Pagi
ini aku keluar dari rumah tanpa bersarapan.
Aku memakai sepasang baju kurung berwarna merah hati, baju
kegemaranku. Aku bersolek nipis ke wajah. Rambut yang melepasi bahu ku sisir rapi. Perasaan ku amat gembira pagi ini, seperti
sedang dilamun cinta. Aku beryanyi-nyanyi
kecil mengikut irama lagu yang berkumandang dari corong radio di dalam kereta. Keadaan lalu lintas agak sibuk, masing-masing
berkejar-kejar ke tempat kerja. Apabila
sampai ke bangunan pejabat, aku memakir kereta di tingkat bawah bangunan. Waktu masih terlalu awal, banyak tapak yang
masih kosong. Aku memakirkan kereta
bersebelahan dengan kereta Dino.
“Awalnya mamat ni dah sampai”, bisik ku.
Dan aku terus melangkah keluar ke restoran yang berhampiran.
Seperti
yang telah dijanjikan, Mimi telah setia menantikan aku dengan secawan kopi dan
dua keping roti di hadapannya. Rupa-rupanya
Dino juga ada di situ. Dia sedang duduk
berhadapan dengan Mimi.
“Hai
pagi-pagi dah berdating? Aku menganggu
ke?” usik ku sebaik saja aku menghampiri meja mereka.
Mimi
tersenyum memandang wajahku dan beralih ke wajah Dino. Tanpa diundang aku mengambil tempat di tengah
antara mereka.
“Cepat
you datang pagi ni Sara? Mimpi apa?” tegur Dino mesra.
“Mimpi
apa pulak encik Dino, macamlah I ni tak pernah datang awal ke pejabat. I selalu datang awal tau tapi I jarang keluar
minum, selalunya I terus masuk pejabat” jelasku sambil menjerling ke arah Dino
yang duduk di sebelah kanan ku.
“Nak
minum apa Sara?” tanya Mimi lalu memanggil salah seorang pelayan di restoran itu.
“Bagi
saya Nescafe tarik dengan roti bakar satu set.
Dino, you tak makan?” Dino menggelengkan kepala.
“OK,
itu saja” ujar ku pada lelaki yang
mengambil pesanan lalu dia melangkah pergi.
Dino memandang ke wajahku dan beralih ke wajah Mimi.
“Mimi,
you perasan tak? Hari ni kawan kita tu
nampak berseri-seri lain macam ja” usik
Dino dengan memandang ku dari hujung mata.
Aku
mempamerkan wajah bersahaja sambil membetulkan lipatan kain. Mimi memandangku dengan senyuman yang
bererti. Air minuman dari cawan dihirup
perlahan.
“Dino
ni kan ada-ada saja pagi-pagi ni. Kalau
tak mengusik orang tak senang hati dia” kataku kepada Mimi.
Mimi
hanya membisu, tetapi sepasang matanya memerhatikan aku dan Dino bersilih
ganti. Lelaki pelayan tadi datang semula
dengan membawa secawan Nescafe tarik dan roti bakar yang dipesan dan diletakkan
di atas meja di hadapan ku. Aku terus
mengambil sekeping roti yang masih panas dan ku suap ke mulut.
“Makan
tu tak payah basuh tangan ke?” tegur Dino.
“Dah
basuh dah tadi” bidas ku.
“Bila
masa pulak you basuh tangan?” tanyanya lagi tidak berpuas hati dengan jawapan
ku.
“Alah
tak kisahlah, I yang makan, bukan I bagi you makan” jawabku geram.
“Jangan
suka marah-marah, kata orang nanti cepat tua” usik Dino. Aku mendiamkan diri, tidak kuasa untuk
melayannya lagi.
“Dino,
you ni suka menyakatlah” celah Mimi.
“Alah,
usik mengusik bawa bahagia, tak boleh ke?” tambah Dino lagi. Nescafe
panas ku hirup
perlahan, sesekali ku tiup ke dalam cawan supaya panasnya berkurangan.
“Panasnya..”
bisikku.
“Air
panas ke, hati yang panas?”, ish nak kena dia ni, saja nak cari pasal dengan
aku, bisik
hatiku.
“Minum
air yang panas buat hati jadi panas so baik jaga-jaga supaya bahang
panas tu tak
tersembur kat you” jawabku keras.
“Relaxlah Sara, I bergurau saja. Janganlah nak marah pagi-pagi ni, rezeki lari
tau” Dino cuba meredakan keadaan. Mimi hanya mampu memandang gelagat kami
berdua tanpa cuba mahu campur tangan.
“Siapa
yang marah, tak marahlah. You tengok
muka I ni, ada macam orang marah ke?
Hari ni I nak happy happy”
roti bakar di piring sudah habis ku makan dan sisa Nescafe yang ada di dalam
cawan juga habis ku teguk.
“You
kena loteri ke? Atau cik abang balik hari ni?” usikan Dino begitu memualkan. Soalan Dino ku biarkan tanpa jawapan.
“Dah
jom Mimi, biar Dino bayar” aku bangkit dari tempat duduk lalu menarik tangan
Mimi. Dino segera ke kaunter bayaran
tanpa banyak soal. Aku dan Mimi terus
melangkah keluar dari restoran dan diekori oleh Dino dari belakang.
Tatkala
di dalam kesibukan tugas di pejabat, hati terpanggil untuk menghubungi
Azry. Deringan agak lama tetapi tiada
jawapan. Ku cuba sekali lagi. Kali ini kedengaran suara Azry menjawab sayup
di hujung talian. Dari tona suaranya aku
dapat meneka yang Azry baru bangun dari tidur.
“Baru
bangun tidur ke?”.
“A’ah,
malam tadi tidur lambat, ada kerja sikit” dia kedengaran menguap.
“Habis
tu hari ni tak pergi kerja?”.
“Pergi
lambat sikit. Sara apa khabar?”.
“Sara
OK, abang confirm ke balik hari
jumaat nanti?”.
“Kalau
ikut perancangan macam itulah. Tapi
macammana pun abang memang kena balik juga sebab di ofis sana pun ada kerja
yang abang kena bereskan. Kalau tak
habis kerja minggu ni, abang kena datang balik minggu depan” terang Azry.
“Kena
pergi balik?” dahi ku berkerut.
“Iyalah,
dah kerja tak habis, terpaksalah. OKlah,
kalau apa-apa hal nanti abang telefon.
Abang nak bersiap pergi kerja. You take care ya, bye” talian telefon
dimatikan. Bosannya, keluhku.
Jam
di tangan ku kerling sekilas. Sudah hampir
pukul 12 tengahari. Semakin dekat waktu
temujanji itu, debaran terasa semakin kencang.
Setiap detik yang berganti terasa begitu lambat berlalu. Aku mengimbau kenangan lalu bersamanya
lagi. Segalanya tersingkap di minda,
bagaikan ada tabir putih di hadapan ku
yang menayangkan semula bibit-bibit pertemuan kami. Kenangan itu amat mengusik kalbu. Bagaimana kali pertama aku melihat dia masuk
ke kelas lantas terpikat dengan senyuman dan lirikan tajam matanya. Bagaimana kali pertama dia menyapa aku dengan
gelagatnya yang lucu mencuit hati. Bermula
dari seorang kawan biasa yang hanya jeling menjeling sehingga ketahap
rindu-rinduan apabila tidak bersua biarpun sehari. Cuti hujung minggu bagaikan setahun
lamanya. Seandainya boleh, cuti hujung
minggu itu dimansuhkan asalkan dapat melihat dia walaupun dari jauh. Bukan sahaja aku malahan dia juga mempunyai
perasaan yang sama. Tidak dinafikan
kasih sayang yang tercipta diantara kami datang bukan dipinta. Kehadirannya tanpa kami sedari.
Setelah
bertahun-tahun tidak bertemu, getarnya tidak terbendung. Bagaimana detik-detik
pertemuan aku dan Irfan nanti? Berbagai-bagai
persoalan timbul di minda bersilih ganti membuatkan debaran di hati kian kuat
terasa. Aku tidak mahu terlewat. Aku mahu segera berjumpa dengan dia, seksa
rasanya menanggung rasa yang tidak keruan ini.
Seperti
yang telah dijanjikan, aku terus meluru ke hadapan pintu besar bangunan. Di situlah aku berjanji untuk menunggunya.
Setelah
beberapa minit menanti, tiba-tiba ada sebuah kereta Honda CRV berwarna hitam
berhenti berhampiran dengan tempat aku berdiri.
Irfan melambaikan tangan. Dia memakai
kacamata hitam, memandang aku dengan senyuman yang masih sama seperti dulu. Aku segera membuka pintu dan masuk ke dalam
kereta milik Irfan itu dengan debaran yang bukan sedikit.
“Nak
kemana?” tanyanya.
“Kemana-mana
saja”. Betul ke apa yang aku lakukan
ini? Hati dan perasaan bagaikan
bertengkar tentang pahala dan dosa.
Sepanjang
perjalanan aku hanya membatukan diri.
Irfan sesekali berpaling menoleh ke arah ku. Keadaan sunyi sepi, hanya kendengaran
lagu-lagu berkumandang dari corong radio yang terpasang diselang seli dengan
celoteh DJ yang bertugas.
“Kenapa
you diam?” Irfan memulakan bicara. Ternyata begitu kekok dirasakan untuk berbual
dengannya, walhal jika di dalam telefon kami berbual begitu mesra sekali.
“Emm.. tak tahu apa nak cakap, excited sangat dapat jumpa you. Tak sangka sebab dah bertahun terpisah
tiba-tiba boleh berjumpa dalam keadaan yang macam ini” Irfan tersenyum. Aku membalas senyuman dengan rasa debaran di
dada. Seperti mana kali pertama aku bertemu lelaki itu, begitulah perasaan ku
kini. Lidah terasa kelu dan degup
jantung bagaikan dapat memecahkan dinding dadaku.
“Kita
nak kemana?” tanyaku pula.
“Kenapa, you takut I bawa you lari ke?”
usiknya.
“Tidaklah
sampai macam itu anggapan I pada you, kalau pun you nak bawa I lari, nak lari
kemana?” Irfan ketawa. Aku juga turut
ketawa.
“Tak
kan lah I nak bawa you lari, I tahu you tu anak orang dan isteri orang. Ramai yang akan menangis kalau you dibawa
lari, kan?” tanyanya menduga.
“Oh
iya, hubby you tak marah ke I bawa you keluar lunch ni?” aku tergamam dengan
pertanyaan Irfan itu.
“Kalau
Azry tahu bukan saja marah, mampus kau dibunuhnya” hatiku berkata-kata. “Perlu ke I jawab soalan you tu?”.
“It’s up to you, kalau tak keberatan, I
sedia mendengar” kata Irfan lembut sambil
memandu, tetapi
sesekali mengerling aku yang duduk di sebelahnya.
“Mana
ada manusia yang rela apabila dapat tahu apa lagi melihat seseorang yang
menjadi miliknya
bertemu dengan kekasih lama? Kalau ada pun mungkin orang itu tidak ada perasaan
kot” aku bermonolog.
Kesejukan
dari alat penghawa dingin begitu terasa sehingga ke tulang hitam. Aku sendiri tidak pasti apakah kersejukan
yang aku rasai itu datang dari alat penghawa dingin yang terpasang atau hanya
dari perasaan ku sahaja. Sesekali aku
berpeluk tubuh, sesekali membetulkan posisi
duduk dan sesekali aku menguak anak
rambut yang jatuh ke dahi dan hampir mencucuk anak mata.
“Kenapa?
You rasa tak selesa ke?” tegur Irfan.
“Tak
adalah. I’m OK” balasku.
“OK
kita dah nak sampai, you ingat lagi tempat ni Sara?” spontan aku membuangkan
pandangan mata keluar tingkap. Ku
perhatikan kawasan persekitaran. Irfan memandu dengan perlahan agar aku dapat
melihat pemandangan di sekeliling. Ia,
di sinilah dulu kami pernah berkunjung beberapa kali sewaktu hangat di alam
percintaan. Senyum ku melebar. Aku mengimbau kenangan 6 tahun yang
lalu. Kami ke mari semasa menyambut hari
ulangtahun ku yang ke 21 tahun. Dan di sinilah
tempatnya Irfan membisikkan kata cintanya.
Aku terharu dengan keberanian Irfan meluahkan perasaan hatinya
terhadapku. Walaupun sebelum itu kami
berkawan rapat tetapi tidak pernah meluahkan rasa hati apatah lagi mencurahkan
perasaan cinta. Namun perasaan kasih
sayang sebagai sahabat yang terjalin terlalu lama menjadikan kami seolah-olah
faham perasaan yang terpendam tanpa diluahkan.
Di sinilah juga kami menyusuri jalan di sepanjang tasik sambil berbual
mesra. Dan di sinilah juga Irfan
menyarungkan cincin emas berbatu nilam berwarna merah ke jari manisku tanda
cintanya padaku yang telah sekian lama bersemi.
Aku seakan-akan melihat sepasang teruna dara yang sedang memadu kasih di
bawah pohon cemara itu. Airmata mula
bergenang di kelopak mata.
Segala-galanya
bermula di sini. Aduh… indahnya kenangan
itu. Kenangan yang telah lama
ditinggalkan tetapi masih segar diingatan.
Airmata yang bergenang menitis juga akhirnya.
Irfan
memberhentikan kereta di hadapan sebuah restoran dua tingkat. Lokasinya begitu mendamaikan dan
mententeramkan jiwa, jauh dari kebingitan dan kesibukan kota. Landskap yang indah di sekeliling restoran
itu menjadi tarikan pengunjung-pengunjung yang datang. Irfan segera membuka pintu dan keluar dari
kereta. Aku masih terpinga-pinga, situasi
itu bagaikan mimpi. Seketika kemudian
Irfan sudah membukakan pintu kereta untukku.
Dan aku melangkah keluar bagaikan Tun Teja yang disambut oleh Hang
Tuahnya. Irfan berjalan perlahan
mendahului aku. Aku mengekorinya dari belakang
dengan anak mata yang melilau memerhatikan kawasan sekeliling. Tempat itu tidak banyak berubah, masih
seperti dulu.
Sebaik
sahaja masuk ke dalam restoran itu, seorang pelayan lelaki yang berpakaian
kemas menunjukkan tempat duduk untuk kami.
Pengunjung yang datang ke situ boleh dikira dengan jari. Dan kebanyakannya berpasangan seperti aku dan
Irfan. Dari tempat duduk kami, aku boleh
melihat pohon cemara di tepi tasik dimana tempat kami pernah duduk mengukir
cinta dan rindu. Suasana nyaman dengan
aroma yang membangkitkan selera dan persekitaran yang romantik bisa
mengembalikan nostalgia. Alat penghawa
dingin yang terpasang membuat situasi di situ begitu selesa berbanding cuaca di
luar yang panas biarpun berangin.
Pelayan
lelaki tadi datang menghampiri kami untuk mengambil pesanan.
“You
nak makan apa Sara?” soal Irfan sambil
membelek menu yang sedia ada di atas meja.
Aku merenung menu yang sama di hadapan ku.
“Fish and Chips dan fresh orange” kataku sambil mendongak
memandang pelayan lelaki itu.
“Ok,
bagi dua set” kata Irfan pula dan
pelayan lelaki itu berlalu pergi setelah mencatit pesanan di atas kertas kecil.
“Tempat
ni masih macam dulu tak berubah” kata ku
sambil mata memerhatikan kawasan sekeliling.
Sengaja aku larikan anak mata dari menatap matanya. Dia mempunyai sepasang mata yang redup dan
mendamaikan jiwa.
“I ada datang sini beberapa kali selepas kita brake off. Datang untuk melihat semula tempat yang
banyak menyimpan nostalgia kita” aku tertunduk.
“Oh iya, Husband you apa khabar? Siapa
namanya?” bibirnya mengorak senyum, renungan dari sepasang anak matanya bagai
menikam tajam ke wajahku. Aku melarikan
pandangan. Tidak sanggup menatap matanya,
hati perempuan ku bisa cair.
“Dia
OK, sekarang dia tak ada di sini, dia di JB,
outstation” Irfan
mengangguk-anggukkan kepala.
“Siapa
nama dia?” tanyanya lagi.
“Mohd
Azry” jawabku berterus-terang.
“Ooo..
You kata dah setahun kahwinkan? Tak ada plan
nak tambah ahli keluarga?” wajahku
merona merah. Terasa darah yang mengalir
melonjak ke muka. Soalan yang paling aku benci ditanya.
“Belum
ada rezeki” balasku sambil memintal hujung rambut.
“You
tinggal dimana?” soal Irfan lagi macam inspektor polis pulak lagaknya.
“Tinggal
di Kampung Tunku, rumah mertua I” jawabku lagi sambil mempamerkan riaksi yang
kurang senang dan berharap tiada lagi soalan-soalan yang berupa peribadi.
“You
sibuk tanya I macam-macam. You tu bila
nak kahwin?” dalam berlagak malu aku menyoalnya sinis.
Wajahnya
tetap mengukir senyum dan belum sempat dia menjawab, pelayan lelaki tadi datang
semula dengan menatang dulang lalu meletakkan dua gelas fresh orange di hadapan kami.
Senyumannya masih bersisa di bibir.
Beberapa saat kemudian pelayan lelaki itu datang lagi bersama makanan
yang dipesan tadi. Kami terdiam dan
membatu. Pandangan mata kami
bertemu. Oh mata itu, tajamnya bagai
menikam jantung hati. Aku segera tunduk dan
Irfan perasan perubahan di raut wajahku.
“Makanlah
Sara, nanti lambat pulak balik ofis” kata Irfan lembut. Pertanyaan aku tadi menjadi tanda soal yang
tidak berjawab walaupun hati meronta-ronta inginkan jawapan.
Sejurus
membuat bayaran di kaunter, kami pun berangkat pulang. Irfan menghantar aku kembali ke pejabat.
“Boleh
kita keluar makan lagi dilain kali?” bulat mataku mendengar pertanyaan Irfan
itu. Seperti ada sesuatu yang tersirat
dengan seribu makna. Aku semakin keliru
dan tidak menentu.
“InsyaAllah,” ada senyuman yang terukir di bibirku. Hatiku bagaikan berbunga.
No comments:
Post a Comment