Sunday, May 22, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 24

.
Pagi ini Azry menghantar aku ke pejabat.  
“Nanti karang jangan lupa telefon workshop” Azry mengingatkan aku sebelum berlalu. 
Sebaik keluar dari kereta aku terus melangkah naik beberapa anak tangga menuju ke pintu kaca yang sedia terbuka.  Keadaan lobby ketika itu lengang kerana semua pekerja-pekerja telah masuk ke pejabat, jam telah menunjukkan ke pukul 10.15 pagi.  Semasa aku masuk ke pejabat, kelihatan Desmond dan Sandy sedang melayan beberapa pembeli yang datang untuk melihat dan membuat pertanyaan tentang rumah teres dua tingkat yang masih ada beberapa unit untuk dijual.  Aku terus ke bilik pejabat dan langkah ku tiba-tiba terhenti apabila terdengar seseorang memanggil namaku. Aku segera menoleh ke arah suara itu.
“Puan Sara ada hantar kereta ke bengkel ke?” tanya Maria, si gadis manis yang menjadi penyambut tetamu pejabat ku.
“Iya, kenapa Maria?”.
“Mekanik dari bengkel tu ada di luar nak jumpa Puan Sara” beritahu Maria.
“Oh, iya ke, awalnya datang.  Sekejap ya” aku melangkah keluar sebaik meletakkan beg tangan ke dalam bilik pejabat.
Seorang lelaki cina telah berada di ruang legar, sedang menantikan seseorang.  Aku pasti dialah mekanik yang dikatakan Maria itu tadi.
“Hallo, you Ah Wai?” aku teringat Azry ada menyebut namanya semalam.  Ah Wai mengangguk dan menyengih.  Kelihatan kunci kereta ada di dalam genggamannnya.
“Puan Sarakah?” aku mengangguk.
“Kereta sudah siap, saya sudah parking sana” kata Ah Wai sambil menunjuk dengan telunjuk yang lurus ke arah tempat dia meletakkan kereta.  Aku menyambut kunci kereta yang dihulurkan kepadaku.
“Berapa?” tanyaku.
“Sudah bayar.  Azry sudah bayar” jelas Ah Wai dengan pelat.
“Ok, thank you ya” Ah Wai tersengih dan berlalu pergi.

Seperti kebiasaannya, apabila berada di pejabat banyak kertas kerja yang perlu aku bereskan.  Aku beruntung kerana mempunyai staf-staf yang rajin bekerja dan tidak perlu aku mengarahkan mereka itu dan ini.  Mereka tahu tugas masing-masing.
Telefon bimbit yang berada di dalam beg tangan ku tiba-tiba berdering.  Ku capai telefon Sony Ericson ku dan melihat di kaca skrin kecil, nama kak Min muncul di dada skrin. 
“Hello, assalamualaikum kak Min”  salam diberi dan bersambut.   
“Apa khabar Sara, lamanya tak dengar cerita adik akak ni”  suara lembut kak Min kedengaran membuat aku rindu ingin berjumpa. 
“Iyalah.., lama tak jumpa, Sara sehat, akak dengan anak-anak macamana, ok?”.  “Kami sihat jugak kat sini, Sara di ofis ya?”. 
“A’ahlah kak, kat mana lagi? Aidil dengan Aizat sekolah ke? Senyap jer..” senyum ku melebar. 
“Mereka ke sekolah, dah siap berkemas dah siap masak tiba-tiba saja teringat Sara, itu yang telefon tu.. kalau nak harapkan orang sana telefon memang tak adalah alamatnya”  gurau kak Min. 
“Janganlah cakap macam tu kak.. Sara ingat nak pergi rumah akak hari sabtu ni, akak masak apa hari ni?”. 
“Masak cincai-cincai je untuk budak-budak dua orang tu., akak puasa hari ni.  Sara nak datang dengan Azry sekali ke?  Tidur sini ya.  Lama kita tak duduk borak-borak.  Semalam akak telefon ibu.  Ibu  minta akak masakkan gulai tempoyak.  Tempoyak tu ada, hari tu kakak sepupu abang Fuad bagi.  Sara datang ya, boleh akak masak lebih sikit”  aku menelan liur.
“Ibu dengan ayah pun nak datang ke kak?”. 
“Tak.  Ayah dengan ibu nak pergi surau ada ceramah lepas zohor hari sabtu ni. Kakak ingat lepas masak, bolehlah hantar sikit untuk mereka”. 
“InsyaAllah kak, Sara pun dah rindu dengan Aizat dan Aidil, akak telefon sekali kak Lia suruh dia datang sekali ya.. lama tak jumpa Farah, mesti mulut dia keletah macam mak nenek sekarang ni” aku ketawa. 
“A’ah kejap lagi akak telefon kak Lia, so ok, kita jumpa hari sabtu nanti, bye assalamualaikum”.  Talian dimatikan sebaik salam berjawab.
Telefon bimbit masih di tangan.  Aku tersenyum mengingatkan detik-detik bersama kakak-kakak ku, tidak sabar menunggu hari sabtu yang telah dijanjikan.    Jam di tangan ku kerling.  Pukul 12.45 tengahari.  Cepatnya masa berjalan, sekejap sudah hampir waktu makan tengahari.  Aku mengeluarkan dompet kecil dari beg tangan.  Tengahari ini aku sudah berjanji dengan Mimi untuk keluar makan.  
“Kau nak belanja aku ke?” usik Mimi.  
“Alah, no problem.  Sekali sekala belanja apa salahnya, tak jatuh bankrap” gurau ku.  Mimi ketawa. 
“Kita nak makan kat mana?”  tanya ku sambil kaki melangkah ke tempat letak kereta.
“Kan kau yang nak belanja? So sukahati kaulah, mana-mana pun aku tak kesah”. 
“Ok, mana-mana pun tak kisah ya.., nanti kau jangan komplen apa-apa pulak.  Aku yang belanja aku yang pilih tempat kan..? ok jom”. 
“Pergi mana?” tanya Mimi dengan wajah berkerut. 
“Kau kata ikut akukan, ha jomlah”.  Mimi mengekori ku. 
“Naik kereta ke? Ni nak gi jauh ni? Tak kisahlah, sesekali keluar dari sini pun best jugak, jomlah”.  Sebaik masuk ke dalam kereta, ku buka semua tingkap untuk mengeluarkan haba panas yang terperangkap di dalam kereta.  Dengan lafaz bismillah enjin dihidupkan.  Alhamdulillah, dengan sekali putar saja enjin sudah boleh dihidupkan. 
“Kereta aku ni baru balik dari workshop ni, harap-harap dah oklah kot” aku menoleh memandang Mimi yang sedang membelek wajahnya melalui cermin.
“Dah cantik dah tu” seloroh ku.  Mimi ketawa kecil.
Butang penghawa dingin ku tekan, terasa angin sejuk yang berhembus keluar dari corongnya menampar halus ke muka.  Leganya. Butang radio ku tekan. Lagu-lagu berkumandang sebagai hiburan.  Butang di sisi ku tekan untuk menutup semula tingkap-tingkap kaca.  Tali pinggang keledar dipakai untuk keselamatan.  Dan aku memulakan perjalanan. 
“Kita nak makan kat mana Sara?” tanya Mimi lagi tidak puas hati kerana soalan yang sama diajukan masih tidak ku jawab. 
“Kau duduk ja diam-diam kat situ, sampai nanti kau turun dan ikut aku pergi kat situ makan, tadi kau cakap aku yang belanja, mana-mana aku bawa pun ok kan?” ku jeling wajah Mimi, dia senyum lagi. 
Mimi masih belum berkahwin walau pun umurnya sebaya aku.  Dia berasal dari Batu Gajah, Perak dan tinggal di sini bersama kawan-kawan bujang yang menyewa sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran pejabat kami. Jarak rumahnya dengan pejabat tidak jauh, maka pergi dan balik dari pejabat dia hanya berjalan kaki walau pun dia mempunyai kereta.  Semasa baru-baru masuk ke pejabat kami ini dulu, dialah orang yang mula-mula menyapa aku.  Dia lebih senior dari aku.  Dialah orangnya yang memperkenalkan aku dengan semua staf-staf di pejabat.  Mimi tidak kurang cantiknya.  Ayu memakai tudung dan berkaca mata.  Mekapnya nipis walaupun bibirnya tidak pernah lekang dari gincu berwarna merah kesukaannya.  Mimi suka ketawa dan aku senang berdamping dengan dia.  Aku bebas bercakap apa saja.  Dia tidak pernah mengambil hati walau pun kekadang aku bergurau terlebih sehingga ke tahap mengutuk. Dia berfikiran terbuka.  Dia boleh terima apa saja komen dan dia boleh mendengar apa saja masalah terutamanya masalah peribadi aku.  Dan dia juga tidak segan-segan untuk berkongsi masalah dirinya yang pernah putus cinta dan ditinggalkan oleh kekasih hatinya yang hampir-hampir mengikat tali pertunangan dengannya.  Aku bersimpati pada Mimi kerana setiap kali dia meluahkan perasaan hatinya yang luka itu kepadaku, dia akan menitiskan airmata.   Kesihan Mimi, dia menjadi mangsa lelaki pendusta cinta.
“Ok, dah sampai, jom”  enjin kereta dimatikan dan kami melangkah beriringin ke restoran ikan bakar, tempat aku dan Azry selalu datang untuk menjamu selera.
“Ikan Bakar Fend.. ramainya orang Sara, ni mesti sedapkan?”.
Orang ramai waktu itu, almaklumlah waktu makan tengahari.  Nasib kami baik, bila kami sampai saja ada satu meja baru saja dikosongkan.  Dan kami terus mendapatkan tempat duduk.  Seorang pelayan lelaki datang menghampiri dan mengambil pesanan. 
“ABC dua, ais kosong dua dan set nasi ikan pari bakar dua.  Cukup tak, ke kau nak tambah apa-apa lagi?” tanyaku pada Mimi. 
“Kau ingat perut aku tong ke?” jawab Mimi selamba.  Aku tersengih.
“Ok, itu saja” kata ku pada pelayan lelaki itu. 
Tidak berapa lama menunggu, ABC dan ais kosong pun sampai diikuti set nasi ikan pari bakar.  Aromanya begitu menyusuk hidung sehingga aku rasa tidak sabar-sabar untuk menjamah. 
“Aku nak makan dengan tanganlah, nak basuh tangan kat mana ek?” Mimi serta merta bangun bila ternampak ada satu sinki kecil di sudut kedai itu.
“Sedaplah ikan bakar di sini Sara, pandai kau cari tempat makan?” aku mengangguk sambil meletakkan sudu dan garfu ke pinggan yang telah licin, hanya tinggal tulang ikan.  Ku tolak ke tepi pinggan itu dan menarik ABC hampir ke depan ku.  Sebelum itu ku hirup ais kosong yang air batunya sudah tidak kelihatan. 
“Alhamdulillah” ucapku sebelum menyuapkan ABC sesudu demi sesudu ke mulut sambil memerhati gelagat Mimi.  Dia bangun dari tempat duduk untuk mencuci tangan.  Kemudian berjalan menghampiri ke tempat duduk kami dengan mata terpaku memandang ke papan menu yang terlekat di dinding restoran itu. 
“Oppss, sorry” kata Mimi bila dia tiba-tiba terlanggar seorang lelaki yang sedang berjalan bersama seorang teman.  Mimi tersipu-sipu malu. 
“Padan muka kau, jalan tu pandang-pandanglah ke depan, melangak-langak, apa yang kau tengok?” tanyaku sebaik Mimi duduk dengan wajah yang merona merah. 
“Aku tengok tu ha, menu kat dinding tu.  Tak perasan ada orang, hensem jugak mamat tu, sepatutnya tadi aku buat-buat tersungkur kat depan dia, cis..”. 
“Jatuh tersungkur depan dia ke? Lepas tu dia tolong angkat kau? Macam cerita Hindustan yang kau selalu tengok tu?  Itulah banyak sangat tengok cerita Hindustan”  aku tersenyum gelihati sambil menggeleng-gelengkan kepala.  Mimi menghabiskan ABC di dalam mangkuk dengan senyuman yang masih bersisa di bibir merahnya. 
“Beranganlah tu..” perli ku.  Setelah semua selesai kami pun bangun dan ke kaunter untuk membuat bayaran dan beredar pulang.                                                                                                                                                                      



No comments:

Followers