Hari ini hari yang ditunggu-tunggu dengan penuh debaran tiba jua. Semua pelajar-pelajar tingkatan 5 seluruh Malaysia akan menghadapi peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia
serentak. Pagi tadi aku telah terjaga
dari tidur seawal 5.30 pagi. Deringan
jam loceng yang setia menjalankan tugasnya setiap pagi untuk mengejutkan aku
dari beradu, tidak pernah gagal berbuat demikian. Terbuka saja mata dari lena yang panjang,
syukur Alhamdulillah ku panjatkan kehadrat Illahi kerana memanjangkan umur ku
lagi ke hari ini. Aku menggeliat di atas
tilam empuk. Dengan bermalas-malasan ku
capai tuala mandi yang tersangkut di belakang kerusi yang berhampiran. Aku ke bilik air yang sedia ada di dalam
bilik. Selepas membersihkan diri, aku
berwuduk. Sejadah dan telekung yang bersidai
ditempatnya ku capai. Solat Subuh dua
raka’at ku tunaikan dengan penuh kusyuk dan tawaduk. Selepas memberi salam, kedua-dua tangan ku tadah
memohon doa. “Ya Allah! Ampunilah
dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibubapaku.
Kau limpahkanlah aku taufik dan hidayah Mu. Jauhilah aku dari kesesatan dan kemungkaran. Berikanlah aku kesejahteraan dan kebahagian
hidup dunia dan akhirat. Kurniakanlah
kesihatan badan dan limpahkanlah aku rezeki yang luas dan halal. Ya Allah! Terangkanlah hatiku. Berikanlah aku ketenangan dan kesabaran dalam menghadapi peperiksaan. Semuga aku dan kawan-kawan ku berjaya di dalam
peperiksaan ini. Amin ya rabbal alamin”.
Kedua-dua tangan ku raupkan keseluruh
wajah usai doa dibaca.
Aku telah bersiap dengan pakaian seragam sekolah, baju kurung putih
berkain biru muda. Rambut panjang ku,
didandan dan dihiasi reben putih. Dengan
berlari-lari anak aku menuruni anak tangga.
Di meja makan kelihatan ayah dan ibu sedang menikmati sarapan pagi. Ako tidak kelihatan. Cuti-cuti sekolah begini, selalunya dia
lambat tidur kerana leka bermain play
station dan tentunya lewat bangun pagi.
Ayah sedang menghirup kopi dan ibu pula sedang menyapu majerin ke atas
roti. Di atas meja terhidang mihun goreng
masakan ibu pastinya. Tiada suara
kedengaran melainkan bunyi cawan dan sudu berlaga sesama sendiri.
“Assalamualaikum” ucapan salam ku memecah
kesunyian itu. Ibu dan ayah menoleh.
“Wa’alaikumussalam”
ibu dan ayah menjawab salam ku serentak.
“Meh
duduk sarapan” pelawa ibu sambil menuangkan air kopi ke cawan. Cawan yang telah berisi dihulurkan, aku
segera menyambutnya dari tangan ibu.
“Hari
ni ayah hantar Sara pergi sekolah ya” senyuman ayah melegakan perasaan gundah
ku.
“Eh
tak payahlah, ayah. Nanti ayah pulak
yang lambat ke pejabat” mihun goreng ku suapkan ke mulut.
“Hari
ni ayah ada mesyuarat pukul 10, so
ayah pergi office lambat sikit” ujar ayah lagi yang beria-ia mahu menghantar
aku.
“Ok!”
kata-kata ayah ku balas pendek sambil menganggukkan kepala tanda setuju.
Sejurus
selepas habis sarapan aku mendapatkan ibu dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Ku kucup tangan ibu.
“Pergi
dulu bu”.
“Ingat!
sebelum baca soalan tu, baca bismillah dulu.
Jangan tergopoh-gapah. Baca soalan betul-betul” ibu mengingatkan aku dan aku tahu ibu yang
lebih nervous dari aku.
“Iyalah
bu” jawab ku manja sambil melambai tangan kepada ibu yang sedang berdiri di muka
pintu.
Hari
ini masuk hari yang kelima peperiksaan SPM berjalan. Sementara menunggu paper disebelah petang yang akan bermula pada jam 2.30, aku duduk
berbual-bual dengan Nor Asyikin dan Zulaikha di tepi bangunan berhampiran padang sekolah.
“Seronoknya
periksa dah nak habis” kata Zulaikha sambil bertepuk tangan, kemudian
mengangkat baju kurung putihnya untuk duduk di atas batu di sebelah ku.
“Seronok
memanglah seronok, tapi kau lupa ke lepas tu kita dah tak jumpa macam
selalu. Kita dah tak datang sekolah lagi
macam biasa” sampuk Syikin sejurus Zulaika berhenti bercakap.
“A’ah
eh, ya tak ya jugak. Tapi tak kisahlah,
yang penting kita dah tak perlu baca buku lagi, tak payah buat homework dan
yang lebih seronoknya kita tak lagi dengar cikgu Bedah mak tiri kita yang
garang gila tu membebel-bebel” kata-kata Zulaikha itu disambut dengan deraian
ketawa. Tiba-tiba muncul Zahirah dan
Shahidah dari arah kantin.
“Oi!
Buruknya anak dara ketawa mengilai-ngilai macam pontianak je.
Dari jauh dah dengar kauorang ketawa tau tak?” tegur Shahidah, Zahirah
di sebelahnya menganggukkan kepala mengiakan kata-kata Syahidah itu sambil
menyeringai.
“Alah
nak bergurau senda pun tak boleh ke?” balas Zulaikha pula. Lirik matanya menjeling ke arah Shahidah.
“Tak
adalah, lain kali nak buat lawak tu panggillah kitorang join sama” Shahidah menepuk bahu Zulaikha sambil mengekek-ngekek.
“Eh
dah pukul berapa ni?” Syikin menarik tangan ku untuk melihat jam di tangan
kiriku.
“A’ahlah
dah pukul 2, jomlah” aku bingkas bangun dari tempat duduk dan kami
berdedai-dedai ke dewan peperiksaan.
Sebahagian ruang dewan peperiksaan yang besar itu telah dipenuhi oleh
pelajar-pelajar. Mata ku melilau mencari-cari
kelibat lelaki itu. Sudah beberapa hari
aku tidak melihat dia. Rasa rindu pula
dengan senyuman dan gurau sendanya. Dia
tidak kelihatan di tempat duduknya.
Dimana dia? Tiba-tiba ekoran anak
mata ku terhenti pada satu susuk tubuh yang sedang berjalan. Aku memerhatikan dia yang sedang mengorak
langkah menuju ke tempat duduknya. Dia
menoleh ke arah ku. Mata kami
bertemu. Dia hanya memandang ku sekilas. Tiada senyuman untuk ku seperti selalu. Aku terkedu.
Kerana sibuk dengan peperiksaan yang dihadapi aku tidak berpeluang untuk
berjumpa Irfan untuk memohon kemaafan diatas insiden yang telah berlaku
kelmarin. Aku terpaksa melupakan
perkara-perkara itu buat sementara waktu.
Hari ini merupakan kertas akhir bagi ku.
Kertas Sejarah dijadualkan bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir
sehingga jam 10.30 pagi. Kertas soalan
ku jawab dengan teliti. Soalan dan
jawapan ku baca berulangkali. Dewan
peperiksaan sunyi sepi. Semua
pelajar-pelajar sedang kusyuk menulis jawapan di atas kertas yang telah
disediakan. Kelihatan Pegawai Peperiksaan
berjalan mundar mandir memerhatikan dan mengawasi pelajar-pelajar. Apabila jam di tangan menunjukkan ke pukul
10.15, pelajar-pelajar mulai beransur-ansur keluar meninggalkan dewan. Tepat jam 10.30 semua pelajar-pelajar yang
masih ada diarahkan untuk berhenti menulis.
Kertas-kertas jawapan ku susun kemas dan ku tinggalkan di atas
meja. Aku bingkas bangun dan bergegas
keluar dari dewan.
Aku harus pulang awal hari ini kerana bibik Nia telah pulang bercuti ke Indonesia
tiga hari lalu kerana melawat kaum keluarganya disana. Ibu pula menemani ayah ke Port Dickson. Kebetulan ayah ada seminar di sana pagi
ini. Di sebelah petangnya pula ayah di
jemput untuk hadir kejamuan hi-tea di
Hotel Guoman bersama-sama ibu.
Kemungkinan ayah dan ibu akan pulang lewat malam sebaik jamuan berakhir.
Aku telah berjanji pada Ako yang aku akan pulang awal sejurus peperiksaan
ku tamat. Aku harus tepati janji ku
padanya. Aku tidak mahu Ako
tertunggu-tunggu. Sesampai aku di rumah,
ku dapati daun pintu berkunci. Puas ku
beri salam dan daun pintu ku ketuk berkali-kali tetapi tiada jawapan kedengaran. “Oh ya nasib baik ada spare key”, aku mengingatkan diriku tentang kunci pendua yang ku
simpan di dalam beg. Aku pun meraba-raba
beg sekolah yang ku sandang di bahu.
Bunyi kunci berlaga-laga kedengaran sejurus ianya ku capai. Aku pun membuka pintu menggunakan kunci
pendua itu. Ako tidak kelihatan di ruang
tamu tetapi kipas siling berputar ligat tanpa ditutup, aku tekan suis off dan perlahan-lahan kipas pun
berhenti berpusing. Pasti dia berada di biliknya
dan sedang leka bermain dengan play
station, duga ku.
“MasyaAllah!
Apa dah jadi ni? Bersepahnya macam dilanda
puting beliung” aku terkejut dengan keadaan ruang dapur yang berselerak sebaik
aku masuk ke ruang itu untuk mengambil air untuk menghilangkan dahaga.
Beg
yang ku sandang ku letakkan di atas kerusi. Aku capai kain pengelap meja lalu ku lap air
yang tumpah di atas kabinet dapur.
Cawan-cawan dan pinggan-pinggan yang bersepah dan masih ada sisa makanan
ku letakkan ke dalam sinki basuh.
“Pengotor betullah Ako ni, bukannya dia nak
kemas. Baru aje sekejap dia kena tinggal
sorang kat rumah dah macam nak terangkat rumah ni. Nak kena dia ni!” aku membebel sambil
pinggan-pinggan dan cawan-cawan yang berada di dalam sinki habis ku cuci dan ku
toskan di tempat pengering. Geram betul
aku dengan perangai adik ku yang seorang itu.
Setelah siap berkemas aku bergegas menaiki anak tangga sambil melaungkan
nama Ako. Senyap dan sunyi, panggilan ku
tidak bersahut. Ku hampiri biliknya dan
daun pintu ku buka.
“Astagafirullahalazim”
aku beristigfar panjang.
“Membuta
rupanya dia. Patutlah akak panggil
jerit-jerit tak dengar. TV terbuka, bukan
dia tengok TV, TV yang tengok dia” aku
mengomel lagi dan terus menekan punat TV.
Ako kelihatan begitu lena lelapnya.
Aku menghempaskan tubuh ke atas
tilam empuk. Seronoknya kalau dapat
bergolek-golek di atas katil seperti ini.
Terasa lapang fikiran dan minda kerana peperiksaan SPM telah pun
berakhir. Tiba-tiba bayangan wajah Irfan
muncul di depan mata. Kenapa dengan
dia? Apa sebenarnya yang berlaku antara
dia dan Aisyah? Aku pun satu, kenapa tidak beri dia peluang untuk berterus
terang? Radio yang terletak di atas meja
sisi katil, ku on kan .
Kebetulan lagu Berdiri Seorang
Perindu sedang berkumandang. Sedap
pula lagu ini. Sesuai sungguh dengan
suara penyanyinya Ibnor Riza yang garau
dan mendayu-dayu. Membuatkan aku dibuai
perasaan.
Aku
terjaga apabila terdengar pintu bilik ku dibuka dari luar.
“La…
tidur. Dah lama ke akak balik?” soalan
Ako tidak ku jawab. Ya Allah! Aku
tertidur rupanya. Aku pun terpisat-pisat
bangun dan duduk di birai katil.
“Pukul
berapa ni Ako?” aku mengeliat kecil sambil menguap, masih lagi ada sisa kantuk.
“Tak
dengar azan yang melaung-laung tadi ke, itulah bukak radio macam orang pekak?”
sindir Ako.
“Ewah
ewah, sedap aja mulut dia cakap aku macam orang pekak, yang dia tu
bersepah-sepahkan rumah, aku pulak yang tukang kemas, aku tak kecoh pun” getus
ku di dalam hati.
“MasyaAllah!
Dah masuk waktu zohor ke?”.
Patutlah
perut aku berkeroncong, rupanya dah sampai waktu untuk makan tengahari. Nasib baik ibu sudah menyediakan makanan
tengahari untuk kami. Sebelum ibu pergi
tadi ibu ada berpesan supaya aku memanaskan lauk asam tumis ikan keli dan sup
sayur campur didapur. Dan kalau aku
rajin aku boleh goreng ayam yang telah siap diperap yang disimpan di dalam fridge.
“Ako
pergilah kat bawah dulu, kejap lagi akak datang. Akak nak mandi kejap. Kalau rajin boleh tolong panaskan nasi tak?” Ako mengerutkan muka.
“Alah
tekan je butang pemanas tu, bukannya suruh masak nasi, itu pun susah ke?”
jerkah ku geram.
“Eh
eh, orang tak kata apa-apa pun, akak ni kenapa nak marah tak tentu pasal?
Menggigau ke?” Ako menggaru-garu kepalanya dan berlalu pergi.
Seperti yang telah kami
rancangkan, hari ini aku ke sekolah jam 10.00 pagi. sudah dua hari aku tidak
berjumpa dengan kawan-kawan sekolah semenjak paper akhir hari selasa lalu.
Terasa rindu pula dengan mereka.
Zahirah, Shahidah, NorAsyikin, Zulaikha dan beberapa lagi
pelajar-pelajar perempuan yang lain sudah berada di situ. Mereka sedang sibuk menghidang makanan di atas
meja utama. Manakala pelajar-pelajar
lelaki, Saiful, Qayyum, Aiman, Haikal dan beberapa orang lagi sedang menyusun
kerusi dan meja.
“Awalnya
mereka sampai, Irfan mana?” bisik ku sendirian apabila kelibat lelaki itu tidak
kelihatan. Di sudut lain yang
berselindung di sebalik tiang besar di luar kelas, aku ternampak Irfan dan Aisyah
sedang membancuh air minuman sambil bergelak ketawa.
“Irfan
dan Aisyah lagi? Amboi mesranya” perasaan cemburu menyelinap ke jantung hati. Aku segera mengalihkan pandangan pada
kawan-kawan yang sedang duduk berkumpul sambil bergurau senda. Sesekali aku tersenyum melihatkan gelagat
mereka.
“Tuan
puteri baru sampai ya” Zulaikha menegur. Kawan-kawan yang lain hanya tersenyum
memerhatikan Zulaikha yang suka berlawak itu. Aku menghampiri mereka.
“Silakan
duduk tuan puteri, biar hamba-hamba semua ni yang buat kerja” Zulaikha cuba
bergurau lagi sambil menarik kerusi untuk aku duduk. Aku tidak terus duduk sebaliknya aku menghampiri
Shahida dan Nor Asyikin yang leka memotong buah tembikai di meja utama. Sekeping buah tembikai yang telah siap
dipotong ku masukkan ke mulut.
“Emm
manisnya, semanis orang yang memotong”, aku memuji.
Shahidah
dan Syikin tersipu-sipu memandang di antara satu sama lain, kembang kempis
hidung mereka dengan pujian ku itu.
Hidangan sudah siap terhidang di atas meja utama. Guru-guru yang
dijemput akan datang pada pukul 12 tengahari.
Setelah semuanya sempurna dan siap kami pun duduk berlonggok melepaskan
rindu masing-masing. Ada sahaja cerita yang kami kongsikan
bersama. Sesekali mata ku mengerling ke
arah Irfan, dan aku perasan Irfan juga mencuri pandang dari jauh ke arah
ku.
“Assalamualaikum!”
kedengaran suara memberi salam. Cikgu Mazlin, cikgu Maimun, cikgu Zabedah,
cikgu Hamdan dan cikgu Meor datang berkumpulan.
Salam cikgu kami jawab beramai-ramai serentak.
“Silakan
duduk cikgu-cikgu” Shahidah menjemput guru-guru kami yang mengajar kelas 5
Sastera 2 masuk ke dalam kelas. Kami
telah susunkan sebaris kerusi khas untuk guru-guru yang hadir. Manakala kami duduk mengelilingi meja utama
di mana hidangan disediakan. Setelah
cikgu-cikgu semua mengambil tempat duduk masing-masing, Nizam ketua kelas kami
tanpa berlengah-lengah berdiri untuk memberikan ucapan.
“Assalamualaikum
w.b.t. dan salam sejahtera. Disini
izinkan saya sebagai wakil tingkatan 5 Sastera 2 untuk merakamkan ribuan terima
kasih di atas kesudian cikgu-cikgu kerana hadir pada hari ini. Hari ini kami adakan majlis ini khas untuk
cikgu-cikgu semua bersempena hari terakhir kami di sekolah ini”. Nizam memulakan ucapan dengan suara yang
terketar-ketar sambil memegang kertas yang bertulis di tangan kanannya. Semua mata tertumpu ke arah Nizam yang sedang
berdiri diantara Irfan dan Haikal.
“Banyak
jasa-jasa cikgu-cikgu sekelian terhadap kami.
Segala usaha dan didikan yang cikgu berikan takkan kami lupakan selagi hayat dikandung
badan. Terima kasih cikgu-cikgu. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala
jasa bakti cikgu-cikgu semua. Izinkan
juga kami menyimpan kenangan-kenangan indah kita bersama di lipatan hati. Doakanlah kami agar dapat meneruskan
cita-cita murni yang selalu cikgu-cikgu semaikan ke dalam jiwa kami. Akhir kata, ampun dan maaf kami pohon dari
hujung rambut sehingga ke hujung kaki” suara
Nizam terputus-putus, suaranya sebak, kami juga terasa kesedihannya.
“Banyak
dosa-dosa kami terhadap cikgu-cikgu semua kerana selalu ingkar nasihat cikgu,
melawan cakap cikgu dan tidak membuat kerja-kerja sekolah seperti yang
disuruh. Kami berharap sangat suatu hari
nanti kita akan berjumpa dan dapat bersama-sama lagi seperti ini, InsyaAllah. Terima kasih sekali lagi dan dijemput semua
cikgu-cikgu dan kawan-kawan menjamu selera.
Ini sahaja yang dapat kami sajikan sebagai juadah untuk semua. Sebelum itu, saya mempersilakan cikgu Mazlin
untuk memberi ucapan sepatah dua kata yang mungkin boleh memberi semangat dan
bimbingan untuk masa depan kami semua, dengan hormat dipersilakan cikgu Mazlin”.
Nizam menjemput cikgu Mazlin untuk
memberi ucapan pula bagi wakil guru-guru. Cikgu Mazlin pun berdiri sambil membetulkan
kedudukan cermin matanya.
“Assalamualaikum
wbt kepada pelajar-pelajar saya Tingkatan 5 Sastera 2 dan cikgu-cikgu sekelian
yang ada. Pertama kali saya ingin
mengucapkan ribuan terima kasih di atas jamuan yang diadakan dan menjemput kami
guru-guru ke majlis yang berbahagia ini.
Syukur Alhamdulillah peperiksaan SPM sudah pun selesai. Saya berharap begitu juga harapan cikgu-cikgu
yang lain di sini supaya kamu semua akan mendapat keputusan yang baik,
InsyaAllah. Semoga kamu semua sukses
dalam apa jua bidang yang diceburi”, kata-kata cikgu Mazlin terhenti
disitu. Dia kelihatan seperti menahan
sebak, suaranya bagai tersekat di kerongkong.
Cikgu Mazlin menundukkan kepala.
Semua terdiam dan terharu. Cikgu
Mazlin kelihatan begitu ayu dengan baju kurung pesak berwarna hitam berbunga
kuning. Beberapa pelajar perempuan ku
lihat mengesat airmata yang tidak dapat ditahan. Begitu juga aku.
“Baiklah
saya tidak mahu membuang masa lagi. Akhir kata, maaf juga saya pohon dan
mewakili semua cikgu-cikgu berharap agar kamu semua berjaya dan jangan lupa
kami cikgu-cikgu di sini. Terima kasih.
Assalamualaikum wbt” cikgu Mazlin mengakhiri ucapannya dan kembali duduk di bangku.
“Terima
kasih cikgu Mazlin dan sebelum itu kita minta saudara Aiman untuk membacakan
doa”. Aiman pun berdiri dan menadah tangan membaca
doa. Kami juga ikut menadah tangan dan mengaminkan
doa-doa yang dibacanya. Jamuan makan
dimulakan usai doa dibaca. Sambil makan
kami mengambil peluang untuk berbual-bual mesra.
“Lepas
SPM ni kau nak buat apa Zahirah?” soalan ku aju.
“Aku
nak tolong kakak aku jaga kedai bunga dia.
Dia ada offer aku hari tu,
tapi aku ingat nak relax dulu seminggu dua” kata Zahirah sambil menyuap makanan
ke mulut.
“Kau
macamana?”.
“Aku
ingat nak cari kerja part timelah,
duduk rumah pun boring jugak” jawab ku dengan serius.
“Aku dengar ada orang tu nak bertunang lepas
SPM ni dan kalau tak pass periksa nak
terus kahwin” celah Nor Asyikin pula.
“Engkau
ni pandai-pandai aja eh, pelease….”
Zulaikha menjeling manja.
“Eh
kau terasa ke? Aku tak sebut nama pun” balas Nor Asyikin lagi.
“Siapa
termakan cili dialah yang terasa pedas” Shahida pula menyampuk. Kami pun ketawa terkekeh-kekeh.
Aisyah
tiba-tiba menghampiri dan duduk di sebelah kerusi ku yang kosong. “Sara, dah lama kita tak berbual. Aku tengok sejak akhir-akhir ni kau macam nak
lari aje dari aku, kenapa?”.
“Tak
ada apa-apalah Aisyah, kitakan sibuk dengan SPM, lagi pun bila balik aje dari
sekolah aku terus balik rumah sebab banyak kerja nak buat, kau macammana?
Peperiksaan pun dah habis, kau nak buat apa lepas ni?” tanya ku ramah
menyembunyikan perasaan sebenar.
“Aku
nak balik kampung jenguk nenek aku dan mungkin aku akan duduk sana dalam seminggu dua. Dah lama tak balik
kampung, rindu pulak dengan nenek dan masakan nenek aku. Kau nak ikut tak?” Aisyah
berbasa basi.
“Tak
apalah Aisyah, aku kesian kat adik aku, kalau aku tak ada sunyi pulak dia
nanti” ku renung wajah Aisyah yang pernah satu ketika begitu rapat dengan aku
tetapi tiba-tiba terasa begitu jauh dan terasing.
Sebelum
bersurai kami semua bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan. Ada
yang tidak dapat menahan kesedihan. Ada juga yang menangis
teresak-esak.
“Terima
kasih cikgu, saya minta maaf banyak-banyak kalau ada kesalahan saya pada cikgu
selama ini. Doakan kejayaan saya cikgu” aku cium tangan cikgu dan ku peluk
cikgu Mazlin erat.
Memang
kesedihan ini tidak dapat dibendung lagi. Hubungan kami sudah seperti
adik-beradik. Airmata yang bergenang
tidak dapat ku tahan lagi. Aku memeluk
sahabat-sahabat ku seorang demi seorang dan saling mengingatkan mereka supaya
tidak melupakan aku. Tidak lupa kepada sahabat-sahabat
lelaki pula, aku sekadar menghulurkan tangan untuk bersalaman dan berpesan agar
keep in touch.
Irfan
Effendy! Kedua-dua tangan kami berjabat mesra tapi lidah bagai kelu untuk
berkata-kata.
“Ini
bukan salam perpisahan tetapi salam bermulanya sebuah perhubungan” Irfan menggenggam
tangan ku erat. Pandangan mata kami
bertemu. Meremang bulu roma
dibuatnya. Aku segera menarik tangan ku
dari genggamannya. Begitu dalam sekali maksud kalimah-kalimah yang terucap dari
bibirnya itu. Aku gembira bercampur
terharu.
No comments:
Post a Comment