Sepanjang perjalanan
pulang fikiran ku begitu kalut sekali. Ada resah dan gundah. Fikiran mula melayang memikirkan tentang
dia. Segala-galanya tentang dia. Aduh!.
Malam-malam begini keadaan lalu lintas agak lengang, tidak banyak
kenderaan di atas jalanraya maka sekejapan saja aku sudah sampai ke perkarangan
rumah. Kereta diparkir di halaman rumah dan
aku segera keluar dari perut kereta sebaik enjin kereta dimatikan. Jam di tangan ku kerling sekilas, jam 11.15
malam, sudah tentu penghuni-penghuni rumah agam ini sedang nyenyak dibuai
mimpi. Aku membuka pintu dengan
menggunakan anak kunci pendua milikku.
Dengan perlahan dan berhati-hati aku melangkah masuk dan memanjat anak
tangga supaya tiada yang terdengar dan terjaga dari tidur. Aku campakkan bag tangan dan ku hempaskan
tubuh ke katil empuk. Ada
airmata yang cuba
ku tahan. Hatiku sebak. Ingatan ku kembali pada masa lampau.
“Sara,
I berharap sangat you akan menjadi ibu kepada anak-anak I satu masa nanti. I
tak sabar rasanya nak menunggu saat bahagia itu” bisik Irfan perlahan.
“Sabarlah
Irfan, yang penting sekarang ni you habiskan study you dulu, lepas tu baru fikirkan tentang kita” matanya ku renung tajam.
“Masa
depan I adalah masa depan you jugak Sara.
Bagi I you adalah pendorong I untuk terus belajar. Tanpa you tak tahu macammana I nak meneruskan
kehidupan.”
“I
pun macam tu juga, tanpa you I rasa dunia seakan berhenti berputar, so berjanjilah supaya kita akan terus
menjaga ikatan dan hubungan kita sehingga semua apa yang kita impikan
termakbul, berdoalah supaya ada jodoh antara kita” tangan ku digenggam erat dan
ku sandarkan kepala ku ke bahu Irfan dengan manja.
Rambut
yang terurai sesekali menampar kasar ke wajah bila ditiup angin. Ingin rasanya ku peluk tubuh sasa Irfan
lantaran rasa kasih sayang yang melimpah ruah begitu mencengkam diri dan
perasaan. Berada di tempat awam begitu,
segala gerak laku agak terbatas. Tidak sanggup
rasanya untuk menjadi objek perhatian umum kerana melakukan perbuatan sumbang
dikhalayak ramai. Adat ketimuran perlu
dijaga.
Irfan
ketika itu masih belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dan berada di tahun akhir
di dalam jurusan Senibina. Kerana
kesibukan kuliah dan assignment, kami
agak jarang bertemu. Sedangkan aku pula
baru sahaja beralih ke dunia pekerjaan selepas tamat belajar di UiTM Lendu di
Melaka. Berada di dunia pekerjaan banyak
perbezaannya jika dibandingkan dari seorang pelajar yang hanya pergi ke kuliah
dengan membawa buku-buku untuk dibuat rujukan dan assignment yang tidak habis-habis.
Memeningkan dan memualkan.
Doa
ku siang dan malam supaya masa cepat berlalu dan cepatlah aku meninggalkan alam
pembelajaran yang membosankan dengan rutin harian yang sama setiap hari. Sangkaan ku meleset sama sekali. Ku sangka dunia pekerjaan yang hebat dengan
gaji bulanan yang lebat aku akan merasa bebas dan senang tanpa ikatan waktu
kuliah. Rupa-rupanya aku silap, dunia
pekerjaan yang memerlukan aku untuk hadir ke pejabat seawal 8.30 pagi dan sibuk
menghabiskan waktu lapan jam di pejabat dengan membuat urusan pejabat yang
tidak pernah beres, memang memenatkan.
Beruntungnya
aku kerana pejabat dibuka hanya lima
hari dalam seminggu. Maka aku punya
banyak waktu yang terluang untuk ku isikan dengan aktiviti-aktiviti di hujung
minggu. Biasanya di waktu hujung minggu
aku akan membantu ibu memasak di dapur atau mengemas rumah terutamanya bilik
tidur ku sendiri. Irfan seringkali menghubungi ku melalui telefon di pejabat,
di rumah atau melalui telefon bimbit ku apabila berkesempatan. Jika ada waktu terluang Irfan akan datang
menjemputku untuk pergi menonton wayang, makan-makan atau bersiar-siar dengan
kereta kancil yang dihadiahkan oleh ibunya.
Aku masih ingat di satu hari minggu yang
tenang dan damai, kami meluangkan waktu di tepi pantai di Pulau Pangkor. Desiran ombak yang menghempas pantai sedikit
sebanyak membuatkan hati berkocak. Aku
merasa begitu bahagia berada di sisi Irfan.
Kami berdua bergandingan berjalan menyusuri tepian pantai dan sekali
sekala ombak datang menghempas pantai memercikkan air ke kaki. Irfan melakarkan perkataan cinta di atas
pasir pantai. Katanya, perkataan itu
seperti apa yang terlakar di hatinya untuk aku.
Tiba-tiba datang ombak ke gigi pantai, lakaran-lakaran itu hilang dibawa
ombak yang pecah berderai. Irfan
melakarkan semula ayat-ayat yang sama, dan ombak datang lagi. Ayat-ayat cinta itu hilang lagi buat kesekian
kalinya. Begitukah keadaan cinta kami
yang dipupuk dan dibaja dengan kasih sayang akan terhapus dengan sekelip mata
apabila badai datang melanda? Begitu
rapuhkah cinta yang disemai bertahun-tahun lamanya dengan mudah hilang begitu saja? Oh tidak, tidak mungkin begitu. Cinta aku dan Irfan tidak begitu. Cinta aku dan Irfan akan tetap utuh dan teguh
seperti tugu yang gagah berdiri walau pun ditimpa hujan dan ribut taufan.
Kata
Irfan, walau pun ombak memukul batu-batu pejal di pantai saban masa, biar pun
ombak berkecai bagai kaca namun batu-batu yang ada tetap utuh tidak runtuh,
begitulah cintanya pada ku.
“Kenapa
you nampak resah saja dari tadi? You tak
rasa gembira ke berada di sini dengan I?” tanya Irfan, wajahnya berkerut.
“Tak, tak ada apa-apa, cuma memikirkan tentang
kita”.
“Kenapa
dengan kita? Jangan memikirkan perkara
yang bukan-bukan yang boleh mendatangkan masalah. Kalau difikirkan benda yang buruk, buruklah
jadinya. You masih tak percaya pada I lagi?
Masih curiga? Buangkan wajah you yang kelat tu, senyum
sikit” jari jemarinya mencuit daguku.
Aku
tersenyum melihatkan gelagat Irfan. Dari
renungan matanya yang bening aku dapat merasakan, dia benar-benar kasihkan aku
dan begitu juga aku. Kasih dan sayang ku
padanya tidak berbelah bagi.
“I
sayangkan you Irfan. I tak boleh hidup
tanpa you, you tau kan ?”.
“I
tau Sara dan dah berapa kali jugak I bagitau you tentang perasaan I pada you, sabarlah
bila I dah habis belajar nanti I akan minta mama dan papa uruskan tentang kita”.
“Uruskan tentang kita?” aku pura-pura tidak
mengerti.
“Iyalah,
kita bertunang dulu, ok!” benarkah apa yang aku dengar?
Girangnya
hatiku saat itu bagai pucuk dicita ulam mendatang. Tanpa segan dan silu aku merangkul lengannya erat,
dapat aku rasakan kehangatan kasihnya yang bergetar. Petang itu ombak dan pantai menjadi saksi
perjanjian diantara kami, tetapi takdir Illahi mengatasi segala-galanya.
Kepercayaan
ku terhadap Irfan bagai hilang seperti air lalu apabila satu hari aku
terserempak dia bersama seorang wanita di pusat membeli belah. Ibarat kaca yang terhempas kebatu, pecah
berderai segalanya. Punah ranah harapan dan impian. Tangkai jantung bagai
direntap. Hatiku terasa pedih, hancur luluh perasaan ku saat-saat itu, sampai
hati Irfan! Pandangan ku kelam
tiba-tiba. Aku hampir tersungkur tatkala
melihat kelibat Irfan dengan wanita itu sedang duduk berdua-duaan disalah
sebuah restoran segera di situ. Mereka
kelihatan agak mesra, riang, ketawa dan bergurau senda. Api cemburuku yang datang memuncak tiba-tiba
menjadikan pandangan ku kelam. Aku
begitu cemburu melihat kemesraan pasangan itu, aku mahu menangis. Siapakah dia di sisi Irfan? Aku cuba membuang rasa ngilu yang
menghiris hati ketika itu.
Semenjak
dari hari itu, aku mulai menjauhkan diri dari Irfan. Walaupun beberapa kali lelaki itu cuba
menghubungi ku tetapi aku enggan untuk menjawab. Talian telefon bimbit ku matikan. Aku mengambil cuti untuk beberapa hari kerana
perasaan ku kacau bilau. Aku tidak boleh
berfikir dengan tenang, fikiran ku terganggu, bagaimana aku bisa melakukan
tugas-tugas di pejabat dengan betul.
Fikiran ku buntu dengan linangan air mata yang tidak henti-henti
mengalir. Benarlah pepatah orang-orang
tua, tidur tak lena, makan tak kenyang dan mandi tak basah. Begitulah parahnya keadaan aku ketika
itu. Aku tidak kuasa menahan derasnya
lelehan airmata. Sesekali aku tersedu sedan dengan airmata yang terus mengalir
di sudut mata yang terpejam. Mimpi ngeri
yang menerjah lenaku membuatkan aku terjaga dan sukar untuk melelapkan mata
semula.
Aku
tidak mudah untuk jatuh cinta, namun sekali aku jatuh cinta tak bisa melupakan
sama sekali orang yang aku cintai itu.
Irfan! Mengapa kau menyakitkan hatiku sehingga begini pedih sekali. Kau mendera hati dan perasaanku. Irfan… kenapa Irfan? Kenapa? Aku seperti mahu menjerit sekuat hati,
biar semua orang tahu keadaan hati ku yang luka parah.
“Jangan turutkan perasaan Sara,
makanlah sikit. Nanti Sara sakit siapa
yang susah?” nasihat ibu bagai menyiram air di daun keladi.
Selera
makan ku hilang, aku rasa tidak berdaya.
“Tadi
Irfan telefon lagi, kenapa Sara tak mau jawab? Kenapa Sara nak susah-susahkan
diri Sara macam ni? Berkurung tak mahu jumpa orang, tak mahu bercakap dengan
orang, semua ni tak menyelesaikan masalah, Sara” pujuk ibu lagi.
Ibu
tak tahu perasaan anak ibu yang sudah hancur lebur ini. Hati ku sakit bu…, hatiku sakit…., jerit ku
di dalam hati.
“Sara buka pintu ni, Irfan datang
nak jumpa Sara” kedengaran suara ibu dari luar bilik memanggil. Apa yang dia nak dari ku lagi? Tak cukup lagi ke nak menyakitkan hati aku ni
ha! bentak ku.
“Sara..”
panggil ibu lagi sambil daun pintu diketuk berkali-kali. Aku diam membatu.
“Sara,
buka pintu ni Sara, kenapa dengan you ni?” suara Irfan kedengaran mencelah.
Kenapa? Kenapa kau tanya? Pandai kau berlakun ya. Kau dah sakitkan hati aku, kau boleh tanya
kenapa? Pergi mampus dengan kau!
Pintu
diketuk lagi. Setelah beberapa kali
diketuk tanpa balasan dan jawapan dari ku, suasana damai kembali. Ketukan tidak lagi kedengaran. Dan seketika kemudian aku mendengar bunyi
deruan enjin kereta berlalu keluar dari halaman rumah. Beberapa hari aku matikan telefon agar Irfan
tidak dapat menghubungi aku. Aku mahu
jauhkan diri darinya.
Aku
sungguh kecewa dengan perbuatan Irfan.
Puas aku menangis siang dan malam mengenangkan janji-janji yang pernah
diluahkan. Penat sudah rasanya aku
bermuram durja, sehingga tiada lagi airmata untuk ditangisi. Setelah beberapa hari telefon bimbit dimatikan,
aku cuba menghidupkannya semula.
Terdapat beberapa mesej yang ditinggalkan Irfan. Hati ku masih terasa sakit.
Sehari
suntuk aku tidak menjamah makanan, ayah dan ibu mulai bimbang. Biarpun berkali-kali mereka cuba memujuk aku
untuk keluar makan tetapi selera untuk menjamah masih tidak terasa. Ayah dan ibu tidak pernah jemu untuk memujuk
sehingga akhirnya aku berasa simpati terhadap keduanya. Ibu memimpin aku ke meja makan, dengan cekal
aku cuba untuk menjamah sedikit nasi agar ayah dan ibu tidak berasa susah hati
melihatkan kesedihan anak mereka ini.
Bunyi deringan telefon bimbit yang
membingitkan itu membuat aku terjaga dari lamunan panjang. Tanpa menoleh ke arah telefon yang berada di hujung
katil, tangan ku meraba-raba mencari telefon bimbit itu. Nama yang tertera di skrin kecil menghadirkan
debaran yang bukan sedikit di dalam dada.
“Assalamualaikum…”
jawabku sebaik butang hijau ditekan.
“Waalaikumussalam,
Sara apa khabar?” kedengaran suara Irfan dari hujung talian.
“Baik”
jawabku gugup.
“Sara,
kenapa dengan you? You sakit ke? Kenapa
tak mahu bercakap dengan I? You marahkan
I ke?” soalan-soalan yang bertubi-tubi dari Irfan membuatkan aku bingung dan
sukar untuk ku menjawab satu persatu. Aku
melepaskan keluhan. Diam.
“Sara..”
suara Irfan kedengaran lagi.
“Irfan
I letihlah.., I tak ada mood nak bercakap sekarang ni” aku terdiam seketika dan
menyambung, “Esok petang kita jumpa, boleh?” cadangku.
“Ok,
I datang jemput you, pukul berapa?” Irfan
sangat teruja.
“Emm..
tak payah jemput. I datang sendiri, you
tunggu saja I di tempat biasa pukul 3.30 petang esok, ya” ku cuba menahan suara
tangisku di dalam hati.
“Kenapa
Sara? Kan
selalunya I yang datang jemput you?” soal
Irfan lereh.
“Bas
banyak, teksi pun banyak, jumpa you esok ok, bye” talian ku matikan tanpa
mendengar apa-apa penjelasan darinya lagi.
Airmata yang ku tahan gugur juga akhirnya.
Ketika
aku sampai ketempat yang dijanjikan, Irfan sudah setia menunggu aku di situ. Wajahnya seperti selalu, menguntum senyum. Aku melabuhkan punggung di bangku kayu dan
bertentangan duduk dengannya. Angin petang yang bertiup sesekali menghembus
rerambut ku yang mengurai dan hampir menutup sebahagian wajahku. Sesekali juga aku menyelak ke tepi rerambut
yang menghalang pandanganku. Aku tidak
sedikit pun berpaling melihat ke wajah lelaki itu. Wajah itu sering menghadirkan luka di hatiku
sejak akhir-akhir ini. Namun wajah itu
jugalah yang selalu ku rindu saban waktu.
“Sara..” panggil Irfan perlahan sambil tangannya
memegang tanganku.
Dengan
perlahan-lahan aku menarik semula tangan ku dari genggamannya. Wajah Irfan berubah. Aku tunduk melihat rerumput yang tumbuh liar
di celah-celah pohon rendang di sebelah tempat duduk kami itu.
“Cakaplah
Sara, kenapa dengan you? Kenapa tiba-tiba tak mahu bercakap dengan I?” soal
Irfan seakan-akan berbisik.
Aku
merenung di kejauhan dengan pandangan yang kosong.
“Irfan,
berterus teranglah dengan I. Kalau you
ada yang lain dan lebih memerlukan dia tinggalkanlah I” Irfan terpinga-pinga.
Itu
tekadku, biarlah dia bahagia bersama orang yang disayanginya dan biarlah aku
memujuk hatiku yang luka sendiri. Bukan
sekali itu aku melihat dia bersama wanita itu, sebenarnya sebelum ini juga aku
pernah terserempak dengan mereka tetapi aku cuba untuk tidak memikirkan yang
bukan-bukan kerana kasih sayang dan cintaku yang amat mendalam terhadap
Irfan. Aku sudah bersedia dengan apa-apa
kemungkinan dan keputusan dari Irfan.
Aku telah memikirkan perkara itu masak-masak. Aku harus kuat untuk
menempuh hidup ini walaupun tanpa Irfan di sisi.
“Sara,
kenapa you ni? Apa maksud you?” tanya Irfan keliru.
“I
ternampak you dengan dia, Irfan” suara
ku tersekat-sekat.
“You
nampak I dengan dia? Siapa? Bila?” tanya Irfan lagi bertalu-talu, ada kerutan
di wajahnya.
“Tak
perlulah I jawab kesemua soalan you tu, tapi cukuplah I katakan I nampak you
dengan dia di Mc Donald di One Utama hari selasa lepas, you nampak mesra dengan
dia” jawabku dengan suara yang terketar-ketar cuba menahan sebak di dada.
Irfan
terdiam. Dia kelihatan memikirkan
sesuatu.
“Oh
itu Arissa, sepupu I” jelas Irfan.
“Sepupu?
Sudahlah Irfan, janganlah you nak berdalih-dalih pulak. Bukan sekali tu I nampak you dengan dia, dulu
pun pernah jugak tapi I malas nak besar-besarkan cerita. Tapi kali ni, apa yang berlaku di depan mata
I buat I rasa kecewa sangat Irfan” ku cuba untuk tidak menangis. Hatiku rawan.
“Sara..bagi
I peluang untuk menjelaskan segalanya” Irfan menarik tanganku. Aku mendiamkan diri.
“Cukuplah
Irfan, I tak nak dengar apa-apa lagi, lelaki tetap lelaki, mudah berjanji dan
mudah juga memungkiri janji”.
“Sara,
tolonglah jangan cakap macam tu, please
listen to me, I…..” belum pun habis
ayat-ayat yang terkeluar dari bibirnya aku terus menyampuk.
“Sudahlah
Irfan, I tak nak dengar” ku tutup
kedua-dua telinga kiri dan kanan.
Suasana
menjadi semakin pilu. Airmata yang
bertakung di kelopak mata mengalir menitis di pipiku. Aku menangis lagi. Kali ini tanpa segan dan silu aku
teresak-esak. Jauh di sudut hati, ada
curiga yang menerpa dan ada ragu-ragu yang menjengah. Irfan cuba untuk memeluk ku untuk
meredakan tangisan ku. Aku mengelakkan
diri dari pelukan Irfan. Aku tidak sanggup berkeadaan begitu lagi dengan lelaki
itu. Lelaki yang telah ku serahkan
segala jiwa dan raga, kasih sayang dan cinta, tapi akhirnya mengecewakan aku
dengan mengadakan hubungan dengan wanita lain.
Apakah betul tindakan ku menjauhkan diri dari dia sedangkan lelaki itu
telah membuat penjelasan? Biarlah ku tanggung sendiri derita hatiku ini
sehingga ke akhir hayat. Dia telah
memusnahkan harapanku dan meranapkan anganku.
No comments:
Post a Comment