Malam
itu selepas waktu maghrib barulah kedengaran enjin kereta Azry masuk ke pekarangan
rumah. Mak Mah sedang sibuk menyediakan
hidangan makan malam. Mama dan Papa
tidak kelihatan dimana-mana. Biasanya
papa dan mama rajin mengerjakan solat sunat usai solat fardhu dan kadangkala
mereka akan duduk mengaji Al-Quran pula.
Kak Rina masih belum pulang, kemungkinan dia bekerja di dalam shift petang atau pun barangkali
terpaksa menggantikan doktor yang bercuti.
Lagi pun hospital swasta tempat kak Rina bekerja kekurangan doktor
pakar. Suasana ruang tamu lengang dan
sunyi. Begitulah keadaannya rumah banglo
dua tingkat milik papa dan mama ini.
Begitu membosankan.
Sebaik
sahaja aku mendengar enjin kereta Azry, aku terus membuka pintu dan menyambut
kepulangan Azry di muka pintu. Azry
memberi salam apabila melihat aku tercegat di depan pintu. Salam bersambut dan ku iringi Azry masuk ke dalam
rumah sehingga menaiki anak tangga ke tingkat atas. Sejurus masuk ke bilik, Azry meletakkan beg
bimbitnya di atas meja kerjanya. Aku
duduk di birai katil sambil menggoyang-goyangkan kaki. Azry melepaskan ikatan tali leher dan membuka
butang baju kemeja berlengan panjangnya satu persatu. Lalu dimasukkan baju yang telah ditanggalkan
itu ke dalam bakul yang sedia ada di tepi pintu bilik air. Dia menghilangkan diri ke dalam bilik air dan
keluar semula dengan memakai tuala mandi.
Seluar slack yang ada di tangan
dimasukkan juga ke dalam bakul yang serupa.
“Ha!
kenapa tu Sara?” Azry memecah kesunyian bilik tidur itu. Aku memandang ke wajah Azry sekilas.
“Tak
ada apa-apa. Kenapa apa pulak? Tak boleh ke Sara tunggu abang kat sini?”
tutur ku dengan nada manja.
“Abang
tak kata tak boleh, selalu tak macam ni pun.
Ha, jom kita mandi sama” gurau Azry.
“Tak
naklah, Sara dah mandi. Abang pergilah
mandi, Sara tunggu sini” Azry yang berdiri hampir dekat denganku sempat mencuit
pipiku dan berlalu menghilangkan diri ke bilik air. Jirusan air kedengaran sebaik Azry merapatkan
daun pintu bilik air.
Sambil
menunggu Azri, aku pun merebahkan tubuh.
Berbaring sambil menatap siling putih. Di situ terbayang wajah Irfan. Ya Allah!
Irfan? Kenapa di mana-mana sudut ku
toleh ada wajahnya? Dan mengapa pula namanya tersebut-sebut di bibir? Suaranya kedengaran di telinga? Apakah
ertinya itu? Angaukah aku padanya? Masih adakah lagi rasa sayang aku padanya? Berbagai-bagai soalan yang bertubi-tubi
bermain di minda. Sesekali aku bagai mahu menangis dan sesekali aku seperti
mahu ketawa pula. Mengapa lelaki itu
lagi yang membuat hidupku tidak keruan begini?
Entah
bila Azry telah siap berpakaian dan duduk hampir dengan tempat aku berbaring. Azry mencuit pipi ku mesra.
“Dah,
jom kita pergi turun makan. Papa dan
mama dah menunggu” Azry menarik tanganku untuk bangkit dan terus menuruni anak
tangga. Ternyata tiada sesiapa kelihatan di situ. Aku terus melangkah ke ruang dapur pula. Mak Mah kelihatan sedang membasuh sesuatu di sinki.
“Papa
dengan mama dah turun?” tanya mak Mah apabila melihat wajahku di situ.
“Belum
turun lagi. Tak apa nanti Azry boleh
panggilkan. Mak Mah makan sekali?” aku berbasa basi.
“Mak
Mah dah makan masa berbuka tadi” ujar
mak Mah.
“Mak
Mah puasa hari ni? Lain kali kalau mak Mah puasa bagitaulah Sara, Sara pun nak
puasa jugak. Puasa tahun lepas ada lagi
dua hari belum ganti ni”.
“Iyalah,
lain kali kalau mak Mah puasa lagi, mak Mah bagitau Sara ya” aku mengangguk dan berlalu ke ruang
makan.
Sekembalinya
aku ke ruang makan, mama dan papa telah sedia duduk di meja makan sambil
berbual-bual dengan Azry. Ku sendukkan
nasi ke pinggan dan menghulurkan pinggan yang telah berisi satu persatu kepada
papa, mama, Azry dan untuk diriku sendiri.
Doa makan dibaca sebelum menjamah makanan yang sedia terhidang.
Malam
itu sebelum tidur, aku membantu Azry mengemas pakaiannya masuk ke dalam beg
besar.
“Bang,
Sara ingat hari sabtu ni nak pergi rumah kak Min”.
“Tak
apa, pergilah” riak wajah Azry tenang saja.
“Lepas
tu Sara ingat nak tidur Gombak semalam dua, boleh tak?” aku memandang ke wajah Azry, dia tersenyum.
“Ok
sayang, tapi bawak kereta baik-baik ya”
pesan Azry.
Aku
berasa sangat gembira kerana Azry mengizinkan aku bermalam di rumah keluargaku.
Selesai
mengemas barang-barang keperluan Azry, lampu bilik dipadamkan. Aku tidak terus tidur. Pandangan mata tertumpu ke siling putih. Di situ aku dapat melihat Irfan dan diriku
yang sedang duduk berbual-bual di atas bangku kayu yang terletak berhampiran
dengan kantin sekolah. Tidak jauh dari situ, ada beberapa orang teman yang
menemani. Kami tidak pernah
berkesempatan untuk duduk berdua-duaan seperti pasangan lain yang sedang
bercinta. Malahan kami tidak pernah
merasai nikmat percintaan itu semasa di bangku sekolah. Hampir kebanyakan waktu yang terluang di sekolah
kami habiskan bersama kawan-kawan lain, bukan hanya berdua-duaan seperti
pasangan Ella dengan Badrul dan Dila
dengan Rizal, mereka adalah diantara pasangan yang asyik dalam dunia percintaan
waktu itu. Kadangkala sikap mereka yang
keterlaluan, begitu memualkan. Aku juga
dapat tahu ada diantara mereka berjaya mengekalkan hubungan mereka sehingga ke jinjang
pelamin dan berkeluarga dan begitulah sebaliknya. Tidak terkecuali diantara aku dan Irfan. Hubungan kami semakin mesra selepas
meninggalkan zaman persekolahan. Tetapi
akhirnya kecundang juga di tengah jalan.
Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.
“Tak
tidur lagi ke Sara?” pertanyaan Azry mengejutkan aku dari lamunan jauh.
“Belum
lagi. Abang tu tidur awal. Esok nak berjalan jauh.” aku mengingatkan
Azry.
Azry
akan bertolak ke JB pada pukul 10 pagi bersama dua orang pegawai dari
syarikatnya bekerja. Pemandu syarikat
akan datang menjemputnya di rumah esok. Ini
bermakna aku akan keluar ke pejabat lewat sedikit, aku harus menunggu sehingga
Azry bertolak selepas sarapan pagi bersama.
Selimut yang menutupi kaki ku tarik sehingga ke paras dada kerana
kesejukan dari alat penghawa dingin yang terpasang. Kedua mata ku masih terkebil-kebil. Sesekali wajah Irfan menjelma di ruang mata
seolah-olah tersenyum memandang ke arahku.
Aku tersenyum sendiri bagaikan membalas senyuman dari Irfan itu.
Azry
mengereng mengadap aku. Kehangatan
tubuhnya begitu terasa. Azry mencari tanganku di sebalik selimut tebal. Lalu tangan digenggam erat seperti tidak mahu
dilepaskan. Satu kucupan hinggap ke pipi
ku. Aku membatu, hanya jasad yang
terbaring di sisinya sedangkan fikiran dan minda melayang-layang entah ke mana.
Keesokan
paginya seperti biasa aku dikejutkan oleh deringan dari telefon bimbit yang setia
mengejutkan aku dari lena. Alarm berbunyi tepat pukul 6.30 pagi. Aku masih berbaring. Kemudian menoleh ke kiri, Azry sedang lena
dibuai mimpi indah. Ku kejutkan Azry
beberapa kali untuk bangun mengerjakan solat subuh berjamaah bersama. Aku bangkit dan terus ke bilik air. Azry masih berdengkur. Setelah siap berwuduk, solat subuh dua
raka’at ku tunaikan. Sejurus usai solat,
aku menadahkan kedua tangan lalu memanjatkan
doa ke hadrat Illahi. Setelah membuka kain
telekung, aku mengejutkan Azry sekali lagi, dia mengeliat malas.
“Bang
bangun dah nak dekat pukul 7 pagi. Subuh
dah nak habis”.
Punggungnya
ku tepuk. Dia masih tidak bergerak. Aku melangkah ke tingkap, langsir satin
berwarna ungu lembut ku selak agar cahaya matahari dari luar dapat masuk
menembusi tingkap kaca.
Aku
kembali ke birai katil dan berbaring semula di sebelah Azry yang masih
lena. Entah bila aku terlelap dan tiba-tiba
terjaga. Aku segera ke bilik air dan
mandi. Sejurus siap mamakai baju kurung
dari kain chiffon berwarna hijau muda aku mendapatkan Azry yang masih
berselimut. Mengejutkan Azry adalah satu
rutin harian yang membosankan. Dia memang
payah untuk bangun pagi. Alat penghawa
dingin ku matikan. Selimut yang menyelubungi
tubuhnya ku singkap. Matanya
terkebil-kebil memandang ke arah ku.
“Bangun
hari dah siang, karang kelam kabut pulak” leter ku.
“Pukul
berapa ni?” tanya Azry sambil terpisat-pisat.
“Dah
pukul 9” jawab ku walaupun ketika itu
jam baru menunjukkan ke pukul 8.45 pagi.
Dia pun kelam kabut bangkit dari katil dan terus ke bilik air.
Padan
muka, kejut kejut tak nak bangun, sayang sangat nak tinggalkan bantal busuk dia
tu, getus ku di dalam hati. Sementara
menunggu Azry mandi aku mengemas katil. Setelah
semuanya siap sempurna kami turun ke bawah bersama. Azry membimbit beg yang berisi pakaian untuk
bekalan selama seminggu. Mama dan papa
sedang menikmati sarapan pagi waktu itu.
Aku dan Azry terus duduk bersama mereka sebaik beg pakaian tadi diletakkan
di tepi dinding berhampiran.
“Semua
dah siap? Tak ada apa yang tertinggal?” tanya
mama yang begitu prihatin terhadap anak
lelaki kesayangannya.
Aku
memandang ke wajah Azry. Azry kelihatan
menganggukkan kepala.
“Ok!
Semua ada” jawabnya perlahan sambil
menyuap bihun goreng ke mulut. Air
Nescafe panas ku tuang ke dalam cawan.
“Mama,
esok Sara balik Gombak dan mungkin tidur sana dalam dua malam kot”. “Mama tak ada masalah. Eloklah tu, Sara pun dah lama tak tidur
sanakan?” tutur
mama. Alhamdulillah, mama mengerti perasaan yang
tersirat di hati kecil menantunya ini.
“Nanti
hari isnin Sara akan pergi kerja dari rumah sana” jelas aku pada mama dan papa di depan
Azry.
“Tak
apalah Sara, kalau duduk sini nanti Sara boring
pulak. Lagipun hari minggu nanti mama nak temankan papa ke majlis kahwin anak
kawan papa. Hati-hati bawak kereta
sorang-sorang tu ya” pesan mama.
Sejurus
selepas habis sarapan kedengaran bunyi
hon kereta dari luar. Pemandu syarikat Azry sudah sampai untuk menjemputnya. Azry mendapatkan papa dan mamanya, menghulur
salam dan seperti biasa ada sahaja pesanan untuknya dari mama dan papa. Biar pun Azry sudah bergelar suami, tetapi
tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tidak pernah mereka abaikan. Aku mendapatkan Azry dan sempat juga Azry
mengucup dahiku sebelum berlalu pergi mengheret beg pakaiannya.
“Nanti
sampai sana abang call, ok” ujar
Azry.
Aku
membalas kata-katanya dengan senyuman.
Aku memandang Azry melangkah ke kereta yang sedia menunggu di luar
pagar. Azry menoleh dan melambaikan
tangan sebelum masuk ke perut kereta.
Aku membalas lambaiannya itu sehingga dia hilang dari pandangan.
No comments:
Post a Comment