya, belum terlambat I nak ucapkan selamat pengantin baru, sorry tak dapat
datang hari tu”.
“Oh, it’s ok, you datang sorang je ke?”.
“Husband Sara outstation” Datin mencelah.
“Oh
iya ke? Lone Ranger lah ni” gurauan Arissa disambut dengan gelak
ketawa. “Ok Sara, makan lagi ya, banyak
makanan ada di meja tu, jangan segan-segan”,
Arissa berlalu
bersama mamanya sebaik saja seorang wanita datang menyapa mereka.
Aku
kembali ke tempat duduk ku semula, gelas di tanganku yang berisi air oren ku
teguk sedikit. Mata ku memerhati
orang-orang sekeliling yang ada di situ.
Melihat dari gaya
pakaian dan percakapan mereka aku dapat meneka bahawa tetamu-tetamu yang hadir
adalah dari golongan orang-orang yang berada.
Kemungkinan besar keluarga Dato’ dan Datin banyak yang berkahwin campur
memandangkan dari raut wajah mereka yang berwajah pan-asia dan tak kurang juga
yang berwajah mirip anak mami. Aku
terkejut apabila tiba-tiba Datin datang lagi menegurku dengan ramah.
“Sara
dah berhenti makan ke? Janganlah macam tu, makanan banyak lagi tu,
makanlah”.
“I
dah kenyang Datin, sekejap lagi I makan lagi, relax dulu. Makan banyak-banyak nanti tak larat pulak nak
memandu balik” aku cuba bergurau.
“Eh
kalau tak larat, tidur je di rumah I ni, don’t
worry ada bilik kosong lagi”, beria-ia Datin mengajak aku bermalam di rumahnya
malam itu.
Nak
mampus! kalaulah Azry tahu aku tidak pulang ke rumah sebaliknya tidur di rumah
Dato’ Saiful dan Datin Fariza yang baru saja aku kenali, niaya aku. Tiba-tiba seorang lelaki telah berada di sisi
Datin Fariza sebaik aku menoleh pandang ke belakang. Ya Allah! Raut wajahnya saling tidak tumpah
seperti dia yang hampir aku lupakan.
Jantung ku berdegup kencang sehingga tubuhku dapat merasakan
getarannya. Takkan pelanduk dua serupa?
Tak mungkin, tak mungkin, aku bermonolog sendiri.
“Sara,
ni kenalkan nephew I, Irfan” dia
menghulurkan tangan untuk bersalam.
Renungan tajam matanya membuatkan aku terpempan. Salaman tangannya ku sambut perlahan, antara
mahu dengan tidak. Sepasang matanya
masih lagi merenung tanpa berkedip. Pandangannya
tajam menikam wajahku. Dan aku segera mengalihkan
pandangan ku ke arah lain. Tiada
kata-kata yang terkeluar dari mulutku juga dari mulutnya. Aku tergamam. Pandangan ku kosong. Minda ku bagaikan kaku
dan dunia ku seolah-olah terhenti berpusing dari paksinya. Hanya tangan yang bersalaman
masih digenggam bagaikan tidak mahu dilepaskan.
“Irfan,
Irfan…” tangan ku segera dilepaskan sebaik Datin Fariza memanggil namanya berkali-kali. Wajahku merona merah. Malu dengan situasi itu.
“Ini
Sara kawan auntie” lelaki itu hanya menganggukkan kepala dengan
wajah serba salah. Lantas lelaki itu
segera menoleh dan berlalu tanpa berkata apa-apa.
“What’s wrong with him” gumam datin sendirian.
“Sara
sorry ya, kenapalah agaknya dengan nephew I tu, angin apalah yang merasuk
dia agaknya. Actually, he just came back from Terengganu. Penat agaknya
tu. Dia kerja di sana hampir tiga tahun,
projek di sana
dah habis tu yang dia kena transfer
balik ke sini” jelas Datin Fariza tanpa
aku menyoal.
Aku
mulai menjadi tidak senang. Perasaan ku
bagaikan dihentak-hentak dengan penukul besi.
“Datin,
I dah kenyang, hari pun dah lewat so I ingat nak beransurlah”.
“Eh!
dah nak balik ke?”.
“Entahlah,
I rasa macam tak sedap badan” aku
memberi alasan supaya Datin Fariza tidak lagi menghalang niat aku untuk
berangkat pulang.
“Kirim
salam I pada Dato’, ya Datin” pesan ku.
Datin
Fariza bersungguh-sungguh memujuk aku untuk terus berada di majlis itu. Sedangkan aku mahu segera pergi. Tanpa berpaling lagi aku pun terus melangkah
keluar sebaik berjabat tangan dengan Datin Fariza.
No comments:
Post a Comment