Monday, March 28, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 5

.
  “Sara, cubalah senyum sikit.  Kejap lagi Azry nak masuk ke bilik sarungkan cincin” aku tersentak dari lamunan jauh.  Rupa-rupanya aku telah selamat diijabkabulkan.  Dengan sekali lafaz aku kini telah menjadi milik Azry.   Aduhai….Setitis airmata gugur juga.  Hangat terasa mengalir ke pipi. Terharu dan sedih bercampur baur.  Sepupu-sepupu yang sebaya, duduk menemani ku di kamar terkesima melihat aku berjuraian airmata. Kenapa agaknya pengantin menangis ya! Mungkin timbul persoalan itu di benak mereka, siapa tahu. 
Kak Min masuk ke bilik.  Langsir pintu merah jambu terselak.  Kak Min kelihatan anggun sekali.  Dia memakai baju kebaya pendek biru firus. Patutlah abang Fuad cemburukan isterinya. Kalau berjalan seorang, pasti orang menyangka dia masih anak dara walaupun sebenarnya telah melahirkan dua orang anak lelaki yang berusia sembilan dan enam tahun.  Kak Min tersenyum kambing tapi tetap manis.  Mama Azry berdiri di sebelah kak Min.  Menyusul Azry dibelakang mamanya lalu dia menghulurkan bekas cincin kepada Azry. Aku tunduk dan Azry membongkok.  Memegang tanganku dan menghulurkan sebentuk cincin emas bertakhta berlian lalu disarungkan ke jari manisku. Dengan spontan tidak perlu diarah, tangan Azry ku sambut dan ku cium penuh hormat.  Termeterailah ikatan yang sah diantara aku dan Azry sebagai suami isteri. Lalu dahi ku dikucup lembut.
“Ya Allah seandainya ini lah jodoh untuk ku, kau restuilah perhubungan ini. Biarlah kekal keakhir hayat. Semoga aku akan menjadi isteri yang baik di sisi suami yang bakal membimbing aku ke jalan yang kau redai, amin” di dalam hati kecil ku berdoa sambil melepaskan keluhan yang berat.  Aku pasrah…

Telah dua minggu aku bergelar isteri kepada lelaki yang bernama Mohd Azry. Dia begitu lembut dan penyayang terhadapku.  Kedua ibu bapa ku memuji-muji sikap Azry yang bersopan santun terhadap orang tua.  Memang dia pandai mengambil hati, pelembut, penyayang dan romantik juga orangnya.  Bila aku ingat-ingatkan perangai buruknya dahulu yang menyakitkan hati itu terasa pulak peliknya.  Perubahan yang amat ketara. Seminggu selepas mengadakan kenduri di rumahku, kami bersanding sekali lagi di rumah Azry pula.  Sambutannya sungguh meriah dan aku terasa bagaikan benar-benar seorang  puteri raja yang diberi layanan first class. Apa tidaknya, aku tidak dibenarkan langsung membuat apa-apa pekerjaan selain dari duduk di dalam bilik.  Apabila hidangan sudah siap terhidang, kak Rina akan memanggil aku untuk turun makan.  Rimasnya aku diperlakukan begitu.
“Ambil lauk tu Sara, jangan nak malu-malu pulak” suara ayah mertua ku memecah kesunyian waktu makan tengahari.
Azry yang duduk di sebelah mencedukkan gulai daging ke dalam pinggan ku. Aku makan dengan begitu tertib sekali.  
“Abang nak tambah nasi lagi?” Azry menoleh memandangku lalu menganggukkan kepala beberapa kali. Dia nampak berselera sungguh.  Mungkin ini lauk pauk kegemarannya, aku berteka teki. Gulai kari daging dengan ubi kentang, sambal tumis udang dengan petai, sayur kangkung bercili, ayam goreng berempah dan sambal belacan berulam mentimun. Tambahan pula masakan ibunya sendiri, air tangan ibulah katakan, tiada tandingannya. Sejurus selepas habis makan, aku mengangkat pinggan kotor ke sinki.  Aku cuba untuk membasuh pinggan yang ada tetapi di halang oleh mak Mah pembantu di rumah itu.  Dari ruang makan kedengaran suara mama melarang aku dari membuat kerja-kerja di dapur.  Dengan rasa serba salah aku tinggalkan semua kerja itu untuk dibereskan oleh mak Mah.  Aku sudah terbiasa dengan keadaan itu sebenarnya.    Di rumah ku tiada pembantu.  Semenjak anak-anak telah dewasa dan masing-masing sudah tinggal berasingan, ibu menguruskan segala-gala tugas di rumah sendirian dan aku akan membantu ibu apabila ada masa terluang. 
Azry datang menghampiri aku dan memimpin tangan ku ke ruang tamu. Di situ mama dan papa Azry telah menunggu sambil mengunyah buah limau manis dan tembikai yang sedia terhidang di atas meja kaca di hadapan mereka.
“Meh duduk sini makan buah, Sara”   pelawa papa.  Mama memandang dengan ekor matanya yang bundar seraya melemparkan senyuman. 
“Esok flight pukul berapa Azry?” papa memandang sekilas ke wajah ku dan beralih pandangan ke wajah Azry pula. 
“Pukul dua papa” jawab Azry sambil memegang sepotong tembikai di tangan. 
“Papa dah telefon pakcik Farok dan bagitau dia Azry nak ke sana besok.  Papa minta dia tunggu kat airpot dalam pukul tiga” beritahu papa sambil mengunyah tembikai. 
Aku dapat tahu bahawa Pakcik Farok ialah kawan lama papa semasa sama-sama mengerjakan haji tiga tahun lepas dan kebetulan juga mereka adalah kawan sekelas semasa di sekolah menengah tinggi dahulu.
“Pakcik Farok pesan tak payah sewa kereta, dia akan bagi pinjam kereta dia” sambung papa lagi. 
“Tak apalah, nanti papa tolong bagikan nombor telefon pakcik Farok ya papa, nanti Azry akan call dia” papa mengangguk. 
“Dah siap packing ke?“ tanya mama yang berdiam sejak tadi. 
“Belum lagi ma, kejap lagilah kot” ujarku sepontan. 
“Kalau sampai sana nanti jangan lupa belikan papa souvenir” pesan papa pula dengan sekuntum senyuman di bibir.  Ayah mertua ku memang gemar mengumpul souvenir  dari tempat-tempat yang pernah dilawati samada atas tiket percutian atau tugasan.
“InsyaAllah, kami takkan lupa” jawab Azry penuh mesra sambil bergelak ketawa, aku menumpang senyum.
Mama yang duduk di sebelah suaminya menggelengkan kepala, senyuman tidak lekang dari bibirnya. Mama memang nampak jauh lebih muda dari usia sebenarnya. Mungkin kerana faktor kehidupan mereka yang mewah dan tidak stress menjadi sebab mengapa dia kelihatan awet muda. 
“Ma, pa, kami masuk bilik dulu nak packing pakaian” aku berbasa basi dan tunduk hormat ketika melintasi mereka apabila Azry mengajak aku ke bilik untuk mengemaskan beg pakaian.  Aku mengekori Azri dari belakang. 
Esok aku dan Azry akan ke Pulau Langkawi untuk berbulan madu.  Kami akan berada di sana selama 4 hari 3 malam.  Buat masa terdekat ini, itu adalah destinasi pilihan kami bersama memandangkan Azry punya banyak tugas penting yang harus dibereskan di pejabat. 
“Kali ni kita pergi Langkawi je dulu ya sayang, InsyaAllah bila abang dah agak free sikit kita pergi second honeymoon kat tempat yang lagi best, ok!” janji Azry, tangan ku diusap lembut. 
“Boleh abang tahu, Sara nak pergi mana untuk kita punya next honeymoon?” soal Azry lalu tangan ku dikucup mesra. 
Aku terdiam dan berfikir sejenak, “Bali” aku menyebut separuh menjerit.
“Ohh! tempat tu memang romantik, abang pun tak pernah pergi, InsyaAllah satu hari nanti abang pasti bawa Sara ke sana” Azry mengukir senyuman.  Kebahagiaan jelas terpancar ke air muka  Aku juga dapat merasakan kebahagiaan itu.
Bali tunggu! aku akan datang ke daerah mu” aku berlagu di dalam hati.   
Aku mula memasang angan-angan.  Tentu seronok berada di sana bersama seorang lelaki yang bergelar suami.  Tiada hijab dan halangan diantara kami.  Kami bebas ke mana-mana, kami boleh berbuat apa saja yang kami suka.
“Ha! tersenyum-senyum tu kenapa? Berangan ye” usik Azry lalu pinggang ku digeletek dan aku mengekek kegelian. 
Azry terus menggeletek keseluruh tubuh badan ku dan aku  tertawa manja.  Tubuh Azry yang sasa ku peluk erat.  Dan Azry membalas dengan pelukan yang lebih erat lagi, hampir lemas aku dibuatnya.  Dan bibir kami bertaut…Dua jasad pun menjadi satu.

Penerbangan kami ke Pulau Langkawi dijadualkan berlepas pada pukul 2.00 petang dari KLIA dan kami seharusnya berada lebih awal satu jam dari waktu penerbangan.  Awal pagi lagi mak Mah telah mulai sibuk di dapur untuk menyediakan makanan tengahari.  Mama sibuk mengingatkan kami untuk makan tengahari di rumah sebelum bertolak ke lapangan terbang.  Jam 11.35 pagi kedengaran pintu kamar diketuk dari luar.  Aku sedang ralit memasukkan barang-barang keperluan ke dalam poket beg yang sudah sarat penuh dengan bekalan baju-baju aku dan Azry.  Azry pula ketika itu berada di bilik air.  Dengan langkah yang malas aku berjalan menuju ke pintu.  Tombol pintu berwarna silver ku genggam kemas lalu ku tarik perlahan dan daun pintu pun terkuak sedikit.  Kelihatan mak Mah sedang tercegat di depan pintu. 
“Ya mak Mah, ada apa?”, soal ku sebaik melihat wajah mak Mah. 
“Makanan dah siap mak Mah hidangkan, mama dan papa dah panggil turun tu”, ujar mak Mah yang lebih kurang sebaya ibu ku. 
Dia begitu lemah lembut orangnya, penuh sifat keibuan.  Hari pertama aku di sini mak Mah memanggil aku dengan gelaran cik puan.  Terasa kekok dipendengaran ku dan aku  mengingatkan mak Mah untuk tidak memanggil aku dengan gelaran itu lagi, cukup sekadar memanggil nama ku sahaja.  Itu telah memadai. 
“Azry tengah mandi, sekejap lagi kami turun ya”  mak Mah terus berlalu menuruni anak tangga sebaik sahaja aku memberi jawapan itu. 
Pintu bilik air ku ketuk perlahan supaya Azry segera keluar dari situ.  Mandi ke berendam? getus ku di dalam hati.  Sekonyong-konyong Azry pun keluar dari bilik air sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala kecil berwarna biru.  Dia menghampiri aku lalu pinggang ku di peluk dari belakang. 
“Eh eh abang, Sara dah mandi tau.  Tu mama dengan papa dah tunggu kita kat bawah.  Cepat sikit siap, mandi berjam-jam, mengalahkan orang perempuanlah abang ni” omel ku. 
Azry menunjukkan wajah selamba, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.  Zip beg ku tarik perlahan. Beg telah tertutup kemas. 
“OK beres” beg yang besar itu ku tarik sehingga ke depan pintu. 
Azry sudah lengkap berpakaian.  Dia mengenakan seluar jeans biru dengan baju-T berkolar warna ungu lembut.  Azry masih membelek-belek wajahnya di depan cermin.  Rambutnya sekejap disikat ke belakang dan sekejap dibelah ke tepi.
“Sudahlah tu bang” tegur ku. 
“Iyalah abang dah siaplah ni” Azry menepuk punggungku dari belakang.  Aku segera menoleh dan sempat satu kucupan hinggap di pipi kananku.

Selesai makan tengahari bersama mama dan papa, aku mendapatkan mak Mah di dapur.  Ku hulurkan tangan untuk bersalam.  Sebelum menyambut salam ku mak Mah mengelap kedua-dua tangannya dengan kain batik sarung yang dipakainya. 
“Selamat pergi dan balik ya Sara” suara mak Mah lembut seperti seorang ibu memberi pesanan kepada anak kecilnya dan aku mengangguk.  
Aku bergegas ke ruang tamu untuk mendapatkan Azry ku.  Mereka sudah menunggu aku di luar rumah.  Aku mendapatkan mama dan papa lalu bersalaman dan mencium tangan mereka.
“Pergi dulu ya ma, pa” ujar ku sambil melambaikan tangan. 
Aku mengatur langkah mengekori Azry dari belakang dan terus masuk ke perut kereta Perdana V6 yang dipandu oleh pak Mail, pemandu peribadi papa.   Dalam perjalanan ke lapangan terbang, Azry menyuruh aku menghubungi ibu dan ayah.  Talipon bimbitnya dihulurkan kepadaku.  Lama deringan berbunyi sebelum kedengaran suara ibu sayup menjawab talipon di hujung talian.  Kata ibu, ayah tiada di rumah ketika itu dan ibu sedang membasuh pinggan di dapur sewaktu talipon berdering. 
“Sara dengan Azry on the way ke airport ni bu”  Azry mengenggam erat tangan ku.   
“Kirim salam pada Azry, jaga diri baik-baik kat tempat orang” nasihat ibu.  Begitulah sikap ibu walaupun aku sudah menjadi isteri orang, dia masih risaukan tentang diriku.  Masih memberi aku nasihat seperti dulu.
“Kirim salam pada ayah ye, nanti sampai sana kami talipon lagi, assalamualaikum..”, butang merah di telefon bimbit ku tekan sebaik ibu menjawab salam ku.  Aku merasa sebak.  Walaupun baru semalam kami bertemu tetapi perasaan rindu pada mereka datang  juga menerjah. 

Penerbangan selama satu jam bagaikan tidak terasa.  Sepanjang perjalanan ada sahaja cerita dari Azry.  Azry memang suka bercerita dan berjenaka, tanya apa saja isu pasti dia akan menceritakan segala-galanya dengan lebih detail.  Itu yang membuatkan kasih ku tertumpah penuh padanya.  Lupa segala peristiwa yang melanda diriku sebelumnya. Ohh… Azry…


No comments:

Followers