Thursday, March 31, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 6

.
Indahnya pemandangan waktu senja di Pantai Chenang Pulau Langkawi.  Aku merasa begitu bahagia disamping suami yang tersayang.  Benarlah kata orang, bercinta selepas diijabkabulkan lebih manis dan mengasyikkan daripada bercinta sebelum berkahwin.  Tiba-tiba aku terasa ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua orang kakak-kakak ku yang banyak memberikan aku nasihat dulu.  Tidak sabar rasanya aku mahu berjumpa dengan mereka dan memberikan khabar kepada mereka bahawa adik mereka kini sedang bahagia di alam percintaan bersama lelaki  yang dulunya dibenci. 

Laungan azan maghrib kedengaran sayup-sayup dari kejauhan walaupun masjid tidak kelihatan dari jendela bilik. Aku tersedar dari lamunan panjang.  Air pancuran masih kedengaran di bilik air menandakan Azry masih belum selesai mandi.  Begitulah dia, kalau berada di dalam bilik air lamanya mengalahkan anak dara. Entah apa yang dibuatnya di dalam sana.  Pintu bilik air sengaja ku ketuk walaupun aku tahu pintunya tidak berkunci. 
“Cepatlah bang, dah masuk waktu maghrib dah ni” laung ku sambil mengetuk pintu. 
Panggilan ku tiada jawapan.  Tiba-tiba kedengaran daun pintu bilik air dibuka dan Azry keluar dengan hanya memakai tuala berwarna putih.  Aku berpura-pura mahu menarik tuala yang dipakai sebaik aku melintasinya.  Tetapi gerak geri ku bagai dapat diteka, awal-awal lagi Azry mengingatkan aku yang dia di dalam wuduk. 
“Ha! jangan nak mengada-ngada, abang dah ambik wuduk dah ni, cepat kita solat, lepas tu kita keluar pergi makan”  kedua-dua belah tangan diangkat sambil menggeleng. Tahu pun takut, fikirku. 
Kami segera menunaikan solat maghrib bersama sebaik sahaja kami lengkap dalam pakaian solat dan berdiri tegak mengadap kiblat di atas sejadah yang memang kami bawa dari rumah.  Sejurus habis salam akhir diberi kami menadah tangan, Azry membaca doa dan aku mengaminkan segala doa-doa nya.
Ya Allah ya tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami, ampunilah dosa-dosa kedua ibu bapa kami, berikanlah kami taufik dan hidayahmu.  Ya Allah! Berikanlah kami kekuatan dalam mengharungi hidup di dunia ini. Kurniakanlah kami kesihatan yang baik, limpahkanlah kami rezeki yang luas dan halal.  Ya Allah ya rabbi, anugerahkanlah kami zuriat yang soleh dan solehah. Jauhilah kami dari kesesatan dan kemungkaran.  Amin ya rabbal alamin…”.   Kedua tangan ku raupkan keseluruh wajah lantas aku tunduk ke hadapan untuk mendapatkan tangan Azry untuk bersalaman. Tangannya ku kucup, begitu syahdu sekali.

                        Usai solat, kami bersiap untuk menikmati makan malam.  Kami memilih sebuah restoran ikan bakar yang berhampiran dengan pantai Chenang.  Jarak restoran agak dekat. Kami berjalan kaki sahaja sambil menghirup udara malam disepanjang pantai.  Kami bagaikan pasangan yang sedang kemaruk di alam percintaan.  Tangan Azry merangkul pinggang ku, begitu juga aku.  Kami beriringan ke restoran itu sambil berbual-bual kosong.  Sesekali Azry membuat lawak sehingga aku tidak dapat menahan ketawa.  Kami akan sama-sama mengekek.  Ada-ada sahaja ceritanya yang membuatkan aku gelihati dan tidak kering gusi.  Kami tidak memperdulikan orang-orang yang lalu lalang dan mungkin mereka juga tidak memperdulikan kami, kerana masing-masing ada ajenda sendiri. Malam itu kami menghabiskan waktu indah bersama dengan gurau senda yang tidak berkesudahan.

Bunyi deringan mesej dari telefon bimbit mengejutkan aku dari lena.  Aku terpisat-pisat.
“Eh pukul berapa ni?”  telefon bimbit ku capai.  Begitu berat mata untuk ku buka.  Telefon bimbit ku hampirkan ke mata, kelabu.  Ku jauh kan sedikit jaraknya, ya Allah! dah pukul 8.45 pagi rupanya.  Azry begitu lena tidur dengan selimut tebal menyelubungi  sehingga hampir menutup ke seluruh tubuhnya akibat kesejukan alat penghawa dingin yang memenuhi ruang kamar. Terlepas solat subuh pagi ni, rungut ku.  Aku terlupa hendak mengunci alarm di telefon bimbit ku tadi malam. Cuainya.   
Butang mesej yang baru masuk tadi ku tekan, tertera nama kak Min di skrin, Pergi Langkawi tak bagitau pun.   Alih-alih tau dah sampai sana dah. Akak kat rumah mak ni, mak yang bagitau Sara pergi Langkawi dengan Azry. Wah seronok ye, dah lama tak pergi sana. OKlah tak mahu kacau, enjoy yourself…”.   Aku memang sengaja tidak menghebuhkan tentang percutian kami kepada orang lain kecuali kepada ayah dan ibu ku sahaja. Nanti balik akan aku belikan cenderamata untuk mereka.

Hari ini kami merancang untuk berjalan-jalan kebeberapa tempat lawatan di sini. Azry berjanji awal pagi selepas sarapan kami akan bertolak.  Selimut yang menyelubungi tubuh Azry ku singkap.  Dengan malas dia mengeliat lalu selimut tadi ditarik ke atas semula. 
“Bang bangunlah, dah nak dekat pukul sembilan dah ni, semalam kata nak bangun awal pagi, nak keluar” bahu Azry ku goncang-goncangkan perlahan sambil menguap kecil.  Azry tidak bersuara.  Dia mengalihkan posisi tidurnya.  Kali ini dia menghadap aku. Hidungnya yang mancung ku picit bertalu-talu, pantas dia menggosok-gosok hidungnya dengan tangan. Mata masih lagi tertutup rapat. 
Aku cuba mencari idea bagaimana untuk membuat dia bangkit dari katil.  Aku cuba lagi menarik kain selimut tetapi tangan Azry memegang kain itu lebih kuat dari aku sehingga kain selimut itu tidak beranjak walau sedikit pun.
“Cepatlah bangun, semalam beriya kata nak bangun awal, keluar cepat balik cepat” aku mengomel macam mak nenek. 
“Alah… kejap lagilah, tidurlah dulu” pujuk Azry sambil menarik selimut dengan mata terpejam. 
“Nak tidur apa, dah pukul sembilan dah ni.  Sara nak pergi mandi dululah”.   Belum pun sempat aku bangkit dari katil, tangan kasar Azry menarik aku ke dalam selimut semula.  Emmm….


            Destinasi pertama kami ialah ke ‘Telaga Tujuh’, kemudian ke ‘Makam Mahsuri’ dan ‘Beras Terbakar’, tempat-tempat ini masih lagi seperti tiga tahun dulu semasa kunjungan aku ke sini bersama keluargaku satu ketika dulu.  Selepas itu kami ke Pekan Kuah.  Disini banyak terdapat barang-barang cernderamata yang boleh dibeli untuk keluarga tersayang yang berada nun jauh di Kuala Lumpur.
“Abang nak beli apa untuk papa dan mama?” suaraku lembut bertanya sambil membelek-belek sekuntum bunga buatan Kristal. 
Soalan ku tidak berjawab.   Azry begitu leka memerhatikan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang menangis kerana dimarahi kakaknya.  Aku mencuit pinggang Azry dari belakang.  Azry terkejut lantas menoleh.
“Tengok budak tu Sara, kesian abang tengok” ujar Azry sambil menunjukkan ke arah budak lelaki yang sedang menangis itu.  Ternyata Azry mempunyai hati yang belas.
 “Biarlah, kan ibu ayah dia ada kat situ.  Jomlah tengok apa benda nak beli untuk papa abang?” aku menarik tangan Azry dan tumpuannya beralih ke deretan baju-baju batik yang bergantungan. 
Mata tidak berkelip memandang baju-baju batik yang berbagai corak dan warna yang berada di sekeliling .  Terlalu banyak pilihan dan membuatkan aku rambang mata.  Tidap pasti yang mana satu hendak dipilih.  Akhirnya aku memilih sepasang baju batik berwarna biru lembut, warna kegemaran ayah.  Pasti ayah suka, bisik hati kecilku.  Azry tidak kelihatan.  Aku terus membelek lagi dan tanpa berlengah aku mencapai tiga pasang baju. Satu untuk mama, satu untuk ibu dan satu untuk aku pastinya.  Untuk mak Mah pula telah ku pilihkan dua helai kain batik sarung.  Nak beli apa pula untuk kak Min dan kak Lia? Soalku pada diri.   Mata ku melilau mencari Azry.  Mana dia ni?  Tiba-tiba Azry datang dari belakang dan hampir membuat aku melatah.  Di tangan Azry kelihatan beberapa helai baju batik yang telah dipilih.
“Cantik tak?” sambil menunjukkan baju-baju itu satu persatu. 
“Banyaknya. Sampai empat helai, nak bagi sapa tu?”. 
“Abang beli untuk papa, ayah dan dua lagi ni untuk abanglah. Ok tak?”  Azry kelihatan tersenyum puas dengan baju-baju pilihannya. 
“Sara pun dah pilih baju untuk mama, ada kat kaunter sana, jomlah pergi bayar” aku menarik tangan Azry menuju ke kaunter bayaran. 

Sejurus selesai membeli pakaian untuk dibuat hadiah, kami ke kedai barangan dapur seperti periuk belanga dan set pinggan mangkuk.  Memang banyak pilihan, kelabu biji mata dibuatnya.  Aku telah memilih dua set pinggan mangkuk untuk kak Min dan kak Lia, tentu mereka suka dengan pilihan ku kali ini.  Tidak lupa juga untuk anak-anak buah telah ku belikan coklat yang berbagai bentuk dan perisa.  Seperti selalu sekiranya aku keluar daerah, pasti ada saja buah tangan yang aku belikan untuk mereka.  Mereka pasti akan tertunggu-tunggu kepulangan kami. 

Setelah penat membeli belah kami tinggalkan deretan kedai itu dan menuju ke restoran makan untuk mengisi perut yang sedang berkeroncong sejak tadi.  
“Sara penat tak?”  soal Azry sejurus melepaskan straw dari mulutnya. 
“Nak penat apa, bukannya buat kerja.  Kita kan sedang bercuti dan sedang menghabiskan duit poket abang” gurauan ku disambut dengan derai ketawa. 
“Jom kita pergi naik cable car lepas ni, nak?” cadang Azry. 
“Sara tak kisah, Sara ikut saja ke mana abang pergi, abangkan dah janji nak sehidup semati dengan Sara?” Azry ketawa lagi.
“Ok, habiskan nasi tu dulu”  ujar Azry yang kekenyangan setelah habis nasi goreng sepinggan serta segelas jus tembikai. 
“Errkkk…” Azri bersendawa lalu menutup mulut.  “Alhamdulillah” ucapnya perlahan. 
“Ok , jom”  tangan ku dipimpin menuju ke kereta yang terletak di tapak parkir yang berhampiran. Azry memandu mengikut panduan peta yang sempat dibeli tadi.

  Cable car terletak di Gunung Mat Cincang dan kami diberitahu jikalau hujan lebat, cuaca berkabus atau angin kuat, cable car tidak akan beroperasi.  Memandangkan petang itu cuaca sangat cantik kami pun meneruskan rancangan kami ke sana.  Pemandangan ke bumi dari atas sana sungguh mengkagumkan.  Pada mulanya memang ada perasaan gayat, tetapi adanya orang yang tersayang di sisi, hilang rasa takut kerana sepanjang berada di atas sana aku tidak sekali pun melepaskan pelukan ku dari Azry.  Diperjalanan pulang pula kami sempat singgah di Underwater World.   Azry banyak merakamkan gambar-gambar aku sepanjang percutian.  Dia tidak berlekang dari kameranya yang sentiasa bergantung di leher dan setiap kali ternampak objek yang menarik pasti ianya akan menjadi model di lensa kesayangannya itu.
Sesampainya kami ke bilik hotel di Pelangi Beach Resort, baru terasa penatnya. Langsir tebal berwarna kelabu dan langsir putih yang jarang ku selak ke tepi.  Oleh kerana bilik kami berada di tingkat 6, maka jelas kelihatan kepulan-kepulan awan putih di langit biru disimbah cahaya sang mentari petang melalui tingkap kaca.  Melihat ke bawah sedikit, pemandangan ombak bergulung yang memukul gigi pantai kelihatan tenang. Sungguh mendamaikan jiwa.  Percutian pertama-tama kali bersama suami amat menggembirakan aku, begitu juga Azry.  Kami merasa tersangat bahagia bersama, hilang segala masalah dan kekusutan yang melanda diri sebelum ini.  Benarlah kata pujangga, tak kenal maka tak cinta.  Petang itu kami menyusuri pantai Chenang yang indah.  Alunan lagu ombak yang berdesir di tepian pantai bagaikan membuai perasaan.  Ombak datang dan pergi tanpa jemu menyapa pantai dan begitulah kehidupan kita manusia, bahagia derita silih berganti tanpa dipinta.  Sesekali kami berlari anak pabila ombak datang menghampiri.  Tiba-tiba datang ombak yang agak besar menyimbah ke seluruh badan. Alang-alang sudah kebasahan Azry menarik tangan ku untuk terus mandi bersamanya di pantai.  Memang seronok sekali bila dapat berendam sehingga tersadai kepenatan di gigi pantai. 
Senja sudah hampir menjelang tiba dan kelihatan matahari sudah mulai terbenam. Cantik sungguh pemandangan senja di kaki langit dari tepian pantai Chenang ini. Indahnya ciptaan tuhan, maka bersyukurlah kita sebagai makhluk yang dicipta olehNya dapat menikmati keindahan itu.

Cuaca mendung dan hujan turun sejak malam tadi sudah beransur reda. Matahari mula menampakkan cahayanya, walaupun persekitaran masih lagi diliputi awan gelap. Diharapkan cuaca akan terang menjelang siang agar kita dapat menikmati pemandangan pagi yang indah.  Selepas menikmati sarapan pagi di cafeteria hotel Pelangi Beach Resort kami meneruskan perjalanan ke rumah pakcik Farok.  Jarak dari pantai Chenang ke kediaman pakcik Farok mengambil masa hanya 25 minit sahaja. Sesampainya kami di sana, pakcik Farok dan isterinya telah sedia menunggu kami. Rupa-rupanya hidangan sarapan pagi sudah siap terhidang.  Untuk tidak mengecilkan hati mereka, kami menjamah juga makanan yang dihidangkan walaupun kami masih kekenyangan.  Sebelum bertolak balik aku berikan buah tangan kepada makcik Eton isteri pakcik Farok yang ku belikan semalam di Pekan Kuah.
“Terima kasihlah banyak-banyak.  Buat susah-susah aje beli-belikan hadiah pulak ni” jelas terpancar kegembiraan di wajah makcik Eton.
“Apa yang susahnya makcik, simpanlah sebagai kenangan.  Ada umur kita jumpa lagi” aku berbasa basi. 
“A’ah kalau datang Langkawi ni, singgah-singgahlah ke rumah kami ni ye” berkali-kali makcik Eton mengulangi ayat-ayat itu.  
“Balik dulu ye makcik” kami pun bersalaman. 
“Kirim salam kat mama dan papa ye”.
“InsyaAllah…” kereta yang dipandu pakcik Farok perlahan-lahan meninggalkan halaman rumahnya dan aku melambaikan tangan kepada makcik Eton.  Makcik Eton juga melambai, semakin jauh dia kami tinggalkan.  Sesampainya kami di lapangan terbang, pakcik Farok menolong Azry mengeluarkan beg-beg kami dari bonet kereta.  Aku mengucapkan terima kasih kepada pakcik Farok kerana sudi meminjamkan keretanya untuk kami gunakan selama percutian ini lalu tangan saling berjabat.  Azry juga begitu, sambil bersalaman dia menghulurkan sedikit wang kepada pakcik Farok.  Beria-ia pakcik Farok enggan menerima pemberian itu. Dan beria-ia pula Azry meminta supaya pakcik Farok menerimanya. Dan akhirnya atas desakan Azry, pakcik Farok pun menerima pemberian ikhlas kami itu. 
“Jangan lupa kirim salam pada papa dan keluarga disana ya”.
“InsyaAllah, assalamualaikum…” tangan melambai dan kami terus berlalu dan hilang di tengah kesesakan orang ramai di lapangan terbang. 

Selepas check in, kami terus masuk ke balai berlepas dan tidak lama menunggu kami terus menuju ke pesawat yang telah sedia menunggu untuk terbang ke Kuala Lumpur.  Selamat tinggal Pulau Lagenda, akan aku simpan segala memori indah bersama mu.  

No comments:

Followers