Subuh
pagi itu ibu mengejutkan aku dari tidur.
Tatkala aku membuka mata, terlihat wajah anggun ibu. Aku rasa bagaikan bermimpi, seolah-olah aku
adalah Sara yang dulu. Ibu berlalu
keluar sebaik sahaja aku membuka mata. Aku masih berbaring sambil bermenung kosong
memandang siling putih dengan pandangan yang kelam. Percikan cahaya lampu dari luar bilik
membantu penglihatan ku. Inilah bilik
milikku satu ketika dulu. Bilik yang
menyimpan sejarah kisah-kisah silam ku dan barang-barang kepunyaan ku masih
tersimpan rapi di dalam almari kepunyaanku.
“Bangun
Sara, dah subuh” kedengaran lagi suara
ibu dari luar bilik.
Ku
capai telefon bimbit dan melihat jam yang tertera di skrin kecil itu.
Tepat pukul 6.45 pagi. Aku
bingkas bangun dan mencapai tuala mandi.
Aku bergegas ke bilik air dan mandi.
Setelah siap berwuduk aku keluar dari bilik air dan melangkah semula ke bilik
tadi. Solat subuh dua raka’at ku
tunaikan sebagai kewajipan seorang hamba kepada Penciptanya. Usai solat ku angkat kedua tangan dan berdoa
memohon segala kebaikan buat diriku dan orang-orang yang ku sayangi. Setelah meletakkan kain telekung dan sejadah
ditempatnya, aku membuka tingkap dan menyelak langsir supaya cahaya dari luar
boleh masuk melaluinya.
Aroma
masakan ibu begitu menyusuk hidung sehingga aku tidak sabar untuk
menjamah. Rambut ku sisir rapi dan aku
segera keluar dari bilik menuju ke dapur.
Ibu sedang sibuk menggoreng cokodok udang, makanan kegemaran kami
sekeluarga. Enaknya jika cokodok panas dicicah
sos cili dihidangkan dengan kopi yang hitam pekat. Emm.. sedapnya tidak dapat dibayangkan
dengan kata-kata.
Ibu
telah siap membancuh kopi seteko. Di atas
meja makan telah siap cawan dan pinggan.
Bukan itu sahaja, nasi goreng ikan bilis pun ada terhidang. Baunya membuatkan aku menelan air liur. Sudah lama tidak merasa masakan nasi goreng
ikan bilis dari air tangan ibu. Aku
segera ke ruang tamu mencari kelibat ayah.
Tiada sesiapa di situ dan dari tingkap yang telah terbuka ku jengah
keluar, juga tiada. Aku kembali
melangkah ke dapur.
“Ibu,
ayah tak ada pun, dia kemana?” tanyaku sambil memerhatikan ibu meletakkan
cokodok yang telah digoreng ke dalam pinggan di atas meja.
“Ayah
biasanya pagi-pagi macam ni duduk berbual-bual dengan kawan-kawan dia di surau. Lepas solat subuh, duduk berborak. Sekejap lagi baliklah tu” kata ibu.
Ibu menarik kerusi dan duduk.
“Jom
kita sarapan dulu” aku pun mengambil
tempat di depan ibu. Kopi yang hitam
pekat dan masih panas ku hirup sedikit sedikit.
Ibu menghulurkan pinggan yang telah berisi nasi goreng kepada ku. Ku sambut pinggan itu dan memulakan makan
sejurus membaca doa makan. Di luar
kedengaran suara ayah memberi salam. Aku
dan ibu menjawab salam ayah serentak.
Aku menoleh ke arah ayah yang sedang berjalan menghampiri kami.
“Duduk
minum sekali, yah”, kerusi di sebelah tempat duduk ku tarik. Ayah melabuhkan punggung di kerusi itu. Ibu meletakkan secawan kopi di depan ayah
lalu menghulurkan sepinggan nasi goreng,
ayah menyambut dengan tangan kanan. Aku
memerhati gelagat ayah dan ibu yang begitu serasi sekali pada penglihatan
ku. Ayah dan ibu tidak pernah sekali pun
ku lihat bertengkar atau berkelahi.
Mungkin mereka tidak berbuat demikian di depan anak-anak,
barangkali. Dari dulu sehingga kini ku
lihat pasangan ini begitu aman dan mesra tanpa bertelagah. Malahan mereka sering kelihatan usik mengusik
sesama mereka.
“Semalam
Sara dari rumah kak Min? Kak Lia pun ada
juga ke?” tanya ibu sambil menyuap nasi
goreng.
“Iya
bu, makan tengahari kat sana. Kak Lia
datang dah lewat petang”.
“Idham
ada sekali?”.
“Ada”
aku mengangguk.
“Eloklah
tu, sesekali adik beradik berkumpul macam tu” ibu memandang ke wajah ayah yang sedang
makan. Ayah menganggukkan kepala
mengiakan kata-kata ibu itu.
“Nampaknya
abang Idham dengan kak Lia tu dah ok” sambung ku. “Alhamdulillah, itulah doa
ayah dan ibu siang dan malam” jelas ibu lagi.
Selepas
sarapan aku masuk ke bilik. Aku membuka
daun pintu almari yang banyak tertulis nama ku di situ. Ada beberapa helai baju kepunyaanku yang
masih elok bergantung. Begitu juga di bahagian
lipatan baju di rak bawahnya. Ku selak
lipatan baju-baju itu dan terdapat sebuah kotak di bawahnya. Keadaan kotak itu masih elok walaupun
kelihatan sedikit terkoyak di sana sini.
Ku keluarkan kotak itu dari almari.
Aku duduk di birai katil dan ku letakkan kotak itu di atas riba. Dengan perlahan-lahan kotak itu ku buka. Di dalamnya terdapat surat-surat dan kad-kad
selamat hari raya dan harijadi yang pernah ku terima dari kawan-kawan. Ada senyuman yang terukir di bibirku. Ku buka salah satu sampul surat yang sudah
lusuh walaupun masih tersimpan rapi.
Dari bentuk tulisannya saja sudah ku tahu siapa gerangan pengirimnya.
Salam…,
Buat sahabatku Maisara, semoga dengan kedatangan
lembaran ini tidak menganggu emosimu ketika ini. Waktu ini aku sedang mengelamun mengingatkan
dirimu yang sudah lama tidak ku temu. Cuti sekolah baru saja tiga hari berlalu,
bererti ada lagi sebelas hari yang akan dilalui tanpa melihat wajahmu. Baru tiga hari saja, aku sudah mulai rasa
rindu. Bagaimana pula akan ku tempuhi
hari-hari seterusnya nanti?
Sara, adakah kau merasa seperti apa yang aku
rasakan? Atau hanya aku yang gila bayang
seorang? Seandainya kau mengingati aku, renung lah musix box yang pernah ku
berikan padamu dulu. Kau akan merasa aku
sentiasa dekat denganmu. Aku rindu
melihatkan kerlingan matamu dan senyuman dari bibirmu. Aku berharap aku akan sentiasa dapat melihat
dirimu di mana-mana seperti di sekolah dengan pakaian sekolah berwarna putih
dan bereben putih yang melilit rambutmu, menandakan kesucian hatimu.
Aku sentiasa ingat kamu, di dalam tidur dan
jagaku.
Wassalam.
Aku yang rindu,
Irfan Effendy
Airmata
mula bergenang di kelopak mata. Memori-memori
silam bersama Irfan begitu menganggu fikiran dan minda. Semuanya bagai mengasak-ngasak perasaan. Kepergiannya meninggalkan goris yang
memberkas di hati. Hari-hari yang ku
lalui tanpa rasa seperti dulu yang ku alami.
Sebaknya terasa sehingga terasa sakit kerongkong ku menelan liur. Aku merasa seperti mahu kembali semula ke zaman
persekolahan yang telah lama aku tinggalkan.
Aku mahu mengulangi saat-saat manis bersama-sama teman-teman
seperjuangan terutamanya bersama dia yang selalu dan tetap bertakhta di hati
ini. Walaupun waktu-waktu itu telah lama
berlalu namun kenangan-kenangan yang mencakar jiwa tetap mengusik di kalbu. Airmata berlinangan menitis ke pipi. Terasa hangatnya lelehan airmata itu sehangat
ingatan ku padanya. Mana mungkin ku
lupakan dia begitu saja. Dialah orangnya
yang mengajar aku erti rindu dan kasih sayang dan dia jugalah yang
menjerumuskan aku ke kancah kekecewaan lantaran kasih yang berbelah bagi dengan
si dia yang lain yang menjadi penghalang hubungan kami.
Lembaran itu ku lipat kemas dan ku
simpan semula ke dalam sampulnya. Ku
capai pula sehelai kertas yang berwarna merah jambu. Ada puisi yang tertulis. Itu adalah tulisan tangan dan hasil ciptaan
ku sendiri. Puisi yang bertajuk BICARA
RINDU ku baca perlahan.
Berulang-ulang.
Dikala
ini …
Sepi
menjenguk diri…
Sayu
rasa dihati…
Dalam
diam-diam…
Rindu
ku padanya kian mendalam…
Kiranya
masih ada sayang yang terpendam.
Sewaktu kekecewaan melanda
hati dan perasaan, aku menjadi begitu puitis sekali sehingga melahirkan
beberapa puisi yang bertemakan cinta dan kasih sayang, rindu dendam dan
penderitaan. Idea datang mencurah-curah
dan aku begitu ghairah menulis melakarkan perasaan yang kecewa di atas
kertas. Tangisan ku menjadi esakan yang
tidak tertahan-tahan.
Aku segera mengesat airmata dengan
hujung jari tatkala mendengar deringan dari telefon bimbit. Ku capai telefon Sony Ericson yang terletak di atas katil tidak jauh dari tempat aku
duduk. Tanpa melihat ke skrin, aku
menjawab. Suara Azry kedengaran sayup
ditalian. Seperti biasa dia bertanyakan
khabar ku dan sentiasa mengingatkan aku supaya makan pada waktunya. Tidak lupa juga dia berkirim salam kepada
kedua ibu dan ayahku. Aku berjaya
menyembunyikan perasaan pilu ku tika itu.
Oleh kerana talian tidak begitu memuaskan Azry berjanji akan menghubungi
aku semula nanti.
Aku
merebahkan tubuh di atas katil. Aku
membayangkan waktu-waktu indah bersama Irfan suatu ketika dulu. Kenangan-kenangan bersamanya begitu
mencengkam perasaan.
Aku masih ingat, sewaktu sekolah kami mengadakan perjumpaan
semula pelajar-pelajar lama setelah setahun kami meninggalkan sekolah. Aku ke dewan itu bersama Irfan. Dan kami duduk semeja dengan beberapa
teman-teman yang pernah belajar dalam kelas 5 sastera 2 dahulu. Sebelum jamuan bermula, beberapa pelajar
senior memberikan ucapan. Sejurus
selesai ucapan diberikan, pementasan bermula.
Beberapa pelajar menunjukkan bakat dalam nyanyian dan membaca
puisi. Tidak aku sangka, Irfan juga
telah mendaftarkan nama untuk menyampaikan sebuah lagu. Sedang kami menjamu selera, kedengaran nama
Irfan dipanggil untuk naik ke atas pentas untuk menunjukkan bakat yang
terpendam. Irfan sempat memegang
tanganku dan melangkah naik ke atas pentas.
Aku memandangnya dengan pandangan yang tidak dapat ku gambarkan dengan
kata-kata. Irfan mencapai sebuah gitar
yang telah sedia ada di situ. Tetamu-tetamu yang hadir bertepuk tangan. Jari
jemarinya mula memetik gitar itu perlahan.
“Saya
ingin menyampaikan lagu ini untuk semua teman-teman yang saya hargai dan
teristimewa untuk sidia yang saya kasihi.
Lagu ini begitu bermakna dan bererti buat saya. Dengarkan lagu ini dan hayatilah
senikatanya. Terimalah BELAIAN JIWA yang dipopularkan oleh
kumpulan Carefree”. Irfan memetik gitar
sambil menyanyi. Aku begitu kagum dengan
bakat yang dia miliki yang tidak pernah aku tahu. Suara lunaknya mengalunkan lagu itu buat aku
benar-benar jatuh cinta padanya.
Semua yang berada di dewan itu
memberikan tepukan yang gemuruh sebaik saja lagu itu habis dinyanyikan.
“Terima
kasih, terima kasih” ucap Irfan sebelum
melangkah turun dari pentas. Sambil
melangkah menghampiri tempat duduk kami, aku memandang Irfan dengan mata yang
tidak berkelip. Senyuman tidak lekang
dari bibir ku untuknya. Sejak itu kasih sayang
ku padanya kian mendalam dan melimpah ruah.
No comments:
Post a Comment