Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia hanya tinggal beberapa
minggu sahaja lagi. Kami pelajar-pelajar
tingkatan 5 mulai sibuk dengan gerak gempur untuk menghadapi peperiksaan besar
itu. Setiap hari selepas waktu sekolah
pula aku akan mengisi masa di Pusat Sumber.
Lebih selesa rasanya membuat ulangkaji di situ dari di rumah. Almaklum lah kalau di rumah banyak gangguan-gangguan
yang tidak diduga boleh berlaku.
Sudah tiga hari aku tidak berjumpa dengan Irfan. Perasaan rindu tiba-tiba datang menyapa. Eh kenapa dengan aku ni? Walaupun dekat tetapi jauh. Memang kami selalu terserempak di dalam kelas
dan kekadang bertembung diwaktu rehat atau sewaktu beratur semasa assembly tetapi tidak berkesempatan
untuk bertegur sapa. Semakin hari
peperiksaan kian dekat, rasanya waktu semakin cepat datang dan pergi. Begitu juga keadaan kami yang semakin kalut
untuk membuat persediaan itu. Sesekali
aku perasan dia mengintai aku dari jauh.
Begitu juga aku sempat mengerling dia di tengah antara kawan-kawannya. Aku tersenyum sendirian bagai ada sesuatu
yang mencuit perasaan. Aku ni kena
penyakit angau agaknya, bisik ku di dalam hati.
Seperti petang-petang semalam dan kelmarin aku ke Pusat Sumber lagi. Seperti berjanji Irfan juga ada di situ bersama
beberapa kawan-kawannya yang lain. Begitu
tekun nampaknya mereka mentelaah. Irfan
ku lihat sedang mencatat sesuatu di atas buku sehingga tidak perasan langsung
aku bersama Shahidah, Zahirah dan Syikin yang datang menghampiri mereka.
“Hai
asyiknya membaca, sampai mak mentua lalu pun tak nampak” tegur Shahidah
perlahan.
Semua
mata tertumpu pada kami serentak. Suara
Shahidah itu rupanya didengar oleh sebahagian penghuni Pusat Sumber yang
berdekatan dengan tempat laluan kami.
Suasana yang sunyi membuatkan suaranya yang disangka perlahan itu
menjadi perhatian.
“Syyyy….”
kelihatan pengawas Pusat Sumber memberi amaran supaya senyap, jangan membuat
bising sambil jari telunjuknya diletakkan di bibir.
Aku,
Syikin, Zahirah dan Shahidah berlalu dari situ dengan tersipu-sipu. Kami duduk di meja yang tidak berapa jauh
dari meja Irfan dan kawan-kawannya.
Mereka kelihatan berbisik-bisik dan ketawa tanpa suara. Lucu sangatlah tu.
Buku di atas meja ku selak
mukasuratnya satu persatu. Ku garu
kepala yang tidak gatal dengan pen di tangan.
Mata ku tidak lepas dari memandang Irfan yang duduk membelakangkan
aku. Shahidah dan Syikin sibuk menyalin
nota dari buku rujukan yang diambil dari rak buku di situ. Zahirah telah hilang dari tempat duduknya. Aku sangkakan dia pergi mencari buku, rupanya
dia ku lihat duduk berbual dengan Saiful di meja lain. Aku pun menarik kerusi perlahan dan menuju ke
rak buku yang mengandungi novel-novel cinta remaja. Novel HATIMU UNTUK SIAPA nukilan HM TUAH
ISKANDAR menjadi perhatianku. Buku itu
ku capai. Ku belek dan ku baca synopsisnya
di belakang kulit buku. Menarik juga
ceritanya. Tak apalah, dah habis periksa
nanti bolehlah aku baca buku ni, desis hatiku.
Aku pun meletakkan semula novel itu di tempatnya.
“Ha! kat sini rupanya awak ya!” satu suara
yang tidak asing dipendengaran ku menegur.
Dia berdiri begitu hampir di belakangku.
Terkejut aku dibuatnya dan dengan pantas aku menoleh ke belakang, aku dapat
merasakan wajahku begitu dekat sekali dengan wajahnya. Aku terkedu.
Dia pun tersentak. Dan kami
terdiam kaku begitu buat seketika. Sejurus
kemudian aku mengundurkan badan ku ke belakang sedikit.
“Eh
awak ni, terkejut saya” wajah ku serius.
“Wangilah
rambut awak, awak pakai syampu Follow Me
ke?” Irfan cuba
mengusik.
“Tak
adalah, pandai-pandai aje awak ni” suara ku agak keras tetapi perlahan.
“Sombong
ya awak sekarang? Nampak saya pun dah
tak mahu tegur” Irfan menarik rambut panjang ku yang aku ikat satu ke belakang.
“Siapa
yang sombong? Awak ke saya?” tangan ku masih lagi sibuk mencari-cari buku yang
entah apa tajuknya. Aku hilang tumpuan
sebenarnya. Sesekali aku menoleh
memandang sekilas ke raut wajahnya yang cukup menarik dari pandangan kacamata
ku. Irfan merenung aku dengan anak mata yang
tajam. Aku merasa terganggu dengan
renungan itu. Berderau darahku
dibuatnya. Ku larikan pandangan mata ku ke
arah lain. Aku sangat suka diperlakukan begitu sebenarnya.
“Nanti
awak tunggu saya ye, kita balik sama-sama” Irfan mengingatkan aku dan berlalu
dengan senyuman di bibirnya.
“Tinggal
dua hari saja lagi nak periksa” Zahirah mengeluh sambil kaki melangkah.
“Kau
dah ready ke Sara?” tangan kirinya
merangkul lengan kanan ku.
“Sara
rajin pergi library, bukan macam
kita, asyik nak lepak aje” Zulaikha menyampuk lantas tangan kiriku dipimpin.
Kami
bertiga berjalan beriringan menuju ke kantin sekolah untuk membeli jajan. Waktu itu kami baru saja selesai menghadapi
taklimat di dewan sekolah. Ketika kami
hampir tiba di perkarangan kantin, aku seperti tergamam apabila ternampak ada
dua insan yang sangat ku kenali sedang duduk di satu sudut sambil berbual-bual,
mesra nampaknya. Hampir terhenti degupan
jantung ku. Di hadapan mereka terdapat
dua gelas air yang mungkin kepunyaan mereka, aku tidak pasti.
“Eh
itu Irfan dengan Aisyah kan ?”
tanya Zulaikha tanpa berselindung sambil
jari telunjuknya menunjuk ke arah mereka berdua.
“A’ahlah,
sejak bila pulak budak Aisyah tu pandai berdating
dengan Irfan ha!” tambah Zahirah kehairanan.
Pandangan
mereka beralih ke wajah ku. Aku mencebik
sambil mengangkat bahu. Perasaan ku
tiba-tiba bertukar menjadi sakit hati.
“Jomlah”
lalu ku tarik tangan mereka berdua ke arah lain.
“Eh,
tadi kau kata nak pergi kantin” Zulaikha membatukan diri.
“Ha,
kau jealous ye” duga Zulaikha.
Geramnya
aku dengan Irfan. Perasaan ku tidak
tentu arah. Cemburu dan benci bercampur
baur. Kenapa dengan dia tu? Adakah dia sengaja nak menduga hatiku? Atau…Yang
aku ni kenapa pula? Mengapa mesti ada perasaan-perasaan begitu terhadap
mereka? Irfan bukan sesiapa denganku,
dia hanya kawan sekelas yang sama seperti Saiful, Qayyum, Aiman dan Haikal. Tetapi aku tidak mampu untuk menipu hatiku
sendiri. Perasaan apakah yang mendera
hatiku sekarang? Ia begitu menyiksakan.
Menjelang
petang, aku pun pulang sendirian.
Sebelum keluar dari pagar sekolah, sempat juga aku mengintai-intai
mencari kelibat lelaki itu. Ada beberapa kumpulan
pelajar-pelajar lelaki yang masih mundar-mandir di kawasan sekolah, tetapi dia
tidak kelihatan. Aku pun melangkah keluar dari kawasan sekolah
menuju ke jalan di tepi pagar. Ketika
sampai di simpang jalan untuk masuk ke jalan kawasan perumahan ku, beg ku bagai
ditarik-tarik dari belakang. Secepat kilat aku menoleh ke belakang.
“Oh!
awak rupanya, suka sangat buat saya terkejut tau. Nasib baik saya tak ada sakit jantung” tangan
ku mengurut dada sambil mata menjeling tajam ke arahnya.
“Terkejut
ke? Alah sorry lah. Awak ni macam nenek sayalah, sikit-sikit nak
terkejut” Irfan ketawa terbahak-bahak, lucu sangatlah tu.
“Amacam
taklimat tadi?” Irfan menukar topik. Aku
terus mengorak langkah tanpa memperdulikannya.
“Eh!
Awak marah ke? Takkanlah benda sikit
macam tu pun nak merajuk kot?” pujuk Irfan sambil mengekori ku dari belakang.
“Sorrylah,
saya tak sengaja nak buat awak terkejut” pujuknya lagi. Sangkanya
aku marah kerana dia menyergah aku dari belakang tadi.
“Eee
malas aku nak layan kau” bentak ku di dalam hati.
Kura-kura
dalam perahu, pura-pura pulak tak tahu. Aku
tidak menghiraukan kata-kata Irfan, aku tetap juga melangkah. Dia masih mengekoriku.
“Ei
Maisara! kenapa dengan awak ni?” beg sekolah yang ku sandang
ditarik-tarik. “Tanyalah diri awak
sendiri” jawabku perlahan sambil melangkah laju.
“Apa
yang dah saya buat?” dahi Irfan berkerut.
Aku
hanya diam seribu bahasa. Tiba-tiba aku merasakan
aku tidak lagi diganggu seperti tadi.
Irfan tidak lagi mengekoriku.
Hairan, mana pula perginya? Aku
sempat mengerling. Rupa-rupanya dia
masih lagi di belakang. Agak jauh juga
telah aku tinggalkan. Dia hanya tercegat
sambil tangan kanan diletakkan di pinggang.
Aku terus mengorak langkah tanpa menoleh lagi. Sebentar kemudian kedengaran tapak kaki
berlari menghampiriku. Tali beg yang ku
sandang di bahu kanan ditarik lagi tanpa menghiraukan orang yang lalu lalang. Aku berhenti dan berdiri hampir sekali dengan
Irfan. Aku cuba mengelak dari memandang
wajahnya.
“Sara,
saya tak fahamlah dengan awak ni?” dia menunjukkan raut wajah yang marah.
“Tak
faham ke atau buat-buat tak faham?” soal ku di dalam hati.
“Kalau
awak rasa ada apa-apa yang menyinggung perasaan awak, bagitaulah. Janganlah tunjuk perasaan marah macam ni,
kalau awak tak bagitau macamana saya nak tau” rayu Irfan.
Matanya
yang bening menatap wajah ku sayu. Hati ku
jadi tersentuh dengan gelagat Irfan. Kasihan.
“Kalau
awak tak nak cakap dengan saya tak apalah” wajah Irfan kelihatan sugul lantas
mengeluarkan sesuatu dari beg sekolahnya.
“Nah,
ini untuk awak” Irfan menghulurkan sesuatu yang berbalut dengan kertas hadiah berwarna
pink.
Kotak hadiah ku sambut dengan tangan kanan dengan perlahan. Aku jadi serba salah. Irfan pun terus menoleh dan melangkah pergi
tanpa sepatah kata. Mata ku mengekori kelibatnya pergi sehingga lelaki
itu hilang dari pandangan. Aku terkedu.
Jam
di dinding telah menunjukkan jam 8 malam,
aku masih bermalasan di atas katil.
Aku mengirai-ngiraikan rambut panjang ku yang hampir mencecah paras
pinggang. Rambut ku yang hitam dan lurus
panjang sering menjadi pujian teman-teman.
Ku simpulkan rambut ke belakang dan ku ikat menggunakan getah rambut
berwarna biru. Selesa rasanya. Tok! Tok! Tok! Pintu bilik diketuk dari luar.
“Sapa
tu, masuklah” daun pintu terkuak, Ako menjengolkan muka dari balik daun pintu
kayu. Ako masuk dan melabuhkan punggung
di atas katil di sebelah ku sambil tersenyum kambing.
“Kak
Sara tengah buat apa ni? Berangan
ingatkan boyfriend ke?” adik manja ku
cuba
serkap jarang tanpa memandang ke wajahku.
“Ayah
dengan ibu panggil makan”. Sudah menjadi
rutin Ako untuk memanggil aku makan pada setiap malam jika aku tidak turun ke bawah
sebelum waktu makan malam tiba.
“Ayah
dengan ibu panggil makanlah kak” ayat yang sama diulang lagi. Aku masih diam membatu tanpa sepatah kata
yang lahir dari bibirku.
“Kakak
tak nak turun makan ke?” suaranya agak kuat menjerkah apabila beberapa kali pertanyaannya
tidak aku layan.
“Hissy.. akak ni, tulah, berangan aje, orang
tanya bukan nak jawab” Ako menunjukkan wajah serius. Aku memanjangkan tangan, rambutnya ku gosok-gosok
kasar.
“Akak
malaslah nak makan, cakap kat ibu dengan ayah akak dah kenyang makan roti tadi”
ujar ku seraya tangan mencatit sesuatu di atas buku nota.
“Ako
pergilah turun makan, nanti ibu dengan ayah marah pulak” arah ku lembut. Sebenarnya aku mahukan privacy.
“Oklah,
Ako nak turunlah ni. Betul ke akak tak
nak makan? Kang ibu bising pulak kat bawah tu” pujuknya lagi tanpa jemu.
“Kan akak dah kata akak dah kenyang. Dahlah pergi turun dulu, akak nak baca buku
sikit untuk paper esok” aku memberi
alasan. Lantas aku memicit hidung Ako
yang mancung dengan geram.
“Adoi!
Sakitlah akak ni. Hilang macho Ako, akak tau”. Ako menggosok-gosok hidungnya sendiri.
“Eleh
perasan macho konon, macho tapi hancur nak buat apa?” usik ku dan ketawa kami
pun berderai. Seketika kemudian Ako pun
berlalu keluar meninggalkan aku dengan ketawa yang masih bersisa.
Beg sekolah yang ku sandarkan di atas
kerusi studi di tepi tingkap ku buka, aku hampir terlupa tentang hadiah yang
Irfan beri tadi petang lantaran tertidur kerana kepenatan. Lantas hadiah yang berbalut itu, ku capai. Apa agaknya ni? Aku meneka sambil hadiah yang berada di tangan
ku goncang-goncangkan. Dengan tidak
sabar, kertas pembalut ku koyakkan. “Eh
eh cantiknya music box ni” aku tersenyum
lebar dan rasa sungguh terharu. Sebuah
kotak muzik dengan anak patung comel berpusing-pusing seolah-olah menari ballet
diiringi muzik Romance D’Amor. Ada
sebuah kad kecil yang diselitkan di tepi kotak itu. Ku baca bait-bait ayat yang ditulis dengan
penuh perasaan teruja.
“Aku tidak pandai berpuisi, semuga dimengerti niat di hati. Ikhlas dariku Irfan Effendi”.
Pendek
sahaja ayatnya tetapi penuh puitis dan maksud yang tersirat. Peristiwa siang tadi menganggu fikiranku dan
membuatkan aku merasa begitu sayu.
Menyesal pula rasanya dengan sikap ku terhadap Irfan. Airmata mula
bertakung dan jatuh satu persatu ke pipi tanpa ditahan-tahan. Rindu terhadap Irfan pun datang
menyelinap. Aku tidak pernah merindukan
seseorang seperti perasaan rinduku padanya.
Apakah ini yang dinamakan
cinta? Perasaan itu datang begitu sahaja
tanpa aku sedari kehadirannya di dalam hati.
Apakah Irfan berperasaan begitu terhadap aku? Berbagai soalan yang datang bersilih ganti di
benakku. Kenapa aku bersikap begitu
terhadap Irfan? Kenapa aku mesti marah bila nampak Irfan berbual dengan Aisyah
tadi? Bukankah Aisyah juga kawan sekelas
dengannya? Aku cemburukah? “Bodohnya aku ni!” aku menyumpah diri ku
sendiri.
No comments:
Post a Comment