Wednesday, March 23, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 3

.
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi.  Kami pelajar-pelajar tingkatan 5 mulai sibuk dengan gerak gempur untuk menghadapi peperiksaan besar itu.  Setiap hari selepas waktu sekolah pula aku akan mengisi masa di Pusat Sumber.  Lebih selesa rasanya membuat ulangkaji di situ dari di rumah.  Almaklum lah kalau di rumah banyak gangguan-gangguan yang tidak diduga boleh berlaku. 
Sudah tiga hari aku tidak berjumpa dengan Irfan.  Perasaan rindu tiba-tiba datang menyapa.  Eh kenapa dengan aku ni?  Walaupun dekat tetapi jauh.  Memang kami selalu terserempak di dalam kelas dan kekadang bertembung diwaktu rehat atau sewaktu beratur semasa assembly tetapi tidak berkesempatan untuk bertegur sapa.  Semakin hari peperiksaan kian dekat, rasanya waktu semakin cepat datang dan pergi.  Begitu juga keadaan kami yang semakin kalut untuk membuat persediaan itu.  Sesekali aku perasan dia mengintai aku dari jauh.  Begitu juga aku sempat mengerling dia di tengah antara kawan-kawannya.  Aku tersenyum sendirian bagai ada sesuatu yang mencuit perasaan.  Aku ni kena penyakit angau agaknya, bisik ku di dalam hati.

Seperti petang-petang semalam dan kelmarin aku ke Pusat Sumber lagi.  Seperti berjanji Irfan juga ada di situ bersama beberapa kawan-kawannya yang lain.  Begitu tekun nampaknya mereka mentelaah.  Irfan ku lihat sedang mencatat sesuatu di atas buku sehingga tidak perasan langsung aku bersama Shahidah, Zahirah dan Syikin yang datang menghampiri mereka. 
“Hai asyiknya membaca, sampai mak mentua lalu pun tak nampak” tegur Shahidah perlahan. 
Semua mata tertumpu pada kami serentak.  Suara Shahidah itu rupanya didengar oleh sebahagian penghuni Pusat Sumber yang berdekatan dengan tempat laluan kami.  Suasana yang sunyi membuatkan suaranya yang disangka perlahan itu menjadi perhatian. 
“Syyyy….” kelihatan pengawas Pusat Sumber memberi amaran supaya senyap, jangan membuat bising sambil jari telunjuknya diletakkan di bibir.  
Aku, Syikin, Zahirah dan Shahidah berlalu dari situ dengan tersipu-sipu.   Kami duduk di meja yang tidak berapa jauh dari meja Irfan dan kawan-kawannya.  Mereka kelihatan berbisik-bisik dan ketawa tanpa suara.  Lucu sangatlah tu.   
            Buku di atas meja ku selak mukasuratnya satu persatu.  Ku garu kepala yang tidak gatal dengan pen di tangan.  Mata ku tidak lepas dari memandang Irfan yang duduk membelakangkan aku.  Shahidah dan Syikin sibuk menyalin nota dari buku rujukan yang diambil dari rak buku di situ.  Zahirah telah hilang dari tempat duduknya.  Aku sangkakan dia pergi mencari buku, rupanya dia ku lihat duduk berbual dengan Saiful di meja lain.  Aku pun menarik kerusi perlahan dan menuju ke rak buku yang mengandungi novel-novel cinta remaja.  Novel HATIMU UNTUK SIAPA nukilan HM TUAH ISKANDAR menjadi perhatianku.  Buku itu ku capai.  Ku belek dan ku baca synopsisnya di belakang kulit buku.  Menarik juga ceritanya.  Tak apalah, dah habis periksa nanti bolehlah aku baca buku ni, desis hatiku.  Aku pun meletakkan semula novel itu di tempatnya. 
 “Ha! kat sini rupanya awak ya!” satu suara yang tidak asing dipendengaran ku menegur.  Dia berdiri begitu hampir di belakangku.  Terkejut aku dibuatnya dan dengan pantas aku menoleh ke belakang, aku dapat merasakan wajahku begitu dekat sekali dengan wajahnya.  Aku terkedu.  Dia pun tersentak.  Dan kami terdiam kaku begitu buat seketika.  Sejurus kemudian aku mengundurkan badan ku ke belakang sedikit. 
“Eh awak ni, terkejut saya” wajah ku serius. 
“Wangilah rambut awak, awak pakai syampu Follow Me ke?” Irfan cuba mengusik.
“Tak adalah, pandai-pandai aje awak ni” suara ku agak keras tetapi perlahan.
            “Sombong ya awak sekarang?  Nampak saya pun dah tak mahu tegur” Irfan menarik rambut panjang ku yang aku ikat satu ke belakang. 
“Siapa yang sombong? Awak ke saya?” tangan ku masih lagi sibuk mencari-cari buku yang entah apa tajuknya.  Aku hilang tumpuan sebenarnya.  Sesekali aku menoleh memandang sekilas ke raut wajahnya yang cukup menarik dari pandangan kacamata ku.  Irfan merenung aku dengan anak mata yang tajam.  Aku merasa terganggu dengan renungan itu.  Berderau darahku dibuatnya.  Ku larikan pandangan mata ku ke arah lain. Aku sangat suka diperlakukan begitu sebenarnya.  
“Nanti awak tunggu saya ye, kita balik sama-sama” Irfan mengingatkan aku dan berlalu dengan senyuman di bibirnya. 
                       

“Tinggal dua hari saja lagi nak periksa” Zahirah mengeluh sambil kaki melangkah. 
“Kau dah ready ke Sara?” tangan kirinya merangkul lengan kanan ku. 
“Sara rajin pergi library, bukan macam kita, asyik nak lepak aje” Zulaikha menyampuk lantas tangan kiriku dipimpin. 
Kami bertiga berjalan beriringan menuju ke kantin sekolah untuk membeli jajan.  Waktu itu kami baru saja selesai menghadapi taklimat di dewan sekolah.  Ketika kami hampir tiba di perkarangan kantin, aku seperti tergamam apabila ternampak ada dua insan yang sangat ku kenali sedang duduk di satu sudut sambil berbual-bual, mesra nampaknya.  Hampir terhenti degupan jantung ku.   Di hadapan mereka terdapat dua gelas air yang mungkin kepunyaan mereka, aku tidak pasti. 
“Eh itu Irfan dengan Aisyah kan?”  tanya Zulaikha tanpa berselindung sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah mereka berdua. 
“A’ahlah, sejak bila pulak budak Aisyah tu pandai berdating dengan Irfan ha!” tambah Zahirah kehairanan. 
Pandangan mereka beralih ke wajah ku.  Aku mencebik sambil mengangkat bahu.  Perasaan ku tiba-tiba bertukar menjadi sakit hati. 
“Jomlah” lalu ku tarik tangan mereka berdua ke arah lain. 
“Eh, tadi kau kata nak pergi kantin” Zulaikha membatukan diri. 
“Ha, kau jealous ye” duga Zulaikha.
Geramnya aku dengan Irfan.  Perasaan ku tidak tentu arah.  Cemburu dan benci bercampur baur.  Kenapa dengan dia tu?  Adakah dia sengaja nak menduga hatiku? Atau…Yang aku ni kenapa pula? Mengapa mesti ada perasaan-perasaan begitu terhadap mereka?  Irfan bukan sesiapa denganku, dia hanya kawan sekelas yang sama seperti Saiful, Qayyum, Aiman dan Haikal.  Tetapi aku tidak mampu untuk menipu hatiku sendiri.  Perasaan apakah yang mendera hatiku sekarang?  Ia begitu menyiksakan.

                                    Menjelang petang, aku pun pulang sendirian.  Sebelum keluar dari pagar sekolah, sempat juga aku mengintai-intai mencari kelibat lelaki itu.   Ada beberapa kumpulan pelajar-pelajar lelaki yang masih mundar-mandir di kawasan sekolah, tetapi dia tidak kelihatan.   Aku pun melangkah keluar dari kawasan sekolah menuju ke jalan di tepi pagar.  Ketika sampai di simpang jalan untuk masuk ke jalan kawasan perumahan ku, beg ku bagai ditarik-tarik dari belakang.   Secepat kilat aku menoleh ke belakang. 
“Oh! awak rupanya, suka sangat buat saya terkejut tau.  Nasib baik saya tak ada sakit jantung” tangan ku mengurut dada sambil mata menjeling tajam ke arahnya.
“Terkejut ke? Alah sorry lah.  Awak ni macam nenek sayalah, sikit-sikit nak terkejut” Irfan ketawa terbahak-bahak, lucu sangatlah tu.
“Amacam taklimat tadi?” Irfan menukar topik.  Aku terus mengorak langkah tanpa memperdulikannya.
“Eh! Awak marah ke?  Takkanlah benda sikit macam tu pun nak merajuk kot?” pujuk Irfan sambil mengekori ku dari belakang.
“Sorrylah, saya tak sengaja nak buat awak terkejut” pujuknya lagi.   Sangkanya aku marah kerana dia menyergah aku dari belakang tadi. 
“Eee malas aku nak layan kau” bentak ku di dalam hati. 
Kura-kura dalam perahu, pura-pura pulak tak tahu.  Aku tidak menghiraukan kata-kata Irfan, aku tetap juga melangkah.  Dia masih mengekoriku. 
“Ei Maisara! kenapa dengan awak ni?” beg sekolah yang ku sandang ditarik-tarik.  “Tanyalah diri awak sendiri” jawabku perlahan sambil melangkah laju. 
“Apa yang dah saya buat?” dahi Irfan berkerut.
Aku hanya diam seribu bahasa.  Tiba-tiba aku merasakan aku tidak lagi diganggu seperti tadi.  Irfan tidak lagi mengekoriku.  Hairan, mana pula perginya?  Aku sempat mengerling.  Rupa-rupanya dia masih lagi di belakang.  Agak jauh juga telah aku tinggalkan.  Dia hanya tercegat sambil tangan kanan diletakkan di pinggang.  Aku terus mengorak langkah tanpa menoleh lagi.   Sebentar kemudian kedengaran tapak kaki berlari menghampiriku.  Tali beg yang ku sandang di bahu kanan ditarik lagi tanpa menghiraukan orang yang lalu lalang.  Aku berhenti dan berdiri hampir sekali dengan Irfan.  Aku cuba mengelak dari memandang wajahnya. 
“Sara, saya tak fahamlah dengan awak ni?” dia menunjukkan raut wajah yang marah. 
“Tak faham ke atau buat-buat tak faham?” soal ku di dalam hati. 
“Kalau awak rasa ada apa-apa yang menyinggung perasaan awak, bagitaulah.  Janganlah tunjuk perasaan marah macam ni, kalau awak tak bagitau macamana saya nak tau” rayu Irfan.   
Matanya yang bening menatap wajah ku sayu.  Hati ku jadi tersentuh dengan gelagat Irfan.  Kasihan.  
“Kalau awak tak nak cakap dengan saya tak apalah” wajah Irfan kelihatan sugul lantas mengeluarkan sesuatu dari beg sekolahnya. 
“Nah, ini untuk awak” Irfan menghulurkan sesuatu yang berbalut dengan kertas hadiah berwarna pink.  Kotak hadiah ku sambut dengan tangan kanan dengan perlahan.  Aku jadi serba salah.  Irfan pun terus menoleh dan melangkah pergi tanpa sepatah kata.  Mata ku  mengekori kelibatnya pergi sehingga lelaki itu hilang dari pandangan.  Aku terkedu.

Jam di dinding telah menunjukkan jam 8 malam,  aku masih bermalasan di atas katil.  Aku mengirai-ngiraikan rambut panjang ku yang hampir mencecah paras pinggang.  Rambut ku yang hitam dan lurus panjang sering menjadi pujian teman-teman.  Ku simpulkan rambut ke belakang dan ku ikat menggunakan getah rambut berwarna biru.  Selesa rasanya.  Tok! Tok! Tok! Pintu bilik diketuk dari luar.
“Sapa tu, masuklah” daun pintu terkuak, Ako menjengolkan muka dari balik daun pintu kayu.  Ako masuk dan melabuhkan punggung di atas katil di sebelah ku sambil tersenyum kambing. 
“Kak Sara tengah buat apa ni?  Berangan ingatkan boyfriend ke?” adik manja ku cuba serkap jarang tanpa memandang ke wajahku. 
“Ayah dengan ibu panggil makan”.  Sudah menjadi rutin Ako untuk memanggil aku makan pada setiap malam jika aku tidak turun ke bawah sebelum waktu makan malam tiba.  
“Ayah dengan ibu panggil makanlah kak” ayat yang sama diulang lagi.  Aku masih diam membatu tanpa sepatah kata yang lahir dari bibirku. 
“Kakak tak nak turun makan ke?” suaranya agak kuat menjerkah apabila beberapa kali pertanyaannya tidak aku layan.  
 “Hissy.. akak ni, tulah, berangan aje, orang tanya bukan nak jawab” Ako menunjukkan wajah serius.  Aku memanjangkan tangan, rambutnya ku gosok-gosok kasar. 
“Akak malaslah nak makan, cakap kat ibu dengan ayah akak dah kenyang makan roti tadi” ujar ku seraya tangan mencatit sesuatu di atas buku nota.     
“Ako pergilah turun makan, nanti ibu dengan ayah marah pulak” arah ku lembut.  Sebenarnya aku mahukan privacy
“Oklah, Ako nak turunlah ni.  Betul ke akak tak nak makan? Kang ibu bising pulak kat bawah tu” pujuknya lagi tanpa jemu.  
Kan akak dah  kata akak dah kenyang.  Dahlah pergi turun dulu, akak nak baca buku sikit untuk paper esok” aku memberi alasan.  Lantas aku memicit hidung Ako yang mancung dengan geram. 
“Adoi! Sakitlah akak ni. Hilang macho Ako, akak tau”.  Ako menggosok-gosok hidungnya sendiri. 
“Eleh perasan macho konon, macho tapi hancur nak buat apa?” usik ku dan ketawa kami pun berderai.  Seketika kemudian Ako pun berlalu keluar meninggalkan aku dengan ketawa yang masih bersisa.

            Beg sekolah yang ku sandarkan di atas kerusi studi di tepi tingkap ku buka, aku hampir terlupa tentang hadiah yang Irfan beri tadi petang lantaran tertidur kerana kepenatan.  Lantas hadiah yang berbalut itu, ku capai.  Apa agaknya ni?  Aku meneka sambil hadiah yang berada di tangan ku goncang-goncangkan.  Dengan tidak sabar, kertas pembalut ku koyakkan.  “Eh eh cantiknya music box ni” aku tersenyum lebar dan rasa sungguh terharu.  Sebuah kotak muzik dengan anak patung comel berpusing-pusing seolah-olah menari ballet diiringi muzik Romance D’Amor.  Ada sebuah kad kecil yang diselitkan di tepi kotak itu.  Ku baca bait-bait ayat yang ditulis dengan penuh perasaan teruja. 
Aku tidak pandai berpuisi, semuga dimengerti niat di hati.  Ikhlas dariku Irfan Effendi”. 

Pendek sahaja ayatnya tetapi penuh puitis dan maksud yang tersirat.  Peristiwa siang tadi menganggu fikiranku dan membuatkan aku merasa begitu sayu.  Menyesal pula rasanya dengan sikap ku terhadap Irfan. Airmata mula bertakung dan jatuh satu persatu ke pipi tanpa ditahan-tahan.  Rindu terhadap Irfan pun datang menyelinap.  Aku tidak pernah merindukan seseorang seperti perasaan rinduku padanya.   Apakah ini yang dinamakan cinta?  Perasaan itu datang begitu sahaja tanpa aku sedari kehadirannya di dalam hati.  Apakah Irfan berperasaan begitu terhadap aku?  Berbagai soalan yang datang bersilih ganti di benakku.  Kenapa aku bersikap begitu terhadap Irfan? Kenapa aku mesti marah bila nampak Irfan berbual dengan Aisyah tadi?  Bukankah Aisyah juga kawan sekelas dengannya?  Aku cemburukah?  “Bodohnya aku ni!” aku menyumpah diri ku sendiri.  

No comments:

Followers