Pagi
ini Azry menghantar aku ke pejabat.
“Nanti
karang jangan lupa telefon workshop”
Azry mengingatkan aku sebelum berlalu.
Sebaik
keluar dari kereta aku terus melangkah naik beberapa anak tangga menuju ke pintu
kaca yang sedia terbuka. Keadaan lobby ketika itu lengang kerana semua
pekerja-pekerja telah masuk ke pejabat, jam telah menunjukkan ke pukul 10.15
pagi. Semasa aku masuk ke pejabat, kelihatan
Desmond dan Sandy sedang melayan beberapa pembeli yang datang untuk melihat dan
membuat pertanyaan tentang rumah teres dua tingkat yang masih ada beberapa unit
untuk dijual. Aku terus ke bilik pejabat
dan langkah ku tiba-tiba terhenti apabila terdengar seseorang memanggil namaku.
Aku segera menoleh ke arah suara itu.
“Puan
Sara ada hantar kereta ke bengkel ke?” tanya Maria, si gadis manis yang menjadi
penyambut tetamu pejabat ku.
“Iya,
kenapa Maria?”.
“Mekanik
dari bengkel tu ada di luar nak jumpa Puan Sara” beritahu Maria.
“Oh,
iya ke, awalnya datang. Sekejap ya” aku
melangkah keluar sebaik meletakkan beg tangan ke dalam bilik pejabat.
Seorang
lelaki cina telah berada di ruang legar, sedang menantikan seseorang. Aku pasti dialah mekanik yang dikatakan Maria
itu tadi.
“Hallo,
you Ah Wai?” aku teringat Azry ada menyebut namanya semalam. Ah Wai mengangguk dan menyengih. Kelihatan kunci kereta ada di dalam
genggamannnya.
“Puan
Sarakah?” aku mengangguk.
“Kereta
sudah siap, saya sudah parking sana” kata Ah Wai sambil menunjuk dengan
telunjuk yang lurus ke arah tempat dia meletakkan kereta. Aku menyambut kunci kereta yang dihulurkan
kepadaku.
“Berapa?”
tanyaku.
“Sudah
bayar. Azry sudah bayar” jelas Ah Wai
dengan pelat.
“Ok,
thank you ya” Ah Wai tersengih dan berlalu pergi.
Seperti
kebiasaannya, apabila berada di pejabat banyak kertas kerja yang perlu aku bereskan. Aku beruntung kerana mempunyai staf-staf yang
rajin bekerja dan tidak perlu aku mengarahkan mereka itu dan ini. Mereka tahu tugas masing-masing.
Telefon
bimbit yang berada di dalam beg tangan ku tiba-tiba berdering. Ku capai telefon Sony Ericson ku dan melihat di kaca skrin kecil, nama kak Min
muncul di dada skrin.
“Hello,
assalamualaikum kak Min” salam diberi
dan bersambut.
“Apa
khabar Sara, lamanya tak dengar cerita adik akak ni” suara lembut kak Min kedengaran membuat aku
rindu ingin berjumpa.
“Iyalah..,
lama tak jumpa, Sara sehat, akak dengan anak-anak macamana, ok?”. “Kami sihat jugak kat sini, Sara di ofis ya?”.
“A’ahlah
kak, kat mana lagi? Aidil dengan Aizat sekolah ke? Senyap jer..” senyum ku
melebar.
“Mereka
ke sekolah, dah siap berkemas dah siap masak tiba-tiba saja teringat Sara, itu
yang telefon tu.. kalau nak harapkan orang sana telefon memang tak adalah
alamatnya” gurau kak Min.
“Janganlah
cakap macam tu kak.. Sara ingat nak pergi rumah akak hari sabtu ni, akak masak
apa hari ni?”.
“Masak
cincai-cincai je untuk budak-budak dua orang tu., akak puasa hari ni. Sara nak datang dengan Azry sekali ke? Tidur sini ya. Lama kita tak duduk borak-borak. Semalam akak telefon ibu. Ibu minta akak masakkan gulai tempoyak. Tempoyak tu ada, hari tu kakak sepupu abang
Fuad bagi. Sara datang ya, boleh akak
masak lebih sikit” aku menelan liur.
“Ibu
dengan ayah pun nak datang ke kak?”.
“Tak. Ayah dengan ibu nak pergi surau ada ceramah
lepas zohor hari sabtu ni. Kakak ingat lepas masak, bolehlah hantar sikit untuk
mereka”.
“InsyaAllah
kak, Sara pun dah rindu dengan Aizat dan Aidil, akak telefon sekali kak Lia
suruh dia datang sekali ya.. lama tak jumpa Farah, mesti mulut dia keletah
macam mak nenek sekarang ni” aku ketawa.
“A’ah
kejap lagi akak telefon kak Lia, so ok,
kita jumpa hari sabtu nanti, bye assalamualaikum”. Talian dimatikan sebaik salam berjawab.
Telefon
bimbit masih di tangan. Aku tersenyum
mengingatkan detik-detik bersama kakak-kakak ku, tidak sabar menunggu hari
sabtu yang telah dijanjikan. Jam di tangan
ku kerling. Pukul 12.45 tengahari. Cepatnya masa berjalan, sekejap sudah hampir
waktu makan tengahari. Aku mengeluarkan
dompet kecil dari beg tangan. Tengahari
ini aku sudah berjanji dengan Mimi untuk keluar makan.
“Kau
nak belanja aku ke?” usik Mimi.
“Alah, no problem. Sekali sekala belanja apa salahnya, tak jatuh
bankrap” gurau ku. Mimi ketawa.
“Kita
nak makan kat mana?” tanya ku sambil
kaki melangkah ke tempat letak kereta.
“Kan
kau yang nak belanja? So sukahati kaulah, mana-mana pun aku tak kesah”.
“Ok,
mana-mana pun tak kisah ya.., nanti kau jangan komplen apa-apa pulak. Aku yang belanja aku yang pilih tempat kan..?
ok jom”.
“Pergi
mana?” tanya Mimi dengan wajah berkerut.
“Kau
kata ikut akukan, ha jomlah”. Mimi
mengekori ku.
“Naik
kereta ke? Ni nak gi jauh ni? Tak kisahlah, sesekali keluar dari sini pun best jugak, jomlah”. Sebaik masuk ke dalam kereta, ku buka semua
tingkap untuk mengeluarkan haba panas yang terperangkap di dalam kereta. Dengan lafaz bismillah enjin dihidupkan. Alhamdulillah, dengan sekali putar saja enjin
sudah boleh dihidupkan.
“Kereta
aku ni baru balik dari workshop ni,
harap-harap dah oklah kot” aku menoleh memandang Mimi yang sedang membelek
wajahnya melalui cermin.
“Dah
cantik dah tu” seloroh ku. Mimi ketawa
kecil.
Butang
penghawa dingin ku tekan, terasa angin sejuk yang berhembus keluar dari
corongnya menampar halus ke muka.
Leganya. Butang radio ku tekan. Lagu-lagu berkumandang sebagai
hiburan. Butang di sisi ku tekan untuk
menutup semula tingkap-tingkap kaca.
Tali pinggang keledar dipakai untuk keselamatan. Dan aku memulakan perjalanan.
“Kita
nak makan kat mana Sara?” tanya Mimi lagi tidak puas hati kerana soalan yang
sama diajukan masih tidak ku jawab.
“Kau
duduk ja diam-diam kat situ, sampai nanti kau turun dan ikut aku pergi kat situ
makan, tadi kau cakap aku yang belanja, mana-mana aku bawa pun ok kan?” ku
jeling wajah Mimi, dia senyum lagi.
Mimi
masih belum berkahwin walau pun umurnya sebaya aku. Dia berasal dari Batu Gajah, Perak dan
tinggal di sini bersama kawan-kawan bujang yang menyewa sebuah rumah teres dua
tingkat berhampiran pejabat kami. Jarak rumahnya dengan pejabat tidak jauh,
maka pergi dan balik dari pejabat dia hanya berjalan kaki walau pun dia
mempunyai kereta. Semasa baru-baru masuk
ke pejabat kami ini dulu, dialah orang yang mula-mula menyapa aku. Dia lebih senior
dari aku. Dialah orangnya yang
memperkenalkan aku dengan semua staf-staf di pejabat. Mimi tidak kurang cantiknya. Ayu memakai tudung dan berkaca mata. Mekapnya nipis walaupun bibirnya tidak pernah
lekang dari gincu berwarna merah kesukaannya.
Mimi suka ketawa dan aku senang berdamping dengan dia. Aku bebas bercakap apa saja. Dia tidak pernah mengambil hati walau pun
kekadang aku bergurau terlebih sehingga ke tahap mengutuk. Dia berfikiran
terbuka. Dia boleh terima apa saja komen
dan dia boleh mendengar apa saja masalah terutamanya masalah peribadi aku. Dan dia juga tidak segan-segan untuk
berkongsi masalah dirinya yang pernah putus cinta dan ditinggalkan oleh kekasih
hatinya yang hampir-hampir mengikat tali pertunangan dengannya. Aku bersimpati pada Mimi kerana setiap kali
dia meluahkan perasaan hatinya yang luka itu kepadaku, dia akan menitiskan
airmata. Kesihan Mimi, dia menjadi
mangsa lelaki pendusta cinta.
“Ok,
dah sampai, jom” enjin kereta dimatikan
dan kami melangkah beriringin ke restoran ikan bakar, tempat aku dan Azry
selalu datang untuk menjamu selera.
“Ikan
Bakar Fend.. ramainya orang Sara, ni mesti sedapkan?”.
Orang ramai
waktu itu, almaklumlah waktu makan tengahari.
Nasib kami baik, bila kami sampai saja ada satu meja baru saja
dikosongkan. Dan kami terus mendapatkan
tempat duduk. Seorang pelayan lelaki
datang menghampiri dan mengambil pesanan.
“ABC
dua, ais kosong dua dan set nasi ikan pari bakar dua. Cukup tak, ke kau nak tambah apa-apa lagi?”
tanyaku pada Mimi.
“Kau
ingat perut aku tong ke?” jawab Mimi selamba.
Aku tersengih.
“Ok,
itu saja” kata ku pada pelayan lelaki itu.
Tidak
berapa lama menunggu, ABC dan ais kosong pun sampai diikuti set nasi ikan pari
bakar. Aromanya begitu menyusuk hidung
sehingga aku rasa tidak sabar-sabar untuk menjamah.
“Aku
nak makan dengan tanganlah, nak basuh tangan kat mana ek?” Mimi serta merta
bangun bila ternampak ada satu sinki kecil di sudut kedai itu.
“Sedaplah
ikan bakar di sini Sara, pandai kau cari tempat makan?” aku mengangguk sambil
meletakkan sudu dan garfu ke pinggan yang telah licin, hanya tinggal tulang
ikan. Ku tolak ke tepi pinggan itu dan
menarik ABC hampir ke depan ku. Sebelum
itu ku hirup ais kosong yang air batunya sudah tidak kelihatan.
“Alhamdulillah”
ucapku sebelum menyuapkan ABC sesudu demi sesudu ke mulut sambil memerhati
gelagat Mimi. Dia bangun dari tempat
duduk untuk mencuci tangan. Kemudian
berjalan menghampiri ke tempat duduk kami dengan mata terpaku memandang ke papan
menu yang terlekat di dinding restoran itu.
“Oppss,
sorry” kata Mimi bila dia tiba-tiba terlanggar seorang lelaki yang sedang
berjalan bersama seorang teman. Mimi
tersipu-sipu malu.
“Padan
muka kau, jalan tu pandang-pandanglah ke depan, melangak-langak, apa yang kau
tengok?” tanyaku sebaik Mimi duduk dengan wajah yang merona merah.
“Aku
tengok tu ha, menu kat dinding tu. Tak perasan
ada orang, hensem jugak mamat tu, sepatutnya tadi aku buat-buat tersungkur kat
depan dia, cis..”.
“Jatuh
tersungkur depan dia ke? Lepas tu dia tolong angkat kau? Macam cerita Hindustan
yang kau selalu tengok tu? Itulah banyak
sangat tengok cerita Hindustan” aku
tersenyum gelihati sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mimi menghabiskan ABC di dalam mangkuk dengan
senyuman yang masih bersisa di bibir merahnya.
“Beranganlah
tu..” perli ku. Setelah semua selesai
kami pun bangun dan ke kaunter untuk membuat bayaran dan beredar pulang.
No comments:
Post a Comment