Tuesday, May 24, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 25

.
Hari ini aku ke pejabat seperti biasa memandu bersendirian.  Azry awal pagi lagi sudah keluar kerana katanya ada mesyuarat yang harus dihadiri bersama beberapa pegawai di pejabatnya.  Aku keluar dari rumah agak lewat, keadaan jalanraya tenang.  Ramai yang sudah berada di pejabat diwaktu ini.  Tidak sampai pun dua puluh minit memandu aku sudah sampai ke bangunan pejabat.  Aku terus ke tingkat basement untuk memakir kereta.  Bangunan pejabat ku mempunyai 16 tingkat, dimana pejabat ku beroperasi di tingkat bawah untuk bahagian Sales & Marketing, manakala di tingkat satu terletaknya pejabat Dino iaitu bahagian akaun dan berkongsi dengan bahagian projek.  Pejabat Dato’ Badrul bersama setiausahanya dan bahagian admin terletak di tingkat enam, di situ juga terdapat bilik mesyuarat dimana mesyuarat penyelenggaraan syarikat selalu diadakan.    Ruangnya agak luas dan selesa.  Ruang meletak kereta terletak di tingkat paling bawah, di situlah aku dan semua staf memakirkan kereta dimana kos bayaran meletak kereta ditanggung oleh pihak syarikat.
Oleh kerana aku sampai agak lewat, hampir semua tapak parkir telah ada penghuninya.   Malangnya aku terpaksa memakirkan kereta ku jauh sedikit dari tempat biasa kerana tidak ada tapak parkir yang kosong.  Ini bermakna aku terpaksa berjalan agak jauh untuk ke pintu lif.  “Itulah datang lambat lagi”, bebel ku di dalam hati.   Aku terus melangkah menuju ke pintu lif sebaik pintu kereta ku kunci.  Aku melangkah dengan laju kerana suasana yang sunyi membuatkan aku jadi takut.  Berbagai persoalan yang datang ke minda berganti-ganti.  Di dalam hati tidak berhenti dari membaca ayat kursi untuk mententeramkan perasaan yang gundah gulana.  
“Relaxlah Sara, nak takut apa siang-siang buta ni?” aku memujuk diri ku sendiri.  Aku teruskan juga melangkah setapak demi setapak sambil mata mengerling ke kiri dan kanan.  Entah dari mana arah dia datang tiba-tiba ada suara menyergah aku dari belakang. Aku segera menoleh, antara rasa terkejut dan rasa marah, aku hampir menjerit.  
“MasyaAllah! Bagai nak gugur jantung aku, nasib baik aku tak ada sakit jantung, kalau tidak…”, getus ku di dalam hati.  Aku mengusap tangan di dada sambil beristighfar.  Terasa seluruh badan bagai melayang-layang, Aku hampir pitam kerana terkejut yang amat sangat. 
Sorry, sorry Sara..I tak sengaja nak terkejutkan you.  Sorry ye”.  Dino memohon maaf.  Berulang kali perkataan itu diluahkan.  Aku merenung wajah Dino dengan pandangan yang geram.  Dino tergamam.
“Janganlah pandang I macam tu, macam nak telan orang.  I minta maaf ok, I tak sengaja, betul..”  rayu Dino lagi. 
Aku terdiam.  Aku meneruskan langkah ke pintu lif tanpa bersuara.  Dino mengekori ku dari belakang dengan air muka yang serba salah.  Sesampai aku di depan pintu lif, butang yang terletak di tepi kiri pintu itu ku tekan.   Dino masih mengulangi kata-kata maaf.  Aku tetap diam membuatkan Dino merasa kurang senang. 
“Geram betullah aku dengan kau ni, nasib baiklah kau tu Dino kalau tidak dah aku bagi pelempang percuma je kat muka kau tu” bebel ku sendirian. 
Aku menarik nafas panjang.  Tiba-tiba saja pintu lif terbuka dan aku terus melangkah masuk diikuti oleh Dino.  Aku menekan butang G manakala Dino menekan butang angka satu.  Seketika kemudian pintu lif pun terbuka  dan aku pun melangkah keluar meninggalkan Dino yang terpinga-pinga lantaran kemaafannya yang tidak berjawab.
Sebaik sahaja aku masuk ke bilik pejabat, beg tangan ku campakkan sahaja ke tepi.  Aku terus menghenyakkan punggung ke kerusi lalu duduk bersandar.  Belum pun hilang rasa lelah berjalan tadi kedengaran pintu diketuk dari luar.  Dida masuk dengan beberapa fail di tangan.  Tiga buah fail berwarna biru diletakkan di atas meja di hadapanku. 
“Puan Sara, surat-surat reminder telah saya keluarkan untuk tiga kes ini, detail nya ada saya sertakan sekali untuk perhatian dan tindakan puan Sara seterusnya.  Lagi satu, tadi Datin Fariza telefon, dia minta puan Sara call dia balik nanti berkenaan dengan loan rumah yang dibeli” aku mengangguk mendengarkan pesanan yang disampaikan dengan wajah yang sedikit senyum. 
Kejadian tadi di basement membuatkan aku hilang mode. 
“Ada apa-apa lagi?” tanyaku. 
“Tengahari nanti lepas lunch puan Sara ada appointment dengan encik Lokman, lawyer dari Lokman & Partners, saya dah confirmkan appointment tu” terang  Dida lagi.  Aku mengangguk lagi.  Melihatkan keadaan aku yang luar biasa, Dida pun berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang sejurus meminta diri untuk keluar.
Aku terus memulakan tugas harian dengan perasaan tenang tanpa memikirkan insiden tadi yang boleh menganggu tugas ku.  Deringan yang kedengaran dari telefon bimbit ku mematikan konsentrasiku. 
“Dah makan?  Sibuk macamana pun time makan mesti makan tau”  begitulah sikap Azry yang sering mengingatkan aku tentang pentingnya untuk makan tepat pada waktunya. 
“Abang nak bagitau esok abang kena pergi Johor Bharu, kena pergi tengok site projek di sana” sambungnya lagi.
“Dah agak dah.  Berapa hari abang pergi?” tanyaku tanpa gurauan seperti selalu. 
“Itulah masalahnya, tak tau lagi.  Mungkin tiga atau empat hari dan mungkin seminggu”. 
“Lamanya?”  aku merungut. 
“Nama pun kerja Sara.  Sara kan tau kerja abang macamana?  Tak usahlah risau, cepat habis kerja cepatlah abang balik, ok” Azry cuba memujuk. 
Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya deras.
“Oklah bang, nak buat macamana, dah tugas abang kan?”. 
“Ok, malam nanti kita jumpa ya, bye, assalamualaikum”. 
Telefon bimbit masih erat di genggaman.  Nampak gayanya hari sabtu ni aku terpaksa pergi ke rumah kak Min seorang diri.  Lebih baik aku balik ke rumah ibu dan bermalam di sana untuk beberapa hari.  Aku membuat cadangan untuk menghabiskan hari hujung minggu tanpa rasa bosan.  Mentalahan pula aku sudah lama tidak bermalam di rumah keluarga ku di Gombak.  Tatkala aku melayan perasaan tiba-tiba sahaja kelibat Dino telah berada di depan ku. 
“Sara, you ni kenapa? Marah kan I lagi ke pasal tadi tu, sampai I bagi salam pun you tak nak jawab?”. 
Aku tidak perasan dengan ketibaan Dino.  Entah bila dia ketuk pintu dan entah bila pula dia membuka pintu, alih-alih sudah tegak berdiri di depanku. 
“Dahlah, I dah maafkan you.  Duduklah” jawabku perlahan tanpa memandang ke wajahnya. 
“Sejak akhir-akhir ni I tengok you macam orang ada masalah besar”. 
“You tengok I ni macam ada masalah?” aku bertanya pula. 
Renungan Dino menikam wajah ku.  Lama. 
“I kenal you bukan sehari dua, sekilas pandang I dah tau”  mata Dino terkebil-kebil. 
“Perlukan teman untuk mengadu?” tambahnya lagi.    Aku membelek-belek jari jemariku.    Aku menggeleng.    
“Habis tu? I tengok you macam ayam berak kapur jer..  nak kata sakit rindu,   hari-hari jumpa.   Nak kata putus cinta, dah kahwin.   Entahlah, tak faham I dengan orang perempuan ni”  Dino membebel. 
“Tak ada apa-apalah, jangan risau” ujarku. 
“Entah-entah pembawa budak tak?” Dino meneka dengan mempamerkan senyuman yang membuat wajahnya kelihatan kacak dari kacamata ku. 
“Hish, mengarut je you ni, ke situ pulak, tak adalah” aku pula menafikan.  “Manalah tau” duga Dino. 
Perbualan kami terhenti apabila deringan telefon berbunyi.  Tanpa mengangkat gagang telefon aku menekan butang sambungan ke talian Maria.  
“Ya Maria, ada apa?”. 
Your call on line two” suara Maria kedengaran menjawab. 
Ok thanks”  lalu butang yang menyala lampunya ku tekan. 
“Hallo”, ucap ku sebaik gagang telefon ku tekapkan ke telinga.  Tiada jawaban, sunyi senyap. 
“Hallo! Siapa disana?”  ulang ku lagi.  Masih diam.  Aku pun diam, mata ku memandang Dino yang sedang tunduk membaca sesuatu.  Sesekali dia mengangkat kepala merenung aku dengan riak wajah seolah-olah menanyakan siapa gerangan si pemanggil.  Aku hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. 
“Letak jelah telefon tu.  Nak telefon tapi tak nak cakap, main-main pulak dia” marah Dino. 
Aku pun meletakkan gagang telefon ke tempatnya.  Fikiran ku menerawang ke udara.  Siapakah gerangan si pemanggil misteri itu?  Minda ku mula berteka teki tanpa memperdulikan Dino yang sedang memandang aku.  Mungkinkah panggilan itu dari dia?  Hati ku mula berdebar.  Ku garu kepala yang tidak gatal. 
“Dino you ada apa-apa nak cakap ke datang jumpa I ni?”. 
“Kenapa?  You tak suka I datang ke?”. 
“Tak adalah, you ada I tak jadi kerjalah, karang lepas lunch time I ada meeting dengan  Lokman, you join sekali ya” cadang ku. 
“Oklah, tengahari nanti you nak makan tak? Jom I belanja”. 
“I tak keluar lunch kot hari ni”. 
“Hai, susah betullah you ni.  Orang nak belanja makan pun susah.  Menolak rezeki betul”  suara Dino mendatar seakan-akan merajuk dengan jawapan ku tadi. 
“Lain kalilah Dino, you jangan cakap macam tu, tersinggung I tau”. 
“Oh tau pun tersinggung, patutnya I yang rasa macam tu, ini tidak, terbalik pulak. Emm, oklah, karang lepas lunch I datang balik.  Pukul berapa Lokman nak datang?”. 
“Lepas lunch you datanglah ye, thanks Dino”.   Dino pun melangkah keluar tanpa menoleh.  Seketika kemudian, telefon di atas meja berdering lagi. 
“Ya Maria”. 
“Puan, ada call on line one”. 
“Maria, you boleh tolong tanya tak siapa on the line, ok”.  Tidak sampai pun beberapa saat, suara Maria kedengaran lagi. 
“Puan Sara, katanya seorang kawan lama”. 
“Lelaki ke perempuan?”. 
“Lelaki”.  Hatiku berteka-teki. 
“Ok, thanks ya” lalu butang yang menyala ku tekan. 
Suara itu memberi salam.  Memang sah itu suara dia.  Irfan Effendi.  Salamnya ku sambut dengan tergagap-gagap.  Tatkala mendengar suaranya hati ku pun gelisah tidak keruan.  Rasa gemuruh bagaikan tidak dapat aku sembunyikan lantaran suara yang dilontarkan bagaikan tidak mahu keluar.  Aku menahan getar.  Jantungku berdegup kencang. 
“Apa khabar Sara hari ini?”  tanyanya. 
“Alhamdulillah, sihat” aku terdiam. 
Minda ku dipenuhi bayangan wajahnya bersilih ganti dengan kenangan-kenangan silam antara kami berdua.  Ada senyuman di wajahku. 
“Sara, you sibuk ke?” soalannya menghentikan lamunanku.
“Iya.. eh tak, tak sibuk”  jawabku tergagap-gagap cuba menyembunyikan getar. 
“I menganggu ke? Kalau you banyak kerja nanti lain kali I call lagi”. 
“Tak..ok” aku tidak tahu apa yang cuba aku katakan. 
“Apa yang tak? Apa yang OK?”  tanya Irfan. 
“Ok, I sekarang ni free, kita boleh berbual”  jawabku dan menyambung selepas beberapa saat terdiam.  Fikiran ku tiba-tiba bagaikan kosong, tanpa butir yang harus dikatakan.
“Oh iya, you call baru I teringat tentang your auntie, Datin Fariza.  Tadi pagi dia call I dan minta I call dia balik, sibuk buat kerja sampai terlupa, masyaAllah” aku betul-betul terlupa tentang pesanan Dida tadi untuk membalas panggilan Datin Fariza berkenaan dengan urusan pinjaman bank.  Tak apalah, sekejap lagi aku akan telefon dia, aku mengingatkan diriku sendiri. 
“Agaknya dia nak tanya pasal urusan rumah dia tu kot?  Tak apalah kejap lagi you telefonlah dia”  pesan Irfan. 
Cuainya aku.  Benarlah kata Dino tentang aku yang kelihatan seperti orang ada masalah.  Sehinggakan pesanan yang baru disampaikan, aku boleh terlupa. 
“Ya, tak apa, sekejap lagi I akan call Datin.  You di mana ni Irfan?  Di ofis?”. 
“Iya, I di ofis ni.  Tetiba saja teringatkan you.  Itu yang I call, nak bertanya khabar.  Tak salahkan?”.  Masih ingat lagi rupanya dia pada aku, bisik ku sendirian.  Aku menghela nafas, cuba mengumpul kekuatan untuk mula bersuara.
“Apa salahnya.  Kitakan kawan. Bila jauh bertanya khabar”.  Terharu pula rasanya kerana dia masih sudi untuk bertanya khabar. 
“Bila dekat?” tanya Irfan sebaik aku menghabiskan ayat ku. 
“Bila dekat?” ku ulang soalan Irfan tadi.  Aku terkedu.  Tidak tahu jawapan apa yang sepatutnya ku berikan.  Wajahku merona merah.
“Bila dekat bersalam-salamanlah” Irfan menjawab soalan dari pertanyaannya sendiri.  Irfan kedengaran ketawa gembira.  Aku tersenyum lebar. 
“Ada saja you ni” aku malu-malu.  Suara ketawanya bersisa. 
“Ibu dan ayah you sihat Sara?  Lama I tak jumpa mereka tu.  Entah ingat ke tidak lagi mereka pada I ni?” hatiku sayu tiba-tiba.
“Ingat, mana boleh mereka lupa pada you.  Orang yang pernah hadir ke dalam hidup mereka walaupun hanya sekejap” tuturku tanpa ada perasaan ragu-ragu dan malu.  Kedengaran Irfan melepaskan keluhan. 
“Kenapalah hubungan kita tidak sampai ke jinjang pelamin Sara?”.  Tidak aku duga sama sekali soalan itu akan dipersoalkan.  Ianya benar-benar membuatkan aku mahu menangis.  Ada kekesalan di situ.  Aku juga berasa begitu.  Malahan soalan yang sama bertubi-tubi datangnya ke minda ku sejak beberapa lama dahulu. 
“Kita tak ada jodoh, Fan” jawabku menyembunyikan rasa kesal itu. 
Berpura-purakah aku?  Mengapa tidak aku melepaskan keluhan hati yang sekian lama terbuku terhadap dirinya?  Mengapa harus  ku sembunyikan rasa marah dan kesal terhadap dirinya yang meninggalkan aku kerana sidia?  Dia?  Siapa?  Soalan demi soalan menerjah kotak fikiran menjadikan aku penasaran.
“Itu sajakah jawapan pada persoalan I tu Sara?  Bukankah jodoh itu kita yang mencari?” tanya Irfan seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan yang ku berikan.
“Kita wajib percaya kepada qada dan qadar yang telah ditentukan Illahi.  Ajal maut, jodoh pertemuan di tangan yang Esa, Fan.  Biarpun kita berusaha ke arah itu, seandainya tidak diizinkan, semuanya tidak akan berlaku” ujarku bersungguh-sungguh. 
“Selagi kita bernyawa, siapa tahu, mungkin jodoh kita ada tetapi tidak sekarang datangnyakan?” aku seperti mahu mengiakan kata-kata Irfan itu kerana sesungguhnya jauh di sudut hati ku juga berperasaan sama sepertinya. 
Mungkin kami tidak ada jodoh sekarang tetapi esok lusa tidak siapa yang tahu.  Aku benar-benar mengharapkan jodoh itu ada diantara kami.  Tetapi bisakah kemungkinan itu berlaku?  Sedangkan aku kini telah mempunyai seorang suami.  Seorang suami yang begitu mengasihi dan menyayangi aku sepenuh hatinya.  Sanggupkah aku pergi meninggalkan dia dan berlari untuk mendapatkan bekas kekasih yang pernah melukakan hatiku pada suatu ketika dulu?  Relakah aku melepaskan suamiku hanya kerana seorang lelaki yang pernah membuat hidup ku tidak keruan, menangis siang dan malam seperti orang yang kehilangan arah tujuan dalam kehidupan?  Tak mungkin.  Tak mungkin.
“Yang dah berlalu tu, biarkanlah berlalu.  Kita harus menghadapi kenyataan hidup yang hakiki.  Jadikanlah apa yang berlaku dulu sebagai kenangan yang paling manis di dalam hidup kita sampai bila-bila”  airmata mulai bertakung di sudut mata.  Getaran suaraku bagai tidak dapat disembunyikan. 
“You menangis Sara?” syahdunya suara itu seakan-akan mencairkan kalbuku saat itu.  Airmata yang tadinya bergenang kini meluncur laju menitis ke pipi tidak dapat ditahan-tahan lagi.  Esakan pun kedengaran yang bukan dibuat-buat.  Aku mengesat airmata yang tumpah.  Suara ku bagai tersangkut di kerongkong, aku kelu untuk berkata-kata. 
“Jangan menangis Sara.  Dulu pun tangisan you tidak dapat I dengar apatah lagi untuk memujuk.  I rasa sungguh kesal atas apa yang berlaku.  Seandainya masa dapat diputar kembali, takkan I biarkan walau setitis airmata you gugur ke tanah kerana I”, Irfan meluahkan kekesalan di hatinya.  Hatiku kian sayu.  Suasana sunyi buat seketika. Kedengaran keluhan berat di hujung talian.
“Sara, I ada kerja sikit nak buat, nanti bila-bila I akan telefon you balik.  Jangan menangis lagi Sara.  You take care ok”.  Setelah meletakkan gagang telefon, fikiranku melayang.  Biarpun jasad berada di sini, kenapa jiwaku seolah-olah berada jauh mengenangkan peristiwa-peristiwa silam bersamanya?  Jiwa ku kacau.  Aku menutup mata dengan erat, cuba membuang jauh bayangan wajahnya yang menerpa.  Aduhai!..Kalaulah waktu boleh diputar!


No comments:

Followers