Wednesday, May 18, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 23

.
            Mama dan papa telah mulai sibuk untuk persediaan kenduri perkahwinan kak Rina yang bakal diadakan beberapa bulan saja lagi.  Pada pemikiran aku biarlah kami berpindah ke rumah kami sendiri dahulu sebelum kenduri perkahwinan kak Rina diadakan, walaupun Azry mendesak untuk berpindah selepas kenduri.  Aku menurut sahaja kehendak Azry itu kerana tidak mahu dianggap tidak menghormati keputusan suami.  Urusan jual beli rumah itu telah kami selesaikan sebaik sahaja duit deposit 10% telah kami jelaskan kepada tuan rumah.  Selebihnya akan kami uruskan melalui pinjaman bank.  Segala dokumen-dokumen berkenaan dengan jual beli telah kami bereskan melalui peguam yang dilantik.  Barang-barang keperluan telah mula kami beli sedikit demi sedikit. 
Walau pun kami belum lagi berpindah ke rumah itu, namun sesekali apabila di hujung minggu kami akan bermalam di situ.  Azry juga telah memberitahu mama dan papa mengenai hajat kami untuk berpindah.  Pada mulanya mama tidak bersetuju dengan niat kami itu tetapi setelah dipujuk akhirnya mama akur. Sebenarnya mama risaukan tentang aku yang terpaksa tinggal sendirian jika Azry kerap keluar daerah.  Kami mahu belajar hidup sendiri, itulah alasan yang kami beri.  Bagi papa pula tiada halangan langsung malahan dia bersetuju dengan tindakan kami itu.  Kami berjanji kepada mereka yang kami akan sering pulang untuk menziarahi mereka apabila ada waktu kelapangan.
                        Selepas sehari suntuk bertungkus lumus dengan kerja di pejabat, badan mulai rasa letih.  Apabila jarum jam menunjukkan pukul 5.30 petang aku mengemas meja dan bergegas untuk pulang.  Sebelum pulang dari pejabat aku ke tandas sebentar.  Mengelap muka yang berminyak dengan kertas tisu yang ku keluarkan dari beg tangan.  Bedak disapu nipis dengan menggunakan span dan mencalitkan sedikit gincu bibir.  Rambut hitam ku sisir rapi.  Hari ini aku terpaksa balik dengan teksi kerana kereta ku yang rosak telah aku hantar ke bengkel semalam. Azry tidak dapat menjemput aku kerana petang ini dia terpaksa menghadiri satu mesyuarat penting di pejabatnya.  Aku melangkah keluar dari tandas menuju ke pintu utama. Tiba-tiba aku terserempak dengan Dino di ruang lobi.  Dia tidak menegur aku apatah lagi mahu menoleh memandang ku.  Aku jadi serba salah.  Pada hemah aku, aku tidak berbuat apa-apa kesalahan jadi mengapa aku mesti ada perasaan serba salah terhadap Dino.  Aku bertekad menegurnya. 
“Hai Dino, nak balik ke?”  sapaku. 
“Iyalah, nak baliklah ni, nak pergi mana lagi?  Bukan ada makwa nak ajak dating”  jawab Dino dengan wajah selamba.  Tiada senyuman di wajahnya seperti selalu.  Aku terus mengorak langkah keluar dari bangunan pejabat 16 tingkat itu apabila aku perasan yang Dino seperti tidak mengendahkan aku.
“You nak pergi mana tu Sara? Bukan you park kereta kat bawah ke macam selalu?”  dahi Dino berkerut. 
“Oh kereta I kat bengkel, hari ni I kena balik naik teksi, I nak tunggu teksi di  jalan besar sana tu”  aku menunjuk dengan muncung. 
“Hai, I kan ada, kenapa you tak minta I tolong hantarkan you?”. 
“Tak apalah nanti menyusahkan orang pulak, orang tak suka kita tak tahu”, perliku. 
“Apa gunanya kawan.  Jom, I hantarkan you balik. Ke you yang tak sudi”. 
“Tak apalah Dino, menyusahkan you pulak.  Kita bukannya sejalan”. 
“Kita naik keretalah Sara, bukannya I kena dokong you, tak ada apa yang susahnya.  Jom”  desak Dino.  Aku jadi serba salah. 
Kerana tidak mahu membesarkan perkara yang kecil akhirnya aku bersetuju untuk menumpang kereta Dino.  Kami turun ke basement menggunakan lif.  Di dalam perut lif sudah sedia ada beberapa penghuni yang mahu ke destinasi yang sama.  Ruang lif yang sempit memaksa aku berdiri begitu dekat dengan Dino.  Wajahnya selamba begitu juga aku.  Apabila sampai ke aras basement, pintu lif pun terbuka dan kami pun keluar dari perut lif yang sesak itu.  Langkah diatur menuju ke kereta dan aku mengekor dari belakang Dino.  Dino begitu menghormati aku sehingga membukakan pintu kereta untuk ku.  Aku masuk ke perut kereta dan seketika kemudian pintu di sebelah pemandu dibuka dan Dino duduk, serta merta menghidupkan enjin kereta.  Tali pinggang keledar ditarik dan ditekan sehingga berdetap bunyinya.  Suasana sunyi.  Haruman pewangi yang dipakai Dino memenuhi ruang.  Minyak wangi apa yang dia pakai agaknya, sedap baunya. 
Tiada kata-kata yang terkeluar dari mulut kami.  Jejari Dino menekan punat radio dan kedengaran lagu berkumandang dari corong radio. 
“Cepatnya you nak balik Sara, kena masak ke?” Dino memecah kesunyian itu.  “Tak adalah, balik cepat boleh berehat.  I kan tinggal dengan mother in law”.  “Wah senangnya, so mother in law youlah yang siap masak, you balik makan
sajalah ya” perli Dino.
“Rumah tu ada maid, so maidlah buat semuanya.  I menumpang Dino”. 
“Apa pulak menumpang, itukan rumah husband you, maknanya rumah youlah jugak.  Husband you tak datang jemput you pulak”.
“Dia sibuk, I tak kisah, I dah biasa macam ni, I suka berdikari” jelasku mematikan soalan yang berlegar di benaknya.
Kereta Pesona bewarna hitam milik Dino meluncur perlahan kerana kesesakan lalu lintas dan berhenti di lampu isyarat merah. 
“You balik ni buat apa Dino?” tanyaku pula ingin tahu. 
“Tak ada buat apa-apa, kadang-kadang tu balik terus tidur.  Kalau rajin pergi jogging di taman dekat rumah I tu, kalau rajinlah.  Hidup I ni tak ada apa yang interesting.  Pergi kerja, balik rumah, esok pergi kerja balik. Macam itulah hari-hari, rutin yang sama berulang setiap hari, bosan.  You carikan makwa untuk I, Sara”  Dino cuba bergurau. 
“Betul ke ni? You ni high taste, I suruh you tackle Dida tu you tak nak, dia OK apa.  Cantik, berbudi bahasa, lemah lembut..”  belum habis ayat-ayat yang terkeluar dari mulutku, Dino terus menyampuk.
“Alah you ni balik balik si Dida tu, I tak berkenanlah dengan dia tu.  Kalau I nak dah lama dah”. 
“OK, Mimi macamana?” Dino mencebek sambil menggelengkan kepala.
“Itulah I kata you ni memilih sangat.  I tak fahamlah lelaki yang macam you ni.  You tak cuba macammana you nak tahu you suka dia ke tak?”. 
“Masalahnya I tak nak, kalau I nak dah lama dah I tackle.  I nak cari orang macam you”.  Dino terdiam, mungkin dia terlepas cakap.   Aku juga terkedu mendengarkan kata-kata Dino itu.  Aku melepaskan keluhan kecil. 
“I tak ada adik atau kakak kembarlah Dino.  Kalau ada, tentu I kenalkan dengan you”. 
“Itulah masalahnya, masalahnya I nak cari orang yang macam you”.  Dino berubah serius dan aku hanya mampu berdiam diri. 
“Berhenti kat tepi gerai tu je, I turun kat situ”  arah ku dengan menunjuk dengan jari telunjuk. 
“Kenapa? You tak nak I hantar sampai rumah ke? You takut husband you nampak?”. 
“Tak ada, bukan macam tu Dino.  Susahkan you nanti kena berpusing jauh.  Ok Dino, thanks ya, I jumpa you esok, bye..”  pintu kereta ku tutup sebaik aku keluar dari perut kereta Dino itu.  Ku lihat Dino hanya menganggukkan kepala bila aku melambaikan tangan padanya.   Alahai, Dino..Dino…


                                    Malam itu Azry pulang lewat dan aku terpaksa makan malam bersama mama, papa dan kak Rina.  Sambil menikmati makan malam, mama bertanyakan tentang rumah yang baru kami beli itu. 
“Dah siap beli barang-barang rumah ke Sara?  Mama ingat mama nak belikan washing machine untuk Sara”. 
“Boleh jugak mama, sebab washing machine saja yang belum kami beli.  Dapur masak dah ada, peti ais pun dah ada”. 
“Pinggan mangkuk periuk belanga? Ha semua tu tak payah beli, biar mama belikan.  Di rumah ni pun ada banyak set pinggan mangkuk yang belum guna, ambik je”.
“Terima kasih mama”. 
“Tapi jangan pindah lagi.  Biar selesai kenduri kak Rina dulu ye” celah kak Rina.
Aku menganggukkan kepala tanda setuju lalu menghadiahkan sekuntum senyuman kepada kak Rina.  Setelah habis makan, aku menolong mak Mah berkemas.  Azry tiba-tiba muncul di ruang dapur dan memeluk aku dari belakang membuatkan aku terkejut sedikit. 
“Buat apa ni?”  aku melepaskan pelukan Azry dengan perlahan, malu sekiranya ada orang yang ternampak kelakuannya begitu.  
“Abang baru balik?  Dah makan ke?” tanyaku. 
“Sudah.  Dah kenyang.  Buatkan abang teh O nipis, sayang”. 
“Abang pergi duduk depan dulu, sekejap lagi Sara datang”. 
“Abang tunggu di bilik, cepat sikit tau” Azry terus menghilangkan diri sebaik mencuit pipiku.  Aku segera membancuh minuman yang dipesan dan terus ke bilik dengan satu mug penuh air teh yang dibubuh sedikit gula.  Azry sedang menghadap komputer ribanya.  Mug air ku letakkan di atas meja bersebelahan dengan komputer riba.
 “Balik kerja buat kerja lagi, berehatlah dulu bang” aku menasihati Azry. 
“Abang bukan buat kerja, tengok email saja.  Di ofis tadi tak sempat nak buka”  air teh dihirup.  Aku membaca novel cinta kegemaran ku, novel Kau tetap Di Hati hasil nukilan Liza Zahirah yang baru ku beli semalam dari kedai buku berhampiran pejabat ku.  Baru sahaja beberapa helai muka surat ku baca, mata terasa begitu berat.  Mata terpejam dan aku terlelap dengan novel masih di genggaman.  Tetiba aku terjaga apabila Azry mengejut dan menganggu mimpiku. 
“Cepatnya tidur, belum pukul 10 lagi, penatke?” 
“A’ah penatlah”. 
“Tadi balik kerja naik teksi ya? Kereta Sara esok tengahari baru siap, abang dah minta mekanik hantarkan kereta Sara tu terus ke pejabat bila dah siap”. 
“Emm.. elok jugak tu, so esok pagi abang kena hantar Sara lagilah ye?”. 
“Iyalah, tak kanlah abang nak biarkan isteri kesayangan abang ni naik teksi ja, esok abang hantar.  Tak apalah kalau Sara nak tidur, tidur dululah, abang nak turun ke bawah sekejap” Azry berlalu keluar.  Aku menghantarnya dengan pandangan mata.
Novel yang di tangan ku letakkan di meja tepi.  Aku cuba menutup mata semula tetapi susah untuk lelap.  Fikiran ku menerawang entah ke mana-mana.  Nostalgia bersama Irfan menganggu lenaku.

Kita manusia yang hanya mampu merancang dan Dia penentu segalanya.  Hasrat untuk hidup bersama tidak tercapai.  Segala-galanya musnah hanya kerana orang ketiga.  Begitu mudah sekali semuanya terlerai. Kata-kata dan janji-janji manis yang pernah diluahkan hanya sandiwara belaka. Mengapa begitu mudah semuanya berlaku seperti angin lalu. Lelaki oh lelaki…Kalaulah ada kuasa di tangan ku, mahu saja aku menukarkan semua lelaki-lelaki yang durjana menjadi katak yang melompat ke sana ke mari tanpa tujuan dan hanya menyanyi memanggil hujan yang tidak turun-turun seperti sang pungguk yang merindukan sang bulan.

No comments:

Followers