Thursday, March 10, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 1


SUASANA di rumah ibu dan ayahku riuh-rendah malam itu, dipenuhi sanak saudara dan jiran tetangga yang tidak putus-putus datang sejak kelmarin. Masing-masing sibuk bergotong-royong membuat persiapan untuk meraikan majlis persandinganku esok. Barang-barang hantaran sebanyak 13 dulang telah siap digubah dan tersusun kemas di tepi tingkap kamarku yang dihiasi indah. Jambangan bunga mawar merah dan putih menambahkan seri. Haruman bunga rampai memenuhi ruang kamar, semerbak baunya hingga menusuk hidung. Maklumlah... bilik pengantin. 

 Segala persediaan majlis perkahwinan diuruskan oleh Kak Min, kakak sulungku. Dia melantik dirinya sendiri sebagai ‘wedding planner’ untuk majlis bersejarahku itu. Kerana itulah tema majlis warna biru. Sudah pastinya warna kegemaran Kak Min dan suaminya Abang Fuad. Segala-galanya biru. Dari kain lapik dulang sehinggalah ke kain scallop khemah, begitu juga baju pengantin. Bukan itu sahaja, malah seluruh keluarga turut memakai pakaian sedondon warna senada. 

 Dari sudut jendela kamar, aku boleh melihat Mak Long Timah, Mak Lang Salma, Mak Andak Ani dan beberapa orang kaum wanita sedang sibuk menyediakan bahan-bahan untuk dimasak sambil berbual-bual dan usik-mengusik sesama mereka. Sesekali kedengaran ilai tawa berdekah-dekah mereka. Apalah cerita yang menggelikan hati sangat tu? Kaum lelaki pula sibuk di bawah khemah menyusun kerusi dan meja. 

Manakala di halaman rumah, beberapa orang kanak-kanak riang berkejar-kejaran sesama mereka menambahkan kemeriahan dan keriuhan. Ibu tidak kelihatan. Begitu juga dengan ayah. Mungkin mereka sibuk di ruang tamu memerhatikan mak andam menghiasi pelamin di tengah rumah. Ibu dan ayah adalah orang yang paling gembira malam ini. Mereka bakal menerima seorang menantu lagi. Apatah lagi menantu lelaki kali ini adalah pilihan mereka sendiri. Anak kepada sahabat lama ayah yang telah lama terpisah. 

Aku masih ingat semasa aku bersekolah rendah dahulu. Pak Cik Borhan selalu menghantar aku dan kakak-kakakku iaitu Kak Min dan Kak Lia ke sekolah bersama dua orang anaknya. Kami tinggal berjiran di satu kawasan taman perumahan di Seremban. Oleh kerana waktu itu ayah selalu bekerja di luar daerah, maka Pak Cik Borhan dan isterinya Mak Cik Norma, dengan senang hati menawarkan diri untuk menumpangkan kami adik-beradik ke sekolah. Sementelah pula kami belajar di sekolah yang sama dengan anak-anak mereka, Sharina dan Azry. 

 Aku masih ingat lagi suatu ketika dulu kami selalu bermain kejar-kejaran di tepi kawasan perumahan tempat kami tinggal. Bila penat berlari, kami akan ke tepi anak sungai yang tidak jauh dari situ. Airnya tidak dalam, hanya setakat paras lutut sahaja. Di tepi sungai pula ada sebatang pokok mangga yang sangat besar. Di situlah tempat kami memanjat dan duduk berehat sambil bercerita tentang cita-cita dan tentang kawan-kawan di sekolah. Ada sahaja cerita-cerita lucu Azry dan kami yang lain akan ketawa sehingga sakit perut dibuatnya. 

 Azry juga suka bertengkar dengan kakaknya, Kak Rina. Selalunya bila mereka bertengkar, Kak Lia dan Kak Min akan menyebelahi Azry. Manakala aku pula akan menyebelahi Kak Rina. Pernah suatu ketika, Azry menolak kakaknya itu hingga terjatuh ke dalam sungai kerana marah Kak Rina tidak mahu menolong dia menghabiskan kerja sekolah. Dan aku menjadi heroin, cuba menyelamatkan Kak Rina. Aku menarik tangan Azry dari belakang dan secepat kilat Azry merentap tanganku. Sudahnya aku yang jatuh ke dalam sungai. Tercungap-cungap aku waktu itu kerana tidak menyangka dia akan bertindak secepat itu. Akibat rentapan Azry yang kuat, tangan aku terseliuh. 

 Aku menangis sepanjang jalan pulang ke rumah kerana kesakitan. Keesokannya aku mendapat tahu daripada Kak Rina bahawa Azry telah dimarahi dan dirotan oleh ayahnya. Azry tidak pernah serik, nakal sungguh dia. Kak Min dan Kak Lia pula selalu menyebelahinya. Suatu hari sewaktu di kantin sekolah, aku sedang minum air. Tanpa aku sedari Azry ada di belakangku. 

 “Woi, loceng belum bunyi lagi kau dah beli makanan kat kantin ya?” jerkah Azry, lalu aku menoleh. Dengan tidak sengaja air yang berada di dalam mulutku tersembur ke mukanya. Habis basah sebahagian pakaiannya. 

 “Kau ni nak kena belasah ke? Tak nampak aku ke?” jerit Azry lagi. 

 “Sorry, aku tak sengaja. Siapa suruh kau sergah aku macam tu?”

 Azry memandangku dengan wajah garang. Aku terkebil-kebil memandang wajahnya. Tanpa diduga Azry menarik rambutku. Kerana kesakitan dan mahu membalas perbuatannya itu, aku mengejarnya sehingga keliling kantin. Tercungap-cungap aku dibuatnya. Dia memang selalu menyakitkan hati aku. Benci betul aku melihatkan perangainya yang menjengkelkan itu. 

 Hmm... itu dulu. 15 tahun yang lalu. Begitu pantas masa berlalu. Esok dia bakal menjadi suamiku. Bagai mimpi disiang hari aku seperti tidak percaya bila cinta yang satu yang telah aku berikan kepada si dia yang lain, akhirnya akan dinikahkan dengan orang lain pula. Jejaka yang tidak pernah aku impikan untuk melayari hidup berumah tangga bersamanya. Sedihnya tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Tetapi aku harus menerima qada dan qadar ALLAH yang telah ditentukan untukku. Jodoh pertemuan, ajal dan maut DIA yang menentukan. Aku pasrah. 

“Assalamualaikum...” 

 Aku terkejut. Salam itu aku sambut lesu. Mak Usu Ijan bersama dua orang anak perempuan kembarnya datang menjengah. Kedua-dua anaknya yang keletah dan comel itu tersenyum simpul, menampakkan lesung pipit di pipi kiri dan kanan. Mereka baru saja sampai dari Kuantan. Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Mak Usu Ijan masih seperti dulu, pandai menjaga bentuk badan walaupun sudah beranak empat. Kami berjabat salam. Tangan Mak Usu Ijan kukucup dan kami berdakapan. Mak Usu Ijan membisikkan ucapan selamat pengantin baru ke telingaku. Hatiku tersentuh dan berasa sebak, tetapi aku cuba melindungi perasaan itu. 

 “Pak su tak datang sama ke?” 

 “Eh! Ada kat luar tu. Kalau pak su tak datang alamatnya mak su pun tak sampailah...” Gembiranya aku dapat berjumpa dengan Mak Usu Ijan yang sudah lama tidak bersua. 

 “Along dengan angah pun ada?” Mak Usu Ijan mengangguk dengan senyuman. 

“Tak sangka rupa-rupanya si Azry tu yang bakal jadi suami awak. Mak su ingat lagi dulu bukan main nakal lagi dia. Selalu tarik-tarik rambut awak.” Mak Usu Ijan mengingati kisah lampau. Tanganku masih lagi digenggaman seperti tidak mahu dilepaskan. 

 “Awak pun kalau Azry menyakat, tak mahu nak mengalah. Dua kali lima aje awak berdua,” sambungnya lagi dengan ketawa. 

 Aku tersenyum sipu. Ingat lagi Mak Usu Ijan pada kisah-kisah lama itu. Mak Usu Ijan adalah adik ibu yang bongsu. Semasa aku kecil, Mak Usu Ijan selalu datang ke rumah menemani kami setiap kali ayah keluar daerah. Ibu pula kadang-kadang sibuk dengan persatuan wanitanya. Kami banyak luangkan masa bersama. Mak Usu Ijan pandai memasak, kerana itulah kami adik-beradik suka membuat permintaan hendak makan itu dan ini semasa Mak Usu Ijan ada di rumah. Tetapi setelah Mak Usu Ijan berkahwin, kami jarang dapat bertemu kerana dia mengikut suaminya ke Kuantan. 

“Mak su dah makan?” Aku mencuit pipi salah seorang anak Mak Usu Ijan. Dia tersipu malu menyorokkan wajah di belakang mak usu. 

 “Tak apalah... kejap lagi. Nak borak-borak dulu dengan Sara.” Ibu tiba-tiba muncul di muka pintu. Wajahnya tidak lekang dengan senyuman, menggambarkan kegirangan hatinya. 

 “Jom bawa budak-budak makan dulu, Ijan. Karang-karang boleh berborak lagi dengan pengantin.” 

“Ha’ah... pergilah makan dulu, mak su. Lepas makan nanti mak su datang balik. Rindulah kat mak su. Malam ni mak su tidur sini ya?” Mak Usu Ijan mengangguk. 

“Eh! Sara tak makan sama ke? Jomlah sekali.” Dia menarik-narik lembut tanganku.  

“Sara dah makanlah, mak su. Pergilah bawa budak-budak makan dulu.” Mak Usu Ijan melangkah keluar dari bilikku, mengekori ibu menuju ke dapur, diiringi kedua-dua anaknya yang comel itu. 

Aku sendirian lagi. Terasa sunyi benar walaupun di luar sana riuh-rendah dengan suara gelak tawa dan gurau senda. Sesekali kelihatan budak-budak perempuan datang mengintai di balik daun pintu. Mereka berbisik sesama sendiri lalu tersenyum. Apalah yang dibisikkan itu? 

“Adik-adik... pergi main kat luar ya? Pengantin belum siap lagi.” Suara Kak Lia kedengaran. Dia datang membawa semangkuk bancuhan inai untuk dihias ke jari-jemariku. 

 “Sara, kejap lagi kita letak inai. Tunggu Kak Min sekejap, akak tak retilah nak pakaikan inai ni,” ujar Kak Lia dan aku mengangguk. Mangkuk inai diletakkan di atas meja kecil di depanku sebelum Kak Lia berlalu keluar. Tidak berapa lama kemudian, Kak Lia datang semula diekori Kak Min. 

“Ha! Pengantin ni tak habis-habis termenung aje kerjanya,” sindir Kak Min. Aku hanya diam membisu, sekadar memandang kelibat Kak Min dengan ekor mata. Kak Min memang begitu, mulutnya boleh tahan. Jangan dilayan. Kalau tidak, meleret-leret bebelannya seperti mak nenek. 

“Mari sini, duduk kat bawahlah senang sikit.” Aku menurut perintah tanpa membantah. Aku duduk di depan Kak Min dan di sebelah Kak Lia. Kakiku lunjurkan ke hadapan. Kak Min pun memulakan tugasnya sambil diperhatikan oleh Kak Lia. 

 “Lepas ni bolehlah pakaikan inai kat tangan aku pulak.” Kak Lia bersuara. Teringin pulak nak berinai mak buyung ni. Desisku di dalam hati. 

 “Nanti bila dah habis berinai, Sara jangan tidur pulak. Biar inai ni kering dulu. Dah cuci baru boleh tidur tau,” pesan Kak Min. 

 “Jangan jadi macam orang tu dulu, belum apa-apa lagi dah terlelap. Tidur lasak pulak tu. Nasib baik ada inai lebih, boleh juga dibega-begakan.” Kak Min mengingatkan aku sambil menjeling Kak Lia. Kami ketawa terkekeh-kekeh. Dulu semasa Kak Lia berkahwin pun, Kak Min yang inaikan. Ramai yang memuji dengan ketelitian dan kreativiti Kak Min menginai. Kembang kuncup hidung Kak Min bila dipuji begitu. 

“Sara jangan tunjuk muka monyok aje. Cuba senyum sikit, dik. Barulah nampak seri pengantin tu. Kak Min faham perasaan Sara tu, tapi dah jodoh Sara dengan Azry, nak buat macam mana? Terima ajelah dengan redha,” nasihat Kak Min. Kak Lia di sebelah mengangguk tanda bersetuju dengan apa yang diperkatakan Kak Min. 

 “Ayah dan ibu mahukan yang terbaik untuk Sara. Lagipun kita dah kenal hati budi keluarga dia. Bukan Sara tak pernah kenal dengan Azry, kan? Dulu-dulu bukan ke Sara syok gila dengan si Azry tu?” usik Kak Min sambil menjeling Kak Lia di sebelahnya. 

 “Eh, eh... pandai-pandai aje Kak Min ni. Bila masa entah kita syok kat dia.” Aku menyangkal, lalu satu cubitan singgah ke paha Kak Min. 

 “Ha, ha... baik-baik inai kat jari tu.” Kak Min mengingatkan aku. 

“Ha’ah... dulu kan Sara suka main kejar-kejar dengan Azry. Sara lupa ke?” Kak Lia pula menokok tambah. 

 “Kalau tak jumpa Azry satu hari tak sah, buat-buatlah nak jumpa dengan Kak Rina. Sebenarnya nak jumpa Azry.” Gelak ketawa mereka berderai dan aku hanya diam menahan geram. 

 “Tak kenal maka tak cinta, Sara. Lama-lama okeylah tu.” Kak Min mengingatkan aku lagi dengan wajah yang selamba, tapi yakin. Kak Min cakap senanglah. Kak Min dengan Abang Fuad berkahwin dulu atas dasar cinta. Tak macam aku. Cinta separuh mati pada orang lain, tetapi berkahwin dengan orang lain. Aku bermonolog sendiri. 

 “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kak...” ucapku perlahan. 

“Sara kira beruntung jugak. Ada orang tu, kahwin tak pernah jumpa dengan bakal suami tau. Bayangkan orang yang tak pernah kita kenal, tiba-tiba kena duduk serumah dan tidur sekatil pulak tu.” Air mataku mula bergenangan. Aku cuba menahan supaya tidak mengalir keluar. Tetapi akhirnya air mata yang bertakung tidak dapat ditahan-tahan, meluncur laju meleleh ke pipi. Kak Lia menyapu air mataku dengan tisu yang diambil dari kotak tisu yang berhampiran. 

 “Jangan menangis, Sara... nanti Kak Lia pun menangis jugak.” Kak Lia cuba memujuk. Hatiku terasa sebak sekali. Sedihnya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, tidak dapat digambarkan dengan lukisan. Payah untuk ditafsirkan. 

“Sudahlah Sara, jangan nak sedih-sedih. Apa yang berlaku ni pasti ada hikmahnya. Azry pun apa kurangnya. Handsome, tinggi lampai... engineer pulak tu. Masa depan terjamin. Jangan risau, akak doakan Sara bahagia dengan Azry sampai beranak pinak, sampai ke cucu cicit, sampai hujung nyawalah kata orang,” luah Kak Min dengan senyuman yang menyerlahkan keanggunan yang ada dalam dirinya. 

“Cinta tak menjanjikan kebahagiaan, Sara.” Kak Lia pula menyambung kata sambil menarik nafas panjang. Lelehan air mataku bagaikan paip pecah, meluncur laju. Setelah jari-jemariku telah siap diinai satu per satu, Kak Min beralih ke kaki pula. 

“Lia tambahkan lagi inai ke dalam mangkuk ni.” Mangkuk dihulur, Kak Lia menyambut mangkuk yang telah hampir kosong dan ditambah dengan inai yang ada dalam mangkuk besar di sebelahnya. Dihulurkan semula kepada Kak Min. Mangkuk inai bertukar tangan. Kak Min menyambung semula tugasnya. Kami semua terdiam. Masing-masing melayan perasaan sendiri. 

“Okey, dah siap. Sara jangan tidur tau. Nanti sekejap lagi Kak Min datang balik. Kak Min nak tengok kerja-kerja kat luar pulak.” Kak Min bangkit. 

 “Thank you, Kak Min...” Kak Min melangkah keluar. Kak Lia turut bangun mengekori Kak Min, sempat dia mencuit pipiku. 

“Ingat pesan Kak Min tu.” Aku memerhatikan mereka sehingga hilang daripada pandangan dengan perasaan terharu kerana mempunyai dua orang kakak yang sangat menyayangi diriku seadanya. 

 Kak Lia lebih tua empat tahun daripadaku. Dia berkahwin dua tahun yang lalu. Suami Kak Lia, Abang Idham seorang arkitek dan mempunyai sebuah firma arkitek sendiri di Petaling Jaya. Mereka juga seperti Kak Min. Berkahwin setelah bercinta beberapa tahun semasa sama-sama belajar di UiTM, Shah Alam. Kini Kak Lia mengandungkan anak pertama mereka. Tentu hidup mereka bahagia kerana saling mencintai. Tapi aku?

.

No comments:

Followers