Saturday, March 19, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 2



KELAS 5 Sastera 2 bingit bagaikan pasar borong. Nizam merupakan ketua kelas yang ‘nerd’ dan skema menggeleng berkali-kali. “Hoi, diamlah!” Dia menjerit.
Tapi kasihan dia. Suara jeritannya tidak kedengaran kerana ditenggelami oleh kebingitan suara pelajar-pelajar yang lain. Ada yang ketawa, ada yang main baling-baling kertas, menconteng papan hitam dan ada yang bertekak. Tak kurang juga yang berkejar-kejaran. Aduh... budak tingkatan 5 ke perangai macam ni?
“Hoi, diamlah!” Kali ini Nizam menjerit lebih kuat lagi sambil mengetuk meja dengan pembaris panjang.

Tiba-tiba semua terdiam. Mata masing-masing tertumpu kepada Nizam. Nizam menunjukkan muka serius, berlagak garanglah konon. Tidak sampai sesaat mereka berpaling dan kembali membuat bising. Kelas 5 Sastera 2 hingar-bingar semula. Nizam duduk di bangkunya semula sambil mengeluh kerana berasa amat penat dengan kerenah kawan-kawan sekelasnya itu.

“Buat penat aku aje menjerit-jerit macam orang gila. Dia orang buat tak tahu saja. Ah! Lantaklah kau orang,” getusnya sendirian, lalu diam membatu tanpa mempedulikan keadaan kelasnya itu.
Zahirah yang merupakan penolong ketua kelas pun 2 x 5 dengan pelajar-pelajar lain. Dia turut kelihatan asyik sungguh berbual-bual, sekali-sekala ketawa berdekah-dekah.
“Assalamualaikum kelas!” Suara Cikgu Mazlin memecah kebingitan kelas.
Oleh kerana terlalu leka dengan agenda masing-masing, tidak sesiapa pun perasan kelibat Cikgu Mazlin lalu. Tiba-tiba terpacul di muka pintu kelas. Semua terdiam dan segera ke tempat duduk masing-masing.
“Wa’alaikumussalam, Cikgu Mazlin.” Suara pelajar-pelajar menjawab salam serentak.
“Duduk semua.” Cikgu Mazlin yang berbaju kurung moden berwarna hijau lumut meletakkan buku di atas meja guru dan berjalan ke depan.

Kelas itu senyap. Cikgu Mazlin adalah guru yang mengajar subjek Matematik dan Sains. Dia berhenti betul-betul di hadapan meja Saiful yang duduk bersebelahan dengan Nizam. Saiful mendongak. Nizam juga mendongak. Begitu asyik menumpukan perhatian pada Cikgu Mazlin yang comel bercermin mata.


Cikgu Mazlin diam. Tumpuan matanya beralih dari seorang ke seorang pelajarnya. Pelajar-pelajar kelas itu terdiam, kecut perut. Cikgu Mazlin yang berwajah cantik berubah menjadi bengis seperti singa betina yang kelaparan. Hilang keayuan semula jadinya. Cikgu Mazlin kalau marah, jangan dibuat main-main.


“Awak semua sedar tak tahun ni awak semua dalam tingkatan 5? Awak tahu tak tahun ni awak semua akan menduduki peperiksaan besar?” Suara Cikgu Mazlin nyaring.

Dia diam semula, menarik nafas panjang. Setiap patah perkataan yang dilontarkan menjadi perhatian semua pelajar kelas itu. Dan setiap habis ayat yang diungkapkannya, semua pelajar kelihatan mengangguk-angguk seperti burung belatuk, tanda faham. Masing-masing memandang wajahnya dengan mata terkebil-kebil.
“Sekarang ni dah masuk bulan Mac, maknanya awak ada 7 bulan lagi untuk ulang kaji.” Cikgu Mazlin menyambung semula. Bingkai cermin mata dibetulkan.
“Saya mahu kelas saya mendapat markah yang baik. Saya akan bangga kalau pelajar-pelajar saya dipuji oleh guru-guru kelas lain. Bukan saja saya yang akan rasa bangga, ibu dan ayah awak juga akan rasa sama seperti apa yang saya rasa. Jadi, saya mahu awak semua serius sikit. Bila cikgu tak ada dalam kelas, tolong buat homework yang diberi atau buat revision tahun-tahun lepas. Kalau dah malas sangat, duduk saja diam-diam kat tempat masing-masing. Ini Kelas 5 Sastera 2 tau. Kelas yang kedua terbaik antara lima kelas sastera.” Cikgu Mazlin beralih tempat.

“Assalamualaikum, cikgu...”

Kedengaran suara memberi salam sambil pintu diketuk, membantutkan luahan kemarahan Cikgu Mazlin. Semua mata tertumpu ke pintu. Cikgu Hamdan yang kacak berbaju kemeja belang berlengan panjang masuk diiringi seorang pelajar lelaki yang segak tinggi lampai. Cikgu Hamdan berbincang sesuatu dengan Cikgu Mazlin sambil diperhatikan oleh pelajar tadi. Tidak lama kemudian Cikgu Hamdan berlalu keluar.

“Okey kelas... hari ni kita ada kawan baru. Sekejap lagi kita akan adakan sesi suai kenal. Awak boleh duduk di sebelah Aiman.” Cikgu Mazlin menuju ke meja Aiman.

Pelajar baru tadi mengekorinya. Dia menarik kerusi perlahan dan duduk di tempat yang ditunjukkan oleh Cikgu Mazlin.

Aisyah mencuit lenganku. “Nampaknya ada mangsa baru untuk kaulah.” Dia menjuihkan bibir menghala ke arah pelajar baru itu.

“Eh, kau ni... kau ingat aku ni apa? Tak ada kerja lain ke?” Geram betul aku dengan ungkapan Aisyah itu. “Entah-entah, kau yang ada hati kat dia kot?” Aku pula menyindir.
Aisyah tersenyum, lidah dijelir. Wekk...
“Irfan... sila ke depan dan perkenalkan diri awak pada kawan-kawan,” arah Cikgu Mazlin.

Dengan penuh sopan, pelajar yang dipanggil Irfan itu menuju ke hadapan kelas. Dia tersenyum malu. Suasana diam dan sunyi. Semua mata tertumpu kepada dia yang berdiri berdekatan dengan meja tempat Cikgu Mazlin duduk. Tangan sebelah kanan diseluk ke dalam poket seluar hijaunya.


“Assalamualaikum... Nama saya Irfan Effendi bin Ahmad Tajuddin. Saya berasal dari Ipoh, Perak. Sebelum ni saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dr. Megat Khas, Ipoh. Saya berpindah ke sini kerana mengikut ayah saya yang bekerja sebagai pegawai kerajaan yang ditukarkan ke Kuala Lumpur.” Irfan menoleh ke arah Cikgu Mazlin.

“Hobi awak? Cita-cita awak?” soal Cikgu Mazlin sambil membetulkan posisi duduknya.
“Hobi saya membaca buku cerita, melukis, bermain bola dan bermain gitar,” tambah Irfan.
Aisyah mendekatkan dirinya padaku dan berbisik. “Dia mesti pandai menyanyikan. Hmm... I like!” Aisyah tersengih-sengih seperti kerang busuk. Gediknya dia.
“Cita-cita saya ingin menjadi seorang arkitek yang berjaya. Insya-ALLAH...” sambung Irfan lagi, menamatkan sesi pengenalan dirinya.
“Okey! Sekarang giliran pelajar-pelajar lama pulak kenalkan diri. Bermula dari tepi sana.” Cikgu Mazlin menunjuk dengan jari ke arah kanan kelas.
Shahidah bingkas bangun. “Saya Shahidah.” Dia duduk semula dan pelajar sebelahnya pula bangun. Nor Asyikin, Zulaikha, Zahirah, Haikal, Saiful, Aiman, Mohd Qayuum sehinggalah tiba kepada giliran kawan sebelah aku.
“Saya Nur Aisyah.” Sengaja menyebut namanya lambat-lambat dengan menunjukkan wajah ayu di sebalik senyumannya.
Selepas itu giliran aku pula. “Saya Maisarah binti Haji Roslan.”

Kami berbalas senyuman. Waktu itu aku dapat merasakan seperti ada satu getaran yang merentap tangkai hati. Berdetik perasaan aneh yang sukar digambarkan. Aku merasakan seolah-olah dialah lelaki yang akan menjadi seseorang yang istimewa di dalam hidupku suatu hari nanti. Jauhnya fikiran ku melayang. Kalaulah Aisyah tau...



SUASANA di ruang Pusat Sumber petang itu seperti biasa senyap dan sunyi. Tetapi tidak ramai pelajar yang datang seperti semalam dan kelmarin. Kebetulan hari itu ada latihan sukan di padang untuk pelajar-pelajar yang terlibat. Sebab itulah Pusat Sumber hari itu lengang. Pelajar-pelajar yang ada boleh dibilang dengan jari. Aku memang rajin ke situ bila berkesempatan.


Tambahan pula jika ada banyak kerja sekolah atau mahu mencari bahan-bahan bacaan atau rujukan. Petang itu seperti kebiasaan, aku ke Pusat Sumber bersama Asyikin dan Zulaikha. Setelah mendapatkan tempat duduk dan meletakkan buku-buku dan kotak pensil yang dibawa, aku menuju ke rak buku yang sedia ada. Sedang asyik mencari, tiba-tiba aku disapa oleh satu suara dari belakang.


“Eh, Maisara... awak pun ada kat sini?”

Aku terkejut. “Oh, mak kau!” Aku segera menoleh ke arah suara itu. Ya ALLAH! Malunya aku.
“Sorry... kalau saya buat awak terperanjat.” Suara Irfan tergagap-gagap. Perasaan serba salah terpancar jelas di wajahnya.
“Tak apa, tak apa...” Aku menggeleng, tersipu-sipu. “Awak datang dengan siapa, Irfan?” tanyaku sambil mata melilau di sekeliling.
“Saya datang sorang aje. Nak cari buku rujukan matematik. Awak pun nak cari buku matematik jugak ke?” Irfan tersenyum manis.
“Ha’ah...” jawabku pendek sambil mengangguk.
Kami terdiam. Mata masing-masing mencari-cari buku yang dihajati di rak buku yang berhampiran. Tiba-tiba dalam waktu yang sama kami menerpa buku yang serupa. Dengan secepat kilat aku menarik balik tanganku yang hampir-hampir berlaga dengan tangan Irfan. Begitu juga Irfan. Buku yang cuba kami terkam itu terjatuh ke lantai. Kemudian, kami seperti berebut-rebut mahu mengutip buku yang terjatuh itu hingga kepala kami terhantuk.
“Adoi...” Tangan kanan aku letakkan di kepala sambil menggosok-gosok perlahan.
“Oops... sorry! Sakit ke? Saya tak sengaja.” Irfan bersuara sambil memegang buku yang terjatuh tadi.

Aku bingkas bangun, begitu juga Irfan. Mata bertentang mata. Cantiknya mata dia. Aku terpaku. Dan dia seperti terpukau merenung ke dalam mataku. E’eh... macam cerita Hindustan pula. Lantas, aku cepat-cepat mengambil buku itu daripada tangan Irfan.

“Okeylah, nanti kita jumpa lagi.” Aku segera berlalu pergi tanpa menoleh lagi.


SETELAH beberapa bulan berlalu, ternyata apa yang berbisik di hati kecilku suatu masa dulu menjadi kenyataan. Memang dialah lelaki istimewa yang bertakhta di hatiku. Itu mungkin cuma perasaan aku saja. Bagi dirinya tidak pula aku ketahui. Takut juga seandainya aku jadi minah perasan, hanya bertepuk sebelah tangan.

Walaupun tidak pernah diluahkan perasaan hatinya, jauh di lubuk hati aku dapat merasakan dia punya perasaan yang sama terhadapku. Aku amat gembira sekali. Setiap hari Irfan akan menungguku di tepi jalan di bawah pohon ketapang yang rendang tidak berapa jauh dari sekolah. Jarak sekolah dari rumahku mengambil masa lebih kurang sepuluh minit berjalan kaki.
“Sara, nanti petang lepas sekolah boleh tak awak temankan saya?” Irfan dan aku melangkah beriringan ke bilik makmal bersama rombongan kelas kami untuk subjek Sains Fizik.

Di hadapan kami, Aisyah dan Zahirah kelihatan berbisik-bisik sambil menjeling-jeling kami di belakang. Sesekali mereka ketawa terkekeh-kekeh. Entah apalah yang digossipkan itu. Ini mesti kes cemburu. Sejak mula lagi memang Aisyah ada menaruh hati terhadap Irfan. Irfan lebih rapat dengan aku selain Nizam.


Sekiranya dia tidak sempat menghabiskan nota yang diberi guru, dia akan meminjam buku latihanku. Begitulah sebaliknya. Kerana itulah kawan-kawan kelas kami yang nakal kerap menukarkan buku-buku di dalam beg aku ke dalam begnya. Bila cikgu meminta kami mengeluarkan buku, kami dapati buku yang di dalam beg itu bukan milik kami.


Selepas kelas berakhir, dengan malunya kami akan memulangkan semula buku-buku kepunyaan masing-masing. Bukan setakat itu sahaja, kawan-kawan kelas aku juga banyak menconteng di dinding-dinding kelas dengan nama aku dan Irfan. Nakal sungguh mereka.

Setiap kali kami bertengkar, aku akan merajuk panjang. Irfan juga kadang-kadang begitu. Buruknya orang lelaki kalau merajuk. Kami memang tidak sempat untuk pujuk-memujuk kerana setiap kali perang dunia antara kami melanda, kawan-kawan sekelas pasti akan membuat sesuatu supaya kami berdamai semula.
“Awak nak pergi mana?” Soalan aku ajukan.
“Saya nak beli buku ulang kaji SPM kat Jalan Tuanku Abdul Rahman. Boleh tak?” Irfan sempat mengenyitkan mata padaku.
Lemah longlai seluruh tubuh dibuatnya. Aku memang menyerah kalah kalau beradu mata dengan Irfan. Dia pun seperti tahu di mana kelemahan aku dan apa kelebihan yang dia ada yang boleh membuatkan aku ‘cair’. Aku berpura-pura malu dengan gelagat Irfan itu walaupun sebenarnya aku memang suka bila dia buat begitu terhadapku.
“Nak pergi pukul berapa? Lebih elok kalau balik rumah dulu. Saya kena beritahu ibu saya.” Aku memberi cadangan.
“Elok jugak idea awak tu. Baiklah... saya tunggu awak di perhentian bas pukul 2.30 petang. Okey tak?”
Aku mengangguk tanda setuju.


SEPERTI yang dijanjikan petang itu, dari jauh kelihatan lelaki itu sedang duduk menunggu di bangku yang disediakan di perhentian bas. Dia kelihatan begitu santai dengan seluar jean lusuh dan baju-T berkolar warna merah. Kebetulan aku pula memakai baju-T tidak berkolar warna yang sama. Macam berjanji pula. Itulah sehati sejiwa namanya, desisku di dalam hati. Semakin aku menghampirinya semakin lebar senyumannya.

“Dah lama tunggu?” tanyaku sebaik saja berada di depannya.
“Baru aje.” Irfan pun berdiri sejurus aku mendekatinya.
Irfan tinggi lampai orangnya. Ketinggian aku setakat bahunya sahaja. Aku terpaksa mendongak untuk melihat wajahnya yang menjadi igauanku saban waktu.

Tidak lama selepas aku tiba, bas yang ditunggu pun sampai. Bas berhenti betul-betul di hadapan kami. Kami terus masuk ke perut bas yang menuju ke pusat bandar. Oleh kerana orang sesak di dalam bas, kami terpaksa duduk berasingan. Kami hanya menjeling-jeling dari jauh dan sempat berbalas senyum. Ahh... Irfan. Senyumanmu itulah yang membuatkan aku tergoda dan tidak lena tidur malam.


Perjalanan terasa cepat sekali. Kami sudah sampai di stesen bas pusat bandar. Dari situ kami ke Jalan TAR dengan menaiki teksi. Dapat duduk bersebelahan dengan Irfan sebegini bagaikan satu mimpi. Batasan perasaan gadis Timur yang pemalu sangat menebal dalam diri membuatkan aku terdiam di sisi Irfan. Aku hanya melayan perasaan-perasaan aneh yang menyelubungi diri waktu itu.


Kami ke kedai buku Pustaka Mukmin yang menjual pelbagai jenis buku. Ramai pula orang waktu itu. Keadaan kedai yang sempit itu merimaskan. Masing-masing sibuk membelek-belek buku-buku yang ingin dibeli. Ada yang sedang beratur di kaunter untuk membuat pembayaran dan ada juga yang duduk membaca di celah-celah rak buku dengan begitu asyik sekali tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang.


Setelah mendapatkan buku yang diingini, kami bergegas keluar dari kelompok orang ramai itu. Kami beriringan sepanjang jalan menuju ke pusat bandar. Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sesak dengan manusia setiap hari itu memaksa kami berjalan mencelah-celah di tengah-tengah manusia-manusia. Sesekali terasa tangan kami bersentuhan dan setiap kali itu jugalah aku dapat merasakan seperti ada getaran yang bergetar terasa sehingga ke lubuk hati.

Kami ke restoran segera untuk menghilangkan kepenatan dan mengisi perut yang lapar.
“Kita duduk kat sana tu.” Irfan menunjukkan tempat duduk di tepi dinding dengan muncungnya. Kedua-dua tangannya menatang dulang yang berisi dua set minuman dan makanan yang dibeli.

Aku mengekorinya dari belakang. Minuman dan makanan diletakkan di atas meja. Dulang dialihkan. Ice lemon tea yang sejuk aku hirup. Lega rasanya. Irfan memerhatikan gelagatku.

“Penat ya, Sara?” Irfan meneka.
“Maunya tak penat. Jalan kaki dari Jalan TAR sampai ke sini.” Aku mengiakan.
“Kalau berjalan dengan awak, saya langsung tak rasa penat. Jauh pun macam rasa dekat saja,” usik Irfan dengan ketawa yang menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun rapi.

Aku turut ketawa. Kami mula menikmati hidangan sambil bercerita tentang kawan sekolah, tentang kerja sekolah, tentang peperiksan SPM yang semakin hampir dan juga tentang peribadi masing-masing. Seronoknya sesekali dapat berdua-duaan begini tanpa gangguan kawan-kawan di sekolah.
bersambung ke BAB 3

1 comment:

Dang Tari said...

Salam yatie
Seronok kak dang dapat berjumpa insan yang sejiwa punya minat yg sama
marilah ziarah ke blog kak dang

http://dangtari.blogspot.com/2011/03/tega.html

Sambunglah lagi..
kak dang akan follow..

Followers