Hari
ini aku ke pejabat seperti biasa memandu bersendirian. Azry awal pagi lagi sudah keluar kerana
katanya ada mesyuarat yang harus dihadiri bersama beberapa pegawai di pejabatnya. Aku keluar dari rumah agak lewat, keadaan
jalanraya tenang. Ramai yang sudah
berada di pejabat diwaktu ini. Tidak
sampai pun dua puluh minit memandu aku sudah sampai ke bangunan pejabat. Aku terus ke tingkat basement untuk memakir kereta.
Bangunan pejabat ku mempunyai 16 tingkat, dimana pejabat ku beroperasi
di tingkat bawah untuk bahagian Sales & Marketing, manakala di tingkat satu
terletaknya pejabat Dino iaitu bahagian akaun dan berkongsi dengan bahagian
projek. Pejabat Dato’ Badrul bersama
setiausahanya dan bahagian admin
terletak di tingkat enam, di situ juga terdapat bilik mesyuarat dimana mesyuarat
penyelenggaraan syarikat selalu diadakan.
Ruangnya agak luas dan selesa.
Ruang meletak kereta terletak di tingkat paling bawah, di situlah aku
dan semua staf memakirkan kereta dimana kos bayaran meletak kereta ditanggung
oleh pihak syarikat.
Oleh
kerana aku sampai agak lewat, hampir semua tapak parkir telah ada
penghuninya. Malangnya aku terpaksa
memakirkan kereta ku jauh sedikit dari tempat biasa kerana tidak ada tapak
parkir yang kosong. Ini bermakna aku
terpaksa berjalan agak jauh untuk ke pintu lif.
“Itulah datang lambat lagi”, bebel ku di dalam hati. Aku terus melangkah menuju ke pintu lif
sebaik pintu kereta ku kunci. Aku
melangkah dengan laju kerana suasana yang sunyi membuatkan aku jadi takut. Berbagai persoalan yang datang ke minda
berganti-ganti. Di dalam hati tidak
berhenti dari membaca ayat kursi untuk mententeramkan perasaan yang gundah
gulana.
“Relaxlah
Sara, nak takut apa siang-siang buta ni?” aku memujuk diri ku sendiri. Aku teruskan juga melangkah setapak demi setapak
sambil mata mengerling ke kiri dan kanan.
Entah dari mana arah dia datang tiba-tiba ada suara menyergah aku dari
belakang. Aku segera menoleh, antara rasa terkejut dan rasa marah, aku hampir
menjerit.
“MasyaAllah!
Bagai nak gugur jantung aku, nasib baik aku tak ada sakit jantung, kalau
tidak…”, getus ku di dalam hati. Aku
mengusap tangan di dada sambil beristighfar.
Terasa seluruh badan bagai melayang-layang, Aku hampir pitam kerana
terkejut yang amat sangat.
“Sorry, sorry Sara..I tak sengaja nak
terkejutkan you. Sorry ye”. Dino memohon maaf. Berulang kali perkataan itu diluahkan. Aku merenung wajah Dino dengan pandangan yang
geram. Dino tergamam.
“Janganlah
pandang I macam tu, macam nak telan orang.
I minta maaf ok, I tak sengaja, betul..”
rayu Dino lagi.
Aku
terdiam. Aku meneruskan langkah ke pintu
lif tanpa bersuara. Dino mengekori ku
dari belakang dengan air muka yang serba salah.
Sesampai aku di depan pintu lif, butang yang terletak di tepi kiri pintu
itu ku tekan. Dino masih mengulangi
kata-kata maaf. Aku tetap diam
membuatkan Dino merasa kurang senang.
“Geram
betullah aku dengan kau ni, nasib baiklah kau tu Dino kalau tidak dah aku bagi
pelempang percuma je kat muka kau tu” bebel ku sendirian.
Aku
menarik nafas panjang. Tiba-tiba saja
pintu lif terbuka dan aku terus melangkah masuk diikuti oleh Dino. Aku menekan butang G manakala Dino menekan
butang angka satu. Seketika kemudian
pintu lif pun terbuka dan aku pun
melangkah keluar meninggalkan Dino yang terpinga-pinga lantaran kemaafannya
yang tidak berjawab.
Sebaik
sahaja aku masuk ke bilik pejabat, beg tangan ku campakkan sahaja ke tepi. Aku terus menghenyakkan punggung ke kerusi
lalu duduk bersandar. Belum pun hilang
rasa lelah berjalan tadi kedengaran pintu diketuk dari luar. Dida masuk dengan beberapa fail di tangan. Tiga buah fail berwarna biru diletakkan di atas
meja di hadapanku.
“Puan
Sara, surat-surat reminder telah saya
keluarkan untuk tiga kes ini, detail
nya ada saya sertakan sekali untuk perhatian dan tindakan puan Sara
seterusnya. Lagi satu, tadi Datin Fariza
telefon, dia minta puan Sara call dia
balik nanti berkenaan dengan loan
rumah yang dibeli” aku mengangguk mendengarkan pesanan yang disampaikan dengan
wajah yang sedikit senyum.
Kejadian
tadi di basement membuatkan aku
hilang mode.
“Ada
apa-apa lagi?” tanyaku.
“Tengahari
nanti lepas lunch puan Sara ada appointment dengan encik Lokman, lawyer
dari Lokman & Partners, saya dah confirmkan
appointment tu” terang Dida
lagi. Aku mengangguk lagi. Melihatkan keadaan aku yang luar biasa, Dida
pun berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang sejurus meminta diri untuk keluar.
Aku
terus memulakan tugas harian dengan perasaan tenang tanpa memikirkan insiden
tadi yang boleh menganggu tugas ku.
Deringan yang kedengaran dari telefon bimbit ku mematikan
konsentrasiku.
“Dah
makan? Sibuk macamana pun time makan mesti makan tau” begitulah sikap Azry yang sering mengingatkan
aku tentang pentingnya untuk makan tepat pada waktunya.
“Abang
nak bagitau esok abang kena pergi Johor Bharu, kena pergi tengok site projek di sana” sambungnya lagi.
“Dah
agak dah. Berapa hari abang pergi?”
tanyaku tanpa gurauan seperti selalu.
“Itulah
masalahnya, tak tau lagi. Mungkin tiga
atau empat hari dan mungkin seminggu”.
“Lamanya?”
aku merungut.
“Nama
pun kerja Sara. Sara kan tau kerja abang
macamana? Tak usahlah risau, cepat habis
kerja cepatlah abang balik, ok” Azry cuba memujuk.
Aku
menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya deras.
“Oklah
bang, nak buat macamana, dah tugas abang kan?”.
“Ok,
malam nanti kita jumpa ya, bye, assalamualaikum”.
Telefon
bimbit masih erat di genggaman. Nampak
gayanya hari sabtu ni aku terpaksa pergi ke rumah kak Min seorang diri. Lebih baik aku balik ke rumah ibu dan
bermalam di sana untuk beberapa hari. Aku
membuat cadangan untuk menghabiskan hari hujung minggu tanpa rasa bosan. Mentalahan pula aku sudah lama tidak bermalam
di rumah keluarga ku di Gombak. Tatkala
aku melayan perasaan tiba-tiba sahaja kelibat Dino telah berada di depan
ku.
“Sara,
you ni kenapa? Marah kan I lagi ke pasal tadi tu, sampai I bagi salam pun you
tak nak jawab?”.
Aku
tidak perasan dengan ketibaan Dino.
Entah bila dia ketuk pintu dan entah bila pula dia membuka pintu,
alih-alih sudah tegak berdiri di depanku.
“Dahlah,
I dah maafkan you. Duduklah” jawabku
perlahan tanpa memandang ke wajahnya.
“Sejak
akhir-akhir ni I tengok you macam orang ada masalah besar”.
“You
tengok I ni macam ada masalah?” aku bertanya pula.
Renungan
Dino menikam wajah ku. Lama.
“I
kenal you bukan sehari dua, sekilas pandang I dah tau” mata Dino terkebil-kebil.
“Perlukan
teman untuk mengadu?” tambahnya lagi. Aku membelek-belek jari jemariku. Aku
menggeleng.
“Habis
tu? I tengok you macam ayam berak kapur jer.. nak kata sakit rindu, hari-hari jumpa. Nak
kata putus cinta, dah kahwin. Entahlah, tak faham I dengan orang perempuan
ni” Dino membebel.
“Tak
ada apa-apalah, jangan risau” ujarku.
“Entah-entah
pembawa budak tak?” Dino meneka dengan mempamerkan senyuman yang membuat
wajahnya kelihatan kacak dari kacamata ku.
“Hish,
mengarut je you ni, ke situ pulak, tak adalah” aku pula menafikan. “Manalah tau” duga Dino.
Perbualan
kami terhenti apabila deringan telefon berbunyi. Tanpa mengangkat gagang telefon aku menekan
butang sambungan ke talian Maria.
“Ya
Maria, ada apa?”.
“Your call on line two” suara Maria
kedengaran menjawab.
“Ok thanks” lalu butang yang menyala lampunya ku
tekan.
“Hallo”,
ucap ku sebaik gagang telefon ku tekapkan ke telinga. Tiada jawaban, sunyi senyap.
“Hallo!
Siapa disana?” ulang ku lagi. Masih diam.
Aku pun diam, mata ku memandang Dino yang sedang tunduk membaca
sesuatu. Sesekali dia mengangkat kepala
merenung aku dengan riak wajah seolah-olah menanyakan siapa gerangan si
pemanggil. Aku hanya mengangkat bahu
tanda tidak tahu.
“Letak
jelah telefon tu. Nak telefon tapi tak
nak cakap, main-main pulak dia” marah Dino.
Aku
pun meletakkan gagang telefon ke tempatnya.
Fikiran ku menerawang ke udara.
Siapakah gerangan si pemanggil misteri itu? Minda ku mula berteka teki tanpa
memperdulikan Dino yang sedang memandang aku.
Mungkinkah panggilan itu dari dia?
Hati ku mula berdebar. Ku garu
kepala yang tidak gatal.
“Dino
you ada apa-apa nak cakap ke datang jumpa I ni?”.
“Kenapa? You tak suka I datang ke?”.
“Tak
adalah, you ada I tak jadi kerjalah, karang lepas lunch time I ada meeting
dengan Lokman, you join sekali ya”
cadang ku.
“Oklah,
tengahari nanti you nak makan tak? Jom I belanja”.
“I
tak keluar lunch kot hari ni”.
“Hai,
susah betullah you ni. Orang nak belanja
makan pun susah. Menolak rezeki betul” suara Dino mendatar seakan-akan merajuk dengan
jawapan ku tadi.
“Lain
kalilah Dino, you jangan cakap macam tu, tersinggung I tau”.
“Oh
tau pun tersinggung, patutnya I yang rasa macam tu, ini tidak, terbalik pulak.
Emm, oklah, karang lepas lunch I
datang balik. Pukul berapa Lokman nak
datang?”.
“Lepas
lunch you datanglah ye, thanks Dino”. Dino
pun melangkah keluar tanpa menoleh.
Seketika kemudian, telefon di atas meja berdering lagi.
“Ya
Maria”.
“Puan,
ada call on line one”.
“Maria,
you boleh tolong tanya tak siapa on the
line, ok”. Tidak sampai pun beberapa
saat, suara Maria kedengaran lagi.
“Puan
Sara, katanya seorang kawan lama”.
“Lelaki
ke perempuan?”.
“Lelaki”. Hatiku
berteka-teki.
“Ok, thanks ya” lalu butang yang menyala
ku tekan.
Suara
itu memberi salam. Memang sah itu suara
dia. Irfan Effendi. Salamnya ku sambut dengan tergagap-gagap. Tatkala mendengar suaranya hati ku pun
gelisah tidak keruan. Rasa gemuruh
bagaikan tidak dapat aku sembunyikan lantaran suara yang dilontarkan bagaikan
tidak mahu keluar. Aku menahan
getar. Jantungku berdegup kencang.
“Apa
khabar Sara hari ini?” tanyanya.
“Alhamdulillah,
sihat” aku terdiam.
Minda
ku dipenuhi bayangan wajahnya bersilih ganti dengan kenangan-kenangan silam
antara kami berdua. Ada senyuman di wajahku.
“Sara,
you sibuk ke?” soalannya menghentikan lamunanku.
“Iya..
eh tak, tak sibuk” jawabku
tergagap-gagap cuba menyembunyikan getar.
“I
menganggu ke? Kalau you banyak kerja nanti lain kali I call lagi”.
“Tak..ok”
aku tidak tahu apa yang cuba aku katakan.
“Apa
yang tak? Apa yang OK?” tanya
Irfan.
“Ok,
I sekarang ni free, kita boleh
berbual” jawabku dan menyambung selepas
beberapa saat terdiam. Fikiran ku
tiba-tiba bagaikan kosong, tanpa butir yang harus dikatakan.
“Oh
iya, you call baru I teringat tentang
your auntie, Datin Fariza. Tadi pagi dia call I dan minta I call
dia balik, sibuk buat kerja sampai terlupa, masyaAllah” aku betul-betul terlupa
tentang pesanan Dida tadi untuk membalas panggilan Datin Fariza berkenaan
dengan urusan pinjaman bank. Tak apalah,
sekejap lagi aku akan telefon dia, aku mengingatkan diriku sendiri.
“Agaknya
dia nak tanya pasal urusan rumah dia tu kot?
Tak apalah kejap lagi you telefonlah dia” pesan Irfan.
Cuainya
aku. Benarlah kata Dino tentang aku yang
kelihatan seperti orang ada masalah.
Sehinggakan pesanan yang baru disampaikan, aku boleh terlupa.
“Ya,
tak apa, sekejap lagi I akan call
Datin. You di mana ni Irfan? Di ofis?”.
“Iya, I di ofis ni. Tetiba saja teringatkan you. Itu yang I call, nak bertanya khabar. Tak salahkan?”. Masih ingat lagi rupanya dia pada aku, bisik
ku sendirian. Aku menghela nafas, cuba
mengumpul kekuatan untuk mula bersuara.
“Apa
salahnya. Kitakan kawan. Bila jauh bertanya
khabar”. Terharu pula rasanya kerana dia
masih sudi untuk bertanya khabar.
“Bila
dekat?” tanya Irfan sebaik aku menghabiskan ayat ku.
“Bila
dekat?” ku ulang soalan Irfan tadi. Aku
terkedu. Tidak tahu jawapan apa yang
sepatutnya ku berikan. Wajahku merona
merah.
“Bila
dekat bersalam-salamanlah” Irfan menjawab soalan dari pertanyaannya
sendiri. Irfan kedengaran ketawa
gembira. Aku tersenyum lebar.
“Ada
saja you ni” aku malu-malu. Suara
ketawanya bersisa.
“Ibu
dan ayah you sihat Sara? Lama I tak
jumpa mereka tu. Entah ingat ke tidak
lagi mereka pada I ni?” hatiku sayu tiba-tiba.
“Ingat,
mana boleh mereka lupa pada you. Orang
yang pernah hadir ke dalam hidup mereka walaupun hanya sekejap” tuturku tanpa
ada perasaan ragu-ragu dan malu.
Kedengaran Irfan melepaskan keluhan.
“Kenapalah
hubungan kita tidak sampai ke jinjang pelamin Sara?”. Tidak aku duga sama sekali soalan itu akan
dipersoalkan. Ianya benar-benar
membuatkan aku mahu menangis. Ada
kekesalan di situ. Aku juga berasa
begitu. Malahan soalan yang sama
bertubi-tubi datangnya ke minda ku sejak beberapa lama dahulu.
“Kita
tak ada jodoh, Fan” jawabku menyembunyikan rasa kesal itu.
Berpura-purakah
aku? Mengapa tidak aku melepaskan keluhan
hati yang sekian lama terbuku terhadap dirinya?
Mengapa harus ku sembunyikan rasa
marah dan kesal terhadap dirinya yang meninggalkan aku kerana sidia? Dia?
Siapa? Soalan demi soalan
menerjah kotak fikiran menjadikan aku penasaran.
“Itu
sajakah jawapan pada persoalan I tu Sara?
Bukankah jodoh itu kita yang mencari?” tanya Irfan seolah-olah tidak
berpuas hati dengan jawapan yang ku berikan.
“Kita
wajib percaya kepada qada dan qadar yang telah ditentukan Illahi. Ajal maut, jodoh pertemuan di tangan yang
Esa, Fan. Biarpun kita berusaha ke arah
itu, seandainya tidak diizinkan, semuanya tidak akan berlaku” ujarku
bersungguh-sungguh.
“Selagi
kita bernyawa, siapa tahu, mungkin jodoh kita ada tetapi tidak sekarang
datangnyakan?” aku seperti mahu mengiakan kata-kata Irfan itu kerana
sesungguhnya jauh di sudut hati ku juga berperasaan sama sepertinya.
Mungkin
kami tidak ada jodoh sekarang tetapi esok lusa tidak siapa yang tahu. Aku benar-benar mengharapkan jodoh itu ada
diantara kami. Tetapi bisakah kemungkinan
itu berlaku? Sedangkan aku kini telah
mempunyai seorang suami. Seorang suami
yang begitu mengasihi dan menyayangi aku sepenuh hatinya. Sanggupkah aku pergi meninggalkan dia dan
berlari untuk mendapatkan bekas kekasih yang pernah melukakan hatiku pada suatu
ketika dulu? Relakah aku melepaskan
suamiku hanya kerana seorang lelaki yang pernah membuat hidup ku tidak keruan,
menangis siang dan malam seperti orang yang kehilangan arah tujuan dalam
kehidupan? Tak mungkin. Tak mungkin.
“Yang
dah berlalu tu, biarkanlah berlalu. Kita
harus menghadapi kenyataan hidup yang hakiki.
Jadikanlah apa yang berlaku dulu sebagai kenangan yang paling manis di dalam
hidup kita sampai bila-bila” airmata
mulai bertakung di sudut mata. Getaran
suaraku bagai tidak dapat disembunyikan.
“You
menangis Sara?” syahdunya suara itu seakan-akan mencairkan kalbuku saat
itu. Airmata yang tadinya bergenang kini
meluncur laju menitis ke pipi tidak dapat ditahan-tahan lagi. Esakan pun kedengaran yang bukan
dibuat-buat. Aku mengesat airmata yang
tumpah. Suara ku bagai tersangkut di
kerongkong, aku kelu untuk berkata-kata.
“Jangan
menangis Sara. Dulu pun tangisan you
tidak dapat I dengar apatah lagi untuk memujuk.
I rasa sungguh kesal atas apa yang berlaku. Seandainya masa dapat diputar kembali, takkan
I biarkan walau setitis airmata you gugur ke tanah kerana I”, Irfan meluahkan
kekesalan di hatinya. Hatiku kian sayu. Suasana sunyi buat seketika. Kedengaran
keluhan berat di hujung talian.
“Sara,
I ada kerja sikit nak buat, nanti bila-bila I akan telefon you balik. Jangan menangis lagi Sara. You
take care ok”. Setelah meletakkan
gagang telefon, fikiranku melayang.
Biarpun jasad berada di sini, kenapa jiwaku seolah-olah berada jauh
mengenangkan peristiwa-peristiwa silam bersamanya? Jiwa ku kacau. Aku menutup mata dengan erat, cuba membuang
jauh bayangan wajahnya yang menerpa. Aduhai!..Kalaulah
waktu boleh diputar!
No comments:
Post a Comment