“Mimi, kenapa kau
masih lagi sendiri?” soalku pada Mimi semasa kami sedang menikmati makan tengah
hari di sebuah restoran berhampiran pejabat.
|
Mimi memandang wajahku sekilas, kemudian menyuapkan mi goreng
ke mulutnya dengan garpu. Agak lama dia terdiam. Aku serba salah kerana
menanyakan soalan yang mungkin menggoreskan hati dan perasaannya. Aku tidak
sepatutnya bertanya soalan begitu ketika waktu makan.
“Sorrylah, Mimi... aku tak berniat nak buat kau rasa
sedih. Kalau kau tak nak jawab, tak apa. Lupakan saja,” pujukku pada Mimi yang
kelihatan sugul sebaik sahaja soalan itu aku ajukan.
“It’s okay. Aku tak ada apa-apa. Cuma aku tak tahu di
mana hendak mulakan cerita,” jelas Mimi sebelum meneguk minumannya.
“Cerita dari mulalah,” balasku sambil merenung wajah Mimi
yang tidak kurang cantiknya dari kaca mataku.
“Aku dah lama lupakan peristiwa tu.” Mimi terus tertunduk.
“Kau pernah bercinta?” tanyaku tidak sabar.
“Bagi aku, cinta tu harganya tiada tandingan. Cinta tu bukan
boleh dijual beli. Dan cinta bukannya boleh dibina dalam masa sehari dua, ianya
memakan masa. Sekali aku jatuh cinta, aku akan cinta orang tu sampai bila-bila.
Tetapi sekali cinta aku dipermainkan, tak ada cinta lagi dalam hati aku ni.”
Keluhan dilepaskan.
“Dia dah bawa pergi cinta aku yang satu ni, Sara...” sambung
Mimi penuh emosi.
Aku faham dan turut simpati.
“Tapi kau tak boleh terlalu prejudis. Engkau kena tabah dan
kuat menghadapi semua tu. Semua orang pernah melalui perasaan putus asa. Orang
tua-tua kata jangan ikutkan hati, nanti mati. Ikutkan rasa, binasa kita, Mimi.”
Wajah Mimi kutatap.
“Aku tak kisah apa orang nak kata. Orang nak kata anak dara
tua ke, kertu ke, andartu ke... whatever. Suka hati dia orang. Mulut
tempayan boleh ditutup, tapi mulut manusia... sabar ajelah.” Mimi mempamerkan
senyuman. Ternyata senyuman itu bukan lahir daripada hati yang ikhlas.
“Sebab itulah aku malas nak balik kampung kalau tak ada hal
penting kecuali bulan puasa dan hari raya. Itu pun dua tiga hari aje aku boleh
tahan. Aku tak suka bila orang sibuk bertanya bila aku nak kahwin. Dan
kadang-kadang memberitahu aku, si polan dah bertunanglah, si anu dah kahwinlah,
orang tu dah beranak dua tigalah... eh, suka hati akulah. Yang penting, aku
kerja cari duit sendiri dan tak menyusahkan hidup orang lain, kan?” luah Mimi
geram.
Mi goreng di pinggan sudah licin dimakan walaupun dalam
keadaan beremosi. Sesekali dia meneguk minuman tanpa menggunakan penyedut air
biarpun telah disediakan.
“Aku bukannya nak membantah dan tak juga menyokong pendapat
kau tu seratus peratus. Tetapi satu hari aku harap hati kau akan terbuka jugak
nanti. Kalau kau kahwin dalam masa terdekat ni, akulah orang yang paling
gembira untuk kau, Mimi,” kataku dengan perasaan simpati yang menggunung
terhadapnya.
“Terima kasih, Sara. Kaulah kawan yang memahami perasaan aku.
Kau doakan aku cepat bertemu jodoh ya? Doa banyak-banyak.” Tanganku digapai,
lalu diusap lembut.
“Apasal pulak aku yang kena doa banyak-banyak? Lebih afdal
dan lagi termakbul kalau kau sendiri yang memohon dan berdoa. Lebih-lebih lagi
setiap habis solat.”
Mimi merengus bersama muka masamnya. “Tak adalah... kau tu
yang sibuk sangat nak tengok aku kahwin kan? Haa... kau doalah banyak-banyak
untuk aku.”
“Okey, kita sama-sama berdoa ya?”
Kami sama-sama tergelak.
Hari ini jadual
di pejabat agak penuh. Aku ada temu janji dengan beberapa pembekal dan peguam
yang terlibat dengan projek syarikat. Aku perlu menguruskan beberapa
pembeli-pembeli baru yang akan berkunjung ke pejabat untuk menandatangani
dokumen perjanjian jual beli.
Segala tugasan itu telah aku agih-agihkan kepada stafku untuk
diselenggarakan. Aku hanya perlu memantau supaya semuanya berjalan dengan
lancar. Surat-surat pemberitahuan mengenai urusan itu telah diedar keluar.
Semua jadual disusun atur oleh Dida dan Zul. Aku telah
memeriksa semua laporan kerja yang diserahkan kepadaku kelmarin. Dida dan Zul
adalah staf yang sangat efisien. Aku sangat berpuas hati dengan kerja-kerja
mereka.
Tatkala lewat petang, ketika semua staf mula bersiap-siap
untuk pulang, Dino datang mengetuk pintu pejabatku yang sedia terbuka. Aku
terhenti mencatit sesuatu di atas sehelai kertas dan mendongak memandang Dino
yang berdiri tegak di muka pintu.
“Hai, masuklah... sejak bila pulak tunggu keizinan baru nak
masuk. Selalunya main sergah tak kira masa,” sindirku sambil meneruskan tugas
yang terhenti tadi.
“Assalamualaikum...” sapa Dino dengan wajah manis.
“Waalaikumussalam. Apa kena dengan you ni?”
“Kita kan orang Islam. Memberi salam tu besar pahalanya.”
Dino melangkah menghampiri mejaku.
“Okey... ada apa yang boleh I bantu?” tanyaku sopan.
“I bukan datang minta bantuan,” jawab Dino selamba.
“Habis tu?” tanyaku sedikit keras sambil menyusun
kertas-kertas yang berselerak.
“I nak ajak you temankan I minum. Jom I belanja.” Dino
menyengih.
“Pukul berapa dah ni?” Aku melihat jam di tangan.
“Baru pukul 5.15. Awal lagi. Balik sekarang, jalan jam.
I ada cerita nak cerita kat you. Jomlah...” desak Dino.
“Okeylah... tunggu kejap, I nak berkemas.” Aku memberi
isyarat tangan.
“I tunggu you kat luar ya?” cadang Dino.
Aku mengangguk sambil menyusun fail-fail di tepi meja.
Setelah selesai, kucapai beg tangan dari bawah meja. Aku mengeluarkan sikat dan
cermin kecil dari dalam beg, lalu kusisir rambut agar lebih rapi. Telefon
bimbit yang terletak di atas meja dicapai sebelum aku melangkah keluar.
Dino menungguku di pintu besar bangunan pejabat. Kami
beriringan menuju ke Kafe Cinta Sayang yang terletak tidak jauh dari pejabat,
tempat kami selalu melepak menghabiskan waktu-waktu terluang. Kafe itu
kelihatan sibuk kerana kebanyakan staf singgah di situ sebelum meneruskan
destinasi untuk pulang ke rumah. Biasanya waktu petang begini, ramai yang minum
sambil bersembang bersama rakan-rakan setelah habis waktu bekerja. Mungkin
sementara menunggu kesesakan jalan raya reda sedikit.
Dino memilih tempat duduk di luar bangunan kafe. Suasana berangin biarpun cuaca agak panas. Sebaik sahaja kami mengambil
tempat, seorang pelayan perempuan datang untuk mengambil pesanan.
“You nak minum apa, Sara?” tanya Dino.
“Bagi saya fresh orange,” kataku kepada pelayan perempuan
itu.
“Bagi teh tarik dengan roti canai banjir satu. You tak makan
apa-apa ke, Sara?”
Aku menggeleng.
“I belanja. Jangan menyesal pulak. Offer sekali aje,”
gurau Dino lagi.
“Tak nak...” balasku sambil menggeleng memandang wajah
pelayan perempuan yang berdiri di sisi dengan senyuman.
“Itu saja.” Dino memberitahu pelayan itu, lalu memerhati
kelibatnya hilang daripada pandangan.
Sementara menunggu pesanan datang, aku membelek akhbar The
Star yang berada di atas meja itu. Seketika kemudian, pelayan perempuan tadi
datang membawa minuman dan makanan yang kami pesan tadi. Mata Dino tidak
berkelip-kelip memandang perempuan itu.
“Kenapa you pandang dia macam tu?” tegurku dengan wajah
berkerut setelah pelayan itu berlalu.
“Apa salahnya? Cun pulak I tengok dia tu.” Dino tersengih.
Teh tarik yang masih panas diteguk sedikit.
“Eloklah tu. Apa lagi, tacklelah.” Aku cuba
memprovokasi.
“Senang aje you ni. Tengok saja suruh tackle.”
“Habis tu, dah berkenan apa tunggu lagi? Jangan tunggu
lama-lama, nanti dikebas orang. Melopong you nanti,” usikku sebelum menghirup fresh
orange yang sungguh sedap, rasanya manis-manis buah. Aku mengecap bibir.
“Jangan gelojoh, perhati dan selidik dulu. Dah puas hati
barulah bertindak. I tak mahu menyesal kemudian hari.”
Kata-kata Dino itu membuatkan aku terasa. Aku mengerling
tajam ke arahnya.
“Eh... jangan menjeling-jeling macam tu, Sara. Takut I
tergoda, susah pulak suami you nanti,” usik Dino lagi dengan menguntum senyum.
Dia menyuapkan roti canai ke mulut sebelum mempelawa aku untuk makan sama.
Aku memerhatikannya sahaja.
“Sara, you lunch dengan siapa kelmarin?” soal Dino.
“Bila?” Soalan dijawab dengan pertanyaan.
Aku berpura-pura tidak mengingati.
“Alah... yang bawa kereta Honda CRV hitam tu,” tambah Dino.
“Oh... dia tu kawan lama I,” jawabku acuh tidak acuh.
“Kawan lama? Kawan masa bila? Tak pernah pun I nampak dia
sebelum ni.” Soalan demi soalan dilontarkan, membuatkan aku terdiam sejenak.
“Kawan masa sekolah-sekolah dulu. Dah lama terputus hubungan.
Entah macam mana terjumpa masa pergi shopping hari tu. Kami sempat
bertukar-tukar nombor telefon. Lagi apa yang you nak tahu? Kecoh betul,”
rungutku.
“Sampai hati you kata I macam itu ya? I ambil berat tentang
you.” Dino terdiam sekejap dan menyambung. “Manalah tahu ada skandal ke. Zaman
sekarang ni, isteri orang ke, suami orang ke... skandal dah macam trend. Dah
tak hairan dah,” perli Dino serkap jarang.
Aku memandang wajah Dino yang sedang membebel dengan
menunjukkan riak bosan. “Tadi kata ada cerita nak cerita? Cerita apa?” Aku cuba
menukar tajuk.
“Tukar topik nampak?” perli Dino.
“Dah pukul berapa dah ni? Nanti lambat pulak I sampai rumah.
You ajak I tadi kata ada cerita nak bagi tahu, kan?” Aku menyedut fresh
orange.
“Relakslah, Sara...” Dino terdiam, memulakan bicara semula
dengan perlahan. “I nak minta pendapat you. Macam mana kita nak tahu seseorang
tu suka kat kita?”
Soalan Dino kusambut dengan ketawa yang terbahak-bahak sambil
menakup mulut dengan tangan.
“You ni kenapa? I minta pendapat, bukan buat lawak.” Dino
seakan-akan merajuk.
“Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu?” tanyaku dengan
ketawa yang masih bersisa.
“I tanya you tak jawab lagi. You pulak tanya I balik. Come
on, Sara.” Dino menarik muka masam. Benganglah tu agaknya.
“Okey, okey... ceritalah.”
“You jangan ketawakan I ya?”
Aku menggeleng, cuba menahan senyum. Dino menyambung semula
ayat-ayatnya.
“Sebenarnya dah tiga minggu I berkenalan dengan sorang awek
ni. Housemate I yang kenalkan. Dia tu officemate kawan I tu. Kita
orang berdua dah keluar dinner empat kali. Dan setiap kali jumpa, I
nampak dia baik, bersopan, lemah lembut dan caring. I belum cakap terus
terang dengan dia tentang perasaan, tapi I ada tunjukkan sikap penyayang dan
ambil berat I ni pada dia. You tahu sajalah I ni kan, perangai I memang macam
tu.” Dino berhenti bercerita.
Aku terus menunjukkan riak wajah ingin tahu cerita
selanjutnya.
“I tak tahu sama ada dia syok kat I atau tak. Sebab dia
nampak macam biasa saja, tak menunjukkan sikap yang lebih-lebih kat I. Apa
pendapat you, Sara?” soal Dino serius.
“Dah habis? Itu saja?”
Dino mengangguk dengan wajah seperti budak baru masuk sekolah
lagaknya.
“You kena ambil masa. Macam you kata tadi, jangan gelojoh.
Nanti terkejut, lari pulak si minah tu. Baru padan muka you.” Aku tergelak,
tetapi Dino kelihatan serius.
“You pegang dia. Bukan maksud I pegang tangan dia. Maksud I,
ambil hati dia. Selalu call dan hantar sms
tanya khabar, tanya dah makan ke belum. Kalau bajet lebih, setiap kali jumpa
belikan sesuatu untuk dia. Lebih kurang beli hatilah, kata orang. Lama-lama dia
mesti cair punyalah. Bila you tengok dia dah macam suka kat you, cuba you uji
dia,” terangku seperti pakar penasihat pada Dino.
“Uji apa?” tanya Dino tidak sabar.
“Cuba jangan call atau hantar mesej pada dia buat
beberapa hari. You tunggu. Mesti dia akan call tanya, kenapa lama tak
telefon dia. Haa... itu tandanya dia rindu,” beritahuku dengan mengukirkan
senyuman penuh makna.
“Lepas tu?” Dino kelihatan teruja.
“Lepas tu, kena tunggu. You buat dulu apa yang I cakap tadi.
Nanti you beritahu I lagi. I will tell you what to do next. Okey?
Sekarang ni I nak balik, hari pun dah nak senja. Jangan susah hati. Just do
what I told you to do, the next step, later I’ll tell you.”
Dino diam mengangguk, membuatkan aku tersenyum.
No comments:
Post a Comment