Saturday, March 26, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 4

.
Hari ini hari yang ditunggu-tunggu dengan penuh debaran tiba jua.  Semua pelajar-pelajar tingkatan 5 seluruh Malaysia akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serentak.  Pagi tadi aku telah terjaga dari tidur seawal 5.30 pagi.  Deringan jam loceng yang setia menjalankan tugasnya setiap pagi untuk mengejutkan aku dari beradu, tidak pernah gagal berbuat demikian.  Terbuka saja mata dari lena yang panjang, syukur Alhamdulillah ku panjatkan kehadrat Illahi kerana memanjangkan umur ku lagi ke hari ini.  Aku menggeliat di atas tilam empuk.  Dengan bermalas-malasan ku capai tuala mandi yang tersangkut di belakang kerusi yang berhampiran.  Aku ke bilik air yang sedia ada di dalam bilik.  Selepas membersihkan diri, aku berwuduk.  Sejadah dan telekung yang bersidai ditempatnya ku capai.  Solat Subuh dua raka’at ku tunaikan dengan penuh kusyuk dan tawaduk.  Selepas memberi salam, kedua-dua tangan ku tadah memohon doa.   “Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibubapaku.  Kau limpahkanlah aku taufik dan hidayah Mu.  Jauhilah aku dari kesesatan dan kemungkaran.  Berikanlah aku kesejahteraan dan kebahagian hidup dunia dan akhirat.  Kurniakanlah kesihatan badan dan limpahkanlah aku rezeki yang luas dan halal.  Ya Allah! Terangkanlah hatiku.  Berikanlah aku ketenangan dan kesabaran  dalam menghadapi peperiksaan.  Semuga aku dan kawan-kawan ku berjaya di dalam peperiksaan ini.  Amin ya rabbal alamin”.   Kedua-dua tangan ku raupkan keseluruh wajah usai doa dibaca.
Aku telah bersiap dengan pakaian seragam sekolah, baju kurung putih berkain biru muda.  Rambut panjang ku, didandan dan dihiasi reben putih.  Dengan berlari-lari anak aku menuruni anak tangga.  Di meja makan kelihatan ayah dan ibu sedang menikmati sarapan pagi.  Ako tidak kelihatan.  Cuti-cuti sekolah begini, selalunya dia lambat tidur kerana leka bermain play station dan tentunya lewat bangun pagi.   Ayah sedang menghirup kopi dan ibu pula sedang menyapu majerin ke atas roti.  Di atas meja terhidang mihun goreng masakan ibu pastinya.   Tiada suara kedengaran melainkan bunyi cawan dan sudu berlaga sesama sendiri.
 “Assalamualaikum” ucapan salam ku memecah kesunyian itu.  Ibu dan ayah menoleh. 
“Wa’alaikumussalam” ibu dan ayah menjawab salam ku serentak. 
“Meh duduk sarapan” pelawa ibu sambil menuangkan air kopi ke cawan.  Cawan yang telah berisi dihulurkan, aku segera menyambutnya dari tangan ibu. 
“Hari ni ayah hantar Sara pergi sekolah ya” senyuman ayah melegakan perasaan gundah ku. 
“Eh tak payahlah, ayah.  Nanti ayah pulak yang lambat ke pejabat” mihun goreng ku suapkan ke mulut. 
“Hari ni ayah ada mesyuarat pukul 10, so ayah pergi office lambat sikit”  ujar ayah lagi yang beria-ia mahu menghantar aku. 
“Ok!” kata-kata ayah ku balas pendek sambil menganggukkan kepala tanda setuju. 

Sejurus selepas habis sarapan aku mendapatkan ibu dan menghulurkan tangan untuk bersalaman.  Ku kucup tangan ibu.
“Pergi dulu bu”. 
“Ingat! sebelum baca soalan tu, baca bismillah dulu.   Jangan tergopoh-gapah.  Baca soalan betul-betul”  ibu mengingatkan aku dan aku tahu ibu yang lebih nervous dari aku. 
“Iyalah bu” jawab ku manja sambil melambai tangan kepada ibu yang sedang berdiri di muka pintu. 


Hari ini masuk hari yang kelima peperiksaan SPM berjalan.  Sementara menunggu paper disebelah petang yang akan bermula pada jam 2.30, aku duduk berbual-bual dengan Nor Asyikin dan Zulaikha di tepi bangunan berhampiran padang sekolah. 
“Seronoknya periksa dah nak habis” kata Zulaikha sambil bertepuk tangan, kemudian mengangkat baju kurung putihnya untuk duduk di atas batu di sebelah ku. 
“Seronok memanglah seronok, tapi kau lupa ke lepas tu kita dah tak jumpa macam selalu.  Kita dah tak datang sekolah lagi macam biasa” sampuk Syikin sejurus Zulaika berhenti bercakap. 
“A’ah eh, ya tak ya jugak.  Tapi tak kisahlah, yang penting kita dah tak perlu baca buku lagi, tak payah buat homework dan yang lebih seronoknya kita tak lagi dengar cikgu Bedah mak tiri kita yang garang gila tu membebel-bebel” kata-kata Zulaikha itu disambut dengan deraian ketawa.  Tiba-tiba muncul Zahirah dan Shahidah dari arah kantin. 
“Oi! Buruknya anak dara ketawa mengilai-ngilai macam pontianak je.  Dari jauh dah dengar kauorang ketawa tau tak?” tegur Shahidah, Zahirah di sebelahnya menganggukkan kepala mengiakan kata-kata Syahidah itu sambil menyeringai.  
“Alah nak bergurau senda pun tak boleh ke?” balas Zulaikha pula.  Lirik matanya menjeling ke arah Shahidah.
“Tak adalah, lain kali nak buat lawak tu panggillah kitorang join sama” Shahidah menepuk bahu Zulaikha sambil mengekek-ngekek. 
“Eh dah pukul berapa ni?” Syikin menarik tangan ku untuk melihat jam di tangan kiriku. 
“A’ahlah dah pukul 2, jomlah” aku bingkas bangun dari tempat duduk dan kami berdedai-dedai ke dewan peperiksaan.  

Sebahagian ruang dewan peperiksaan yang besar itu telah dipenuhi oleh pelajar-pelajar.  Mata ku melilau mencari-cari kelibat lelaki itu.  Sudah beberapa hari aku tidak melihat dia.  Rasa rindu pula dengan senyuman dan gurau sendanya.  Dia tidak kelihatan di tempat duduknya.  Dimana dia?  Tiba-tiba ekoran anak mata ku terhenti pada satu susuk tubuh yang sedang berjalan.  Aku memerhatikan dia yang sedang mengorak langkah menuju ke tempat duduknya.  Dia menoleh ke arah ku.  Mata kami bertemu.  Dia hanya memandang ku sekilas.  Tiada senyuman untuk ku seperti selalu.  Aku terkedu.  Kerana sibuk dengan peperiksaan yang dihadapi aku tidak berpeluang untuk berjumpa Irfan untuk memohon kemaafan diatas insiden yang telah berlaku kelmarin.  Aku terpaksa melupakan perkara-perkara itu buat sementara waktu.    

Hari ini merupakan kertas akhir bagi ku.  Kertas Sejarah dijadualkan bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir sehingga jam 10.30 pagi.  Kertas soalan ku jawab dengan teliti.  Soalan dan jawapan ku baca berulangkali.  Dewan peperiksaan sunyi sepi.  Semua pelajar-pelajar sedang kusyuk menulis jawapan di atas kertas yang telah disediakan.  Kelihatan Pegawai Peperiksaan berjalan mundar mandir memerhatikan dan mengawasi pelajar-pelajar.  Apabila jam di tangan menunjukkan ke pukul 10.15, pelajar-pelajar mulai beransur-ansur keluar meninggalkan dewan.  Tepat jam 10.30 semua pelajar-pelajar yang masih ada diarahkan untuk berhenti menulis.  Kertas-kertas jawapan ku susun kemas dan ku tinggalkan di atas meja.  Aku bingkas bangun dan bergegas keluar dari dewan.   

Aku harus pulang awal hari ini kerana bibik Nia telah pulang bercuti ke Indonesia tiga hari lalu kerana melawat kaum keluarganya disana.  Ibu pula menemani ayah ke Port Dickson.  Kebetulan ayah ada seminar di sana pagi ini.  Di sebelah petangnya pula ayah di jemput untuk hadir kejamuan hi-tea di Hotel Guoman bersama-sama ibu.  Kemungkinan ayah dan ibu akan pulang lewat malam sebaik jamuan berakhir. 

Aku telah berjanji pada Ako yang aku akan pulang awal sejurus peperiksaan ku tamat.  Aku harus tepati janji ku padanya.  Aku tidak mahu Ako tertunggu-tunggu.  Sesampai aku di rumah, ku dapati daun pintu berkunci.  Puas ku beri salam dan daun pintu ku ketuk berkali-kali tetapi tiada jawapan kedengaran.  “Oh ya nasib baik ada spare key”, aku mengingatkan diriku tentang kunci pendua yang ku simpan di dalam beg.  Aku pun meraba-raba beg sekolah yang ku sandang di bahu.  Bunyi kunci berlaga-laga kedengaran sejurus ianya ku capai.  Aku pun membuka pintu menggunakan kunci pendua itu.  Ako tidak kelihatan di ruang tamu tetapi kipas siling berputar ligat tanpa ditutup, aku tekan suis off dan perlahan-lahan kipas pun berhenti berpusing.  Pasti dia berada di biliknya dan sedang leka bermain dengan play station, duga ku
“MasyaAllah! Apa dah jadi ni?  Bersepahnya macam dilanda puting beliung” aku terkejut dengan keadaan ruang dapur yang berselerak sebaik aku masuk ke ruang itu untuk mengambil air untuk menghilangkan dahaga.
Beg yang ku sandang ku letakkan di atas kerusi.  Aku capai kain pengelap meja lalu ku lap air yang tumpah di atas kabinet dapur.  Cawan-cawan dan pinggan-pinggan yang bersepah dan masih ada sisa makanan ku letakkan ke dalam sinki basuh.
 “Pengotor betullah Ako ni, bukannya dia nak kemas.  Baru aje sekejap dia kena tinggal sorang kat rumah dah macam nak terangkat rumah ni.  Nak kena dia ni!” aku membebel sambil pinggan-pinggan dan cawan-cawan yang berada di dalam sinki habis ku cuci dan ku toskan di tempat pengering.  Geram betul aku dengan perangai adik ku yang seorang itu.  Setelah siap berkemas aku bergegas menaiki anak tangga sambil melaungkan nama Ako.  Senyap dan sunyi, panggilan ku tidak bersahut.  Ku hampiri biliknya dan daun pintu ku buka. 
“Astagafirullahalazim”  aku beristigfar panjang. 
“Membuta rupanya dia.  Patutlah akak panggil jerit-jerit tak dengar.  TV terbuka, bukan dia tengok TV, TV yang tengok dia”  aku mengomel lagi dan terus menekan punat TV.  Ako kelihatan begitu lena lelapnya.

            Aku menghempaskan tubuh ke atas tilam empuk.  Seronoknya kalau dapat bergolek-golek di atas katil seperti ini.  Terasa lapang fikiran dan minda kerana peperiksaan SPM telah pun berakhir.  Tiba-tiba bayangan wajah Irfan muncul di depan mata.  Kenapa dengan dia?  Apa sebenarnya yang berlaku antara dia dan Aisyah? Aku pun satu, kenapa tidak beri dia peluang untuk berterus terang?  Radio yang terletak di atas meja sisi katil, ku on kan.  Kebetulan lagu Berdiri Seorang Perindu sedang berkumandang.  Sedap pula lagu ini.  Sesuai sungguh dengan suara penyanyinya Ibnor Riza yang  garau dan mendayu-dayu.  Membuatkan aku dibuai perasaan.

            Aku terjaga apabila terdengar pintu bilik ku dibuka dari luar.
“La… tidur.  Dah lama ke akak balik?” soalan Ako tidak ku jawab.  Ya Allah! Aku tertidur rupanya.  Aku pun terpisat-pisat bangun dan duduk di birai katil. 
“Pukul berapa ni Ako?” aku mengeliat kecil sambil menguap, masih lagi ada sisa kantuk. 
“Tak dengar azan yang melaung-laung tadi ke, itulah bukak radio macam orang pekak?” sindir Ako. 
“Ewah ewah, sedap aja mulut dia cakap aku macam orang pekak, yang dia tu bersepah-sepahkan rumah, aku pulak yang tukang kemas, aku tak kecoh pun” getus ku di dalam hati. 
“MasyaAllah! Dah masuk waktu zohor ke?”.  
Patutlah perut aku berkeroncong, rupanya dah sampai waktu untuk makan tengahari.  Nasib baik ibu sudah menyediakan makanan tengahari untuk kami.  Sebelum ibu pergi tadi ibu ada berpesan supaya aku memanaskan lauk asam tumis ikan keli dan sup sayur campur didapur.  Dan kalau aku rajin aku boleh goreng ayam yang telah siap diperap yang disimpan di dalam fridge.   
“Ako pergilah kat bawah dulu, kejap lagi akak datang.  Akak nak mandi kejap.  Kalau rajin boleh tolong panaskan nasi tak?”  Ako mengerutkan muka. 
“Alah tekan je butang pemanas tu, bukannya suruh masak nasi, itu pun susah ke?” jerkah ku geram.
“Eh eh, orang tak kata apa-apa pun, akak ni kenapa nak marah tak tentu pasal? Menggigau ke?” Ako menggaru-garu kepalanya dan berlalu pergi.


                        Seperti yang telah kami rancangkan, hari ini aku ke sekolah jam 10.00 pagi. sudah dua hari aku tidak berjumpa dengan kawan-kawan sekolah semenjak paper akhir hari selasa lalu.  Terasa rindu pula dengan mereka.  Zahirah, Shahidah, NorAsyikin, Zulaikha dan beberapa lagi pelajar-pelajar perempuan yang lain sudah berada di situ.  Mereka sedang sibuk menghidang makanan di atas meja utama.  Manakala pelajar-pelajar lelaki, Saiful, Qayyum, Aiman, Haikal dan beberapa orang lagi sedang menyusun kerusi dan meja. 
“Awalnya mereka sampai, Irfan mana?” bisik ku sendirian apabila kelibat lelaki itu tidak kelihatan.  Di sudut lain yang berselindung di sebalik tiang besar di luar kelas, aku ternampak Irfan dan Aisyah sedang membancuh air minuman sambil bergelak ketawa.
“Irfan dan Aisyah lagi? Amboi mesranya” perasaan cemburu menyelinap ke jantung hati.   Aku segera mengalihkan pandangan pada kawan-kawan yang sedang duduk berkumpul sambil bergurau senda.  Sesekali aku tersenyum melihatkan gelagat mereka. 
“Tuan puteri baru sampai ya”  Zulaikha menegur.  Kawan-kawan yang lain hanya tersenyum memerhatikan Zulaikha yang suka berlawak itu.  Aku menghampiri mereka. 
“Silakan duduk tuan puteri, biar hamba-hamba semua ni yang buat kerja” Zulaikha cuba bergurau lagi sambil menarik kerusi untuk aku duduk.  Aku tidak terus duduk sebaliknya aku menghampiri Shahida dan Nor Asyikin yang leka memotong buah tembikai di meja utama.   Sekeping buah tembikai yang telah siap dipotong ku masukkan ke mulut. 
“Emm manisnya, semanis orang yang memotong”, aku memuji. 
Shahidah dan Syikin tersipu-sipu memandang di antara satu sama lain, kembang kempis hidung mereka dengan pujian ku itu.  Hidangan sudah siap terhidang di atas meja utama. Guru-guru yang dijemput akan datang pada pukul 12 tengahari.  Setelah semuanya sempurna dan siap kami pun duduk berlonggok melepaskan rindu masing-masing.  Ada sahaja cerita yang kami kongsikan bersama.  Sesekali mata ku mengerling ke arah Irfan, dan aku perasan Irfan juga mencuri pandang dari jauh ke arah ku. 
“Assalamualaikum!” kedengaran suara memberi salam. Cikgu Mazlin, cikgu Maimun, cikgu Zabedah, cikgu Hamdan dan cikgu Meor datang berkumpulan.  Salam cikgu kami jawab beramai-ramai serentak. 
“Silakan duduk cikgu-cikgu” Shahidah menjemput guru-guru kami yang mengajar kelas 5 Sastera 2 masuk ke dalam kelas.  Kami telah susunkan sebaris kerusi khas untuk guru-guru yang hadir.  Manakala kami duduk mengelilingi meja utama di mana hidangan disediakan.  Setelah cikgu-cikgu semua mengambil tempat duduk masing-masing, Nizam ketua kelas kami tanpa berlengah-lengah berdiri untuk memberikan ucapan. 
“Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.  Disini izinkan saya sebagai wakil tingkatan 5 Sastera 2 untuk merakamkan ribuan terima kasih di atas kesudian cikgu-cikgu kerana hadir pada hari ini.  Hari ini kami adakan majlis ini khas untuk cikgu-cikgu semua bersempena hari terakhir kami di sekolah ini”.  Nizam memulakan ucapan dengan suara yang terketar-ketar sambil memegang kertas yang bertulis di tangan kanannya.  Semua mata tertumpu ke arah Nizam yang sedang berdiri diantara Irfan dan Haikal. 
“Banyak jasa-jasa cikgu-cikgu sekelian terhadap kami.  Segala usaha dan didikan yang cikgu berikan takkan kami lupakan selagi hayat dikandung badan.  Terima kasih cikgu-cikgu.  Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa bakti cikgu-cikgu semua.  Izinkan juga kami menyimpan kenangan-kenangan indah kita bersama di lipatan hati.  Doakanlah kami agar dapat meneruskan cita-cita murni yang selalu cikgu-cikgu semaikan ke dalam jiwa kami.  Akhir kata, ampun dan maaf kami pohon dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki”  suara Nizam terputus-putus, suaranya sebak, kami juga terasa kesedihannya.  
“Banyak dosa-dosa kami terhadap cikgu-cikgu semua kerana selalu ingkar nasihat cikgu, melawan cakap cikgu dan tidak membuat kerja-kerja sekolah seperti yang disuruh.  Kami berharap sangat suatu hari nanti kita akan berjumpa dan dapat bersama-sama lagi seperti ini, InsyaAllah.  Terima kasih sekali lagi dan dijemput semua cikgu-cikgu dan kawan-kawan menjamu selera.  Ini sahaja yang dapat kami sajikan sebagai juadah untuk semua.  Sebelum itu, saya mempersilakan cikgu Mazlin untuk memberi ucapan sepatah dua kata yang mungkin boleh memberi semangat dan bimbingan untuk masa depan kami semua, dengan hormat dipersilakan cikgu Mazlin”.  Nizam menjemput cikgu Mazlin untuk memberi ucapan pula bagi wakil guru-guru.  Cikgu Mazlin pun berdiri sambil membetulkan kedudukan cermin matanya. 
“Assalamualaikum wbt kepada pelajar-pelajar saya Tingkatan 5 Sastera 2 dan cikgu-cikgu sekelian yang ada.  Pertama kali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas jamuan yang diadakan dan menjemput kami guru-guru ke majlis yang berbahagia ini.  Syukur Alhamdulillah peperiksaan SPM sudah pun selesai.  Saya berharap begitu juga harapan cikgu-cikgu yang lain di sini supaya kamu semua akan mendapat keputusan yang baik, InsyaAllah.  Semoga kamu semua sukses dalam apa jua bidang yang diceburi”, kata-kata cikgu Mazlin terhenti disitu.  Dia kelihatan seperti menahan sebak, suaranya bagai tersekat di kerongkong.  Cikgu Mazlin menundukkan kepala.  Semua terdiam dan terharu.  Cikgu Mazlin kelihatan begitu ayu dengan baju kurung pesak berwarna hitam berbunga kuning.  Beberapa pelajar perempuan ku lihat mengesat airmata yang tidak dapat ditahan.  Begitu juga aku.  
“Baiklah saya tidak mahu membuang masa lagi. Akhir kata, maaf juga saya pohon dan mewakili semua cikgu-cikgu berharap agar kamu semua berjaya dan jangan lupa kami cikgu-cikgu di sini.  Terima kasih. Assalamualaikum wbt” cikgu Mazlin mengakhiri ucapannya dan kembali duduk di bangku. 
“Terima kasih cikgu Mazlin dan sebelum itu kita minta saudara Aiman untuk membacakan doa”.   Aiman pun berdiri dan menadah tangan membaca doa.   Kami juga ikut menadah tangan dan mengaminkan doa-doa yang dibacanya.  Jamuan makan dimulakan usai doa dibaca.  Sambil makan kami mengambil peluang untuk berbual-bual mesra. 
“Lepas SPM ni kau nak buat apa Zahirah?” soalan ku aju. 
“Aku nak tolong kakak aku jaga kedai bunga dia.  Dia ada offer aku hari tu, tapi aku ingat nak relax dulu seminggu dua” kata Zahirah sambil menyuap makanan ke mulut.
“Kau macamana?”. 
“Aku ingat nak cari kerja part timelah, duduk rumah pun boring jugak”  jawab ku dengan serius. 
 “Aku dengar ada orang tu nak bertunang lepas SPM ni dan kalau tak pass periksa nak terus kahwin” celah Nor Asyikin pula.
“Engkau ni pandai-pandai aja eh, pelease….” Zulaikha menjeling manja.
“Eh kau terasa ke? Aku tak sebut nama pun”  balas Nor Asyikin lagi.
“Siapa termakan cili dialah yang terasa pedas”  Shahida pula menyampuk.  Kami pun ketawa terkekeh-kekeh.  
Aisyah tiba-tiba menghampiri dan duduk di sebelah kerusi ku yang kosong.  “Sara, dah lama kita tak berbual.  Aku tengok sejak akhir-akhir ni kau macam nak lari aje dari aku, kenapa?”.   
“Tak ada apa-apalah Aisyah, kitakan sibuk dengan SPM, lagi pun bila balik aje dari sekolah aku terus balik rumah sebab banyak kerja nak buat, kau macammana? Peperiksaan pun dah habis, kau nak buat apa lepas ni?” tanya ku ramah menyembunyikan perasaan sebenar.
“Aku nak balik kampung jenguk nenek aku dan mungkin aku akan duduk sana dalam seminggu dua. Dah lama tak balik kampung, rindu pulak dengan nenek dan masakan nenek aku. Kau nak ikut tak?” Aisyah berbasa basi. 
“Tak apalah Aisyah, aku kesian kat adik aku, kalau aku tak ada sunyi pulak dia nanti” ku renung wajah Aisyah yang pernah satu ketika begitu rapat dengan aku tetapi tiba-tiba terasa begitu jauh dan terasing.   

Sebelum bersurai kami semua bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan.  Ada yang tidak dapat menahan kesedihan.  Ada juga yang menangis teresak-esak. 
“Terima kasih cikgu, saya minta maaf banyak-banyak kalau ada kesalahan saya pada cikgu selama ini. Doakan kejayaan saya cikgu” aku cium tangan cikgu dan ku peluk cikgu Mazlin erat. 
Memang kesedihan ini tidak dapat dibendung lagi.   Hubungan kami sudah seperti adik-beradik.  Airmata yang bergenang tidak dapat ku tahan lagi.  Aku memeluk sahabat-sahabat ku seorang demi seorang dan saling mengingatkan mereka supaya tidak melupakan aku.  Tidak lupa kepada sahabat-sahabat lelaki pula, aku sekadar menghulurkan tangan untuk bersalaman dan berpesan agar keep in touch
Irfan Effendy! Kedua-dua tangan kami berjabat mesra tapi lidah bagai kelu untuk berkata-kata. 

“Ini bukan salam perpisahan tetapi salam bermulanya sebuah perhubungan” Irfan menggenggam tangan ku erat.  Pandangan mata kami bertemu.  Meremang bulu roma dibuatnya.  Aku segera menarik tangan ku dari genggamannya. Begitu dalam sekali maksud kalimah-kalimah yang terucap dari bibirnya itu.  Aku gembira bercampur terharu. 

No comments:

Followers