“Sara, cubalah senyum sikit. Kejap lagi Azry nak masuk ke bilik sarungkan
cincin” aku tersentak dari lamunan jauh.
Rupa-rupanya aku telah selamat diijabkabulkan. Dengan sekali lafaz aku kini telah menjadi
milik Azry. Aduhai….Setitis airmata
gugur juga. Hangat terasa mengalir ke pipi.
Terharu dan sedih bercampur baur.
Sepupu-sepupu yang sebaya, duduk menemani ku di kamar terkesima melihat
aku berjuraian airmata. Kenapa agaknya pengantin menangis ya! Mungkin timbul
persoalan itu di benak mereka, siapa tahu.
Kak Min masuk ke bilik. Langsir
pintu merah jambu terselak. Kak Min
kelihatan anggun sekali. Dia memakai
baju kebaya pendek biru firus. Patutlah abang Fuad cemburukan isterinya. Kalau
berjalan seorang, pasti orang menyangka dia masih anak dara walaupun sebenarnya
telah melahirkan dua orang anak lelaki yang berusia sembilan dan enam tahun. Kak Min tersenyum kambing tapi tetap manis. Mama Azry berdiri di sebelah kak Min. Menyusul Azry dibelakang mamanya lalu dia
menghulurkan bekas
cincin kepada Azry. Aku tunduk dan Azry membongkok. Memegang tanganku dan menghulurkan sebentuk
cincin emas bertakhta berlian lalu disarungkan ke jari manisku. Dengan spontan
tidak perlu diarah, tangan Azry ku sambut dan ku cium penuh hormat. Termeterailah ikatan yang sah diantara aku
dan Azry sebagai suami isteri. Lalu dahi ku dikucup lembut.
“Ya
Allah seandainya ini lah jodoh untuk ku, kau restuilah perhubungan ini. Biarlah
kekal keakhir hayat. Semoga aku akan menjadi isteri yang baik di sisi suami
yang bakal membimbing aku ke jalan yang kau redai, amin” di dalam hati kecil ku
berdoa sambil melepaskan keluhan yang berat.
Aku pasrah…
Telah dua minggu aku bergelar isteri kepada lelaki yang bernama Mohd
Azry. Dia begitu lembut dan penyayang terhadapku. Kedua ibu bapa ku memuji-muji sikap Azry yang
bersopan santun terhadap orang tua.
Memang dia pandai mengambil hati, pelembut, penyayang dan romantik juga
orangnya. Bila aku ingat-ingatkan perangai
buruknya dahulu yang menyakitkan hati itu terasa pulak peliknya. Perubahan yang amat ketara. Seminggu selepas
mengadakan kenduri di rumahku, kami bersanding sekali lagi di rumah Azry
pula. Sambutannya sungguh meriah dan aku
terasa bagaikan benar-benar seorang
puteri raja yang diberi layanan first
class. Apa tidaknya, aku tidak dibenarkan langsung membuat apa-apa
pekerjaan selain dari duduk di dalam bilik.
Apabila hidangan sudah siap terhidang, kak Rina akan memanggil aku untuk
turun makan. Rimasnya aku diperlakukan
begitu.
“Ambil
lauk tu Sara, jangan nak malu-malu pulak” suara ayah mertua ku memecah
kesunyian waktu makan tengahari.
Azry
yang duduk di sebelah mencedukkan gulai daging ke dalam pinggan ku. Aku makan
dengan begitu tertib sekali.
“Abang
nak tambah nasi lagi?” Azry menoleh memandangku lalu menganggukkan kepala
beberapa kali. Dia nampak berselera sungguh.
Mungkin ini lauk pauk kegemarannya, aku berteka teki. Gulai kari daging
dengan ubi kentang, sambal tumis udang dengan petai, sayur kangkung bercili,
ayam goreng berempah dan sambal belacan berulam mentimun. Tambahan pula masakan
ibunya sendiri, air tangan ibulah katakan, tiada tandingannya. Sejurus selepas
habis makan, aku mengangkat pinggan kotor ke sinki. Aku cuba untuk membasuh pinggan yang
ada tetapi di halang oleh mak Mah pembantu di rumah itu. Dari ruang makan kedengaran suara mama melarang
aku dari membuat kerja-kerja di dapur.
Dengan rasa serba salah aku tinggalkan semua kerja itu untuk dibereskan
oleh mak Mah. Aku sudah terbiasa dengan
keadaan itu sebenarnya. Di rumah ku tiada pembantu. Semenjak anak-anak telah dewasa dan
masing-masing sudah tinggal berasingan, ibu menguruskan segala-gala tugas di rumah
sendirian dan aku akan membantu ibu apabila ada masa terluang.
Azry
datang menghampiri aku dan memimpin tangan ku ke ruang tamu. Di situ mama dan
papa Azry telah menunggu sambil mengunyah buah limau manis dan tembikai yang
sedia terhidang di atas meja kaca di hadapan mereka.
“Meh
duduk sini makan buah, Sara” pelawa
papa. Mama memandang dengan ekor matanya
yang bundar seraya melemparkan senyuman.
“Esok
flight pukul berapa Azry?” papa
memandang sekilas ke wajah ku dan beralih pandangan ke wajah Azry pula.
“Pukul
dua papa” jawab Azry sambil memegang sepotong tembikai di tangan.
“Papa
dah telefon pakcik Farok dan bagitau dia Azry nak ke sana besok. Papa minta dia tunggu kat airpot dalam pukul
tiga” beritahu papa sambil mengunyah tembikai.
Aku
dapat tahu bahawa Pakcik Farok ialah kawan lama papa semasa sama-sama
mengerjakan haji tiga tahun lepas dan kebetulan juga mereka adalah kawan
sekelas semasa di sekolah menengah tinggi dahulu.
“Pakcik
Farok pesan tak payah sewa kereta, dia akan bagi pinjam kereta dia” sambung
papa lagi.
“Tak
apalah, nanti papa tolong bagikan nombor telefon pakcik Farok ya papa, nanti
Azry akan call dia” papa mengangguk.
“Dah
siap packing ke?“ tanya mama yang
berdiam sejak tadi.
“Belum
lagi ma, kejap lagilah kot” ujarku sepontan.
“Kalau
sampai sana
nanti jangan lupa belikan papa souvenir”
pesan papa pula dengan sekuntum senyuman di bibir. Ayah mertua ku memang gemar mengumpul souvenir dari tempat-tempat yang pernah dilawati samada
atas tiket percutian atau tugasan.
“InsyaAllah,
kami takkan lupa” jawab Azry penuh mesra sambil bergelak ketawa, aku menumpang
senyum.
Mama
yang duduk di sebelah suaminya menggelengkan kepala, senyuman tidak lekang dari
bibirnya. Mama memang nampak jauh lebih muda dari usia sebenarnya. Mungkin kerana
faktor kehidupan mereka yang mewah dan tidak stress menjadi sebab mengapa dia kelihatan awet muda.
“Ma,
pa, kami masuk bilik dulu nak packing
pakaian” aku berbasa basi dan tunduk hormat ketika melintasi mereka apabila
Azry mengajak aku ke bilik untuk mengemaskan beg pakaian. Aku mengekori Azri dari belakang.
Esok aku dan Azry akan ke Pulau Langkawi untuk berbulan madu. Kami akan berada di sana selama 4 hari 3
malam. Buat masa terdekat ini, itu
adalah destinasi pilihan kami bersama memandangkan Azry punya banyak tugas
penting yang harus dibereskan di pejabat.
“Kali
ni kita pergi Langkawi je dulu ya sayang, InsyaAllah bila abang dah agak free sikit kita pergi second honeymoon kat tempat yang lagi best, ok!” janji Azry, tangan ku diusap
lembut.
“Boleh
abang tahu, Sara nak pergi mana untuk kita punya next honeymoon?” soal Azry
lalu tangan ku dikucup mesra.
Aku
terdiam dan berfikir sejenak, “Bali ” aku
menyebut separuh menjerit.
“Ohh!
tempat tu memang romantik, abang pun tak pernah pergi, InsyaAllah satu hari
nanti abang pasti bawa Sara ke sana” Azry mengukir senyuman. Kebahagiaan jelas terpancar ke air muka Aku juga dapat merasakan kebahagiaan itu.
“Bali tunggu! aku akan datang ke daerah mu” aku berlagu di
dalam hati.
Aku
mula memasang angan-angan. Tentu seronok
berada di sana bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Tiada hijab dan halangan diantara kami. Kami bebas ke mana-mana, kami boleh berbuat
apa saja yang kami suka.
“Ha!
tersenyum-senyum tu kenapa? Berangan ye” usik Azry lalu pinggang ku digeletek dan
aku mengekek kegelian.
Azry
terus menggeletek keseluruh tubuh badan ku dan aku tertawa manja.
Tubuh Azry yang sasa ku peluk erat. Dan Azry membalas dengan pelukan yang lebih
erat lagi, hampir lemas aku dibuatnya.
Dan bibir kami bertaut…Dua jasad pun menjadi satu.
Penerbangan kami ke Pulau Langkawi dijadualkan berlepas pada pukul 2.00
petang dari KLIA dan kami seharusnya berada lebih awal satu jam dari waktu
penerbangan. Awal pagi lagi mak Mah
telah mulai sibuk di dapur untuk menyediakan makanan tengahari. Mama sibuk mengingatkan kami untuk makan
tengahari di rumah sebelum bertolak ke lapangan terbang. Jam 11.35 pagi kedengaran pintu kamar diketuk
dari luar. Aku sedang ralit memasukkan
barang-barang keperluan ke dalam poket beg yang sudah sarat penuh dengan
bekalan baju-baju aku dan Azry. Azry
pula ketika itu berada di bilik air.
Dengan langkah yang malas aku berjalan menuju ke pintu. Tombol pintu berwarna silver ku genggam kemas lalu ku tarik perlahan dan daun pintu pun
terkuak sedikit. Kelihatan mak Mah
sedang tercegat di depan pintu.
“Ya
mak Mah, ada apa?”, soal ku sebaik melihat wajah mak Mah.
“Makanan
dah siap mak Mah hidangkan, mama dan papa dah panggil turun tu”, ujar mak Mah
yang lebih kurang sebaya ibu ku.
Dia
begitu lemah lembut orangnya, penuh sifat keibuan. Hari pertama aku di sini mak Mah memanggil
aku dengan gelaran cik puan. Terasa
kekok dipendengaran ku dan aku
mengingatkan mak Mah untuk tidak memanggil aku dengan gelaran itu lagi,
cukup sekadar memanggil nama ku sahaja.
Itu telah memadai.
“Azry
tengah mandi, sekejap lagi kami turun ya” mak Mah terus berlalu menuruni anak tangga
sebaik sahaja aku memberi jawapan itu.
Pintu
bilik air ku ketuk perlahan supaya Azry segera keluar dari situ. Mandi ke berendam? getus ku di dalam
hati. Sekonyong-konyong Azry pun keluar
dari bilik air sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala kecil berwarna
biru. Dia menghampiri aku lalu pinggang
ku di peluk dari belakang.
“Eh
eh abang, Sara dah mandi tau. Tu mama
dengan papa dah tunggu kita kat bawah.
Cepat sikit siap, mandi berjam-jam, mengalahkan orang perempuanlah abang
ni” omel ku.
Azry
menunjukkan wajah selamba, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Zip beg ku tarik perlahan. Beg telah tertutup
kemas.
“OK
beres” beg yang besar itu ku tarik sehingga ke depan pintu.
Azry
sudah lengkap berpakaian. Dia mengenakan
seluar jeans biru dengan baju-T berkolar warna ungu lembut. Azry masih membelek-belek wajahnya di depan
cermin. Rambutnya sekejap disikat ke belakang
dan sekejap dibelah ke tepi.
“Sudahlah
tu bang” tegur ku.
“Iyalah
abang dah siaplah ni” Azry menepuk punggungku dari belakang. Aku segera menoleh dan sempat satu kucupan
hinggap di pipi kananku.
Selesai
makan tengahari bersama mama dan papa, aku mendapatkan mak Mah di dapur. Ku hulurkan tangan untuk bersalam. Sebelum menyambut salam ku mak Mah mengelap
kedua-dua tangannya dengan kain batik sarung yang dipakainya.
“Selamat
pergi dan balik ya Sara” suara mak Mah lembut seperti seorang ibu memberi
pesanan kepada anak kecilnya dan aku mengangguk.
Aku
bergegas ke ruang tamu untuk mendapatkan Azry ku. Mereka sudah menunggu aku di luar rumah. Aku mendapatkan mama dan papa lalu bersalaman
dan mencium tangan mereka.
“Pergi
dulu ya ma, pa” ujar ku sambil melambaikan tangan.
Aku
mengatur langkah mengekori Azry dari belakang dan terus masuk ke perut kereta
Perdana V6 yang dipandu oleh pak Mail, pemandu peribadi papa. Dalam
perjalanan ke lapangan terbang, Azry menyuruh aku menghubungi ibu dan
ayah. Talipon bimbitnya dihulurkan
kepadaku. Lama deringan berbunyi sebelum
kedengaran suara ibu sayup menjawab talipon di hujung talian. Kata ibu, ayah tiada di rumah ketika itu dan
ibu sedang membasuh pinggan di dapur sewaktu talipon berdering.
“Sara
dengan Azry on the way ke airport ni
bu” Azry mengenggam erat tangan ku.
“Kirim
salam pada Azry, jaga diri baik-baik kat tempat orang” nasihat ibu. Begitulah sikap ibu walaupun aku sudah menjadi
isteri orang, dia masih risaukan tentang diriku. Masih memberi aku nasihat seperti dulu.
“Kirim
salam pada ayah ye, nanti sampai sana
kami talipon lagi, assalamualaikum..”, butang merah di telefon bimbit ku tekan
sebaik ibu menjawab salam ku. Aku merasa
sebak. Walaupun baru semalam kami bertemu
tetapi perasaan rindu pada mereka datang juga menerjah.
Penerbangan selama satu jam bagaikan tidak terasa. Sepanjang perjalanan ada sahaja cerita dari
Azry. Azry memang suka bercerita dan
berjenaka, tanya apa saja isu pasti dia akan menceritakan segala-galanya dengan
lebih detail. Itu yang membuatkan kasih ku tertumpah penuh padanya. Lupa segala peristiwa yang melanda diriku
sebelumnya. Ohh… Azry…
No comments:
Post a Comment