.
Tengah hari itu, Farhana dan Hamimi duduk di bangku kayu
berhampiran dengan kilang sementara menunggu waktu untuk mula bekerja. Sedang
mereka leka berbual-bual tiba-tiba mereka didatangi seseorang. Gadis itu
memberi salam sebagai sapaan. Pada mulanya mereka berdua agak terkejut juga dengan
kehadiran gadis itu. Mereka tidak menyangka setelah agak lama tidak berbual
mesra, apatah lagi bertegur sapa tiba-tiba dia datang menyapa.
|
“Aku datang ni nak minta maaf dengan kau orang berdua.”
Gadis itu kelihatan serba salah. Mungkin dia bimbang sekiranya kehadirannya
tidak disenangi oleh kedua gadis itu.
Farhana dan Hamimi saling berpandangan kemudian pandangan
mereka tertancap ke sesusuk tubuh yang sedang berdiri di hadapan mereka itu.
“Dah lama kami maafkan kau, Jiha.” Farhana memulakan
bicara. Biarpun dia tahu kata-kata itu ditujukan kepada Hamimi.
“Selagi aku tidak minta maaf secara peribadi dengan kau
orang, aku rasa tak puas hati,” tambah Jiha lagi lalu menghulurkan tangan
kepada Farhana untuk bersalam.
Farhana menyambut huluran tangan Jiha dengan hati yang
ikhlas. Kemudian Jiha mengalihkan perhatian pada Hamimi pula yang kelihatan
berdiam sahaja tanpa sebarang reaksi.
“Mimi, aku minta maaf banyak-banyak. Aku tak sepatutnya
tuduh kau dulu.” Jiha menghulurkan pula tangannya kepada Hamimi yang tidak berkalih
pandang.
Huluran tangan itu disambut baik oleh Hamimi. “Aku pun sama
nak minta maaf. Aku pun salah jugak sebab berkasar dengan kau.”
“Sebenarnya hari ini hari akhir aku bekerja di sini. Aku
nak berhenti kerja.” Jiha duduk di tengah-tengah antara Farhana dan Hamimi.
“Kau nak berhenti? Kenapa?” tanya Hamimi ingin tahu.
“Aku dapat tawaran sambung belajar. Aku tak nak lepaskan
peluang tu dan aku terima saja atas nasihat keluarga aku.” Jiha senyum.
Kegembiraan terpancar jelas di matanya.
“Tahniah dari aku.” Hamimi meletakkan tangannya di bahu
Jiha.
“Tahniah jugak dari aku. Kau dah buat pilihan yang terbaik.
Aku doakan kau berjaya menamatkan pelajaran kau nanti.” Farhana mencelah dengan
wajah gembira.
“Terima kasih. Aku juga akan mendoakan untuk kau orang
berdua. Semoga kau orang pun akan berjaya dalam hidup. Aku akan rindukan tempat
ini. Dan aku juga akan rindukan kau orang berdua. Aku kesal sebab selama
setahun setengah aku di sini, kita hanya sempat berbaik sekejap aje. Aku
mengaku aku silap pilih kawan,” ujar Jiha sayu.
“Sudahlah. Kita lupakan semua tu. Yang penting sekarang kau
kena tumpukan perhatian kau pada pelajaran kau. Dan kau kena janji dengan aku,
kau jangan datang kerja kat sini lagi sebagai minah kilang. Kalau kau nak kerja
sini jugak, pastikan kau jadi pengurus kilang,” kata Hamimi disambut dengan
gelak.
“Jom, dah nak dekat pukul dua,” ajak Farhana.
Mereka bertiga bergandingan melangkah masuk ke dalam kilang
tempat mereka bekerja. Suatu ketika dulu mereka kerap bersama tetapi setelah
mengenali Lola, Jiha meninggalkan mereka. Hari-hari berikutnya tidak akan ada
nama dan kelibat Jiha di kilang itu lagi. Semuanya sudah jadi kenangan terindah
untuk dikenang bagi Jiha.
“Farah, balik
kerja nanti boleh aku jumpa kau sekejap. Ada hal sikit nak cakap,” kata Syukur
cuba memberanikan diri. Dia sudah nekad untuk bersemuka dan berterus terang
dengan gadis itu. Dia mahu meluahkan perasaan yang selama ini terbuku di hati.
Sudah tiba masanya untuk dia mencurahkan isi hatinya terhadap Farhana. Tidak
boleh bertangguh-tangguh lagi.
Farhana yang ketika itu bersendirian ke kafe untuk membeli
air minuman, terkedu. Dari jauh dia sudah nampak kelibat Syukur berjalan menuju
ke arahnya. Dia sudah mengagak lelaki itu mahu bercakap sesuatu dengannya.
Tetapi wajah lelaki itu tidak seceria selalu. Ke mana perginya sapaan mesra dan
gurau sendanya yang dulu? Ketara benar perubahan sikapnya terhadap dia.
“Ada apa, Ako?” tanyanya. Sudah lama dia tidak menyapa
tetapi tiba-tiba pula mahu berjumpa. Ada perkara pentingkah yang mahu
dikongsikan dengannya?
“Nanti balik kita jumpa, ya? Kalau boleh aku nak jumpa
dengan kau sorang aje. Aku tak mahu Mimi ada. Aku ada hal. Penting sangat.”
Pandangan mata Syukur tidak lepas daripada
memandang wajah Farhana. Tidak berkedip matanya.
“Baiklah.” Pelbagai persoalan yang datang menghimpit
fikiran Farhana. Semakin lama dia berfikir semakin banyak pula soalan yang
bertandang.
Setelah berpuas hati dengan jawapan daripada Farhana,
Syukur berlalu pergi. Dia melemparkan senyuman. Ternyata senyum itu tidak
ikhlas.
Farhana kembali masuk ke kilang dengan seribu tanda tanya
di benaknya. Langkahnya deras. Dia tidak ke tempatnya bekerja sebaliknya dia
terus ke tempat Hamimi. Dia mahu mengkhabarkan kepada Hamimi tentang berita
pertemuan dia dengan Syukur di kafe tadi. Dan yang paling penting dia mahu
memberitahu Hamimi supaya dia tidak perlu menunggunya malam nanti kerana Syukur
mahu berjumpa dengannya seorang.
“Ada apa hal dia nak jumpa dengan kau? Sorang-sorang pulak
tu.” Timbul curiga di hati Hamimi.
“Entahlah. Dia kata penting. Kau agak-agak pasal apa, ya?”
Farhana bertanya. Dia juga tidak pasti apa berita yang mahu lelaki itu
sampaikan kepadanya sehingga Hamimi tidak dibenarkan ada sama.
“Agaknya dia nak bercerita pasal masalah keluarga dia pada
kau kut. Mungkin dia nak mintak pendapat kau ke? Dia kan ada lagi dua orang
adik yang masih bersekolah kat kampung?” teka Hamimi.
“Ya tak ya jugak. Betul cakap kau, mungkin dia nak
berkongsi cerita dengan aku pasal tu agaknya. Tapi... Tapi kenapa dia tak nak
kau ada sama?” Farhana meluahkan kecurigaannya.
“Kau macam tak tau, aku mana boleh dekat dengan dia. Nanti
niat dia nak meluahkan perasaan tak sampai, aku dengan dia pulak yang bertekak
tak sudah-sudah. Kau jugak yang pening kepala nanti. Tak apalah. Kau pergi sajalah.
Nanti malam aku baliklah dengan budak-budak lain,” jelas Hamimi.
Dia sedikit pun tidak berasa hati apatah lagi cemburu
apabila mengetahui dirinya tidak diperlukan. Dia sudah dapat mengagak bagaimana
situasinya nanti kalau dia juga turut ada sama di dalam babak mencurah perasaan
itu. Biarlah Farhana seorang saja yang pergi.
“Kalau macam tu, okeylah. Balik nanti kau tak payahlah
tunggu aku,” kata Farhana sebelum beredar dari situ.
Tumpuan Farhana
terhadap kerjanya sedikit terganggu. Dia tidak sabar untuk menunggu saat untuk
berjumpa dengan Syukur nanti. Dia sungguh-sunguh mahu tahu apa sebenarnya yang
membelenggu fikiran lelaki itu sehingga dia berubah menjadi seperti orang lain.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, lain benar sikapnya.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Walaupun deringannya
diperlahankan tetapi dia masih dapat mendengarnya kerana telefon itu diletakkan
di atas meja kerjanya. Dia menoleh melihat skrin telefon bimbitnya. Nama Amirul
tertera di situ. Jantungnya tiba-tiba sahaja berdebar. Dengan perasaan teruja
dia mencapai telefon itu.
“Assalamualaikum.” Farhana memberi salam sebaik sahaja
mendengar suara lelaki itu ditalian.
“Waalaikumussalam, Farah.” Kedengaran suara Amirul ceria.
“Saya sedang bekerja ni, ada apa awak telefon?”
“Saya balik lewat hari ni. Nanti malam saya hantar awak
balik, ya.”
“Apa? Awak nak hantar saya balik?”
“Kita pergi makan dulu, lepas tu saya hantar awak balik.
Boleh tak?”
Tanpa berfikir panjang, Farhana bersetuju. Entah kenapa,
pelawaan Amirul itu seperti susah benar untuk ditolaknya. “Okeylah. Nanti saya
tunggu awak di luar. Awak tak perlu telefon saya sebab telefon saya dah
kehabisan bateri,” jawabnya menamatkan perbualan mereka. Hatinya
berbunga-bunga.
Lenyap sudah kebimbangannya terhadap Syukur yang menyesakkan
fikirannya tadi. Rasa teruja untuk bertemu Amirul mengatasi perasaan lain.
Hatinya melonjak riang. Dirinya yang resah tadi berubah ceria. Tidak sabar
rasanya untuk bertemu sehinggakan waktu terasa lambat berlalu. Dia mahu segera
menyudahkan kerja supaya fikirannya tidak terbeban memikirkan kerja-kerja yang
belum selesai nanti.
Tetapi tiba-tiba dia diburu rasa serba salah apabila
teringatkan janjinya dengan Syukur. ‘Alah, esok sajalah aku jumpa dengan dia.’
Tanpa disedari waktu kerja sudah berakhir. Dengan
tergopoh-gapah Farhana berkemas. Kemudian dia ke bilik air untuk membasuh muka
dan menempek sedikit bedak muka dan mencalit gincu ke bibir agar kelihatan
sedikit berseri. Farhana tidak sempat untuk memberitahu Syukur yang dia tidak
dapat berjumpa dengannya malam nanti. Dan dia juga terlupa untuk meninggalkan
pesanan kepada Hamimi tadi. Hamimi pula sudah pulang tanpa berjumpa dengannya
terlebih dahulu. Hendak menghubunginya melalui telefon, baterinya pula sudah
kehabisan.
Farhana bergegas menapak keluar. Dia bimbang terlambat. Dan
yang paling membimbangkannya jika bertembung dengan Syukur di luar nanti. Dia
perlu cepat untuk mengelak daripada terserempak dengan lelaki itu. Tidak dapat
dia bayangkan bagaimana keadaannya nanti andai itu benar-benar berlaku. Bukan
dia tidak risaukan Syukur tetapi kehadiran Amirul lebih diutamakan ketika ini.
Dia sangat senang dan selesa bila berdamping dengan lelaki itu. Entah kenapa
setiap kali berada dekat dengan Amirul, seperti ada satu perasaan yang menjalar
ke dalam jiwanya. Menyebut nama Amirul saja sudah cukup membuatkan dia
penasaran.
Setelah beberapa ketika menunggu di tempat yang telah
dijanjikan, kelibat Amirul dilihat berjalan menuju ke arahnya. Wajah lelaki itu
kelihatan berseri-seri, bibirnya sentiasa dihiasi senyuman. Semakin dekat
semakin lebar senyumnya.
“Jom, Farah.” Amirul melangkah ke keretanya yang terparkir
tidak berapa jauh dari tempat itu.
Farhana mengekori lelaki itu dari belakang sambil mata
melilau memandang sekeliling. Bimbang kalau-kalau Syukur ada di situ.
Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta, Amirul terus
menghidupkan enjin sekali gus menekan punat penghawa dingin. Tidak sah kalau
tidak memasang radio. Kalau sehari Amirul tidak mendengar lagu terasa sunyi
hidupnya lalu punat radio ditekan. Serta-merta berkumandang lagu cinta masa
kini yang sering diputarkan di stesen-stesen radio. Kebetulan Farhana suka lagu
itu. Di dalam hatinya dia turut beryanyi sama. Sejurus tali pinggang keledar
dipasang, perlahan-lahan kereta Honda City itu bergerak meninggalkan kawasan
kilang.
Sewaktu kereta yang dinaiki melintasi tempat meletak
motosikal, Farhana ternampak kelibat Syukur di situ. Dia tahu lelaki itu sedang
menunggunya. Mujur sahaja jarak laluan kereta agak jauh sedikit dari tempat
itu. Rasa simpati terhadap lelaki itu tiba-tiba menyelinap ke dalam hati. Serba
salah dia dibuatnya.
“Diam aje, kenapa?” tanya Amirul.
“Err... tak ada apa-apa.” Farhana gugup.
“Saya nak bawak awak makan nasi lemak kukus berlauk. Awak
suka tak makan nasi lemak?” Amirul kedengaran ceria.
“Dah malam-malam buta begini nak makan nasi lemak?” Bukan
Farhana tidak biasa makan pada waktu dinihari begitu, tetapi tidaklah sehingga
makan nasi lemak.
“Alah... sekali-sekala, bukannya selalu.”
“Kalau sarapan pagi, bolehlah. Tapi... tengah-tengah malam
macam ni, taklah kut. Nasi lemat berat sangat. Takut nanti tak boleh tidur
dibuatnya, sebab kekenyangan.” Sesekali Farhana menoleh ke sisi, memandang
wajah Amirul yang sejuk mata memandang. Lelaki itu mempunyai kening yang lebat
dan bola matanya berwarna coklat. Hidungnya pula mancung iras pelakon
Hindustan. Rambutnya lebat tetapi kemas disikat ke belakang.
Setiap kali melihat wajah itu, bagaikan ada satu rasa yang
menyelinap ke jiwanya. Naluri apa yang menerpanya di kala itu? Dia jadi keliru
dan tertanya-tanya. Adakah itu yang dinamakan cinta? Cinta pandang pertama? Oh,
tidak mungkin! Mana mungkin dia menyimpan perasaan itu terhadap Amirul?
Perkenalan mereka baru sahaja terjalin. Bimbang kalau-kalau dia seorang sahaja
yang perasan. Sakitnya hati kalau bertepuk sebelah tangan.
Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, Amirul dan
Farhana saling berbual mesra. Keresahan Farhana terhadap Syukur sudah mulai
reda. Yang pasti, hatinya kini berbunga bahagia.
Syukur gelisah. Kedinginan angin yang meniup menusuk ke tulang. Dia
memeluk
tubuhnya. Sekejap-sekejap dia memandang jam di pergelangan tangan. Setelah
penat berdiri dia duduk dan kemudian berdiri semula. Telefon bimbit di dalam
kocek seluar dikeluarkan. Dia meneliti telefon itu kalau-kalau ada mesej atau
panggilan yang dia tidak perasan. Hampa. Dia cuba untuk membuat panggilan,
manalah tahu andai Farhana terlupa akan janji mereka. Malangnya talian tidak
dapat dihubungi seolah-olah berada di luar kawasan. Syukur menarik nafas
panjang.
Perasaannya
jadi tidak menentu. Rasa geram dan marah bercampur baur. Apa sebenarnya yang
telah berlaku kepada gadis itu? Dia terlupakah atau sengaja lupa? Selama ini
dia dilihat seperti seorang saudara yang sangat mengambil berat tentang
dirinya. Tetapi kenapa apabila dirinya menghadapi masalah, tiba-tiba dia
seperti mahu menjauhkan diri pula.
Dia
teringatkan Hamimi. Lantas dia mencari nombor telefon Hamimi di dalam lis
telefon bimbitnya. Berkali-kali dia cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab.
Suasana sekeliling semakin sunyi. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk
beredar dari tempat itu dengan perasaan hampa.
Malam itu, Syukur tidak dapat
tidur. Puas dia cuba melelapkan mata namun gagal. Setiap kali dia cuba
melelapkan mata, setiap kali itu jugalah seraut wajah gadis yang dipuja itu
hadir dalam ingatannya. Jiwanya jadi kacau. Dia menukar posisi tidurnya.
Mengiring ke kiri kemudian ke kanan. Kemudian dia terlentang. Matanya
berkedip-kedip memandang kipas yang ligat berputar.
‘Sampai
hati Farah mungkir janji. Kenapa sewaktu aku tanya siang tadi dia setuju? Kalau
tak nak jumpa, cakap sajalah. Bukan aku kisah pun. Ini tidak. Kata okey, tapi
tak muncul-muncul. Sakit betul hati aku,’ omel hatinya.
Apakah
yang Farhana cuba buktikan? Marahkah dia kepada dirinya? Seingatnya, dia tidak
pernah berbuat salah apatah lagi menyakitkan hati gadis itu. Tetapi kenapa dia
memungkiri janji? Kalaulah dia tahu betapa aku sayangkan dirinya, bagaimanalah
agaknya reaksi Farhana? Sukakah atau sebaliknya menjauhkan diri?
Fikirannya
buntu dan bercelaru. Mungkin Farhana tidak perasan dan tidak pernah merasai
kelainan yang dia cuba pamerkan selama ini. Atau mungkin juga Farhana pura-pura
tidak mengerti. Atau tidak pernah ambil peduli. Mentang-mentanglah dia hanya
pekerja kilang. Tapi hinakah pekerja kilang yang menggunakan tulang empat
keratnya sendiri tanpa meminta belas ihsan orang lain? Gaji yang diperoleh setiap bulan adalah halal hasil titik peluh
sendiri. Atau dia yang sepatutnya sedar akan kekurangan diri yang tidak
memiliki wajah tampan apa lagi personaliti yang menarik?
Pelbagai
soalan yang menerjah mindanya. Bertalu-talu. Fikirannya jadi runsing. Kepalanya
sakit berdenyut-denyut. Sesekali dia memicit kepalanya sendiri. Perasaannya
tidak dapat digambarkan. Kalau menjerit boleh meredakan kekusutan, mahu saja
dia lakukan itu. Kalau lelehan air mata boleh melegakan perasaannya yang
gundah, dia sanggup beresak tangis asalkan semua perasaan itu lenyap daripada
hidupnya.
Ternyata
Farhana tidak menganggapnya lebih daripada seorang kawan. Hanya dia yang
tersalah sangka. Kecewa sungguh bila mengenangkan semula detik-detik kemesraan
yang terjalin sekian lama. Sia-sia belaka. Syukur menumbuk bantal untuk
melepaskan rasa marah dan sakit hati.
Bila
difikirkan semula, apalah guna memaksa jika orang sudah tidak suka? Apalah guna
bersedih jika orang tidak sudi. Syukur mengeluh dalam. Nafasnya terasa sesak.
Wajah Farhana terbayang-bayang di mata. Pedihnya hati hanya Allah yang tahu.
Sesungguhnya, jauh di sudut hatinya dia mengharap Farhana tidak membencinya.
Akhirnya tanpa disedari, dia terlena.
.
No comments:
Post a Comment