Saturday, May 14, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 22

.
Pagi itu aku agak sibuk dengan kerja-kerja di pejabat.  Semua repot-repot harus diperiksa dan disiapkan sebelum mesyuarat esok.  Fikiran semakin buntu dengan tugas-tugas harian yang tidak pernah akan habis.  Aku mencapai telefon bimbit.  Aku teringat tentang mesej yang dihantar oleh Dino kelmarin masih belum berbalas.  Dia pula tidak kelihatan di mana-mana.  Mungkin dia bercuti atau cuti sakit?  Aku pun mula menekan-nekan butang untuk menyusun ayat-ayat, “You don’t love a woman because she is beautiful, but she is beautiful because you love her”.   Sejurus habis ayat-ayat itu ku susun dan ku hantar, ada panggilan dari telefon bimbitku.  Di skrin kecil itu tertera nama Dino. 
“Hallo Dino, you kat mana ni?  Ponteng ke?”. 
“I kat rumahlah, I demam ni” tutur Dino lemah. 
“Itulah, kalau ada makwekan senang, ada orang yang boleh rawat, boleh masakkan untuk you, ha sekarang tanggunglah sendiri”. 
“Apa nak buat, buah hati kekasih orang”. 
“Ha, apa? buah hati kekasih orang? So maknanya dah ada buah hatilah sekarang ni?  Tak pernah cerita pun”.   
“Malas nak cerita sebab dia dah jadi kekasih orang lain”.   
“You pun satu, dah tau orang tu dah ada kekasih, nak buat apa lagi you harapkan”.   
“Susahlah nak cakap, hati dah suka pada kekasih orang, nak buat macamana?”. 
“Bunga bukan sekuntum Dino”.  
“Sebab banyak kuntum itulah yang I terpikat kat sekuntum tu, you tak fahamlah”, Dino bersuara agak tinggi. 
“Oklah, I banyak kerja nak buat ni, ada apa-apa ke you call I ni?”. 
“Tak ada, bila terima mesej you tadi, tiba-tiba rindu pulak nak dengar suara orang tu.”  ujar Dino tanpa berselindung.  Apa maksud Dino itu? 
“Apa pulak rindu-rindu ni?”. 
“Main-main jelah, tak boleh ke? Oklah Sara sorry menggangu, esok I datang kerja, nanti kita jumpa ye.  Bye”.  Talian pun diputuskan. 
Kenapalah dengan Dino tu?  Buah hati kekasih orang yang dia maksudkan itu adakah aku?  Lain macam saja bunyinya.

                        Petang itu, selepas keluar dari bilik mesyuarat Maria memberitahu ada panggilan untuk ku di talian.  Gagang telefon ku angkat sebaik aku menghempaskan punggung di atas kerusi empok di dalam bilik pejabatku. 
“Hallo..” senyap sunyi tiada jawapan. 
“Hallo..” ku ulang sekali lagi. 
“Hallo”  satu suara garau membalas. 
“Ya, siapa disana?”. 
“Itu Maisara?” suara itu seperti pernah ku kenali tetapi tidak pasti siapakah gerangannya. 
“Ya, siapa tu?” tanya ku dengan hati penuh debaran.
“Tak kenal lagi dengan suara I?” tanya suara itu lagi. 
“Err.. siapa?” pertanyaan yang diaju semula dengan soalan. 
Suara itu sungguh-sungguh mendebarkan dadaku.  Lama aku cuba mengingatkan dan akhirnya aku sudah dapat meneka siapa gerangan sipemanggil.  Nafas ku terasa sesak.  Jantung berdegup begitu kencang sekali.
“Sara, you tak kenal I?” dia bersuara lagi.  Aku terdiam. Lidah ku terasa kelu untuk mengeluarkan kata-kata. 
“Sara, I menganggu ke?”.   
“Tak, er..Irfan..”  suara ku tersekat-sekat menahan gugup. 
“Ya, I Irfan, you terkejut ke dengar suara I?  Lama tak dengar suara you.  You macam dulu jugak tak berubah”  bisik Irfan. 
“I memang tak pernah berubah dari dulu” aku menguatkan semangat untuk menyusun ayat-ayat supaya tidak ketara debaran yang ku tanggung ketika itu.
“You apa khabar?” tanya Irfan. 
“Baik, how about you?” di dalam hati aku tertanya-tanya darimana pula dia mendapatkan nombor pejabat ku. 
“I ok. Dah berapa lama you kerja di situ?”. 
“Dah 3 tahun”  sepatah ditanya sepatah yang ku jawab.  Aku tergamam.
“I dapat tahu yang you dah kahwin? Tak jemput pun”. 
“Ya, I dah kahwin, dah setahun.  Nak jemput macammana? Alamat pun tak tau kat mana? Telefon pun tak nak jawab”  aku cuba memberanikan diri. 
“Sorry, sebab tak sempat nak bagitau you.  Lepas you pergi dari I dulu, I minta pindah ke Terengganu.  I pergi bawa hati dan nak cuba belajar lupakan segala-galanya apa yang dah berlaku antara kita”  Irfan berterus terang.  Aku membatu cuba menahan sebak di dada. 
“Siapa suami you Sara? Itu pun kalau you tak keberatan nak bagitau”. 
“You tak kenal dia, dan untuk pengetahuan you dia adalah pilihan kedua ibu dan ayah I”. 
“You bahagia?” tanyanya lagi. 
Kau tanya aku bahagia ke tak?  Kalau aku tak bahagia pun kau peduli apa?  Apa kena mengena kau dengan aku? Soalan soalan itu bersilih ganti menerkam mindaku.  Aku hanya diam, tiada jawapan bagi soalan itu.
“Sara, sorrylah ganggu you, lain kali I telefon lagi ya”. 
“Ok” aku membalas pendek.  Gagang telefon diletakkan semula di tempatnya.  Aku menangis semahu hati. Sedu dan sedan tidak dapat ditahan-tahan.  Hatiku rawan.

                        Wajah Irfan terus bermain-main dibayangan biarpun Azry yang berada di depan mata.  Kenapa kau datang dalam hidup ku dengan tiba-tiba?  Mengapa kau datang sewaktu aku sudah berdua? Aduhai Irfan tidakkah kau tahu kedatangan kau semula di dalam hidupku membuatkan aku menjadi keliru.  Luka lama yang mulai sembuh terasa berdarah kembali.  Sakitnya dadaku menanggung sebak.
“Sara” suara Azry memanggil.  Aku terkejut dari lamunan. 
Ada apa bang” jawabku cuba menyembunyikan perasaan. 
“Sara nampak murung, kenapa?”  soal Azry dengan wajah berkerut.   
“Banyak sangat kerja kat ofis tu, tengah fikir macamana nak selesaikan problem supaya kerja-kerja semua beres dengan sempurna”  aku berdalih. 
“Jangan bebankan otak tu dengan fikir banyak pasal kerja.  Fikir pasal kerja di ofis saja, balik rumah tolak semuanya ke tepi” aku cuba memberi perhatian dengan setiap ayat yang dilontarkan.
“Abang dah dapat cari rumah idaman Sara, abang ada rancangan untuk beli rumah itu dari owner lama.  Owner tu nak jual rumah tu sebab mereka nak berpindah ke Kelantan”.
“Betul ke bang?” hati ku berbunga.
“Esok kita pergi tengok dulu ya bang rumah tu”  cadangku.  Ada senyuman yang terukir di bibirnya.


                        Hari itu cuti umum, Azry membawa aku ke rumah yang disebutkan tadi malam.  Memang lokasi rumah itu sangat strategik.   Ketika kami sampai, tuan rumah masih belum kelihatan lagi kelibatnya.  Kami duduk berteduh di bawah sepohon pokok rendang berhampiran taman permainan kanak-kanak.  Angin yang bertiup menderu-deru terasa nyaman hingga ke tulang.  Azry menghisap rokok dengan begitu bersungguh-sungguh.  Asap berketul-ketul keluar dari mulut dan hidungnya bila dihembus dan mengikut haluan angin yang meniup.  Setelah beberapa minit menunggu, dari kejauhan aku dapat melihat ada sepasang suami isteri dalam pertengahan umur datang menghampiri kami, aku dapat meneka bahawa mereka itulah tuan punya rumah yang Azry maksudkan.  Tekaan ku tepat apabila aku melihat mereka datang dan menghulurkan tangan kepada aku dan Azry untuk berjabat salam.  Setelah memperkenalkan diri, mereka membawa kami menuju ke pintu lif.  Sebaik pintu lif terbuka kami memberi laluan kepada dua orang lelaki yang mahu keluar dan kami terus masuk ke perut lif.  Butang enam ditekan.  Selang tiga pintu dari pintu lif adalah rumah yang dikatakan itu.  Tuan rumah membuka gril dan daun pintu dengan menggunakan anak kunci yang diambil dari dalam bag yang digalas.  Si isteri ramah bercerita itu dan ini dalam loghat Kelantan.  Memang aku berkenan dengan keadaan rumah itu.  Ianya luas dan pemandangan keluar tingkap juga cantik.  Aku bersetuju untuk memiliki rumah itu.  Tidak sabar rasanya untuk berpindah ke rumah sendiri.

No comments:

Followers