Qistina mempamerkan wajah kurang senang. Meluat dia dengan
perangai Amirul. Barulah dia tahu bagaimana sikap sebenar Amirul yang selama
ini disembunyikan. Lelaki itu rupa-rupanya hanya berlagak alim. Kalau dengan
dia ada sahaja yang tidak boleh. Banyak sungguh pantang larangnya. Tetapi kalau
dengan gadis-gadis itu tadi, bukan main lagi dia. Lembut gigi dari lidah.
|
Sengaja Amirul membiarkan Qistina berjalan dengan jarak
beberapa meter jauh daripadanya. Betul kata Qistina, Amirul memang tidak ada
langsung sifat sopan santun kalau dengan dia. Sering sahaja kata-kata yang
terhambur keluar dari mulutnya adalah butiran kata yang boleh menyakitkan hati
orang yang mendengar. Tidak ada langsung lemah lembutnya jauh sekali bersikap
romantik.
“Qistina, you nak pergi mana lagi tu?” tanya Amirul apabila
melihat Qistina menonong sahaja tanpa menunggu dia.
Qistina tidak menjawab, apatah lagi berpaling. Jauh di
sudut hatinya dia berharap agar lelaki itu akan mengejar dan mendapatkannya
untuk memujuk. Tetapi itu semua bagaikan satu harapan kosong. Bukan dia tidak
tahu dengan sikap Amirul yang sering sahaja berkasar terhadapnya. Dia sendiri
tidak tahu mengapa lelaki kasar seperti itu boleh menundukkan egonya. Hairan
sungguh dia. Padahal sebelum kehadiran Amirul ada beberapa orang lelaki lain
yang bersungguh-sungguh mahu berdamping dengannya tetapi ditolak ke tepi.
Bukan calang-calang orang yang tergila-gilakan dia. Mereka
itu bukan sahaja kacak, malah berpelajaran tinggi dan sangat mengambil berat.
Bukan macam Amirul. Qistina betul-betul tidak faham dengan lelaki itu. Tidak
cantikkah dia? Atau tidak cukup baikkah dia? Huh! Lelaki itu memang tidak sedar
diuntung, desisnya. Mungkin dia mahu gadis yang cukup sempurna. Tetapi dia
lupa, dirinya sendiri sempurnakah?
“Qistina,” panggil Amirul lagi apabila panggilan pertamanya
tadi tidak diendahkan. Beberapa orang yang berhampiran menoleh pandang ke
arahnya. “Qistina, you ni dah kenapa? I panggil berapa kali, tak dengar ke?”
gumam Amirul setelah mendekati gadis itu.
“Apa dia?”
“You nak pergi mana lagi ni? I dah penat. Kita balik saja,
boleh?” Qistina mengeluh keras.
“Kita datang sini hanya untuk makan saja?”
Amirul mengangguk. Tidak kuasa dia melayan cakap dengan
Qistina. Kalau terus melayan pasti akhirnya tercetus pertengkaran. Dia sudah
bosan dengan situasi itu. Oleh kerana desakan dan tidak suka mendengar leteran
panjang mamanya, dia turuti kehendak wanita itu. Dia tidak kisah jika mamanya
mendesak dia bertemu dengan Qistina asalkan jangan memaksa dia untuk memilih Qistina
untuk menjadi teman istimewanya.
“Menyesal I maafkan you. Mama I yang sibuk suruh I jumpa
dengan you. Kalau tidak I tak ingin, tau.” Qistina mengerling tajam ke arah
Amirul. Geram sungguh dia. Kalau budak kecil mahu saja dia mencubit pipi lelaki
itu.
“Terpulanglah pada you sama ada nak memaafkan atau tidak.
Yang penting, I dah mintak maaf. You tau tak apa hukumnya orang yang tidak mahu
memaafkan kesalahan orang lain? Berdosa besar tau.” Amirul menghela nafas.
“Dahlah. You ingat I ni tak tau dosa pahala ke?” Qistina
melajukan langkahnya menuruni askalator.
“Baguslah kalau tahu. Tak perlu I nak jelaskan panjang
lebar lagi.” Amirul mengekori Qistina. Dia mendengus. Kalau tidak kenangkan
mamanya, mahu saja dia tinggalkan Qistina di situ. Bosan rasanya berkawan
dengan orang yang hanya pentingkan diri sendiri. Dia hanya tahu sakit hatinya
sahaja tanpa pedulikan perasaan orang lain.
“Suka hati youlah nak cakap apa. I tak kisah. Lagipun I
jumpa you ni sebab papa dan mama I.” Qistina berbohong. Jika mama dan papanya
tidak mendesak pun, dia dengan suka rela mahu ketemu dengan lelaki itu untuk
memohon maaf di atas insiden yang berlaku malam itu. Dia tidak sanggup
membiarkan Amirul menjauhkan diri. Lebih-lebih lagi apabila melihat reaksi
Amirul terhadap Farhana tadi. Dia seperti dapat mengagak sesuatu.
“Kalau macam tu, lebih baik kita jangan banyak cakap lagi.
Kaki I pun dah penat dah ni. Jom kita balik,” ujar Amirul.
Qistina sengaja berpura-pura seperti tidak mendengar.
Wajahnya mencuka. Perasaannya terluka. Dia terus mengayun langkah tanpa arah
tujuan. Sesekali bahunya berlanggar dengan orang yang berjalan menentang arus.
“Qistina,” panggil Amirul. Mahu rasanya dia merentap tangan
Qistina supaya berhenti melangkah. Degil betullah perempuan ni!
“Kalau you nak balik, pergilah.” Qistina mempertahankan
egonya.
“I yang bawa you ke sini dan jadi tanggungjawab I untuk
hantar you balik ke rumah. You jangan degil, boleh tak?” Amirul naik geram. Dia
mengetap bibir.
“Siapa yang degil? You ke I? Kalau dah sibuk sangat nak
balik, pergilah balik. Tinggalkan aje I kat sini.” Qistina tetap berkeras.
“I tak fahamlah dengan you ni.”
“Tak faham sudah!”
“Suka hati youlah. I nak balik. Malas I nak layan perangai
you yang degil ni. Tapi ingat, kalau I dengar you mengadu kat mama I kata I tinggalkan
you, siaplah you.”
“You nak buat apa?”
“You tak perlu tau apa yang I akan buat. Tapi siaplah you,”
ugut Amirul sebelum melangkah pergi.
Baru sahaja beberapa tapak Amirul melangkah, Qistina segera
menoleh dan mengejar lelaki itu. “Susah betullah dia ni. Nak bermanja-manja pun
tak boleh. Kita acah-acah aje, dia tangkap serius pulak,” omelnya.
“You nak
pergi mana pulak ni?” tanya Amirul apabila perasan Qistina mengekorinya menuju
ke tempat letak kereta.
“Nak baliklah.” Selamba Qistina menjawab.
‘Padan muka. Nak tunjuk keras kepala konon. Dia ingat aku
ni senang dibuli. Sorry ya Qistina, kau salah orang.’ Puas hati Amirul kerana
berjaya membuat Qistina menuruti kehendaknya.
Sepanjang
perjalanan menuju ke rumah Qistina, mereka berdiam. Amirul hanya menumpukan
perhatiannya ke jalan raya. Sengaja dia tidak mahu mencetuskan perbualan. Lebih
baik diam daripada bercakap sesuatu perkara yang akhirnya akan berlaku
pertengkaran antara mereka. Sesekali Amirul mengerling ke sisi. Tiba-tiba
ingatannya terhadap Farhana meluap-luap. Hatinya berbunga setiap kali
terbayangkan wajah mulus gadis itu. Nama Farhana bermain-main di bibirnya. Dia
tersenyum-senyum.
Qistina yang duduk di sebelah berasa jengkel melihat
gelagat Amirul. Tersengih-sengih seorang diri macam orang gila. Tapi kenapalah
aku suka sangat dengan dia ni, desisnya di dalam hati.
Tanpa disangka secara tiba-tiba Amirul menekan brek
sehingga tubuh mereka berdua terdorong ke hadapan. Mujur sahaja mereka memakai
tali pinggang keledar. Kereta Amirul nyaris berlanggar dengan kereta di hadapan
yang menekan brek kecemasan. Merah padam muka Amirul. Di dalam hatinya dia
menyumpah. Qistina pula sudah menggigil ketakutan.
“You ni dah kenapa, hah?!” marah Qistina. Dia mengurut
dada.
“Apa pulak I? You tak nampak ke kereta yang kat depan tu
buat emergency break?” Amirul menuding jari ke arah
kereta berwarna putih di hadapannya. Bunyi hon yang bertalu-talu dari belakang
membingitkan telinga.
“Yang you ikut rapat dengan kereta tu kenapa?” Wajah
Qistina berkerut-kerut. Matanya mencerlang. Perasaan marah yang masih terbuku
di hati dilepaskan.
“You ni boleh diam tak? I tengah marah ni. Nasib baik tak
berlanggar. Kalau berlanggar tadi, habis kereta I. You tau, tak?!” tengking
Amirul. Rasa marahnya tidak dapat ditahan-tahan. Sudahlah keretanya hampir
terlibat dengan kemalangan, Qistina pula menyalahkan dia. Bunyi hon kereta yang
memekakkan telinga menyemarakkan api kemarahan yang sedia ada.
“Kalau kereta you rosak, boleh diganti. Tapi kalau I ni...
kalau I ni yang luka parah, siapa nak jawab?!” herdik Qistina. Dia seperti mahu
menangis.
“Kan I kata tadi, bukan salah I.” Amirul cuba bertenang.
“Payah bercakap dengan orang yang tak faham bahasa ni.” Dia mendengus apabila
melihat wajah Qistina yang tegang.
Lalu pintu kereta dibuka kasar. Amirul melangkah keluar
untuk memastikan apa sebenarnya yang telah berlaku. Dia menjengah ke hadapan.
Rupa-rupanya kereta di hadapan kereta putih itu telah melanggar seekor anjing.
Anjing itu masih hidup dan kelihatan cuba berjalan dengan kaki terhincut-hincut
untuk ke tepi. Insiden itu menyebabkan kelancaran jalan raya terganggu. Namun
dalam beberapa minit kemudian keadaan kembali pulih semula. Dan Amirul pun
meneruskan perjalanannya untuk menghantar Qistina pulang dengan perasaan sebal.
'
No comments:
Post a Comment