Thursday, June 30, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 27

.
Pintu pagar yang tidak berkunci ku buka dan kakiku melangkah masuk, kak Min menyambut ku di depan pintu.  Kami bersalaman dan berdakapan, rindu rasanya. 
“Aizat.. Aidil, ni maklang dah sampai, meh salam lekas”  kak Min memanggil anak-anaknya turun. 
“Hai sorang je ke, Sara? Azry mana?”.
 “Azry outstation kak, ke JB”. 
“Emm, lama ke dia pergi?”. 
“Katanya seminggu.  Biasalah kak, Sara pun dah tak kisah kena tinggal”. 
“Eh, jangan tak kisah, tak kisah, kena ambik kisah juga tu, tanya bila balik,
duduk hotel mana, pergi dengan siapa.  Jangan buat tak kisah je Sara, orang lelaki ni bukan boleh bagi kepercayaan 100%, dalam baik dia mengenakan kita, tau”  kak Min mula membebel menasihatiku. 
“Abang Fuad kerja ke kak?  Tak ada kereta dia di luar..” aku menukar topik.
 “Hari ni dia tak kerja.  Pergi main golflah, apa lagi?  Pagi-pagi lagi dah pergi, kalau tak ada apa-apa nanti pukul 5 ke pukul  6 ke dia baliklah.  Jom Sara kita makan, akak dah siap hidang dah, jom”  aku mengekori kak Min ke ruang makan. 
Aizat dan Aidil kedengaran berlari-lari menuruni anak tangga.
 “Mak lang datang sorang je ke?  Paklang tak datang sama?”  tanya Aizat sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman diikuti oleh adiknya Aidil. 
“Paklang ada kerja, jom kita makan sama”  aku menarik kerusi untuk duduk.  Kak Min menyendukkan nasi ke pinggan. 
“Jangan rebut-rebut, basuh tangan dulu Aizat, Aidil”. 
“Mama, nak rendang ayam ni”  kata Aidil. 
Aku pun meletakkan seketul ayam yang dimasak rendang ke dalam pinggan Aidil. 
“Lagi nak lauk apa?” tanyaku sambil memandang Aidil. 
“Nak sayur tu”  Dia menunjukkan dengan jari kearah sayur pucuk paku masak lemak kuning bersama tempe. 
“Makan Sara, diorang boleh ambil lauk sendiri”.  Aidil dan Aizat kelihatan sopan tatkala di depan rezeki.  Mereka memang di ajar sedemikian rupa sejak kecil oleh kedua ibu dan bapa mereka.  Sejuk hati melihat keadaan mereka begitu.
“Banyaknya lauk akak masak”  kataku sambil menyeduk sambal udang bercampur petai dengan sudu.
“Sesekali Sara datang ke rumah akak ni, masaklah special sikit” ujar kak Min sambil menuangkan air sirap limau ke dalam gelas kaca.
“Kak Min ada telefon kak Lia?”.
“Ada, dia tak dapat datang tengahari ni, karang petang baru dia boleh datang”. 
“Dia datang dengan abang Idham sekali?”. 
“Tak taulah, kalau tak ada apa-apa, Idham datang sekali kot.  Mereka tu dah ok dah.  Minggu lepas akak pergi sana, kebetulan Idham ada kat rumah.  Lia masak, Idham tolong jaga Farah.  Farah tu pun bukan main dengan papa dia, manja betul”. 
Wife yang lagi satu tu, ok jugak?”. 
“Lia kata, Idham balik gilir-gilir rumah dia dengan wife baru tu.  Wife baru tu tengah mengandung katanya.  Tak apalah, kalau masing-masing tau tanggungjawab masing-masing.  Lia tak ada pulak mengadu apa-apa pun pada kak Min, agaknya dah oklah tu kot, mudah-mudahan begitulah”  luah kak Min panjang lebar. 
Harapannya setinggi gunung agar rumahtangga adiknya berkekalan bahagia biar pun terpaksa berkongsi kasih.  Berdetik juga rasa bersyukur di sudut hati ini apabila mendapat tahu berita itu, aku menumpang gembira di atas kebahagiaan kak Lia. 
“Tambah nasi lagi Sara.  Akak masak banyak, ingatkan Azry pun ada sama, jangan nak berdiet-diet pulak”  kak Min menambahkan sesenduk lagi nasi ke dalam pinggan ku. 
“Eee, banyaknya tu, kang tak habis”  aku menuang sedikit ke dalam mangkuk nasi. 
“Aizat, Aidil, sudah?” tanya kak Min kepada dua orang anak-anak kesayangannya dan mereka mengangguk.
“Basuh tangan, minum air tu perlahan-lahan” pesan kak Min. 
 Aizat dan Aidil pun berlari-lari menaiki anak tangga sejurus menghantar pinggan yang telah digunakan ke sinki.  Suasana kembali riuh rendah dengan suara mereka dua beradik.
Aku mencuci pinggan di sinki sambil kak Min mengemas apa yang patut di dapur.  Selepas habis berkemas, kak Min membawa sedulang hidangan ke ruang tamu yang berisi dua mangkuk bubur kacang dan sepiring buah-buahan yang telah siap dipotong. 
“Jom Sara kita makan di depan”  aku mengekori kak Min dari belakang. 
“Sempat lagi buat bubur kacang? Dah kenyang ni, mana nak masuk lagi?” kataku sambil menggosok perut yang telah kekenyangan.
“Makanlah perlahan-lahan sambil borak-borak, karang habislah tu”  ujar kak Min.  “Tidur sini ya Sara?”. 
“Sara ingat nak tidur Gombak.  Dah lama tak tidur sana, jom kak sekali”  cadang ku sambil bersandar di sofa kulit yang empuk.
Best juga kan, tapi kalau cuti sekolah panjang tak apa, Sara.  Cuti hujung minggu, banyak kerja nak buat,  nak gosok baju sekolah, nak tengokkan home work diorang tu lagi, em.. tak boleh, tak bolehlah Sara, nanti tergopoh gapah pulak.  Sara sajalah pergi nanti lain-lain kalilah, ya”  jawab kak Min sambil mengunyah buah.
            “Bila Sara nak pindah ke rumah yang beli hari tu?”.
            “Tengoklah, lepas kenduri kak Rina kot”. 
“Bila kenduri dia tu?”. 
“Lagi dua bulan”. 
“Ermm, tak lama lagilah.  Buat di mana kenduri kahwin tu nanti?”
            “Buat di rumah saja, kak”. 
“Iyalah, kawasan rumah dia pun luaskan?  Tak menganggu rumah-rumah jiran.  Sara tau tak, Azmil anak maklong Kiah nak kahwin jugak minggu depan?”. 
“Azmil?  Anak maklong Kiah yang nombor tiga tu?  Oh iya ke dia dah nak kahwin?” aku membetulkan posisi dudukku.  Rasa teruja pula untuk mengetahui kisah terbaru sepupu ku yang ini.
“Iyalah, Azmil anak maklong Kiah nombor tiga lepas Aida dan Julie tulah, yang mana lagi?  Dulu ingat tak masa dia baru balik dari oversea, kan dia nak tackle Sara? Maklong dan paklong pun beria-ia nakkan Sara dijodohkan dengan Azmil tu.  Sara yang buat jual mahal, tapi nasib baik jugak Sara tak nak, dia tu akak dengar romeo, makwe sana makwe sini.  Last-last kahwin dengan ustazah, tau tak” beritahu kak Min mengingatkan aku pada kisah lama antara aku dengan sepupu ku itu. 
Aku masih ingat, semasa dia baru balik dari oversea dulu dia pernah datang ke rumah ku, bersama paklong dan maklong.  Kebetulan semasa kedatangan mereka tiada siapa di rumah kecuali aku dan  Ako.   Maka  aku terpaksa menyediakan minuman untuk mereka sementara menunggu ayah dan ibu pulang.  Maklong adalah kakak sulung pada ayah.  Dia suka bercakap.  Kalau sudah mula bercakap susah untuk dia berhenti.  Maklong beria-ia memuji-muji aku di depan Azmil.  Aku tahu niat maklong memang mahu aku disatukan dengan Azmil.  Tapi waktu itu, Irfan Effendi sudah bertakhta di hatiku.  Datanglah kacak mana pun, datanglah kaya mana pun, pilihan ku tetap dia.  Selepas beberapa hari kemudian, maklong menghubungi ibu untuk memberitahu hajat Azmil ingin berkenalan dengan lebih rapat lagi dengan ku.  Aku tidak memberi apa-apa jawapan dari persoalan itu.  Aku hanya mendiamkan diri sehinggalah kisah itu dilupakan begitu sahaja akhirnya. 
Aku tersenyum lebar.  Kak Min memandang ku dengan wajah yang pelik.  Perut yang tadi kenyang kini terasa lapar bila mengingati peristiwa lama itu.  Aku pun beranjak ke depan mencapai mangkuk bubur kacang yang sudah sejuk.

Petang itu, kak Lia datang bersama abang Idham dan Farah. 
“Farah dah pandai jalan, lamanya maklang tak jumpa dia.  Gigi pun dah penuh”  aku mendukung Farah. 
Farah terpaku merenung wajahku dengan pandangan yang pelik.  Mungkin dia tertanya-tanya, siapalah orang ini?  Seperti pernah ku lihat, tapi dimana ya? 
“Kenapa Farah diam?  Farah tak kenal maklang ya?”  tanya ku  pada sikecil yang berada di pangkuan ku seolah-olah dia memahami apa yang aku cuba katakan padanya.      Farah menolak-nolak tubuhku dan meronta sedikit, meminta untuk dilepaskan.  Perlahan-lahan ku letakkan dia di bawah dan dia terus berlari meluru ke pangkuan papanya.  Dengan manjanya dia merebahkan kepalanya di atas bahu papanya sambil mata tidak lepas dari memandangku.  Kak Lia kelihatan gembira duduk di sebelah abang Idham.  Mungkin dia sudah boleh menerima keadaan diri yang telah dimadukan oleh suami yang dicintainya.  Mungkin juga kak Lia telah mula merasai manisnya madu yang abang Idham hadiahkan untuknya.  Alhamdulillah! Aku bersyukur sekiranya betul begitu.  Aku menumpang gembira melihatkan kebahagiaan yang dikecapi oleh kakak ku itu.  Dan aku juga merasa bangga dengan ketabahan kak Lia mengharungi kehidupan berpoligami.  Bukan senang dan mudah untuk seseorang wanita menerima keadaan itu.  Dan bukan calang-calang orang yang boleh menerima hakikat suami yang dulunya hanya tempat dia seorang menagih kasih kini telah berkongsi dengan wanita lain.   
  Aizat dan Aidil turun mendapatkan pakngah dan makngah mereka.  Aizat mula menyakat Farah yang sedang leka bermain dengan anak patung kepunyaannya.  Rengekan Farah menjadi-jadi apabila Aizat cuba mengambil anak patung itu dari tangannya. 
“Aizat, kenapa kacau Farah tu?  Tak baik tau kacau budak kecil, dia tu perempuan”  tegur kak Min. 
Abang Idham mengendung Farah sambil memujuknya supaya berhenti dari menangis.  Aizat ketawa terkekeh-kekeh melihat Farah yang menjerit-jerit apabila melihat kelibatnya.  Suasana jadi riuh rendah dengan suara usikan Aizat dan Aidil, manakala Farah menjerit-jerit dengan tangisan yang panjang. 



No comments:

Followers