Sunday, June 26, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 26

.
Malam itu selepas waktu maghrib barulah kedengaran enjin kereta Azry masuk ke pekarangan rumah.  Mak Mah sedang sibuk menyediakan hidangan makan malam.  Mama dan Papa tidak kelihatan dimana-mana.  Biasanya papa dan mama rajin mengerjakan solat sunat usai solat fardhu dan kadangkala mereka akan duduk mengaji Al-Quran pula.  Kak Rina masih belum pulang, kemungkinan dia bekerja di dalam shift petang atau pun barangkali terpaksa menggantikan doktor yang bercuti.  Lagi pun hospital swasta tempat kak Rina bekerja kekurangan doktor pakar.  Suasana ruang tamu lengang dan sunyi.  Begitulah keadaannya rumah banglo dua tingkat milik papa dan mama ini.  Begitu membosankan. 
Sebaik sahaja aku mendengar enjin kereta Azry, aku terus membuka pintu dan menyambut kepulangan Azry di muka pintu.  Azry memberi salam apabila melihat aku tercegat di depan pintu.  Salam bersambut dan ku iringi Azry masuk ke dalam rumah sehingga menaiki anak tangga ke tingkat atas.  Sejurus masuk ke bilik, Azry meletakkan beg bimbitnya di atas meja kerjanya.  Aku duduk di birai katil sambil menggoyang-goyangkan kaki.  Azry melepaskan ikatan tali leher dan membuka butang baju kemeja berlengan panjangnya satu persatu.  Lalu dimasukkan baju yang telah ditanggalkan itu ke dalam bakul yang sedia ada di tepi pintu bilik air.  Dia menghilangkan diri ke dalam bilik air dan keluar semula dengan memakai tuala mandi.  Seluar slack yang ada di tangan dimasukkan juga ke dalam bakul yang serupa.  
“Ha! kenapa tu Sara?” Azry memecah kesunyian bilik tidur itu.  Aku memandang ke wajah Azry sekilas. 
“Tak ada apa-apa.  Kenapa apa pulak?  Tak boleh ke Sara tunggu abang kat sini?” tutur ku dengan nada manja.
“Abang tak kata tak boleh, selalu tak macam ni pun.  Ha, jom kita mandi sama” gurau Azry. 
“Tak naklah, Sara dah mandi.  Abang pergilah mandi, Sara tunggu sini” Azry yang berdiri hampir dekat denganku sempat mencuit pipiku dan berlalu menghilangkan diri ke bilik air.  Jirusan air kedengaran sebaik Azry merapatkan daun pintu bilik air.
Sambil menunggu Azri, aku pun merebahkan tubuh.  Berbaring sambil menatap siling putih.  Di situ terbayang wajah Irfan. Ya Allah! Irfan?  Kenapa di mana-mana sudut ku toleh ada wajahnya? Dan mengapa pula namanya tersebut-sebut di bibir?  Suaranya kedengaran di telinga? Apakah ertinya itu?  Angaukah aku padanya?  Masih adakah lagi rasa sayang aku padanya?  Berbagai-bagai soalan yang bertubi-tubi bermain di minda. Sesekali aku bagai mahu menangis dan sesekali aku seperti mahu ketawa pula.  Mengapa lelaki itu lagi yang membuat hidupku tidak keruan begini?
Entah bila Azry telah siap berpakaian dan duduk hampir dengan tempat aku berbaring.  Azry mencuit pipi ku mesra.
“Dah, jom kita pergi turun makan.  Papa dan mama dah menunggu” Azry menarik tanganku untuk bangkit dan terus menuruni anak tangga. Ternyata tiada sesiapa kelihatan di situ.  Aku terus melangkah ke ruang dapur pula.  Mak Mah kelihatan sedang membasuh sesuatu di sinki. 
“Papa dengan mama dah turun?” tanya mak Mah apabila melihat wajahku di situ. 
“Belum turun lagi.  Tak apa nanti Azry boleh panggilkan.  Mak Mah makan sekali?”  aku berbasa basi. 
“Mak Mah dah makan masa berbuka tadi”  ujar mak Mah. 
“Mak Mah puasa hari ni? Lain kali kalau mak Mah puasa bagitaulah Sara, Sara pun nak puasa jugak.  Puasa tahun lepas ada lagi dua hari belum ganti ni”. 
“Iyalah, lain kali kalau mak Mah puasa lagi, mak Mah bagitau Sara ya”  aku mengangguk dan berlalu ke ruang makan. 
Sekembalinya aku ke ruang makan, mama dan papa telah sedia duduk di meja makan sambil berbual-bual dengan Azry.  Ku sendukkan nasi ke pinggan dan menghulurkan pinggan yang telah berisi satu persatu kepada papa, mama, Azry dan untuk diriku sendiri.  Doa makan dibaca sebelum menjamah makanan yang sedia terhidang.           

Malam itu sebelum tidur, aku membantu Azry mengemas pakaiannya masuk ke dalam beg besar.  
“Bang, Sara ingat hari sabtu ni nak pergi rumah kak Min”. 
“Tak apa, pergilah” riak wajah Azry tenang saja.
“Lepas tu Sara ingat nak tidur Gombak semalam dua, boleh tak?”  aku memandang ke wajah Azry, dia tersenyum. 
“Ok sayang, tapi bawak kereta baik-baik ya”  pesan Azry. 
Aku berasa sangat gembira kerana Azry mengizinkan aku bermalam di rumah keluargaku.
Selesai mengemas barang-barang keperluan Azry, lampu bilik dipadamkan.  Aku tidak terus tidur.  Pandangan mata tertumpu ke siling putih.  Di situ aku dapat melihat Irfan dan diriku yang sedang duduk berbual-bual di atas bangku kayu yang terletak berhampiran dengan kantin sekolah. Tidak jauh dari situ, ada beberapa orang teman yang menemani.  Kami tidak pernah berkesempatan untuk duduk berdua-duaan seperti pasangan lain yang sedang bercinta.  Malahan kami tidak pernah merasai nikmat percintaan itu semasa di bangku sekolah.  Hampir kebanyakan waktu yang terluang di sekolah kami habiskan bersama kawan-kawan lain, bukan hanya berdua-duaan seperti pasangan Ella dengan Badrul  dan Dila dengan Rizal, mereka adalah diantara pasangan yang asyik dalam dunia percintaan waktu itu.  Kadangkala sikap mereka yang keterlaluan, begitu memualkan.  Aku juga dapat tahu ada diantara mereka berjaya mengekalkan hubungan mereka sehingga ke jinjang pelamin dan berkeluarga dan begitulah sebaliknya.  Tidak terkecuali diantara aku dan Irfan.  Hubungan kami semakin mesra selepas meninggalkan zaman persekolahan.  Tetapi akhirnya kecundang juga di tengah jalan.  Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.
“Tak tidur lagi ke Sara?” pertanyaan Azry mengejutkan aku dari lamunan jauh. 
“Belum lagi.  Abang tu tidur awal.  Esok nak berjalan jauh.” aku mengingatkan Azry. 
Azry akan bertolak ke JB pada pukul 10 pagi bersama dua orang pegawai dari syarikatnya bekerja.  Pemandu syarikat akan datang menjemputnya di rumah esok.  Ini bermakna aku akan keluar ke pejabat lewat sedikit, aku harus menunggu sehingga Azry bertolak selepas sarapan pagi bersama.  Selimut yang menutupi kaki ku tarik sehingga ke paras dada kerana kesejukan dari alat penghawa dingin yang terpasang.  Kedua mata ku masih terkebil-kebil.  Sesekali wajah Irfan menjelma di ruang mata seolah-olah tersenyum memandang ke arahku.  Aku tersenyum sendiri bagaikan membalas senyuman dari Irfan itu.
Azry mengereng mengadap aku.  Kehangatan tubuhnya begitu terasa. Azry mencari tanganku di sebalik selimut tebal.  Lalu tangan digenggam erat seperti tidak mahu dilepaskan.   Satu kucupan hinggap ke pipi ku.  Aku membatu, hanya jasad yang terbaring di sisinya sedangkan fikiran dan minda melayang-layang entah ke mana.
Keesokan paginya seperti biasa aku dikejutkan oleh deringan dari telefon bimbit yang setia mengejutkan aku dari lena.  Alarm berbunyi tepat  pukul 6.30 pagi.  Aku masih berbaring.  Kemudian menoleh ke kiri, Azry sedang lena dibuai mimpi indah.  Ku kejutkan Azry beberapa kali untuk bangun mengerjakan solat subuh berjamaah bersama.  Aku bangkit dan terus ke bilik air.  Azry masih berdengkur.  Setelah siap berwuduk, solat subuh dua raka’at ku tunaikan.  Sejurus usai solat, aku menadahkan kedua tangan  lalu memanjatkan doa ke hadrat Illahi.  Setelah membuka kain telekung, aku mengejutkan Azry sekali lagi, dia mengeliat malas. 
“Bang bangun dah nak dekat pukul 7 pagi.  Subuh dah nak habis”.   
Punggungnya ku tepuk.  Dia masih tidak bergerak.  Aku melangkah ke tingkap, langsir satin berwarna ungu lembut ku selak agar cahaya matahari dari luar dapat masuk menembusi tingkap kaca. 
Aku kembali ke birai katil dan berbaring semula di sebelah Azry yang masih
lena.  Entah bila aku terlelap dan tiba-tiba terjaga.  Aku segera ke bilik air dan mandi.  Sejurus siap mamakai baju kurung dari kain chiffon berwarna hijau muda aku mendapatkan Azry yang masih berselimut.  Mengejutkan Azry adalah satu rutin harian yang membosankan.  Dia memang payah untuk bangun pagi.  Alat penghawa dingin ku matikan.  Selimut yang menyelubungi tubuhnya ku singkap.  Matanya terkebil-kebil memandang ke arah ku. 
“Bangun hari dah siang, karang kelam kabut pulak” leter ku. 
“Pukul berapa ni?” tanya Azry sambil terpisat-pisat.
“Dah pukul 9”  jawab ku walaupun ketika itu jam baru menunjukkan ke pukul 8.45 pagi.  Dia pun kelam kabut bangkit dari katil dan terus ke bilik air. 
Padan muka, kejut kejut tak nak bangun, sayang sangat nak tinggalkan bantal busuk dia tu, getus ku di dalam hati.  Sementara menunggu Azry mandi aku mengemas katil.  Setelah semuanya siap sempurna kami turun ke bawah bersama.  Azry membimbit beg yang berisi pakaian untuk bekalan selama seminggu.  Mama dan papa sedang menikmati sarapan pagi waktu itu.  Aku dan Azry terus duduk bersama mereka sebaik beg pakaian tadi diletakkan di tepi dinding berhampiran. 
“Semua dah siap? Tak ada apa yang tertinggal?”  tanya mama yang  begitu prihatin terhadap anak lelaki kesayangannya. 
Aku memandang ke wajah Azry.  Azry kelihatan menganggukkan kepala.
“Ok! Semua ada”  jawabnya perlahan sambil menyuap bihun goreng ke mulut.  Air Nescafe panas ku tuang ke dalam cawan. 
“Mama, esok Sara balik Gombak dan mungkin tidur sana dalam dua malam kot”.  “Mama tak ada masalah.  Eloklah tu, Sara pun dah lama tak tidur sanakan?” tutur
mama.  Alhamdulillah, mama mengerti perasaan yang tersirat di hati kecil menantunya ini. 
“Nanti hari isnin Sara akan pergi kerja dari rumah sana”  jelas aku pada mama dan papa di depan Azry. 
“Tak apalah Sara, kalau duduk sini nanti Sara boring pulak. Lagipun hari minggu nanti mama nak temankan papa ke majlis kahwin anak kawan papa.  Hati-hati bawak kereta sorang-sorang tu ya”  pesan mama. 

Sejurus selepas habis  sarapan kedengaran bunyi hon kereta dari luar. Pemandu syarikat Azry sudah sampai untuk menjemputnya.  Azry mendapatkan papa dan mamanya, menghulur salam dan seperti biasa ada sahaja pesanan untuknya dari mama dan papa.  Biar pun Azry sudah bergelar suami, tetapi tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tidak pernah mereka abaikan.  Aku mendapatkan Azry dan sempat juga Azry mengucup dahiku sebelum berlalu pergi mengheret beg pakaiannya. 
“Nanti sampai sana abang call, ok” ujar Azry.

Aku membalas kata-katanya dengan senyuman.  Aku memandang Azry melangkah ke kereta yang sedia menunggu di luar pagar.  Azry menoleh dan melambaikan tangan sebelum masuk ke perut kereta.  Aku membalas lambaiannya itu sehingga dia hilang dari pandangan.  

No comments:

Followers