Tuesday, May 10, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 20

.
Tengahari itu Azry menghubungi ku melalui telefon di pejabat. 
“Hai Sara, tengah buat apa tu?”  suara Azry kedengaran gembira. 
“Ada kerja sikit, bila nak balik ni?”  tanya ku. 
“Kenapa? Rinduke?” gurau Azry dengan ketawanya yang panjang. 
“Rindu sikit je” balas ku.
“Kalau macam tu, abang tak payah balik pun tak apakan?”  jawab Azry dengan gurauan lagi. 
“Abang ni, bila nak balik?  Sara sunyilah kat rumah tu, orang cakap dia buat main-main pulak”. 
“Iyalah abang nak baliklah ni, flight abang sampai pukul 7.30 malam ni, abang balik naik teksi saja, ok sayang, see you tonight”  gagang telefon ku letakkan semula ke tempatnya sebaik sahaja talian dimatikan. 
Aku bermenung lagi.  Wajah Irfan datang lagi menganggu fikiranku.  Kenapa wajah Irfan bukan wajah Azry suamiku yang terbayang di mata?  Aku buntu.   Pemergian Irfan meninggalkan memori yang melakarkan derita di hati.  Luka yang dicalarkan meninggalkan kesan parut yang begitu ketara.  Aku mengharapkan ada keajaiban yang berlaku tetapi mana mungkin kerana aku kini sudah bergelar isteri orang.  Apabila mengenang kembali episod lalu, tiba-tiba terasa betapa berat beban rindu yang ku tanggung saat ini buat dia, Irfan. 
Kedengaran daun pintu diketuk dari luar, lamunanku serta merta terhenti.  Wajah Dino terjengul dari balik pintu.  Dino memberi salam dengan wajah ceria.  Salam berjawab. 
“Ya Encik Dino, happy nampak, ada cerita gembira ke yang you nak kongsi dengan I?” tanyaku pada Dino yang terus melangkah menghampiri tempat duduk di depan ku.  Tanpa dijemput Dino menarik kerusi dan duduk. 
“Kita mesti selalu ceria dan gembira, barulah wajah nampak berseri-seri dan awet muda.  Bukan macam you tu, monyok je.  Rindukan cik abang yang jauh ke?” Dino mengusik dengan wajah mengulum senyum yang nakal. 
“Tak adalah, nak rindu apa, bukan tengah bercinta, bukan orang baru kawin nak rindu rindu” ucapku.  
Ada perasaan rindu yang meluap-luap yang mencengkam perasaan ku ketika itu bagai tidak dapat ditahan-tahan.  Begitu berat beban rindu yang ku tanggung saat ini.  Namun perasaan rindu yang membuak-buak itu bukan untuk Azry tetapi pada lelaki itu.
“Hai… berangan ke cik Sara oi..” aku tergamam dan tersentak bila Dino mengetuk meja. 
“Apalah you ni, buat I terkejut je”  bentakku. 
“Habis tu I cakap dengan you macam bercakap dengan tunggul kayu je, kenapa dengan you ni Sara?” tanyanya penuh hairan.
“Tak ada apa-apalah” tuturku.
Fikiran ku kosong, rambut yang jatuh ku kuakkan ke belakang.  Dino juga terdiam dan memandang dengan wajah pelik ke arah ku.  
“I dapat rasa ada sesuatu yang tak kena dengan you ni Sara.  Kalau ada problem jangan segan-segan nak beritahu, I am a good listener, trust me”. 
“Mengarut jelah you ni Dino, tak ada apa-apalah.  I’m Ok.  Apa tadi you nak cakap?”  aku menukar topik cerita agar Dino tidak terus mendesak. 
“Tak ada apa-apalah.  So you ok kan, I tak sukalah tengok muka monyok you tu. Tak cun langsung” komen Dino sebelum melangkah pergi.

            Aku tidak ada mood untuk terus duduk di bilik pejabat.  Perasaan ku gundah. Petang itu aku pulang lebih awal dari biasa  Jalanraya agak sesak dengan kenderaan.  Masing-masing berebut-rebut untuk pulang ke rumah selepas beberapa jam menghambakan diri di tempat kerja.  Kesunyian hilang sebaik butang radio di tekan.  Berkumandang lagu nyanyian Sudirman “Yang hilang Berganti”, syahdunya irama lagu itu.  Menambahkan rasa sedih dan pilu dengan suara si penyanyi yang begitu menusuk kalbu dan bisa menitiskan airmata.  Bait-bait terakhir senikata lagu itu bagai terngiang-ngiang digegendang telinga “pergilah kau pergi, ku tak akan menanti, yang patah kan tumbuh yang hilangkan berganti”.  Yang berganti tidak sama dengan yang pergi, rintih ku.  Hati ku sebak.
Aku tidak terus pulang ke rumah sebaliknya singgah di Salon yang berdekatan dengan rumah untuk mencuci rambut.  Azry akan pulang sekejap lagi, aku seharusnya menunjukkan wajah yang girang menandakan aku gembira menyambutnya pulang setelah beberapa hari pergi meninggalkan aku.  Dia suamiku.  Insan yang banyak bersabar melayan kerenah ku sepanjang hubungan kami.  Walau pun dia bukan insan yang aku cintai namun kasih sayang yang dicurahkan terhadap aku melebihi segala-galanya.  Aku seharusnya tidak terlalu emosi.  Biarlah kenangan lalu bersama Irfan menjadi episod terindah di dalam hidupku.  Biarkanlah memori-memori itu berlalu bersama waktu yang datang dan pergi.

“Sara banyak termenung, kenapa?”  tegur Azry dengan pandangan yang penuh keikhlasan yang terpancar dari wajah tampannya. 
“Tak ada apa-apa, tengah fikirkan pasal launching shop lots baru minggu depan” aku berdalih dan mengalihkan pandangan. 
Azry berbaring begitu dekat dengan ku.  Pipinya hampir menyentuh pipiku.  Tangannya merangkul ku erat. 
“Sara tak rindukan abang ke?” pandangan mata Azry tajam menikam wajahku.  Dari sinar matanya jelas kelihatan kerinduan yang sarat terpancar.
“Kenapa? Kalau Sara tak rindu…”. 
“Maknanya tak sayanglah tu”  Azry cepat mencelah. 
Hembusan nafasnya terasa hangat.  Hidungnya yang mancung melekat ke pipi ku.  Aku rimas, kalau ikutkan hati mahu ku tolak tubuhnya supaya jauh dari ku.  Tapi kenapa aku harus punya perasaan begitu terhadap Azry?  Bukankah dia suamiku dan aku pula isterinya.  Halal bagi kami untuk melakukan apa saja.  Ingatan ku masih pada Irfan.  Ya Allah! Irfan lagi.  Tolonglah Irfan pergilah dari menganggu fikiranku, jerit hatiku.  Tangan nakal Azry mula merayap-rayap mencari sesuatu dan aku pasrah. 

“Hallo kak Lia, kat mana ni?” tanyaku melalui telefon. 
“Sara ada di rumah mak ni.  Kak Lia datanglah, ibu masak sedap hari ni.  Kejap lagi kak Min balik.  Dah lama kita tak makan sama-sama, datang ya”. 
“InsyaAllah, kalau tak ada apa-apa nanti akak sampai, ok”  jawab kak Lia dari hujung talian. 
Hari itu selepas habis sarapan di rumah, aku mengajak Azry pulang ke rumah ibu dan ayah ku di Gombak.  Azry tidak pernah mengelak sekiranya aku mengajak dia ke mana-mana apatah lagi kerumah orang tuaku.  Kebetulan Azry ada membeli sesuatu sebagai buah tangan untuk kedua ibu dan ayahku dari Penang.  Ayah dan ibu kelihatan berbual-bual dengan Azry menantu kesayangan mereka.  Berbagai-bagai soalan yang ditanya dan berbagai cerita pula yang diceritakan oleh Azry kepada kedua ibu dan ayahku.  Mereka kelihatan begitu mesra.  Sesekali kedengaran ketawa mereka berdekah-dekah.  Terhibur juga hati ibu dan ayah dengan kedatangan kami ke rumah mereka yang selalu sunyi itu. 
“Kejap lagi kak Lia datang bu”  aku memberitahu ibu yang sedang rancak berbual.  Semua mata tertumpu kepada ku. 
“Balik dengan Farah dan  Idham ke?” tanya ibu. 
“Entah, Sara tak tanya pulak tadi”. 
“Kesian ibu tengok Farah tu, kecik-kecik dah selalu kena tinggal” luah ibu. 
“Kena tinggal?”  aku pura-pura tidak mengerti. 
“Iyalah, kena tinggal dengan ayah dialah”  rungut ibu lagi. 
“Ibu dah tau ke cerita pasal kak Lia dengan abang Idham tu?” tanyaku minta kepastian. 
“Naluri ibu, Sara.  Sekilas ikan di laut dah ibu tau jantan betina”  ibu berperibahasa. 
Aku mengalih pandang ke wajah ayah kemudian ke wajah Azry.  Rupa-rupanya ibu dan ayah sudah tahu tentang mereka.  Menurut kata ibu, kak Min yang menceritakan segala-galanya.  Ibu dan ayah telah bersemuka dengan kak Lia mengenai hal itu.  Mereka terpaksa redha diatas nasib yang menimpa kak Lia.  Qada dan Qadar dari Allah tiada siapa yang boleh pertikaikan.  Poligami itu halal di dalam islam.  Mana-mana lelaki pun boleh berbuat demikian jika mampu, bukan sekadar dua, malah tiga atau empat sekali gus.  Kalau mampu, kalau tak mampu, bagaimana?  Berkemampuan dari segala sudut.  Bukan hanya mampu untuk nafkah batin sahaja malah nafkah zahir juga.  Itulah yang kebanyakan kaum lelaki terlepas pandang. 
“Assalamualaikum” suara riuh kanak-kanak memberi salam kedengaran dari luar rumah. 
Ayah segera menjengah ke pintu yang sedia terbuka luas.  Aizat dan Aidil berebut-rebut menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan datuk mereka yang menyambut mereka di muka pintu.  Lantas segera berlari mendapatkan nenek mereka pula.  Kasih sayang ibu terhadap cucu-cucunya jelas terlihat apabila ibu memeluk dan mencium mereka seorang demi seorang.  Kak Min dan abang Fuad masuk dengan membawa beberapa beg plastik yang berisi bekas makanan. 
Kak Min rajin memasak, selalunya jika kami berkumpul sekeluarga begini, pasti ada saja hidangan yang disediakan oleh kak Min.  Air tangan masakan kak Min memang sedap, mana nak tumpah kuah kalau tidak ke nasi.  Kak Min banyak mewarisi ilmu masakan dari ibu.  Sebab itulah rendang ayam masakan ibu yang tiada tolok bandingnya hanya kak Min saja yang boleh menggantikannya.  Lauk pauk yang masih panas dihidangkan di atas meja makan.  Aizat dan Aidil sudah duduk di kerusi kerana tidak sabar-sabar untuk menikmati juadah yang terhidang.  Aroma dari pai ayam nenek mereka yang menyusuk hidung begitu menyelerakan.  Riuh rendah suara kedua-dua hero kak Min memeriahkan suasana di rumah itu.  Keadaan menjadi lebih huru hara apabila pak usu mereka yang baru pulang menyakat Aidil.  Sekali sekala kedua-dua mereka kedengaran bertengkar berebutkan sesuatu. 
 Tiba-tiba kedengaran suara memberi salam dari luar.  Kak Lia melangkah masuk sambil memimpin tangan Farah yang masih bertateh.  Kak Lia mendukung Farah mendapatkan ayah dan ibu.  Abang Idham pun ada sama.  Wajahnya selamba.  Dia seperti biasa menghulur tangan untuk bersalaman dengan seisi keluarga yang ada. 
“Ok semuanya dah ada, bolehlah kita makan, nanti sejuk pulak lauk-lauk tu”  ayah bersuara. 

Kami semua bergerak ke ruang makan.  Menikmati makan tengahari beramai-ramai begini memang menyeronokkan.  Bukan selalu dapat bersama.  Sesekali berkumpul beramai-ramai begini, suasana jadi riuh rendah.  Banyak cerita yang hendak dikongsikan bersama.  

No comments:

Followers