Tuesday, May 3, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 18

.
            “Berbanyaklah bersabar kak Lia, semuanya sudah ditakdirkan.  Kita merancang tapi semua sudah ditentukan” aku duduk bersebelahan kak Lia sambil tanganku mengurut-urut belakangnya. 
Aku cuba untuk tidak menangis dengan nasib yang menimpa kak Lia.  Aku harus tabah dan berharap dengan ketabahan ku itu akan membuatkan kak Lia lebih kuat untuk menghadapi masalah rumahtangganya yang semakin meruncing.  Kak Lia terus menangis teresak-esak dan rasa simpati ku menggunung.  Aku sedaya upaya memujuk kak Lia supaya bersabar dan jangan menangis tetapi berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. 
“Akak tak kisah kalau abang Idham nak kahwin lagi tapi sekurang-kurangnya dia bagitau akak.  Akak rasa tersinggung dengan sikap abang Idham yang membelakangkan akak.  Banyak yang akak korbankan untuk dia, tengok sekarang apa yang dia balas pada akak?” kak Lia meluahkan rasa hati yang terbuku dalam sedu sedan yang tidak dapat ditahan-tahan. 
Aku merenung wajah kak Lia yang sembap akibat menangis yang terlalu banyak.  Farah tiada di rumah kerana dia telah dihantar oleh kak Lia ke nursery sejak pagi lagi.  Abang Idham sudah beberapa hari tidak pulang, kata kak Lia.  Semalam kak Lia ada menerima panggilan telefon dari Suraya teman abang Idham.  Wanita itu memberitahu kak Lia yang dia dan abang Idham telah bernikah.  Dia memohon kemaafan kerana tidak memberitahu kak Lia atas desakan abang Idham.  Abang Idham tidak mahu kak Lia apatah lagi keluarga yang lain tahu tentang dirinya yang telah menikah satu lagi.  Abang Idham tidak tahu tentang pertemuan diantara Suraya dan kak Lia sebelum ini.  Sangkanya pernikahannya kali kedua itu berjaya disembunyikan dari pengetahuan kak Lia dan keluarga yang lain.
                        Kak Lia terus menghubungiku sebaik sahaja menerima panggilan dari Suraya semalam.  Atas dasar simpati aku mengambil cuti hari ini kerana mahu menemani kak Lia di rumah.  Kak Lia perlukan tempat untuk mengadu dan meluahkan isi hatinya yang sedang gundah gulana itu.  Sebagai adik aku semestinya berada disisinya disaat-saat dia memerlukan aku. 
“Assalamualaikum!”  satu suara kedengaran memberi salam dari luar. 
Aku segera bangkit dari tempat duduk dan menjengah keluar melalui tingkap yang terbuka. 
“Waalaikumussalam.  Oh kak Min, masuklah” aku melangkah ke muka pintu untuk menyambut kak Min yang datang bersama abang Fuad. 
Kami berjabat salam dan kak Min terus mendapatkan kak Lia yang duduk kaku di sofa kulit di ruang tamu rumahnya.  Tangisan kak Lia semakin kuat sebaik kak Min mendakap tubuhnya.  Abang Fuad duduk di sofa yang berhampiran tanpa dijemput.  Aku dan abang Fuad berpandangan tanpa kata-kata yang terluah.  Dengan perlahan aku melangkah dan duduk di sebelah kiri kak Lia.  Kak Min memandang ke wajah ku sekilas dan merenung wajah kak Lia dengan penuh kasih dan simpati.  Kak Lia menceritakan segala-galanya kepada kak Min.  Abang Fuad hanya terdiam mendengar dan sesekali terbatuk kecil. 
“Sabarlah Lia, benda dah jadi, nak buat macammana.  Kalau mengamuk pun bukan boleh buat dia berubah hati.  Berdoalah banyak-banyak supaya Lia tenang menghadapi dugaan.  Ada hikmahnya disebalik semua ni”, kak Min terus memujuk.  Tangisan kak Lia semakin reda. 
“Farah mana?” tanya kak Lia. 
“Di nursery” jawabku. 
“Lia dah makan? Sara?” abang Fuad bersuara.  Kak Lia menggelengkan kepala.  “Abang, you pergi jelah beli nasi bungkus di kedai depan tu”  ujar kak Min. 
“Eh tak apa, beli lauk je, biar Sara masakkan nasi”  cadang ku pula. 
Abang Fuad menganggukkan kepala dan berlalu keluar. 
“Kak Lia jangan beritahu ibu dan ayah pasal ni ya”, pesan kak Lia kepada kak Min. 
“Nanti kalau ibu dengan ayah tahu, susah hati pulak mereka tu”. 
“Jangan fikirkan pasal tu semua Lia, yang penting Lia kena fikirkan apa perancangan Lia seterusnya lepas ni”, nasihat kak Min lagi. 
“Lia boleh terima pernikahan Idham yang kedua ni?”  tanya kak Min dan  kak Lia mengangguk lesu. 
“Lia tak kisah dimadukan dan jadi isteri pertama?”  soal kak Min lagi. 
“Lia tak kisah kak, Lia memang dah bersedia tapi yang buat Lia rasa sedih sangat sebab abang Idham tidak beritahu Lia sendiri”. 
“Tak apalah Lia, Lia sabar ya!”  kak Min menarik nafas dan melepaskan keluhan.
Aku bangkit dari tempat duduk dan berlalu ke dapur untuk memasak nasi.  Cerek yang kosong ku isikan air lalu ku tenggekkan diatas dapur sebaik dapur gas mengeluarkan apinya.  Seketika kemudian kak Min muncul dengan membawa bag plastik di tangan.  Lauk pauk yang dibeli dihidangkan di atas meja makan.  Bunyi cerek di atas dapur menjerit-jerit menandakan air telah mendidih dan api dari dapur gas terpadam sebaik ianya kututup.  Air teh O kosong telah siap ku bancuh dan nasi yang telah masak telah siap disenduk ke dalam mangkuk besar.  Kami menikmati makan tengahari dengan suasana yang sunyi tanpa ada suara yang kedengaran, tidak seperti pertemuan-pertemuan kami sebelumnya.  Kak Lia menyuapkan nasi ke mulut dengan lesu, dia kelihatan seperti tidak berselera untuk makan.  Atas pujukan kak Min dan abang Fuad kak Lia memaksa diri untuk menjamah sesuap nasi. 
“Lepas ni kita pergi ambik Farah balik ya!”  aku memecah kesunyian itu dengan harapan agar hati kak Lia terhibur sedikit apabila mendengar nama anak kesayangannya disebut.


                        Aku ke rumah Dato’ Saiful dan Datin Fariza bersendirian untuk memenuhi jemputan mereka kelmarin.  Azry tiada bersama ku kerana berada di Pulau Pinang, telah dua hari dia di sana atas urusan kerja.  Aku ke rumah Datin Fariza berpandukan kad undangan perkahwinan yang diberi dulu.  Mereka tinggal di kawasan perumahan banglo yang besar dan cantik di Subang Jaya.  Lampu-lampu yang terpasang di sekeliling rumah sudah cukup memberikan cahaya yang terang benderang di sepanjang jalan laluan.  Kereta berderetan sepanjang jalan masuk ke rumah mereka memaksa aku memakirkan kereta di tepi jalan yang agak jauh sedikit.  Dari kejauhan kedengaran riuh rendah suara orang bercakap-cakap sesekali ketawa berdekah-dekah diiringi muzik dari pembesar suara yang dipasang di sudut ruang.  Ramainya tetamu, tak nampak pulak Dato’ atau Datin di situ, macamana ni? keluh ku. 
“Sila, silakan masuk”  seorang wanita menyapa dengan mesra dan menjemput aku masuk.
Aku melangkah perlahan sambil mata melilau mencari-cari wajah Dato’ Saiful dan Datin Fariza.  Mungkin terpandangkan aku yang terlangak-langak mencari seseorang, seorang lelaki yang berwajah kacukan datang menghampiriku. 
“You ni kawan Arissa ke?” tanyanya.
“Err tak, saya kawan Dato’ Saiful dan Datin Fariza, mereka ada?” jawabku sopan.
“Oh, uncle dan auntie ada di dalam, jomlah masuk ke dalam dulu” kata lelaki kacak itu ramah.
“Err.. tak apa, saya tunggu di sini”.  
Anyway, I Syafik, you?” tangan dihulur untuk bersalam dan aku menyambut salamnya. 
“Maisara, panggil saja Sara”  aku memperkenalkan diri. 
“Oh! Sara nice to meet you”. 
“Nice to meet you too”  balasku dan genggaman tangan dilepaskan.
 “I ke dalam tolong panggilkan uncle dan auntie. You have a seat first and help your self ya”  Syafik menawarkan diri
“Ok, thank you” aku mengangguk, kami berbalas senyuman. 
Syafik menghilangkan diri ke dalam rumah menerusi pintu masuk utama yang terbuka luas.  Aku mencari tempat duduk.  Belum pun sempat aku duduk di kerusi plastik yang dihiasi dengan kain reben berwarna biru itu, terdengar seseorang memanggil namaku dari belakang.  Aku serta merta menoleh.
“Hai Datin”  tangan dihulur dan disambut dengan salam dan pelukan mesra dari Datin Fariza. 
“Sampai juga you ya.  Eh sorang je ke? Husband you mana?”  tanya Datin dengan senyuman manis. 
“I sorang je datang ni, husband I tak dapat datang, outstation”. 
“Oh iya ke?”. 
“Dato’ Saiful mana?”  tanya ku sambil menghulurkan satu kotak hadiah yang berbalut dengan kertas pembalut warna hijau muda. 
“Oh! Dato’ ada di dalam melayan sepupu-sepupunya, maklumlah bukan selalu dapat jumpakan? Eh, buat susah-susah je you ni”. 
“Apa pulak susahnya, birthday mestilah ada hadiahkan”. 
“Dah tua-tua tak payah hadiah-hadiah, you datang ni pun dah kira hadiah, jomlah 
masuk jumpa dengan Dato’ dan bagi sendiri hadiah ni pada dia” cadang Datin. 
Aku agak keberatan pada mulanya, tetapi atas desakan Datin, aku akur.  Bila sampai di muka pintu, aku ternampak Dato’ Saiful sedang sibuk berbual-bual dengan beberapa orang lelaki.  Datin memimpin tanganku sambil melangkah ke dalam dan terus mendapatkan Dato’ Saiful.  Dato’ Saiful kelihatan gembira apabila menerima ucapan dan hadiah yang tidak seberapa itu dari ku.  Dia memperkenalkan aku kepada sepupu-sepupunya yang berada di situ. Sedang kami berbual-bual tiba-tiba Syafik datang menghampiri kami. 
“Sara, ni kenalkan my nephew Syafik” Datin Fariza memperkenalkan Syafik kepada ku.  Oh, anak saudara Datin rupanya, tapi kenapa Syafik berwajah kacukan?  Mungkin ayah atau ibu Syafik orang putih kot, bisik hati kecilku. 
“Kami dah berkenalan tadi”  jawabku sambil memandang ke arah Syafik yang berdiri tidak jauh dari ku. 
“Oh iya ke? Jaga-jaga Syafik, Sara ni isteri orang” Dato’ Saiful menyampuk membuatkan Syafik terkedu. 
“Dah kahwin? Oh tak ada chance lah ni”  wajah Syafik berubah. 
Sorry Syafik, she’s not available”  usik Datin Fariza pula dan ketawa mereka pun berderai. 
“Jom uncle, auntie, your friends are waiting outside.  Kita dah boleh potong kek kot”  pelawa Syafik dengan senyuman yang kelat.  Sesekali matanya menjeling ke arahku. 
                        Kek berbentuk empat segi berwarna putih dan ungu lembut telah sedia ada di atas meja bulat kecil yang diletakkan di tengah-tengah ruang.  Di atasnya tertulis kata-kata ucapan dan nama dato’ Saiful dan tercacak lima batang lilin yang telah dinyalakan api.  Kesemua tetamu-tetamu yang hadir mengelilingi Dato’ dan Datin yang berada ditengah-tengah berhampiran meja kek itu sambil menyanyikan lagu selamat ulangtahun dan disambut dengan tepukan sebaik sahaja api lilin-lilin itu terpadam ditiup oleh Dato’ Saiful. Aku dapat tahu hari ini adalah harijadi Datuk Saiful yang ke 52 tahun.  Dia lebih kelihatan muda dari usianya. Orang beradalah katakan, duit banyak dan hati pun senang, sebab itulah wajahnya tidak makan dek usia.
                        Selepas upacara memotong kek, para tetamu dijemput untuk menjamu selera.  Memandangkan kesibukan Datuk dan Datin melayan tetamu yang hadir, aku terpaksa melayan diri sendiri.  Sedang aku leka mengunyah sandwich tuna tiba-tiba Datin menghampiriku.  Di sisinya kelihatan seorang wanita muda yang cantik dan berkulit putih melepak. Wajahnya seperti pernah ku lihat, tapi dimana ya! Atau mungkin wajahnya ada iras wajah Rita Rudani dramatis yang popular itu. 
“Sara, ni kenalkan Arissa anak I yang baru kahwin hari tu” tangan kami berjabat mesra.  
“Oh ya, belum terlambat I nak ucapkan selamat pengantin baru, sorry tak dapat datang hari tu”. 
Oh, it’s ok, you datang sorang je ke?”. 
Husband Sara outstation” Datin mencelah. 
“Oh iya ke? Lone Ranger lah ni”  gurauan Arissa disambut dengan gelak ketawa.  “Ok Sara, makan lagi ya, banyak makanan ada di meja tu, jangan segan-segan”, 
Arissa berlalu bersama mamanya sebaik saja seorang wanita datang menyapa mereka. 
Aku kembali ke tempat duduk ku semula, gelas di tanganku yang berisi air oren ku teguk sedikit.  Mata ku memerhati orang-orang sekeliling yang ada di situ.  Melihat dari gaya pakaian dan percakapan mereka aku dapat meneka bahawa tetamu-tetamu yang hadir adalah dari golongan orang-orang yang berada.  Kemungkinan besar keluarga Dato’ dan Datin banyak yang berkahwin campur memandangkan dari raut wajah mereka yang berwajah pan-asia dan tak kurang juga yang berwajah mirip anak mami.  Aku terkejut apabila tiba-tiba Datin datang lagi menegurku dengan ramah. 
“Sara dah berhenti makan ke? Janganlah macam tu, makanan banyak lagi tu, makanlah”. 
“I dah kenyang Datin, sekejap lagi I makan lagi, relax dulu.  Makan banyak-banyak nanti tak larat pulak nak memandu balik”  aku cuba bergurau. 
“Eh kalau tak larat, tidur je di rumah I ni, don’t worry ada bilik kosong lagi”, beria-ia Datin mengajak aku bermalam di rumahnya malam itu.
Nak mampus! kalaulah Azry tahu aku tidak pulang ke rumah sebaliknya tidur di rumah Dato’ Saiful dan Datin Fariza yang baru saja aku kenali, niaya aku.  Tiba-tiba seorang lelaki telah berada di sisi Datin Fariza sebaik aku menoleh pandang ke belakang.  Ya Allah! Raut wajahnya saling tidak tumpah seperti dia yang hampir aku lupakan.  Jantung ku berdegup kencang sehingga tubuhku dapat merasakan getarannya.  Takkan pelanduk dua serupa? Tak mungkin, tak mungkin, aku bermonolog sendiri. 
“Sara, ni kenalkan nephew I, Irfan” dia menghulurkan tangan untuk bersalam.  Renungan tajam matanya membuatkan aku terpempan.  Salaman tangannya ku sambut perlahan, antara mahu dengan tidak.  Sepasang matanya masih lagi merenung tanpa berkedip.  Pandangannya tajam menikam wajahku.  Dan aku segera mengalihkan pandangan ku ke arah lain.  Tiada kata-kata yang terkeluar dari mulutku juga dari mulutnya. Aku tergamam.  Pandangan ku kosong. Minda ku bagaikan kaku dan dunia ku seolah-olah terhenti berpusing dari paksinya. Hanya tangan yang bersalaman masih digenggam bagaikan tidak mahu dilepaskan. 
“Irfan, Irfan…” tangan ku segera dilepaskan sebaik Datin Fariza memanggil namanya berkali-kali.  Wajahku merona merah.  Malu dengan situasi itu. 
“Ini Sara kawan auntie”  lelaki itu hanya menganggukkan kepala dengan wajah serba salah.  Lantas lelaki itu segera menoleh dan berlalu tanpa berkata apa-apa. 
What’s wrong with him”  gumam datin sendirian. 
“Sara sorry ya, kenapalah agaknya dengan nephew I tu, angin apalah yang merasuk dia agaknya.  Actually, he just came back from Terengganu.  Penat agaknya tu.  Dia kerja di sana hampir tiga tahun, projek di sana dah habis tu yang dia kena transfer balik ke sini”  jelas Datin Fariza tanpa aku menyoal. 
Aku mulai menjadi tidak senang.  Perasaan ku bagaikan dihentak-hentak dengan penukul besi. 
“Datin, I dah kenyang, hari pun dah lewat so I ingat nak beransurlah”. 
“Eh! dah nak balik ke?”. 
“Entahlah, I rasa macam tak sedap badan”  aku memberi alasan supaya Datin Fariza tidak lagi menghalang niat aku untuk berangkat pulang. 
“Kirim salam I pada Dato’, ya Datin”  pesan ku. 
Datin Fariza bersungguh-sungguh memujuk aku untuk terus berada di majlis itu.  Sedangkan aku mahu segera pergi.  Tanpa berpaling lagi aku pun terus melangkah keluar sebaik berjabat tangan dengan Datin Fariza.


No comments:

Followers